Tuesday, November 10, 2009

Aku Makin Mengerti

Ketika aku memulakan tulisan ini kali pertama, jam di laptop menunjukkan tepat pukul 11.12 PM. Anak-anak baru sahaja melelapkan mata setelah "pelbagai" karenah yang dipamerkan sepanjang petang membawa ke malam hari. Sedikit sebanyak menguji kesabaran aku sebagai seorang "Abi" menguruskan "baru" dua orang anak yang sedang membesar tanpa isteri di sisi. Umi "kerja jauh" sampai ke Melaka. Mudah-mudahan selamat pergi dan kembali. Insyaallah.

RAZAK BUJANG LAGI
Hari ini aku bujang lagi. Tapi ini bukan kali pertama.  "Mengambil alih" seketika sebahagian rutin isteri mengurus dan "bersama" anak-anak. Memulakan pagi Isnin dengan sedikit tekanan. Keluar seawal jam 6.45 menghantar anak ke PASTI. Janji dengan pengasuh jam 7.10. Alhamdulillah, tepat seperti yang dijanjikan. Kemudian "berkejar" ke Kangar dengan "tekanan" yang kian terasa. Mengejar waktu di pagi hari. Apa tidaknya. Antara mengejar "punch card" dan kelas tepat jam 8.00 pagi. Kedua-duanya menyumbang kepada "tekanan" itu.

Alhamdulillah. Semuanya seperti yang telah ditakdirkan. "Punch Card" jam 7.56 pagi dan sempat masuk kelas jam 8.00 pagi. Syukurlah. Prinsipku masih belum tergadai. Disiplin yang dibina sekian lama.

AKU MAKIN MENGERTI

Menguruskan anak-anak yang sedang membesar dengan pelbagai karenah "sendirian tanpa isteri seketika", menjadikan aku makin mengerti sesuatu dalam hidup berkeluarga dan berumahtangga. Perlunya saling menghargai antara pasangan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dari sudut manapun. Suami atau isteri sama penting dalam menjayakan sebuah rumahtangga. Ringan dan berat bukan semata pada pandangan mata kasar tetapi pada "merasai sendiri nikmatnya". Menguruskan "makan pakai" anak-anak sendirian rupanya bukan suatu tugas yang mudah. Perlukan daya kesabaran yang "mantop" juga. Sebenarnya aku bukan tidak biasa menguruskan anak-anak. Tetapi tanpa isteri "bersama" ternyata berbeza cabarannya. Sekalung tahniah buat isteri tercinta yang acap kali juga telah melaluinya selama ini dengan tabah dan sabar. Berat rupanya.

Tambah pula dengan "skil" masakan yang semakin pudar setelah lama tidak digilap sejak berkahwin. Sudahnya sup sayur Chef Razak Nordin terlebih bubuh lada hitam. Pedasnya cukup luar biasa. Apa boleh buat. Terlanjur perahu boleh diundur, terlanjur bubuh, pedas terasa. Maafkan Abi anak-anakku. Aku mula rindukan segala-galanya dari sebuah "kehilangan" sementara. Resam hidup manusia barangkali selalunya begitu.


ALONG DAN ADIK "BERSAMA" SUP SAYUR YANG TERLEBIH LADA HITAM


Razak Nordin berpesan ; Tulisan ini di"post"kan agak lewat kerana masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan.

Jam 2:37 hari berikutnya...

No comments:

Share/Bookmark