Friday, October 16, 2009

Bukan Kerna Nama

Sekurang-kurangnya ada tiga rutin utama mengisi pagiku setiap kali sampai ke pejabat sebelum memulakan aktiviti-aktiviti wajib yang lain. Pertama, "tumb print" . Kedua, menyimpan "apa-apa" yang dibawa dalam bilik. Ketiga, mengunjungi "bilik termenung"(tandas atau jamban) . Dan yang ketiga itu semacam sudah menjadi suatu kemestian bagi memulakan setiap pagi yang "ceria".

Kali ini aku ingin berkongsi tentang kewangian "bilik termenung" yang selalu aku kunjungi setiap awal pagi itu. Mungkin itu salah satu daya penarik untuk membawa aku ke situ setiap pagi. Mungkin ada yang tertanya-tanya?. Kenapa aku memilih "subjek" yang "kotor" itu ? Sabar dulu ye. Baca seterusnya dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Insyaallah tiada yang jijik di sini. Hanya yang "indah-indah" sahaja. Seperti yang kita semua inginkan dalam hidup ini.
Persoalan?
Pemerhatian.
Hanya pemerhatian secara tidak langsung tanpa kajian ilmiah dan juga pengalaman sendiri yang sekali sekala itu. Barangkali seakan sudah menjadi "taboo" dalam minda sebahagian orang bahawa "bilik termenung" selalunya di"gambar"kan sebagai tempat yang busuk,jijik,kotor,tidak selesa,bau-bau yang tidak menyenangkan serta segala macam "imej-imej" yang buruk-buruk. Telahan semacam ini mungkin ada kebenarannya berdasarkan pengalaman sendiri dan barangkali anda juga. Tandas awam yang tidak "seperti"nya. Termasuk juga "tandas bukan awam" yang pernah dikunjungi. Banyak yang "tidak sepertinya" dari yang "sepertinya".
BUKAN KERNA NAMA
"Bilik termenung" yang aku maksudkan ini sungguh berbeza. Mungkin "hina" pada namanya tetapi ternyata "penampilan"nya cukup berbeza dan menyakinkan. Kewangiannya dan "kemulusannya" untuk berbakti sungguh memikat pengunjung setianya seperti aku. "Penampilan berbezanya" hari ini membiarkan terus sejarah silamnya tergulung bersama lipatan sejarah. Penampilan baru yang cukup segar dan penuh keyakinan.
ANALOGI
Barangkali begitulah juga perjalanan hidup ini.
Mungkin itulah salah satu sebab kita biasa orang berkata begini ;
"Sedangkan lidah lagi tergigit"
"Mana ada bumi yang tidak ditimpa hujan"
" Masakan ada pantai yang tidak dipukul ombak"
Semua ungkapan di atas barangkali ingin menggambarkan bahawa setiap manusia akan terpalit jua dengan noda dan dosa sepanjang tempoh hidup yang pernah di lalui. Pernah juga tersilap dan alpa dalam tindakan. Adakalanya terlalai dalam keseronokan. Kadang itu tersilau kerana panahan "cahaya" lalu terlanggar benteng larangan. Hakikatnya itulah tandanya kita semua manusia. Manusia yang bersifat nasiya iaitu lupa.
Seperti juga tandas yang sudah mula mewangi. Manusia seperti kita tetap ada jalan pulangnya. Bahasa nusantara berpesan ; Pulanglah ke pangkal jalan. Bahasa agama berpesan; Basuhlah kesemuanya dengan taubat nasuha. Taubat yang sungguh-sungguh kerana Allah s.w.t. Seperti juga tandas yang sudah mula berubah. Manusia seperti kita tidak wajar menunggu lagi. Ingatlah bahawa kebaikan-kebaikan yang dilakukan akan menghapuskan kejahatan-kejahatan yang pernah menodai. Segala yang busuk akan hilang. Yang tinggal hanya kewangian yang semerbak.
Razak Nordin berpesan ; Masih ada jalan "pulang"."Pulanglah"."Pulanglah". "Pulanglah".Pintunya sentiasa terbuka untuk kita.

No comments:

Share/Bookmark