Wednesday, August 12, 2009

Syukur PadaMu Tuhan

Apabila Along mula ingin Abi mandikannya di pagi hari dan tidur bersama Abi -maka inilah masa yang sesuai untukku coretkan kenangan yang telah berlalu.
Sebenarnya aku tidak tahu bagaimana harus aku mulakan coretan ringkas ini. Namun dalam "keresahan" itu, akhirnya ku temui jawapannya. Ku mulakan coretan ringkas ini dengan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t. kerana terus mengekalkan cinta, kasih serta sayang dalam jiwa ini. Nikmat yang belum tentu semua orang di dunia ini dapat merasai pada setiap masa dalam hidup ini . Adakalanya ia datang tanpa di pinta, perginya pula bukan kerana di usir. Kadangkala di saat perlu ia tiada, di saat tidak dipinta, ia datang secara tiba-tiba.
4 tahun yang lalu
Aku dan Along ditakdirkan tidak dapat menyemai cinta, kasih dan sayang bermula dari lahirnya ke dunia ini pada 8 Februari 2005. Aku jauh di Perlis bekerja untuk mencari rezeki sedangkan Along mula mengenal dunia ini bersama Umi, Opah dan Atuk di Taman Lela Satu, Kamunting, Perak. Pertemuan mata bersama renungan kalbu serta aura bau yang jarang bercantum antara aku dan Along menjadikan aku seorang Abi yang kecewa dan menderita secara senyap kerana dahagakan cinta, kasih serta sayang dari Along masa itu. Ketika itu Along masih kecil dan tentunya tak mengerti apa-apa. Dunianya adalah dunianya. Sedangkan aku tidak mampu memberitahu Along bahawa aku amat rindu untuk memegangnya, meribanya, menciumnya, memeluknya, memangkunya. Isteriku menghabiskan tempoh pantangnya di rumah ibunya. Dan setiap hujung minggu aku pasti bersemangat untuk pulang untuk berjumpa Along. Maklumlah, anak sulung. Cumanya, banyak dari impianku tidak menjadi kenyataan pada masa itu. Masakan tidak, bila aku mengacah-acah untuk mengambilnya pun Along sudah lari, inikan pula untuk memegang, memeluk dan menciumnya. Bila aku secara "paksa" memegangnya, Along akan menangis sekuat mungkin tanda protesnya. Sampai sekarang pun, aku tidak pasti sejak bila Along mula rapat dan mesra dengan aku. Kalau duhulu, hidupnya hanya ada Umi. Tapi sekarang ini, aku Abinya juga telah sama-sama bertakhta di hati sucinya itu. Untuk menjadi seperti hari ini bukan senang. Macam-macam teori dan petua dicuba ketika itu . Mandi bersama Along(letak celah kangkang macam petua orang tua-tua) , basuhkan "b.....k" Along,serta mandikan Along, menggantikan tugas Umi. Aku tidak pastilah mana satu yang menjadi. Yang pastinya, kesabaranku berbaloi. Ucapan syukur hanya untuk Allah yang Maha Esa.


Hari Ini

Bila bangun tidur Along pasti cari Abi
Bila hendak tidur, Along hendak tidur dengan Abi
Bila Abi balik dari kerja, Along peluk kaki Abi
Bila Abi masuk tandas, Along tanya Umi, Umiiiiii Abi aner(ke mana)
Bila Abi solat kat rumah, Along tunggu Abi sampai habis solat
Bila nak mandi pagi, Along nak mandi dengan Abi
Bila petang, Along ajak Abi naik motor
Bila Abi pergi main takraw, Along pun ikut Abi
Bila Abi nak pergi masjid, Along pun nak ikut tapi Abi tak bagi, takut ganggu Abi solat nanti
Bila Abi tanya, Along sayang Abi atau Umi, Along jawab sayang Abi
Bila pagi-pagi, Abi hantar Along pergi ke PASTI, Along cium tangan Abi

Belum cukupkah alasan untuk aku katakan bahawa hari ini cinta, kasih dan sayang Along sentiasa bersama Abi. Thank You God atas semua ini.



















Razak Nordin berpesan ; Kejauhan pernah menjadikan kami tidak mesra. Tetapi dengan rahmat Allah menjadikan kami seperti hari ini. Cinta, kasih dan sayang penambat setia hubungan suci ini.
Razak Nordin berpesan ; Adik Razin jangan marah ye, lain kesempatan Abi tulis tentang Razin pulok yeeee.
Ditulis pada 12 Ogos 2009 jam 1.05 tengahari.

No comments: