Tuesday, August 4, 2009

Wabak Influenza (H1N1) -Ibrah Untuk Yang Berfikir

Seluruh dunia kecoh dengan "kehadiran" Wabak Influenza (H1N1). Malaysia negara tercinta ini pun tidak terkecuali juga. Tambah pulok angka kematian semakin meningkat dan semua itu hakikatnya amat menakutkan semua orang. Cuma kadang-kadang bila aku tengok apa yang sedang dan masih berlaku disekeliling kehidupan ini, tiba-tiba terpikir jugok dan sebenarnya aku menjadi semakin keliru. Berapa ramai manusia yang mengambil pengajaran dan cuba menginsafi diri akibat wabak.
Bagi aku, wabak ini sepatutnya menginsafkan semua orang yang diberikan akal oleh Allah untuk berfikir. Kalau dalam sejarah Islam, Raja Namrud pernah Allah S.W.T. utuskan serangga sekecil nyamuk untuk menghancurkannya atas keegoan dan kesombongan serta dosa-dosanya pada Allah s.w.t. Sepatutnya peristiwa tersebut menjadi pengajaran untuk orang-orang yang berkifir. Dan tidak mustahil, Allah juga utuskan wabak ini atas dosa-dosa yang pernah dan sedang kita lakukan. Sama-samalah kita mohon berlindung dengan rahmat Allah supaya dijauhi dari kemurkaan-Nya yang dizahirkan kepada penduduk dunia dalam pelbagai bentuk. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang insaf untuk selamanya bukan bermusim macam durian, manggis dan sebagainya. Bila keadaan kembali pulih, kita pun kembali derhaka pada Allah s.w.t. Ingat serta waspada tentang janji Allah bahawa musibah itu tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim dikalangan manusia, bahkan semua akan menerima tempiasnya sama ada orang-orang yang beriman ataupun orang-orang yang ingkar.
Saat genting seperti ini sepatutnya menginsafkan semua khalayak daripada kita. Walau siapapun kita, apa pangkat yang kita ada, yang berkuasa atau rakyat marhain, pemimpin besar atau rakyat kebanyakkan, kita semua sebenarnya amat lemah disisi-Nya. Berbondong-bondonglah kita bermuhasabah dan mohon keampunan dari Allah s.wt. Semoga Allah mengangkat bala ini dari kita semua. Bukan semudah itu, tapi ada harga yang kita perlu bayar untuk semua ini. Tingkatkan keimanan, tinggalkan segala maksiat, buangkan segala keegoaan dalam diri serta menginsafi bahawa lemahnya kita. Persoalannya, mampukah kita atau kita sengaja tidak mahu ambil peduli.
Masakan tidak, saban waktu, di saat-saat wabak ini semakin menular dan membimbangkan, pesta-pesta maksiat masih berleluasa seolah-seolah tidak apa yang berlaku. Apakah tidak ada sedikit keinsafan untuk berhenti sejenak dan berfikir kalaupun bukan untuk selama-lamanya. Insaflah bahawa dalam diri manusia ada nafsu lawwamah selain nafsu ammarah. Ada keinsafan selepas ketelanjuran. Itu hakikat yang ada. Mungkin juga masih ada yang tidak memahami bahawa wabak ini mungkin salah satu tanda murka Allah untuk penduduk dunia. Bermula saat ini, marilah kita melihat apa yang berlaku dari pandangan agama juga. Ikhtiarlah dengan ilmu dunia yang Allah kurniakan, tapi yakinlah doa adalah ubat yang paling mujarab. Jangan sesekali berhenti berdoa dan berharap pada yang Maha Berkuasa. Tidak rugi kita sematkan perasaan khauf dan roja' dalam setiap diri bila berhadapan dengan yang Maha Berkuasa. Bersangka baiklah dengan Allah setiap saat yang kita lalui dalam hidup ini. Agar kita sentiasa semakin dekat dengan Allah s.w.t. Yakinlah, semuanya dari Allah, Allah jua yang Maha Berkuasa manariknya kembali. Semoga tulisan ringkas ini dapat menginsafkan aku dan juga siapa-siapa yang membacanya walaupun sedikit cuma. Semoga Ramadhan menjelang tiba bersama keberkatannya yang melimpah .
Razak Nordin berpesan ; Pada setiap kejadian itu ada ibrah(pengajaran) bagi orang-orang yang mahu berfikir.

No comments: