Tuesday, November 9, 2010

Kepada Yang Ingin Tahu, Ini Satu Pendedahan






Setelah hampir setahun tulisan ini tersimpan di dalam 'DRAFT'. Akhirnya hari ini saya 'publish'kan atas 'desakan suara halus.'

Versi Asal.
Aku terkesan untuk mem'publish'kan setelah terbaca tulisan ini.

Walaupun ianya mungkin bersifat peribadi.
Dalam keterpaksaanku coretkan catatan ringkas ini. Harap-harap ia dapat merungkaikan sedikit "kegelapan" yang masih bersarang dalam kepala sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian. Mungkin sahabat-sahabat tidak tahu dan hari ini aku terpaksa membuka kerahsiaan yang aku simpan sekian lama, "KENAPA AKU TIDAK SUDI MENJADI IMAM SOLAT."

Sahabat-sahabat ;

Banyak juga sejarah silamku tentang menjadi Imam solat. Hingga sampai satu masa seakan aku bersumpah tidak mahu menjadi Imam solat lagi setelah 'apa-apa' yang berlaku itu. Bebanan itu aku simpan sekian lama dan ia sentiasa 'mengikut'ku selagi nyawa dikandung badan.

Sahabat-sahabatku yang disayangi;

Mengimbau kenangan dulu, bapaku seorang Imam di surau di hadapan rumahku. Setelah dia sakit dalam tempoh yang agak lama bermula sekitar 1997/98, akulah anaknya yang diharapkan(atau aku terpaksa) dapat meneruskan kesinambungan itu. Aku memikulnya dengan kepayahan dan bebanan yang 'maha dahsyat'. Bagaimana anak muda yang belum kahwin dan bergelora jiwa remajanya bisa menjadi Imam kepada bapak-bapak serta ibu-ibu di sekitar surau. Menjadi pemimpin ketika dirinya sendiri masih mencari identiti diri.

Akulah Imam, akulah Bilal, akulah Khatib setiap kali hari raya dan akulah penjaga surau itu. Hakikatnya aku tidak mempunyai banyak pilihan. Aku selalu memberitahu pada ahli qaryah bahawa aku bukanlah yang terbaik di kalangan kita.

Tapi pilihan kita hanyalah dua sahaja, sama-sama kita bersatu berdiri di belakangku untuk mengimarahkan surau itu atau ia dirobohkan jika tiada jemaah untuk solat berjemaah. Cakap-cakap yang sebenarnya bersulam kekecewaan apabila surau itu kadang-kadang kosong apabila aku tiada di kampung dalam kebanyakan masa yang ada.

Sahabat-sahabatku yang disayangi;
Alhamdulillah, pertolongan dari Allah serta berkat sokongan dari semua ahli qaryah sedikit sebanyak telah memberikan aku kekuatan. Solat lima waktuku mesti di surau buruk itu. Aku perlu azan terlebih dahulu untuk memanggil jemaah dan juga sebenarnya 'pemberitahuan' bahawa Imam solat ada pada masa itu. Dan rasanya itulah antara saat-saat yang paling indah dalam hidupku. Ke mana-mana pun aku pergi, aku pasti akan berusaha sedapat mungkin untuk pulang solat berjemaah di surau itu.

Tetapi indahnya 'tidaklah lama'. Tetapi mengambil masa beberapa tahun juga.

Ia mula bertukar menjadi suatu 'bebanan yang menyiksa hati dan perasaan'. Jiwa dan raga. Keseronokan yang mula bertukar menjadi kegundahan yang memberi kesan bukan sahaja pada rohani tetapi juga kepada jasmani juga.

Apabila arwah ibu seringkali  'mempertikaikan' kemampuan tajwidku dalam bacaan al Quran, ianya telah menjadi kemuncak 'tekanan' yang aku terima pada masa itu. Mungkin kerana kami tiada kesempatan lama untuk membesar bersama ibu 'secara langsung', lalu ibu tiada kesempatan 'memantau' dari dekat dari kebanyakan masa perjalanan hidupnya tentang perkembangan anak-anaknya, ibu menjadi terlalu bimbang dengan kemampuan kami adik beradik.  Dan kebimbangan serta kerisauan itu mungkin wajar. Lebih-lebih dari seorang ibu untuk anak-anaknya. Mengharapkan kebahagiaan dari dunia sampai ke akhirat.

Aku tahu ibu jujur dengan kebimbangan itu. Takut-takut anak keduanya menanggung beban kesalahan yang bernama dosa. Dan dosa membawa ke neraka. Terhadap diri sendiri dan juga makmum yang dipimpinnya. Tambahan pula ibu memang terlalu peduli tentang solat dan bacaan Quran anak-anaknya. Antara bahan tazkirah ringkas wajib hampir setiap kali kami bertemu.  Sedikit atau banyak. Secara langsung atau di talian telefon. Dan aku selalu mendengarnya dengan tabah dan sabar. Ibu tidak kisah kami siapa. Setinggi mana kami 'mengaji' .Nasihat tetap nasihat. Ia berhenti hanya setelah Ibu tiada lagi di bumi ini.

Sahabat-sahabatku yang disayangi;
Namun apalah upayaku ketika itu. Antara banyak persimpangan yang ada, aku memilih untuk menjadi tanduk ketika gading tiada bersama. Namun bukan niatku untuk 'menderhakai' 'larangan' ibu. Mengambil tanggungjawab sementara menunggu orang-orang yang benar-benar layak mengambil alih.

Kata orang, 'Terlentang sama-sama menadah embun, meniarap sama-sama memakan pasir'. Begitulah perumpaannya. Maruah dan harga diri surau itu mesti dipertahankan.

Sejak dari kecil sehinggalah beranak pinak dan sampai akhir hayatnya pun, aku telah mendisiplinkan diri ini untuk tidak sesekali membantah atau menjawab 'leteran' ibu di posisi mana pun aku berada. Di kala aku memang di pihak yang bersalah ataupun di kala aku berasa aku berada di pihak yang betul serta benar.

Dan 'bebanan' itu masih tersimpan di sudut hati walaupun setelah hampir setahun lebih ibu pergi meninggalkan kami. Dan ia akan terus menjadi igauan yang tidak akan berkesudahan kerana aku tidak sempat meminta keizinan itu sebelum ibu tinggalkan kami secara mengejut. 

Menambah Beban Emosi !!!

Sahabat-sahabatku yang disayangi;
Tambahan pula, bukan mudah untuk menjaga hati dan memuaskan hati semua orang. Terutama para jemaah yang ada.

Merajuk antara 'kehebatan' orang-orang kita. Marah dan merajuk dengan manusia tetapi surau yang menjadi mangsanya.

Tidak puashati dengan bacaan Imam, merajuk dan bawa diri.
Tidak puashati dengan Imam, merajuk dan bawa diri.
Tidak puashati dengan ahli jemaah lain, merajuk dan bawa diri.
Marahkan seseorang pun, merajuk dan bawa diri.
Pandangan tidak diterima, merajuk dan bawa diri.
Pendapat tidak dipakai, merajuk dan bawa diri.
Tidak suka ustaz yang memberi kuliah, merajuk dan bawa diri.
Berbeza pendapat, merajuk dan bawa diri.
Kecewa ini, kecewa itu. Merajuk dan bawa diri.
Tidak puashati itu ini, dijaja serata pelusuk.  Kemudian merajuk dan bawa diri.

Dan macam-macam lagi sebab rajuknya.
Kadang-kadang sebab-sebab rajuknya itu tidak mampu diterjemahkan menjadi ayat-ayat. Bersama mereka, ada mudah dan ada juga yang payahnya.

Dan selalunya, surau yang menjadi mangsa keadaan. Merajuk dengan makhluk manusia tetapi surau menjadi mangsanya. Rajuk punya pasal, surau menjadi semakin lengang dengan jemaahnya semakin berkurang.

Mengikut pengalaman peribadi aku, perkara seumpama ini berlaku di banyak tempat juga.

Dan sebagai 'orang yang menjadi kepala' kepada semua itu pada masa itu. Aku menanggung bebanan itu keseorangan. Menjadi pendamai yang kebingungan. Berusaha menjadi 'orang tengah' untuk membahagiakan hati-hati yang sedang terluka daripada banyaknya hati yang minta dibahagiakan. Dan dalam banyak masa dan keadaan, aku tersepit dengan kepedihan yang tidak bisa dipandang dengan mata kasar. Menjaga semua hati dalam semua keadaan dan masa bukanlah sesuatu yang mudah.

Dalam situasi lain pula. Apa perasaan anda?  

Sahabat-sahabatku yang disayangi;
Apabila anda pernah menjadi Imam atau Ketua, tiba-tiba jemaahnya atau ahli-ahlinya semakin berkurang, anda mungkin dapat menyelami maksud di atas. Menyelami bebanan perasaan yang aku tanggung ketika itu.

Mencari di mana salah dan silapnya. Walaupun mungkin 'kesilapan dan kesalahan' bukan seratus peratus terbeban di atas bahu sendiri. Namun semua itu sedikit sebanyak telah menjadi beban emosi yang bukan mudah untuk ditanggung ketika itu.

Dan bayangkan juga siksanya hati apabila ada jemaah yang 'perasan hebat' tidak sudi berjemaah ketika anda menjadi Imam. Dan ketika lain, 'merampas' posisi Imam tanpa mempersilakan anda tanda mengambil hati 'Imam Tetap' yang sedia ada. Yang sekian lama menabur bakti di situ. Macam-macam perasaan negatif yang mula bersarang di benak. Sama ada ia realiti atau ilusi, ia telah pun meracun diri. Dan bisanya belum hilang hingga kini. Mahu tidak mahu, ia telah menjadi bebanan yang berpanjangan. Lalu terfikr, adakah diri ini terlalu hodoh dan busuk dipandangan mata orang lain.

Dan saya tidak sukakan kontroversi. Cara paling mudah adalah menarik diri dan berharap sejarah seperti itu tidak akan berulang lagi sampai bila-bila pun.

Namun.
Bercerita dengan tulisan dan kata-kata mungkin tidak sama 'feel'nya dengan merasai sendiri. Dengan jiwa dan jasad sendiri.

Rasailah sendiri, mungkin baru anda tahu betapa perit pedihnya. Tambah lagi, bagi seorang manusia yang tidak sukakan HIDUP KONTROVERSI.

Dan aku pernah melaluinya sendiri dengan jiwa dan jasad ini.

DAN AKU TIDAK MAHU MELALUINYA BUAT KESEKIAN KALINYA. TITIK.

Razak Nordin berpesan ; Dan inilah antara sebab AKU tidak suka menjadi KETUA. DI POSISI MANA PUN AKU SEDANG BERADA. 

1 comment:

adanz said...

tahniah, entri terbaik dari entri2 pokok kayu!