Friday, October 30, 2009

Catatan Pagi 30 Oktober 2009

Entah pasal apa lebih kurang seminggu sudah badan ini tidak berapa stabil sangat. Kadang "OK" kadang itu "KO"  pulok. Terasa lemah dan sakit-sakit badan juga kadangkalanya. Perut pula macam boleh buat "drum", penuh angin barangkali. Pastinya ia salah satu bentuk ujian Tuhan. Untuk kita semua hamba-hambanya yang lemah. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan untuk aku menerima ujian kecil ini dengan tabah dan redha.

Kemuncaknya malam tadi. Badan terasa sangat tidak larat, ditambah pula badan pun terasa panas juga. Lepas solat maghrib tidur barang sekejap. Harap-harap legalah. Rupanya tidak. Bini kejut untuk solat isyak berjemaah pun tidak larat hendak bangun.

Akhirnya. Gagahkan diri jua untuk bangun solat Isyak. SMS Ustaz Yasir kalau-kalau dia 'free' untuk tolong bawakkan ke klinik. Risau juga musim-musim macam sekarang ini. Alhamdullah dia "free". Aku sebenarnya tidak berniat untuk menyusahkan kawan-kawan tetapi aku  tidak "larat" benar hendak memandu malam tadi. Apapun. Terima kasih banyak-banyaklah.

Menaiki Innova kami ke Pekan Changlun. Terima kasih juga kepada Abe De kerana sudi temankan kami. Malangnya kliniknya pula semuanya sudah tutup. Sudahnya singgah di A-wang untuk dapatkan penadol dan sebotol air mineral. Terpaksa jugalah makan penadol malam tadi. Hendak buat macam mama. Terpaksa.

Diringkaskan.

Bila bangun tidur pagi tadi. Keadaan badan sudah bertambah baik tetapi tanda-tanda "ketaklaratan" itu masih ada. Pagi ini dalam kepayahan itu gagahkan diri untuk SMS Ketua Jabatan. Lebih kurang begini bunyinya ;   " Salam Ustazah, saya nak mintak izin ambik cuti rehat hari ni, badan tak berapa larat, tq".

Selang beberapa minit sms ini masuk " Ok, tq". Dari KJPA yang aku "set"kan namanya.

Terima kasih Ustazah.

Terima kasih juga buat isteri tersayang kerana sanggup ambil alih tugas menjadi "supir" pagi ini untuk menghantar anak-anak ke sekolah.


Razak Nordin berpesan ; Terima kasih untuk semua. Maka bercutilah aku pagi ini dan gagahkan diri barang seketika untuk menulis coretan ini.


Wednesday, October 28, 2009

Berhati-hati Menabur Kacang-Kacang

Seseorang yang saya kenal pernah berkata begini lebih kurang dalam satu mesyuarat  ; terjemahannya lebih kurang begini (kerana dia berkata dalam bahasa Inggeris ketika itu)  " Jika anda terus menaburkan kacang-kacang kepada monyet, ia akan datang lagi dan datang lagi". Dan selepas saya mengulangi kata-kata hikmahnya itu, tanpa dipaksa dia menarik balik kata-kata itu. Entahlah pasal apa.

Biarlah.

Sefaham saya dia ingin merujuk kata-katanya itu dalam konteks kerja dan menguruskan manusia. Puncanya dia agak tidak puas hati terhadap sesetengah staf yang tidak buat kerja yang sepatutnya. Mengabaikan amanah dan tanggungjawab pekerja yang sepatutnya.  Dan yang menjadi mangsanya adalah kami-kami yang berada dalam mesyuarat tersebut.

Sebolehnya saya tidak lagi ingin menjadi golongan "radikal". Biarlah sejarah silam itu hanya tinggal kenangan. Menjadi golongan pendiam serta tunduk dan patuh barangkali seronok juga. Rupanya bukan mudah untuk mengubah sifat diri yang suka bercakap walaupun adakalanya berjaya juga. Tahniah untuk diri sendiri.

Tetapi saat itu, apabila saya merasakan peluru itu salah sasaran dan kami yang terpaksa menanggung derita peluru sesat yang menembusi jantung serta hati kami. Seperti biasa saya pun bersuara dengan "cara saya".
Titik.

Sebenarnya itulah yang banyak berlaku dalam konteks hidup kita. Saya cuba fokuskan dalam konteks organisasi yang menguruskan manusia-manusia yang pelbagai ragam dan karenah.

Kadangkala kita sebenarnya hilang fokus dan silap dalam mencari punca masalah. Lalu kita bazirkan banyak "peluru-peluru terabur" yang tidak mengena sasaran pun. Tersasar hilang ke mana. Dan yang menjadi mangsanya "insan-insan yang tidak berdosa" yang sedang mencari "tempua bersarang rendah di sebalik rendangnya semak".

ANALOGI
Saya membuat analoginya begini. Jika anda pergi ke klinik untuk berjumpa doktor, sudah tentu doktor yang beretika akan membuat dianognis terlebih dahulu sakit apa yang anda alami sebelum diberikan ubat yang sepatutnya. Mencari punca panyakit terlebih dahulu. Kemudian memilih ubat yang sesuai. Makan ubat dan harap-harap sembuhlah. Bukan setakat pergi klinik, dapatkan ubat, kemudian baca arahannya sahaja tanpa memakan ubatnya pun. Kemudian berharap untuk sembuh. Dalam hukum sebab musabab mana mungkin berlaku begitu. Mana boleh asal sakit beri sahaja ubat yang ada di klinik itu tanpa dianogsis dulu apakah penyakit sebenar yang dialami oleh seseorang pesakit itu. Pada saya itu tidak betul. Jawabnya orang-orang kampung saya selalu juga berdialog begini " Tauke khinzir pun jual kandang kalau macam itu". Bahasa "balaghah" namanya.

Begitulah banyak yang berlaku. Pada masa yang sama kita taburkan banyak kacang-kacang di merata-merata tempat dan mengharapkan monyet-monyet liar itu tidak datang untuk mengutipnya. Mana mungkin. Sebab itu jika anda perasan di mana-mana zoo yang pernah anda jejaki pasti ada ditulis " Tolong jangan bagi makanan kepada haiwan-haiwan di zoo ini" . Lebih kurang begitulah bunyinya. Atas banyak sebab yang tidak perlu saya huraikan di sini barangkali.

Sementalah dalam konteks organisasi yang menguruskan manusia. Jika "kacang-kacang ditaburkan di merata-rata tempat tentu sekali ia akan menarik perhatian monyet-monyet liar paling tidaknya". Bahasa kiasan yang mungkin payah difahami. Ok, saya pindahlah dalam bahasa mudah difahami insyaallah.

Dalam konteks organinasi punca utama masalah mesti dicari. Kemudian barulah disusuli dengan tindakan-tindakan yang selanjutnya. Bila sudah mengenal pasti masalah, barulah mencari punca masalah tersebut kemudian mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin. Hukuman "mesti" ada untuk setiap "kealpaan". Jika tidak, rasa saya payah juga untuk mengubah manusia. Membebellah kita sehingga pekak telinga mendengarnya. Ia masih seperti dulu. Wajah berbeza komitmen tetap sama. Buang masa dan buang "karen" dan buang "tui" juga. Harus diingat bahawa nilai adalah bahagian paling "dalam" kalau kita ibaratkan pada sebiji bawang. Dan sudah tentu agak payah untuk mengubahnya. Buktinya lihatlah di sekeliling hidup kita. Dan selalunya juga manusia akan lebih menghargai apabila dia akan kehilangan sesuatu yang menjadi miliknya. Apa perlu dia bekerja keras-keras kalau habuannya tetap sama. Entahlah minda kelas berapa. Tetapi saya rasa ada juga orang berfikir begitu dan menjadi begitu. Sesekali saya juga berfikir begitu tapi syukurlah saya tidak jadi seperti yang saya fikirkan. Ada bezanya tu, jangan silap faham pula. Pandangan peribadi saya dan saya bertanggungjawab sepenuhnya. Dan anda juga berhak menolak sepenuhnya tanpa sebarang alasan pun.

Dan penting juga ; "hukuman" setimpal yang sewajarnya. Kerana untuk mengubah nilai yang paling dalam itu perlu mengupas luaran terlebih dahulu. Dalam konteks ini ; "hukuman-hukuman" yang wajar barangkali sedikit sebanyak  dapat mengubah sesuatu walaupun dalam keterpaksaan dan mengambil masa. "Ada" juga daripada tiada langsung. Lebih baik rasanya.

Oleh itu ; Berhati-hatilah menabur kacang ;

Dalam keluarga ; Agar anak-anak membesar dengan nilai-nilai yang murni serta tulus. Tidak "memijak" kepala ibu dan ayah. Menjadi anak-anak yang tunduk dan patuh pada Allah, Rasul serta Ibubapanya. Semuanya yang baik-baik sahaja harapnya.

Dalam organisasi ; Agar semuanya menjadi pekerja-pekerja yang "baik-baik" semua. Supaya tidak ada yang menderita secara senyap. Takut-takut menjadi api dalam sekam. Kerana adanya gunting dalam lipatan yang mengguriskan.

Dalam mempercayai ; Agar anda tidak dikhianati dan ditikam dari belakang. Jika berani, tikamlah dari depan kerana kita anak jantan yang ada maruh dan harga diri.

Dan dalam semua aspek kehidupan. Berhati-hati menabur kacang-kacang. Kalau perlu berhenti, berhentilah. Ia tidak banyak membantu perkembangan hidup yang lebih positif.

Razak Nordin berpesan ; Hukuman adakalanya perlu juga untuk "mengubah" kalaupun tidak dalam semua keadaan. Sesekali perlu berubah juga cara dan pendekatannya.

Monday, October 26, 2009

Ya Allah, Aku Tidak Pernah Mengajarnya Begitu

"Tak nak naik keta(kereta) Umi, keta Umi kecik. Nak naik keta Abi, keta Abi besor". Along cuba melahirkan  "protes" terbukanya bersama tangisan "separa kuat" tanda pemberontakan kecilnya terhadap kami.

"Kat sana payah nak "parkinglah". Nanti lain kali kita naik keta Abi ye." balas Umi cuba meredakan ketegangan dan menyakinkan Along pagi tadi. Dan seperti biasa bukan mudah untuk menyakinkan anak kecil dari sudut pandangan orang dewasa.

Aku pun tidak pasti sama ada Along memahami atau tidak alasan isteriku. Tapi pemberontakan kecil itu masih berterusan sehinggalah terpaksa di umpan dengan "mainan" yang akan dibeli jika berhenti "memberontak". Seketika selepas umpanan itu, semuanya kembali normal. Mengena juga umpan "mainan" rupanya. Aku pun tidak pasti sama ada kaedah itu betul atau tidak. Bukan berniat menipu pun. Kami betul-betul ingin membelinya sebagai tanda "penghargaan" atas kerjasama baiknya.

Peristiwa di atas berlaku pagi tadi ketika kami bercadang berkunjung ke Mini MAHA di Pekan Changlun.



Keta Umi


Abi dan Keta "Besor"nya

Sebenarnya itu bukan kali pertama Along membuat perbandingan seperti itu. Sebelum ini aku tidak kisah sangat dengan perbandingan seperti itu. Budak-budak katakan. Aku selalu bermonolog begitu sendirian. Sehinggalah apa yang berlaku pagi tadi sedikit menganggu jiwa "keAbian" aku.

Bimbang juga kalau-kalau pemikiran anak kecilku yang baru hendak menjangkau 4 tahun pada 8 Disember 2009 ini telah "terkeliru" walaupun sedikit. Sama ada ia kebetulan atau hanya sekadar mainan minda kecilnya, sebagai bapa kebimbangan tetap ada. Dan ia wajib diperbetulkan "segera".

Aku mula risau jika minda mentahnya itu mula menilai "kemulian", "kehebatan" dan "keagongan" sesuatu itu berdasarkan faktor luaran semata. Kecil dan besar untuk melihat ke"gah"annya. Cantik dan hodoh sesedap pandangan mata. Sudah tentunya tidak seratus peratus akan betulnya. Mungkin ada "sedikit" betulnya perpatah orang putih yang aku terjemahkan begini " Jangan menilai buku dari kulitnya". Tapi pada aku perpatah di atas "tidaklah betul sangat" dalam semua keadaan. Mana ada orang ingin membeli timbikai susu  yang "koyak rabak" kulit mulusnya. Sudah tentu akan memilih yang licin-licin sahaja.

Aku juga percaya dalam memilih pasangan hidup pun begitu. Pandangan pertama selalunya pada "keindahan" luaran terlebih dahulu walaupun agama mengatakan pilihlah yang beragama nescaya selamatlah "tangan" engkau. Sekadar beberapa contoh. Pandangan peribadi cuma.

Berbalik kepada cerita Along tadi. Sebagai Abi aku benar-benar berharap bahawa Along sebenarnya "tidak sengaja" membuat perbandingan tersebut. Harap-harap minda kecilnya bukan tercemar dengan keduniaan yang menyilaukan. Sekadar lahir dari "perasaan keinginan" anak kecil yang masih tulus dan suci. Menghargai "keta" besor Abi "anugerah" milik Allah Yang Maha Esa.

Setidak-tidaknya peristiwa kecil itu mengajar aku supaya lebih waspada dalam mendidik anak-anak dalam dunia yang semakin mencabar. Kita orang kecil sayang. Hidup hanya dengan rahmat Tuhan yang masih berpanjangan.

Malam tadi sebelum tidur aku menguji Along dengan dialog di bawah ;

"Along sayang Abi ke Umi" tanyaku sekadar ingin menduga.

" Sayang Abi, sayang Umi, sayang adik Rajin(Razin)" setulusnya jawab Along.

Hatiku cukup lega. Rupa-rupanya minda kecil Along masih belum tercemar sebenarnya. Dia tidak pernah pun  membezakan kasih sayang kami walaupun keta Umi kecik dan keta Abi besor. Syukurlah.

Mudah-mudahan suatu hari Along mengerti bahawa tiada beza "keta kecik" atau "keta besor". Hidup dalam kasih sayang dan rahmat Tuhan adalah segalanya.


Razak Nordin berpesan ; Semoga diri ini semakin mengerti erti menjadi seorang "Abi" dalam membesar dan mendidik anak-anak yang penuh cabaran ini

Friday, October 23, 2009

Bajet 2010-"Bonus" RM 500

Sebenarnya aku rasa segan juga ingin menulis pasal "bonus". Ibarat ayam bertelur sebiji riuhnya sekampung. Kalau bersungut, orang kata kita manusia yang tidak "reti" bersyukur. Kalau senyap kita dihina secara senyap. Berjuang menongkat paruh, tapi yang dapatnya hanya sejemput cuma. Untuk kita para pejuang kepada "kelangsungan" sebuah negara merdeka.


Razak Nordin berpesan ; Sebenarnya kita bercakap soal maruah dan harga diri. Yang tertulis hanya lima  baris setengah. Yang selebihnya simpan di hati. Biarlah.Titik.

Perpaduan Dalam Kepelbagaian


Antara yang"asyik" menikmati hidangan. Aiskrim HPA pun ada tu.


Jejaka macho berbaju hijau sedang pekena nasi ayam "power". Terima kasih kerana sediakan koktel yang power juga.


Tidak lupa aiskrim keluaran HPA. Tanda sokongan kepada produk keluaran muslim.


PRO PTSS (bukan GRO) juga dijemput
Jamuan Keluarga Kecil JPA

Tarikh       : 23 Oktober 2009.
Tempat     : Bilik Mesyuarat JPA
Masa        : Bermula jam 11.00 pagi hingga makanan habis.

Menu       : Nasi Ayam , Roti Jala Ulu Pauh, Ketupat Sotong Kg. Kelubi, Koktel Lekir, Manjung, Cup Kek Lin Mustafa, Aiskrim HPA, Mee Goreng Alor Star(Mee Goreng Bonda rupanya), Tembikai Merah, Tembikai Susu dan Buah Mata Kucing. Rasanya sudah "masuk" semuanya. Kalau ada yang terlupa tu, tolong tambah kat bahagian komen ye, untuk siapa-siapa yang berkenaan.

Kesempatan ini diambil untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sama-sama menjayakan majlis berkenaan. Ringkas tetapi penuh "bermakna". Harapnya ia bukan pertama dan terakhir tetapi akan ada kesekian kalinya.


Razak Nordin berpesan ; Perpaduan dalam kepelbagaian. Pengajaran kecil yang mungkin ada.

Yang Terbaik Apa Yang Telah Ditakdirkan

Kukira zaman remajaku barangkali seperti juga remaja-remaja lain penuh "impian" dan "angan-angan semahunya". Berisi atau kosong bukan perkiraan pada waktu itu. Terasa "puas" hidup dalam "impian" dan "angan-angan" yang semuanya "indah-indah" dan "mengasyikkan". Menjadi orang yang hebat-hebat dan glamour hanya dalam impian dan angan-angan tersebut. Terasa cukup teruja "menjadi diri sendiri dalam diri orang lain" yang "hebat-hebat" dan "glamour" walaupun hanya dalam impian dan angan-angan.

Anak kampung sepertiku "selalu juga" memasang impian dan angan-angan yang hebat-hebat di usia remaja dan "selepas sedikit remaja".
Anda mungkin tidak percaya bahawa anak kampung sepertiku jua mempunyai cita-cita besar dan tentunya yang "glamour" juga. Ahli politik yang berjawatan paling tidak bertaraf menteri walaupun jawatan Perdana Menteri yang sebenarnya di"impi"kan, menjadi ahli perniagaan yang namanya terpampang dalam majalah ekonomi, pelakon yang hebat, pengacara TV yang hebat juga, juruhebah radio yang digilai(bukan gila), bahkan menjadi ahli panel untuk mana-mana program di TV. Itu dulu, zaman remaja yang sedikit ada "kesongsangan" dalam membina impian dan itulah yang masih diingat. Benarnya, setakat hari ini semuanya belum menjadi kenyataan dan mungkin sampai bila-bila pun tidak akan menjadi kenyataan kecuali menjadi ahli perniagaan masih tersemat. Masih menyimpan impian itu. Bekerja sendiri nampak semacam cukup "bahagia". Ini pun masih "impian" bukan realiti selagi tidak "merasainya" sendiri. Mudah-mudahan Allah S.W.T. restui. Yang lain semuanya hanya tinggal dalam lipatan sejarah barangkali kerana beberapa sebab yang tidak perlu dinyatakan di sini. Seingat aku, kerjaya sekarang tidak pernah muncul pun dalam angan-angan dan impian remajaku kecuali semasa di sekolah rendah. Yang ada semuanya yang "glamour-glamour" sahaja. Boleh masuk TV dan paling tidak pun berkumandang suara dicorong radio. Dan hari ini aku menjadi sebahagian pendidik yang juga menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Menguatkan semangat perjuangan hidup dan belajar menerima hakikat dengan mengingati kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib yang masyhur. Katanya " Wal Khairu Ma Waqa'". Yang terbaik apa yang telah ditakdirkan. Untuk kita semua. Akal yang terbatas dan nafsu yang tidak terbimbing mungkin terpesong dalam menilai dan menerima kenyataan.

Aku dan mungkin juga seperti sebilangan anda mungkin pernah bercinta dan mengalami putus cinta. Seronok juga. Menjadikan manusia kreatif dan kritis kata orang. Kata perpatah "Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan dan ribut petir di tengahari". Bila cinta dan kasih yang dibajai, dibelai sekian lama tidak kesampaian, terasa diri kitalah orang yang paling sengsara dan derita di dunia ini. Dan orang lain tidak pernah memahami kesengsaraan dan betapa deritanya kita ketika itu.

Lalu bermadahlah penuh syahdu ;

" Z, kau memang dilahirkan hanya untukku, kenapa harus diputuskan hubungan yang suci ini".

" S, Kau dan aku memang telah ditakdirkan untuk hidup bersama. Mengapa begini akhiran sebuah hubungan yang benar-benar suci dan tulus ini"

" N, Kenapa kau khianati kesetiaan dan kejujuran yang aku berikan selama ini"

" S, Jika kau dan aku sudah tidak ditakdirkan hidup bersama, aku tidak mahu hidup lagi di dunia ini".

Itu sebahagian contoh "tradisi" diolog orang-orang yang pernah kecewa.Semuanya gelap dan kelam.

Jika tidak, masakan Kassim Selamat "terpaksa" membutakan matanya kembali kerana tidak sanggup melihat Dr Ismadi memiliki secara tidak "betul" "pengarang jantung hatinya" dalam cerita Ibu Mertuaku. Masakan Chombi begitu "derita dan sengsara" apabila kehilangan seseorang yang dia sayangi.


LALU


BETULKAH BEGITU


Lihat Pesan ;

 
Razak Nordin berpesan ; Berbahagialah menjadi diri anda .Kerana yang terbaik apa yang telah ditakdirkan untuk anda. Kerana DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA.


Thursday, October 22, 2009

Tanggungjawab, Amanah dan "Keterpaksaan".

Sejujurnya barangkali inilah antara perkara yang aku tidak gemar sangat untuk dilakukan. Antara tanggungjawab,amanah dan "keterpaksaan" yang sedikit sebanyaknya "merimaskan" juga.


Membuat pemantauan pensyarah. Itulah yang aku maksudkan. "Tugasan" ini walaupun nampak kecil, ringan dan santai, tapi sebetulnya "tercuit" juga hati kecil ini dengan tugasan ini. Menyedari diri ini bukan yang terbaik dan semua manusia ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Dalaman diri selalu juga bermonolog " memantau bukan bermaksud kita yang terbaik". Bukan juga bermaksud mencari silap sesiapa dalam kehidupan ini. Barangkali yang ada hanyalah hidup ini perlukan perkongsian dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Bak kata Wonder Pets " apa yang penting!!! kerjasama. Meredakan.

Keegoan yang melampau-lampau dan merasai diri yang terbaik tanpa sebarang kelemahan dalam mana-mana zaman pun amat merosakkan. Penyakit dalaman yang membunuh secara senyap tanpa disedari.

Saling hormat menghormati dan hargai menghargai antara satu sama lain jauh lebih baik dari munafik yang berselindung di sebalik penampilan, pakaian dan kata-kata yang lunak. Hakikatnya juga munafik di mana-mana zaman pun amat merosakkan. Menjadi dedalu yang kelihatan cantik di pandangan mata kasar tetapi sebenarnya "parasit" yang merosakkan secara perlahan dan membunuh secara senyap. Menghisap zat-zat dari "badan induk" tempat ia menumpang "kasih". Lama-kelamaan "badan induk" yang terpaksa berbakti kepada perasit itu akan kekeringan dan mati dalam kerinduan kasih sayang yang dikhianati. Bak kata perpatah "Harapkan pagar, pagar tak buat lagi". Selamat berjuang untuk diriku jua.

Razak Nordin berpesan ; Ditulis setengah jam sebelum masuk kelas untuk buat pemantauan.

Wednesday, October 21, 2009

Akhirnya KetabahanKu Berbaloi

Akhirnya ketabahanku berbaloi juga.


Berkat sebuah kesabaran. Mencuba entah sekian kalinya tanpa sebarang putus asa. Dengan izin Allah jua. Itulah hakikatnya. Berjuanglah tanpa rasa lemah dan putus asa. Jika dizinkan Allah, kejayaan itu milik kita jua.Amin

Razak Nordin berpesan ; Lihatlah penampilan terbarunya. Cukup berbeza jika anda perasan. Itulah yang aku maksudkan.

Saturday, October 17, 2009

Catatan Pagi Sabtu

Segalanya seperti yang dirancangkan. Kami mengambil kesempatan cuti hujung minggu kali ini  untuk balik ke rumah no. 203 Jalan Limbat, Taman Lela Satu, Kamunting,Perak. Memenuhi tanggungjawab isteriku sebagai anak tunggal perempuan kepada Abah dan Maknya , aku sebagai menantu tunggal lelaki(bukan tunggul)  dan anak-anakku sebagai cucu-cucu kepada Tok dan Pah .Syukur alhamdulillah. Perjalanan petang semalam kiranya berjalan lancar jugalah kerana lebuhraya tidaklah sesak sangat. Biasa-biasa sahaja. Suasana maghrib yang agak men"debar"kan juga walaupun lebuhraya tidak sesak. Berkat doa serta rahmat Allah, kami selamat sampai ke Taman Lela kira-kira jam 8 malam.

Dalam kesyukuran itu cuma ada sedikit rasa terkilan. Perancangan asalnya, aku bercadang singgah sebentar di RnR Semanggol untuk "pekena" bihun sup Abu Hasan Din. Rindu" rasanya. Kena dengan seleraku dan isteri barangkali. Namun takdir Allah mendahului perancanganku sekurang-kurangnya atas dua sebab ;

Pertama ; Syuhada dan Razin sedang nyenyak tidur ketika kami sampai di kawasan RnR Semanggol. Agar tidur mereka tidak terganggu. Takut meragam pula nantinya.

Kedua   ; Hujan yang renyai-renyai sekadar menambah sebab musabab.
Kalau ada rezeki lain kalilah ye. Kita masih hanya merancang dan memasang angan-angan. Ketentuan masih di "tangan" Maha Kuasa.

Razak Nordin berpesan ; Di mana pun anda berada, moga selamat dan bahagia bersama rahmat Ilahi di pagi minggu ini

Friday, October 16, 2009

Bukan Kerna Nama

Sekurang-kurangnya ada tiga rutin utama mengisi pagiku setiap kali sampai ke pejabat sebelum memulakan aktiviti-aktiviti wajib yang lain. Pertama, "tumb print" . Kedua, menyimpan "apa-apa" yang dibawa dalam bilik. Ketiga, mengunjungi "bilik termenung"(tandas atau jamban) . Dan yang ketiga itu semacam sudah menjadi suatu kemestian bagi memulakan setiap pagi yang "ceria".

Kali ini aku ingin berkongsi tentang kewangian "bilik termenung" yang selalu aku kunjungi setiap awal pagi itu. Mungkin itu salah satu daya penarik untuk membawa aku ke situ setiap pagi. Mungkin ada yang tertanya-tanya?. Kenapa aku memilih "subjek" yang "kotor" itu ? Sabar dulu ye. Baca seterusnya dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Insyaallah tiada yang jijik di sini. Hanya yang "indah-indah" sahaja. Seperti yang kita semua inginkan dalam hidup ini.
Persoalan?
Pemerhatian.
Hanya pemerhatian secara tidak langsung tanpa kajian ilmiah dan juga pengalaman sendiri yang sekali sekala itu. Barangkali seakan sudah menjadi "taboo" dalam minda sebahagian orang bahawa "bilik termenung" selalunya di"gambar"kan sebagai tempat yang busuk,jijik,kotor,tidak selesa,bau-bau yang tidak menyenangkan serta segala macam "imej-imej" yang buruk-buruk. Telahan semacam ini mungkin ada kebenarannya berdasarkan pengalaman sendiri dan barangkali anda juga. Tandas awam yang tidak "seperti"nya. Termasuk juga "tandas bukan awam" yang pernah dikunjungi. Banyak yang "tidak sepertinya" dari yang "sepertinya".
BUKAN KERNA NAMA
"Bilik termenung" yang aku maksudkan ini sungguh berbeza. Mungkin "hina" pada namanya tetapi ternyata "penampilan"nya cukup berbeza dan menyakinkan. Kewangiannya dan "kemulusannya" untuk berbakti sungguh memikat pengunjung setianya seperti aku. "Penampilan berbezanya" hari ini membiarkan terus sejarah silamnya tergulung bersama lipatan sejarah. Penampilan baru yang cukup segar dan penuh keyakinan.
ANALOGI
Barangkali begitulah juga perjalanan hidup ini.
Mungkin itulah salah satu sebab kita biasa orang berkata begini ;
"Sedangkan lidah lagi tergigit"
"Mana ada bumi yang tidak ditimpa hujan"
" Masakan ada pantai yang tidak dipukul ombak"
Semua ungkapan di atas barangkali ingin menggambarkan bahawa setiap manusia akan terpalit jua dengan noda dan dosa sepanjang tempoh hidup yang pernah di lalui. Pernah juga tersilap dan alpa dalam tindakan. Adakalanya terlalai dalam keseronokan. Kadang itu tersilau kerana panahan "cahaya" lalu terlanggar benteng larangan. Hakikatnya itulah tandanya kita semua manusia. Manusia yang bersifat nasiya iaitu lupa.
Seperti juga tandas yang sudah mula mewangi. Manusia seperti kita tetap ada jalan pulangnya. Bahasa nusantara berpesan ; Pulanglah ke pangkal jalan. Bahasa agama berpesan; Basuhlah kesemuanya dengan taubat nasuha. Taubat yang sungguh-sungguh kerana Allah s.w.t. Seperti juga tandas yang sudah mula berubah. Manusia seperti kita tidak wajar menunggu lagi. Ingatlah bahawa kebaikan-kebaikan yang dilakukan akan menghapuskan kejahatan-kejahatan yang pernah menodai. Segala yang busuk akan hilang. Yang tinggal hanya kewangian yang semerbak.
Razak Nordin berpesan ; Masih ada jalan "pulang"."Pulanglah"."Pulanglah". "Pulanglah".Pintunya sentiasa terbuka untuk kita.

Tuesday, October 13, 2009

Blogspot Dan Nilai Ukhwah

Selesai kelas tengahari tadi, "suspen" dan "teruja" juga aku jadinya bila ada "miss call" (panggilan rindu) dari seorang sahabat yang aku "set"kan namanya Aziz K Ibai di telefonku, walaupun sebenarnya dia sekarang bekerja di Johor. Pastinya, Kuala Ibai adalah tempat asal tumpah darahnya. Sahabat lama yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu dan juga semasa kami sama-sama di UKM dulu. Kerana "panggilan rindu" itu jarang-jarang berlaku, aku menjadi bertambah "teruja" untuk mengetahui sebab musababnya. Untuk segera meredakan sedikit "ketegangan tengahari" itu, "panggilan balas segera" dibuat. ">Harap maaf kerana "dialog ringkas" antara kami terpaksa ditiadakan untuk tidak mengganggu maksud tulisan ini;Maksud "dialog ringkas" itu semuanya terangkum dalam satu kesimpulan mudah. Rupa-rupanya dia ingin bertanya khabar dan mengucapkan takziah atas pemergian ibuku di pagi Syawal baru-baru ini setelah membaca "blog"ku pagi tadi. Itu sahaja

Perbualan yang berlaku antara kami cukup ringkas. Sekitar 2-3 minit kurang lebih. Tetapi sekurang-kurangnya "apa yang terjadi" tadi itu mengajar aku satu lagi nilai hidup. "Blogspot" dan nilai ukhwah sesama insan. Siapa sangka.

Razak Nordin berpesan : Terkadang dalam hidup ini ada perkara-perkara yang tidak mampu kita luahkan melalui ucapan dan kata-kata. Hanya melalui tulisan atau coretan. Dan tulisan atau coretan itulah adakalanya boleh menjadi medium hubungan ukhwah serta kelangsungan persahabatan itu jua.

Friday, October 9, 2009

Sebuah Kisah Kecil


Setelah sekian lama menanti dengan penuh "kesabaran" akhirnya malam tadi Razin berjaya juga memanggil aku dengan panggilan Abi. Berbaloi juga rasanya. Apakan tidak. Lama kami "mengajar" dan "mendidik"nya tanpa jemu-jemu untuk menyebut perkataan Abi dan Umi. Setiap kali kami menyebut Abi dan Umi, setiap kali itu juga Razin akan menyebut Abah dan Amma walaupun kami tidak pernah mengajarnya begitu. Sedangkan Along memanggil kami Abi dan Umi. Dan Razin tentunya biasa mendengar panggilan seperti itu.
Jumlahnya tidak terhitung sudah berapa banyak kami telah "menyumbat" ke telinga kecilnya itu perkataan Abi dan Umi. Sehinggalah malam tadi Razin dapat menyebut salah satu darinya "Abi". Ummi Niza "jealous" bukan sedikit. Moga kesabaran Umi "terlerai" dalam masa terdekat ini.
Cermin Diri
Kisah kecil ini ada pengajarannya untuk diriku dalam proses mendidik manusia-manusia termasuk diri sendiri, anak-anak sendiri dan sesiapa sahaja di seputar hidup kita.
Pertamanya ; "Mendidik" dan "mengajar"lah tanpa putus asa walaupun adakalanya kita terpaksa menyebut sesuatu itu berulang-ulang kali yang sudah tentu menuntut kesabaran yang bukan sedikit dan "kesakitan perasaan" yang panjang serta tidak mengharapkan perubahan itu berlaku dengan serta merta.
Keduanya ; Mendidik bukan menghukum semata-mata walaupun adakalanya hukuman "penting" dan "perlu" dalam "mengajar" dan "mendidik". Adunkan juga bersamanya sedikit "pelukan kasih dan sayang". Selalunya bila kami menyebut Abi dan Umi, Razin "seakan sengaja" tidak mahu menyebut Abi dan Umi bersama senyum nakalnya. Kami tidak memarahinya serta "memaksanya" untuk "berubah" secepat itu. Kami "berikan" kepada tubuh kecil itu pelukan kasih sayang "seadanya" sambil mengharapkan suatu masa nanti Razin akan mampu juga menyebutnya juga. Buktinya terzahir apa yang terjadi malam tadi. Nikmat sebuah "perjuangan" yang tidaklah panjang sangat masanya.
Razak Nordin berpesan ; Jika perlu gosok, gosoklah ia. Jika perlu canai, canailah ia. Jika perlu penukul, tukullah ia. Pilihan di"tangan" anda bersama restu Ilahi. Harap-harap perubahan yang di"cita-cita"kan akan ada penghujungnya.

Wednesday, October 7, 2009

Anak Kecil Dan Erti Kasih Sayang


Aku makin perasan bahawa Syuhada(Along) mula mengerti erti sebuah kasih sayang, cinta dan kerinduan kepada orang-orang yang pernah memberinya kasih sayang jua. Menjelang Syuhada berumur 4 tahun pada 8 Disember 2009, aku sebenarnya amat bahagia kerana Along mula mengerti semua itu walaupun cakapnya masih banyak yang pelat-pelat.
Dalilnya
Setiap pagi rutinku antaranya menghantar Syuhada dan Razin ke PASTI Al FURQAN di Padang Siding. Dan setiap pagi itu juga kami akan berjumpa dengan "Polis Trafik Sek. Rendah Keb. Pauh" di persimpangan masuk sekolah tersebut. Selalunya dialog ini akan terjadi ;
Along : Abi "kulis"(polis)
Abi : Mana "kulis". Aku cuba mengajuk kepelatan Along walaupun adakalanya kurang baik untuk pendidikan anak-anak, kata orang. Tapi adakalanya aku perlu turun ke "situ" untuk menyelami rasa hatinya.
Along : "Kulis" tangkap adik.
Abi : Kalau "kulis" tangkap adik, Along nak main siapa? Aku cuba menduga akalnya.
Along : Tersenyum tanpa jawapan. Kemudian menambah. "Kulis" tangkap Abi.
Abi : Kalau "kulis" tangkap Abi, siapa nak hantar Along ke sekolah? Aku terus menduga.
Along : Terus tersenyum tanpa jawapan. Kemudian menambah lagi. "Kulis" tangkap Umi.
Abi : Kalau "kulis" tangkap Umi siapa nak ambik Along ngan adik kat sekolah. Terus menduga akal kecilnya itu.
Along : Tangkap Tok(bapa mertuaku-orang Perak panggil Tok).
Abi : Kalau "kulis" tangkap Tok, siapa nak beli kuih untuk Along. Aku semakin seronok menduga.
Along : Errr tangkap Pah(Opah).
Abi : Kalau "kulis" tangkap Pah, siapa nak masak untuk Along. Saja aku terus menduga sejauh mana kemampuan akal kecil itu terus berfikir dan membuat keputusan.
Along : Tangkap Pak Su.
Abi : Kalau "kulis" tangkap Pak Su, siapa nak bawak Along naik motor.
Along : Tangkap Pak Ndak.
Abi : Kalau "kulis" tangkap Pak Ndak, siapa nak bawak Along naik motor pergi kedai beli pok-pok(keropok).
Along : Along tersenyum tanpa jawapan.
Razak Nordin berpesan ; Dan aku semakin mengerti bahawa Along makin mengerti erti sebuah ikatan kasih sayang. Menghargai orang-orang yang pernah "berjasa" untuknya. Kasih sayang perlu untuk sebuah kedamaian dan keharmonian hidup.
Razak Nordin berpesan ; Adakalanya minda kecil itu perlu "dididik dan diperbetulkan" juga bahawa tugas polis bukan hanya untuk menangkap orang.

Tuesday, October 6, 2009

Suratan Atau Kebetulan

Sudi-sudikan klik di sini.

Razak Nordin berpesan ; Sama ada suratan atau kebetulan, gempa bumi adalah peringatan dari Allah untuk manusia-manusia yang mahu berfikir.

Sunday, October 4, 2009

Sebilah Sikat Biru, Stamp Pad Ink, Stapler Dan Nilai Sebuah Kesetiaan

Bermula Cerita
Semuanya bermula apabila pada suatu petang beberapa hari lalu Cik Hasnida(DBA 4624) datang ke bilik aku untuk dapatkan tandatangan. Cik Hasnida "terkejut monyet" melihat Stamp Pad di bawah, lalu ke tunjukkan juga Stapler "terpakai" yang umurnya hampir sebaya dengan Stamp Pad tersebut juga. Dalilnya cukup mudah, kedua-duanya telah berkarat walaupun hanya "menginap" di bilik berhawa dingin sepanjang hayatnya yang hampir 10 tahun umurnya itu . Cik Hasni agak terkejut juga bila aku khabarkan bahawa kedua-dua "barangan lusuh" tersebut aku miliki semenjak mula-mula bekerja di Politeknik Kota Kinabalu lagi. Untuk rekod, secara rasmi aku mula berkhidmat 1 Julai 1999. Tarikh tepat aku memiliki kedua-dua "barang lusuh" ini, aku tidak pasti. Yang pasti aku berpindah dari PKK ke Politeknik Perlis pada masa itu pada 1 Disember 2003. Dua-dua "barangan lusuh" ini menarik "simpati"nya yang bukan sedikit.

STAMP PAD DAN STAPLER YANG AKU MAKSUDKAN,MASIH BERJASA HINGGA KINI

Sebilah Sikat Biru Dan Kehidupan

Stamp Pad dan Stapler lusuh di atas mengingatkan aku kepada sebilah sikat biru yang pernah aku miliki sekian lama. "Kehilangan"nya kira-kira 2 tahun lebih yang lalu masih "dikenang" sehingga ke saat ini. Harganya tidaklah mahal. Sekitar 30 sen ketika itu. Tapi nilai "nostalgia" aku bersamanya menyebabkan tidak mudah untuk aku "melupakannya". Ketentuan Tuhan telah mentakdirkan sikat biruku untuk hilang di Manjong, Perak setelah ia merantau jauh dari Bangi hingga ke Labuan, merantau seluruh Sabah serta pernah singgah santai di Lawas, Sarawak. Tugasnya hanya satu. Menyisir rambut agar wajah ini tampak lebih tampan dan bergaya.

Lalu untuk apa aku mengenangkan sikat biru yang tidak seberapa "sumbangan"nya itu.

Sudah tentu ada nilai kehidupan buat diriku. Sebilah sikat biru mengingatkan diri ini kepada ibu tercinta yang baru pergi mengadap Ilahi. Apalah "kemewahan dunia" yang mampu ibu berikan padaku serta adik beradik yang lain. Seorang surirumah sepenuh masa. Ibu kampung yang berusaha membesarkan kami anak-anaknya dalam serba kepayahan. AKAN tetapi "sekurang-kurangnya" ibu pernah melahirkan aku ke dunia ini dan pernah membesarkan aku dengan nilai-nilai hidup beragama. Dan sehingga akhir hayatnya pun, ibu selalu memberikan aku "tazkirah ringkas"nya setiap kali bertemu yang "jarang-jarang itu" atau bersembang di telefon. "Cukuplah" itu untuk ku kenang nilai jasanya sampai bila-bila pun. Tidak perlu lagi kusebut jasa-jasanya yang lain.

Stamp Pad Ink, Stapler Dan Nilai Sebuah Kesetiaan

Stamp Pad Ink dan Stapler lusuh itu pula bagi diriku mengajar kita untuk memberikan kesetiaan kepada sesiapa yang kita sayangi. Sama ada anda suami atau isteri. Kesetiaan anda mestilah tulen. Dulu, kini dan selamanya. Mungkin hari ini dia tidak sesegak dulu lagi. Perutnya sudah mula boroi dan semakin membuncit serta tidak ada tanda-tanda akan melahirkan anak kerana dia lelaki sejati. Kulitnya pula sudah mula berkedut dan mungkin tidak selembut dulu lagi. Dia tidak selincah dulu lagi. Baunya pula tidak sewangi dulu lagi. Pinggangnya pula tidak seramping dan seghairah dulu lagi. Pendek kata semua sudah berubah jika dibandingkan masa mula-mula kita saling jatuh cinta dahulu. Sekadar ingin bertanya. Patutkah semua "kemunduran" itu kita jadikan alasan untuk tidak terus menyanyagi, mencintai serta menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepadanya hari ini. Walaupun hari ini pelukannya tidak sekemas dulu lagi, tapi jangan lupa bahawa tangan itulah dahulunya memeluk penuh rakus diri kita hingga kita selalunya "kelemasan". Jasad tua itulah tempat kita bermadu kasih, meluahkan rindu dendam dan berkongsi cerita hidup dahulunya. Kita sering mengungkapkan bahawa kau dan aku saling memerlukan dulu, kini dan selamanya. Masihkah kau ingat semua itu?

Biarlah kasih sayang, rasa cinta serta kesetiaan itu bertakhta di hati bukan hanya di mata. Agar ia terus hidup subur, mekar dan mewangi biarpun jasad sudah di mamah usia. Aku pernah terbaca satu artikel yang menyebutkan bahawa salah satu cara untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga ialah ingatlah masa-masa anda mula jatuh cinta dengan pasangan anda sehinggalah anda mampu memilikinya hingga saat ini. Jangan hanya dilihat dia hari ini yang telah "banyak" berubah. Ingatlah manis senyumannya. Ingat lenggoknya yang menawan itu. Ingat betisnya umpama bunting padi itu. Ingat gebu pipinya umpama telur di kupas itu . Ingat lirik matanya yang selalu melahirkan debar di dada itu. Ingatlah semuanya yang indah-indah walaupun dia hari ini "sangat jauh" berbeza.

Razak Nordin berpesan ; Jika sesiapa bertanya mengapa anda menyimpan misai, katakan padanya, ciuman tanpa misai umpama telur tanpa kicap masin.

Friday, October 2, 2009

YYYYYYYYYYYYYYYYYYYYY

Dalam "kebosanan" menunggu untuk "meting" peperiksaan keputusan latihan industri sempat juga aku "melepaskan tekanan" di blog ini. Jadual asalnya 9 pagi. Tapi sekarang jam di laptop aku sudah menunjukkan jam 9.45 pagi. Belum ada tanda-tanda mesyuarat akan bermula dalam masa terdekat. Puncanya, entahlah, itu aku tidak tahu. Inilah "salah satu perkara" yang aku "tidak suka" dalam hidup ini. Menunggu tanpa kepastian. Dan ini juga yang aku selalu cuba sematkan dalam sanubari pelajar-pelajar di bawah kendalian aku. Bagi aku setiap saat yang berlalu barangkali tidak bermakna untuk diri kita tetapi amat bermakna untuk orang lain. Sebab itu aku selalu "buktikan dengan amalan" bahawa semua kelas aku mesti bermula tepat pada masa dan aku mesti sampai ke kelas sebelum masa yang sepatutnya. Itu prinsip yang aku pegang sejak dari dulu-dulu lagi. Alhamdulillah, prinsip tersebut masih mampu aku pertahankan setelah 10 tahun lebih aku dalam bidang ini. Semoga prinsip ini akan terus dipertahankan sampai bila-bila dalam bentuk perbuktian melalui "amalan,perbuatan dan tindakan" bukan hanya melalui cakap-cakap sahaja.
Dalam dakwah Islamiyyah ada dua "jenis cara". Pertama Lisanul Hal. Kedua Lisanul Maqal. Lisanul Maqal merujuk kepada dakwah melalui kata-kata atau melalui percakapan, ceramah, diskusi, forum dan seumpamanya. Selalunya ramai orang hebat dalam "bab-bab" bercakap. Hanya menggunakan air liur tanpa sebarang bayaran. Lisanul Hal pula merujuk kepada perbuatan atau tindakan yang ditunjukkan seseorang untuk dijadikan tauladan oleh orang yang melihatnya. Dikatakan bahawa Lisanul Hal lebih memberikan kesan dihati orang yang didakwah. Lisan Maqal selalunya akan melahirkan sindirin berbunyi "Ah cakap tidak serupa bikin". Sebetulnya "Lisanul Maqal" mesti selari dengan "Lisanul Hal" untuk menjadikan dakwah lebih berkesan dan menusuk kalbu manusia yang "menerimanya".
Razak Nordin berpesan ; Hanya melepaskan tekanan "perasaan". Untuk kebaikan kesihatan juga.
P/s ; Pukul 10.12 dimaklumkan "meting" ditangguhkan atas sebab-sebab "teknikal".
Share/Bookmark