Thursday, October 22, 2009

Tanggungjawab, Amanah dan "Keterpaksaan".

Sejujurnya barangkali inilah antara perkara yang aku tidak gemar sangat untuk dilakukan. Antara tanggungjawab,amanah dan "keterpaksaan" yang sedikit sebanyaknya "merimaskan" juga.


Membuat pemantauan pensyarah. Itulah yang aku maksudkan. "Tugasan" ini walaupun nampak kecil, ringan dan santai, tapi sebetulnya "tercuit" juga hati kecil ini dengan tugasan ini. Menyedari diri ini bukan yang terbaik dan semua manusia ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Dalaman diri selalu juga bermonolog " memantau bukan bermaksud kita yang terbaik". Bukan juga bermaksud mencari silap sesiapa dalam kehidupan ini. Barangkali yang ada hanyalah hidup ini perlukan perkongsian dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Bak kata Wonder Pets " apa yang penting!!! kerjasama. Meredakan.

Keegoan yang melampau-lampau dan merasai diri yang terbaik tanpa sebarang kelemahan dalam mana-mana zaman pun amat merosakkan. Penyakit dalaman yang membunuh secara senyap tanpa disedari.

Saling hormat menghormati dan hargai menghargai antara satu sama lain jauh lebih baik dari munafik yang berselindung di sebalik penampilan, pakaian dan kata-kata yang lunak. Hakikatnya juga munafik di mana-mana zaman pun amat merosakkan. Menjadi dedalu yang kelihatan cantik di pandangan mata kasar tetapi sebenarnya "parasit" yang merosakkan secara perlahan dan membunuh secara senyap. Menghisap zat-zat dari "badan induk" tempat ia menumpang "kasih". Lama-kelamaan "badan induk" yang terpaksa berbakti kepada perasit itu akan kekeringan dan mati dalam kerinduan kasih sayang yang dikhianati. Bak kata perpatah "Harapkan pagar, pagar tak buat lagi". Selamat berjuang untuk diriku jua.

Razak Nordin berpesan ; Ditulis setengah jam sebelum masuk kelas untuk buat pemantauan.

No comments:

Share/Bookmark