Tuesday, September 15, 2009

Suatu Sudut Pandang

"Aku tidak setuju tanya soalan macam itu. Kenapa mesti ditanya berapa helai baju rayanya tahun ini. Kenapa mesti ditanya jenama apa baju dan seluarnya. Beli di mana, di Hari-Hari atau di Kamdar atau Wah Seah atau Gene Martino (tul ke ejaannya). Sekadar menyebut beberapa nama. Tak ada soalan atau ucapan lainkah yang lebih manis dan enak didengar serta mendamaikan jiwa, misalnya ceria nampak nak sambut raya kali ni, selamat berbahagia selalu. You ni nampak makin "slimlah' menjelang akhir Ramadhan ni, lepas Ramdhan nanti bolehlah sambung dengan puasa 6 hari di bulan Syawal pulok, pahala dapat, "slim" pun dapat ". Aku membangkang sepenuh-penuhnya soalan seperti itu dengan "bercakap sendirian dengan diri".
Itu bukan dialog yang terzahir dengan kata-kata. Cuma "monolog" dalaman dari keresahan dan kegelisahan hati kecilku apabila aku mendengar ada orang bertanya soalan seperti itu.
Mungkin bagi "sesetengah" orang pertanyaan seperti itu biasa sahaja. Tidak mengguris mana-mana pun. Sama ada fizikal, hati, nurani dan perasaan. Soalnya, bagaimamana pula perasaan "sesetengah" orang yang tidak atau kurang bernasib baik. Atau aku lebih suka guna istilah ''kurang rezeki dalam bentuk kewangan" yang barangkali membantutkan "kuasa" membeli sesetengah orang itu.
Nampak kecil tapi hati terguris siapa yang tahu. Barangkali perkongsian pengalaman hidup. Aku orang "kurang berada"(susahlah jugak dalam meneruskan hidup) dulu-dulu, walaupun hari ini tidaklah kaya sangat dan tidaklah senang sangat, tapi tidaklah "susah-susah" macam dulu-dulu lagi, tapi syukur alhamdulillah, lebih baik berbanding dulu-dulu. Aku tahu "pedihnya" hati dan "perasaan" bila soalan seperti itu ditanyakan kepada aku.
Apa tidaknya. Untuk aku memiliki hanya sepasang baju raya, aku terpaksa "menderita hati dan perasaan". Menjelang hujung Ramadhan barulah dapat membelinya. Itu kalau ada rezeki lebih, jika tidak, pakailah mana yang ada. Memahami kesusahan Cik dan Mak mencari "pitis" untuk sesuap nasi dan secubit lauk ketika itu. Aku redha dalam "dendam halus". Inikan pula ingin memiliki beberapa pasang baju dan seluar raya. Selalunya Cik akan membawa aku ke rumah arwah pak cik Mat untuk memilih pakaian raya. Seberang jalan sahaja, tidak jauh pun, kira-kira 2 minit perjalanan menggunakan kaki dengan kelajuan biasa. Itu hanya sekelumit kecil pengalaman "kecil" aku. KFC pun pertama kali aku masuk ketika berumur 30 tahun lebih. Itu pun setelah memiliki pekerjaan dan gaji sendiri. Nak order pun masih takut-takut masa itu. "Main" tunjuk nombor sahaja kemudian bayar dan "belah" cepat-cepat. Pertama kalinya di KFC sebelah hentian Puduraya Kuala Lumpur. Sekarang ini sudah beralih ke FC baru. Namanya Radix Freid Chicken( RFC) . "Kuno"nya aku atas kepayahan yang pernah aku alami dalam meneruskan hidup ini. Padahal dari zaman sekolah menengah lagi aku biasa mendengar nama-nama seperti KFC dan A&W. Ingatkan kereta. Rupanya kereta lain pula. BMW ejanya. Tidak termasuk lagi "celeng buluh" (tabung untuk simpan duit yang diperbuat dari batang buluh) abang Mad "terpaksa" beberapa kali dipecahkan hanya untuk sekilo gula. Dan aku pernah "dimarah" oleh abang Mad hanya kerana "sebatang jeruk kelubi" yang berharga 10 sen satu. Dan hari ini aku sudah "memahami"nya. Semua pasal "kurang duit". Senang cakap kemiskinan melata yang sedikit sebanyak menjadikan aku seperti hari ini. Mudah tersentuh bila bercakap soal kesusahan hidup. Kalau lahir dalam keluarga mewah dan berada, nak cakap pasal kesusahan dan keperitan hidup petani dan nelayan. Belahlah.Belahlah.Belahlah. Tidak ada maknanya. Hanya retorik kosong. Kehebatan yang tidak hebat mana pun. Titik.
Sekarang ini kalau ingin shopping mesti "naik kereta". Ke mana? Changlun, alah tak mainlah Changlun. Kodiang lagilah "jauh panggang dari bara". "Tak masaklah ikan tu nampaknya". Pekan Pauh, tidak ada dalam senarai pendek. Paling tidak Jitra, lagi ada umph..Alor Setar, "rajin" lagi ke Sungai Petani. Lagi dahsyat ada yang sanggup sampai ke Penang. Masa itu mana ada Wah Seah Maju, Hari-Hari ke, jauh sekali Butik BTM, Gene Martino, GMV pula tidak pernah dengar pun, Cap Bujang Senang(Buaya), Dunhill dan macam-macam "lambang kemewahan" lagi. Itu tidak termasuk yang pergi "shopping" sampai ke luar negara untuk persiapan raya. Apa kejadahnya semua itu. Harapkan pagar, pagar tak buat lagi. Akhirnya......
Itu orang berduit. Bila isteri bercerita tentang rancangan yang disiarkan di TV1 dan TV3 tentang bagaimana sesetengah orang-orang susah menyambut Ramadhan, apatah lagi ingin menyambut hari raya tidak lama lagi. Hati kecil ini berkata ; Cukuplah bertanya berapa pasang baju raya tahun ini. Jenama apa? Beli di mana? Tapi katakanlah, tadahkan tanganmu sahabatku , ku ingin hulurkan sesuatu. Untuk dunia dan akhirat jua.
Razak Nordin berpesan ; Siapa peduli!!!!Buat bekas guru-guruku, Cikgu!!! cukuplah bertanya soalan itu, janganlah bertanya lagi di dalam kelas apa kerja bapaku dan ibuku. Tanyalah siapa aku hari ini. Jangan ditanya lagi awalnya, tapi tanyalah kesudahannya bagaimana....Amin.

No comments: