Thursday, December 31, 2009

Nizam Kambing ; Kasih Sayang Dan Cinta Mengubahnya.

Telah ditakdirkan.

Kali kedua saya, isteri dan anak-anak menginap di "homestay" 203 Jalan Limbat, Taman Lela Satu, Kamunting, Perak.

Dan setiap kali itulah saya "terpaksa" memilih TV3 sebagai saluran "terbaik". Kali pertama saya berseorangan menghabiskan telemovie Taubat Nasuha.

Dan kali ini   :  Sedikit berbeza.
Bertarikh      : 26 Disember 2009.
Telemovie    :  Nizam Kambing.

Bezanya. Dahulu saya menonton berseorangan. Tetapi kali ini bertiga bersama isteri dan anak perempuan sulung saya. Entahlah Along faham atau tidak tetapi dia "menghayati" ceritanya sampai ke akhirnya. Bersama-sama kami. Sementara si Razin sudah lama diulit mimpi malam.

Ceritanya agak santai dan diselitkan juga unsur-unsur komedi. Sesuai untuk saya yang tidak berminat sangat untuk "menyerabutkan" lagi kepala yang sedia bersimpang siur ini.

Apa yang saya ingin kongsikan? Walaupun mungkin ada yang mempertikaikan kerana ia hanyalah sebuah telemovie. Iktibarnya mungkin ada.

Ini dia.

"Nizam Kambing" boleh berubah kerana "kuasa" cinta dan kasih sayang yang diberikan kepadanya.

"Nizam Kambing" diwatakkan sebagai seorang "engineer" di sebuah syarikat. "Malangnya" dia tidak pandai menguruskan dirinya dalam penjagaan diri. Badan berbau dan penampilan yang tidak sesuai dengan jawatan yang sedang disandangnya. Hadirnya bersama bau-bauan yang tidak menyenangkan itu selalu meresahkan rakan sepejabat termasuk teman serumah. Tiada hari yang berlalu tanpa "hinaan" dari rakan sepejabat. Semua buruk dan negetif. Dan kalau pun ada yang memberikannya nasihat dan harapan positif hanyalah seorang ; teman serumah. Tetapi ia tidak berjaya untuk "mengubah" "Nizam Kambing".

 Kenderaannya hanyalah "besi buruk bergerak" menyebabkan dia "tidak dipandang" oleh wanita yang diminatinya.  "Nizam Kambing" juga selalu dipergunakan dan diperbodohkan oleh rakan sekerja dan juga "betina" yang tidak bertanggungjawab. Berpura-pura dalam berkawan, menyintai dan menyayangi. Berbuat baik hanya untuk Ringgit Malaysia milik "Nizam Kambing". Habis manis sepah dibuang. Sedangkan dia tetap digelar "Nizam Kambing" kerana "kebauannya" itu.

Sehinggalah suatu hari.

"Mila"(Dr Mila/pekerja farmasi/pemilik farmasi????)  mula memberinya rasa sayang dan cinta. Dan "Nizam Kambing" mula berubah. Pertemuan yang "tidak sengaja" ditempat kerja Mila(farmasi????) semasa "Nizam Kambing" mencari pewangi untuk "dating" yang sengaja "direka-reka" oleh rakan sepejabatnya bertujuan untuk memalukannya. Tapi diakhir cerita "Nizam Kambing" memperkenalkannya  sebagai Dr Mila semasa diperkenalkan kepada ibunya di kampung.????. ????. Harap maaf atas "ketidakpastian dan kecelaruan " tersebut. Ada siapa-siapa yang boleh bantu. Silakan!!!

Fokusnya!!!

Pertemuan yang tidak sengaja itu mula sedikit sebanyak mengubah "Nizam Kambing".
Mila mula mengajarnya cara penjagaan diri yang betul dan gaya penampilan yang sepatutnya. Sayang dan cinta antara dua hati mula berputik. Dan mereka berdua telah ditakdirkan bersua, mengenali, berkawan dan bercinta. Dan juga membina impian bersama. Berubah. Busuk menjadi wangi. Selekeh menjadi kemas dan bergaya. Semua berbeza.

Ramai yang membencinya. Hanya seorang memberikannya belaian sayang. Dan kasih sayang yang "satu itulah" berjaya mengubah "Nizam Kambing" bukannya kebencian dan kejijikan bertali arus rupanya.

Dan akhirnya. Semua yang pernah menghina "Nizam Kambing" mula "terguris hati" bila "Nizam Kambing" mula menayangkan Milanya yang "cute" itu dan juga kereta BMW berwarna putihnya.

Tapi "Nizam Kambing" tidak sombong dan bangga diri. Dia masih seperti dulu. Yang berubah hanyalah kewangian dan penampilan barunya. Kerana "kasih sayang" itu.

Razak Nordin berpesan ; Dan saya memahami sesuatu. Teruskan memberikan "cinta dan sayang" selagi mampu. Mungkin adakalanya ia boleh menyinarkan kegelapan kalaupun tidak untuk semuanya.

Tuesday, December 29, 2009

Selamat Berjuang Sahabat-Dari Ulu Pauh Ke Kok Lanas-Update


Ustaz Safuan bin Mohd Yusof
Perpisahan.


Sementara atau selamanya.

Selalunya akan melahirkan pelbagai natijah ;

Kesedihan.
Tangisan.
Kepiluan.
Kesayuan.
Kesunyian.
Titisan air mata.

Semuanya barangkali berpunca dari rasa kehilangan ;

Sahabat baik.
Teman bicara.
Rakan sekerja.
Rakan sepermainan.
Dan
Segala-galanya.

Kerana kita mungkin rindukan sesuatu darinya ;

Kebaikannya.
Keramahannya.
Ke"nakalan"nya.
Kesantunannya.
Ke"bisingan"nya.
Dan

Segalanya tentang dia.

Harapan  ;

Semoga bahagia di tempat baru. Bahagiakah Kita Di Sini Bahagian 1
Selamat berjuang sahabat di tempat barumu. Tanah rendah sekebun bunga.

Kita masih di bumi Tuhan yang sama. Semoga ukhwah dan persahabatan tidak terputus oleh batasan masa dan tempat. Kejauhan hanyalah ruang kosmos . Dan masa hanyalah pembeza ketika. Jauh hanya di mata, yang dekat tetap di hati jua.

Semoga terus tabah dalam mendepani perjalanan hidup ini. Ampun maaf jika ada sebarang tersilap kata, terlanjur bicara. Semoga ketemu lagi di lain masa dan ketika yang ditentukan oleh Nya.

Razak Nordin berpesan ; Jangan disesali pada pertemuan dahulu seandainya perpisahan yang terjadi hari ini. Kerana pertemuan itulah yang pernah membuat kita bahagia dahulunya.

Wednesday, December 23, 2009

Hanya Satu Kekosongan Tapi Ruangnya Cukup Luas

Tiada lagi pelukan eratnya.

Tiada lagi jernih dan panas airmatanya.

Tiada lagi "tazkirah" ringkasnya.

Tiada lagi suara kerinduannya.

Tiada lagi rintih dan luahan hatinya.

Tiada lagi segala-galanya darinya.

Yang ada hanyalah ;

Pusaranya.

Dia Ibu kandungku. Fatimah binti Mohd.

Ya. Hanya satu kekosongan tetapi ruangnya cukup luas.

Balik kampung kali ini terasa benar bezanya. Satu kekosongan yang amat sangat. Semuanya seakan tawar dan hambar. Pemergian ibu pagi Syawal yang baru lalu masih berbekas di hati dan sentiasa melekat dalam ingatan ini.

Selalunya.

Hari kedua kami pulang ke kampung, kami akan luangkan masa sedapat mungkin untuk mengubati kerinduan ibu dengan menziarahinya di Pondok Pinang Merah,Paka,Dungun. Walau hanya seketika tetapi sedikit sebanyak mungkin juga terubat kerinduan ibu untuk saya, anak keduanya, isteri saya menantunya dan anak-anak saya, cucu-cucunya. Dan terubat juga kerinduan saya buat ibu yang ditakdirkan hidup berjauhan.

Dan macam-macamlah cerita ibu. Ada yang gembira dan tentunya banyak yang duka juga. Kesempatan itu selalunya diambil ibu untuk memenuhi kehendaknya yang tidak tercapai sebelum ini. Dalam kekalutan kadang itu "penat" juga memenuhi permintaan ibu. Seronoknya "benar-benar" terasa.  Hanya setelah kehilangannya. Setelah segala-galanya tidak dimiliki lagi.

Ke pasar mencari lauk yang sudah lama teringin.

Membeli syampu Syurah, bekalan milo, susu dan sebagainya.

Membeli almari baju yang sekian lama diinginkan.

Dan ada sahaja keperluan yang ingin dibelinya. Banyak juga untuk dituliskan semuanya.

Semua itu hanya kenangan masa lalu. Tidak mungkin akan kembali dan berulang lagi. Kerana ibu hanya seorang dan ibu telah pergi mengadap Nya. Tinggallah saya. Hanya mampu mengenang kisah lampau.

Hari ini dan semalam. Lama saya merenung teratak usang kami, tempat kami lahir dan dibesarkan. Lama benar rasanya ibu meninggalkan teratak ini setelah berpisah dengan "Cik" kira-kira 15 tahun dulu. Dan teratak ini sudah banyak yang berubah. Dan ibu tidak pernah kembali ke sini lagi hingga akhir "dagang"nya di dunia ini.

Dan ibu berkelana serata bumi Allah. Meneruskan perjuangan hidup yang penuh onak dan duri. Saya mengetahui dan amat memahami segala-galanya tentang ibu. Kerana antara kami selalu menitiskan airmata bersama. Bila berbicara tentang kehidupan ini.

Tapi "kelamaan" rupanya tidak semua memudarkan kenangan lalu.

Saya masih nampak ibu di mana-mana.

Saya masih mendengar suara ibu "berleter-leter" sambil menyapu-nyapu sampah.

Saya masih nampak ibu sedang memasak di dapur menyiapkan hidangan untuk kami.

Saya masih nampak ibu "memproses" ayam kampung untuk di gulai.

Saya masih nampak ibu tidur di penjuru rumah melepaskan lelah selepas zohor.

Dan tentunya saya ingat benar. Ibu tidak pernah lupa memasak "ikang singgang" untuk saya.

Mana mungkin saya boleh melupakan semuanya. Dan masih banyak yang tidak mampu untuk dicoretkan.

Razak Nordin berpesan ; Semuanya hanya tinggal kenangan. Untuk kami anak-anak mu, wahai Ibu.

Tuesday, December 22, 2009

Bukan Semua..Mengertilah

Bukan semua kesedihan diiringi tangisan,teriakan dan air mata.

Bukan semua kegembiraan diiringi senyuman, gelak dan tawa.

Bukan semua kepedihan terasa dengan adanya luka.

Bukan semua persahabatan membawa kepada cinta.

Bukan semua percintaan membawa kepada perkahwinan.

Bukan semua perkahwinan itu membawa bahagia.

Bukan semua diam itu tandanya  bersetuju.

Bukan semua senyuman itu tandanya menyukai.

Bukan semua perkara perlu diluahkan dan dikongsi rasa.

Bukan semua kesakitan itu hanya nampak pada fizikal.

Kerana.

Berat bukan pada pandangan mata tetapi berat pada merasainya sendiri.

Razak Nordin berpesan Memendam rasa adakalanya lebih baik.  Kerana. Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau akan mengerti.

Album Gambar; Percutian Di Kota Bharu

i. Sebelum bertolak dari D1-1.1 Kuarters PTSS ;

Pastikan keperluan mencukupi


Dan jangan lupa pasang VCD Upin dan Ipin juga.

ii. Menghampiri bandar Kota Bharu



Kesesakan di Ketereh.




iii. Sesampai di bilik hotel


Along dan adik kepenatan!!!



iv. Sabtu Pagi. Bersiap untuk ronda-ronda KB





v. Pasar Siti Khadijah destinasi pertama.


Sedang "psiko" buih sabun.


Dan akhirnya tergantung di leher sorang satu.


Sri Kandi warisan semangat Siti Khadijah..lihatlah atas dan bawah.



Berhenti rehat melepaskan lelah sambil melayan karenah anak-anak yang banyak menuntut banyak kesabaran.



vi. Pantai Cahaya Bulan. Perlu lebih "bercahaya".



vii. Wakaf Che Yeh...I'm sorry Amir Raja  Lawak.

 
viii. Pengkalan Kubur satu kemestian!!!

Berehat melepaskan lelah selepas pusing-pusing .



ix. Kesesakan atas Jambatan Sultan Yahya Petra. Sekembali dari Pengkalan Kubur menuju Taman Tema Air Splash(kalau silap eja, harap maaf).


x. Taman Tema Air Splash(Berhampiran Kota Darul Naim)

Sementara menunggu kolam renang di buka semula jam 2 petang.


Ummi Niza beratur untuk membeli tiket untuk anak-anak mandi kolam.


Ummi Niza yang tabah melayan karenah anak-anak.


Along dan Razin dengan pelbagai aksi!!!. Atas dan bawah.




Razak Nordin berpesan ; Akan menyusul "cerita" kunjungan ke kampung  Kelubi, Pasir Puteh dan Yati Nasi Kerabu, Pengkalan Chepa. Terima kasih untuk DBA dan Puan Mui Lan juga.

Saturday, December 19, 2009

Catatan Perjalanan : Dari Ulu Pauh Ke Kota Bharu.

Alhamdulillah. Perjalanan semalam dari Ulu Pauh atau lebih tepat Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin ke Kota Bharu berjalan lancar walaupun hujan berterusan bermula dari Jitra, Kedah sampailah ke hotel penginapan kami yang terletak di tepi sungai Kelantan.

Dalam perjalanan. Singgah sebentar di Jitra di rumah baru Ustaz Yasir sebagai memenuhi undangannya yang bersungguh-sungguh. Terima kasih atas undangan dan layanan yang istimewa. Terima kasih juga kerana bekalkan kami satay untuk di makan sepanjang perjalanan.

Hujan yang tidak berhenti-henti turun sepanjang perjalanan itu menyebabkan kami pula tidak berhenti dan singgah di banyak tempat kecuali untuk solat di sebuah masjid di Tanah Merah. Sehinggakan makan pun dalam Innova sahaja. Tapi syukur alhamdulillah kerana semuanya selamat dari awal hingga ke destinasi yang di tuju.

Cumanya. Perjalanan dari Grik ke Jeli agak mendebarkan juga. Hujan yang masih bercucuran menjadikan jalan menjadi agak licin dan juga kabus yang sederhana tebal sedikit sebanyak memendekkan jarak pandangan pemanduan.

Sesampai di hotel penginapan pula, mencari tempat "parking" menjadi satu masalah juga. Sempat jugalah "tawaf" keliling hotel sebelum mendapat "parking" di lokasi paling strategik saya kira. Di hadapan "lobby".

Keletihan menyebabkan kami tidak ke mana-mana selepas masuk ke bilik hotel. Makan apa yang ada dari bekal yang masih berbaki.

Kalau adapun "sedikit terkilan" mungkin kerana beberapa perkara ;

1. Tiada panduan telefon di bilik hotel untuk menghubungi "housekeeping" dan mana-mana bahagian. Bila tekan nombor kosong tiada yang jawap pula.

2. Berdasarkan dialog ini setelah saya mendailkan nombor "direct line" hotel melalui telefon peribadi saya. Setelah selesai suara dihujung telefon memperkenalkan diri.

Saya memulakan dialog maghrib semalam "Assalamualaikum, boleh saya tahu nombor telefon "housekeeping".

"Maaf en, memang tak ada nombor telefon "housekeeping" tu. Ada apa En, telefon kami, tekan nombor  kosong kami akan bagitau "housekeeping".(dalam hati berkata, eh baru sekejap telefon tak ada pula orang jawap pun)

"Oooo( dalam hati berkata, pelik juga hotel ni) , saya nak mintak tuala dengan tisu". Kata saya ringkas sahaja.

"Maaf En, tisu kami boleh hantar sekarang, tapi tuala pukul lapan baru sampai". Suara di hujung talian memberitahu.

"Okey, (dalam hati berkata lagi, lagi sekali pelik hotel ni) terima kasih". Saya cuba meringkaskan perbualan yang sedikit mengguriskan perasaan itu.

3. Tiada kerusi untuk "lepak-lepak" kecuali sebiji "kerusi meja solek" sahaja.

Razak bin Nordin berpesan ; "Pandangan pertama" yang kurang menggamit rasa cinta. 

Friday, December 18, 2009

Ya Allah, Permudahkan Segala Urusan Kami

Insyaallah. Pagi ini, kami sekeluarga akan memulakan percutian tahunan yang kami rancang setiap hujung tahun. Alhamdulillah. Setakat ini Allah s.w.t. masih memberikan kemurahan rezeki untuk kami sekeluarga. Mudah-mudahan kemurahan itu akan berterusan bersama keredhaanNya. Sentiasa mendapat rezeki yang ada barakah hendaknya.

Sambil menyelam minum air. Dalam perjalanan pulang ke Kg. Bukit Kulim, Marang, Terengganu, kami akan singgah beberapa hari di Kota Bharu.

Suatu hari itu  isteri pernah berkata " Nak gi Kota Bharu lagilah bang, tahun lepas tak puas lagilah". 

"Kan tahun lepas dah gi Kota Bahru". Saya cuba memancing andai ada faktor-faktor lain yang mendorong.

"Alah, hari tu duduk hotel biasa je, kali ni nak duk hotel yang ok-oklah sikit, baru best". Katanya penuh keyakinan.

"Ok, Abi takdok masalah". Kata saya memutuskan satu dialog ringkas antara kami berdua.

Dan saya penuh yakin bahawa barangkali itulah ketentuan Ilahi untuk kami sekeluarga. Memilih untuk ke sana lagi.

Kerana tentunya kami akan membantu perkembangan ekonomi bumi Kelantan juga. Sedikit-sedikit pun adalah juga.

Setakat ini segala perancangan berjalan lancar. Semoga semua kelancaran itu akan berterusan hingga ke akhirnya.

Setelah 3 malam berada di Kota Bharu, insyaallah kami akan meneruskan perjalanan ke kampung halaman tumpah darah saya. Tempat saya membesar dengan segala "kepayahan hidup" dan sesekali bersama air mata juga.

Dan tentunya saya amat-amat merindui segala-galanya di situ. Ya, segala-galanya. Yang menjadikan saya seperti ini hari ini. Tiada kata indah untuk dituliskan. Tetapi semuanya masih ligat beredar dalam memori ingatan ini.

Razak Nordin berpesan ; Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami. Lindungilah kami dari awal hingga ke akhirnya dengan limpahan rahmat Mu.

Thursday, December 17, 2009

Cinta Cyber ; Nilai Pada Kejujuran Dan Keikhlasan


Isteri Dan Anak-Anak Cinta Cyber : Saya Buktikannya

Lama benar rasanya saya mengambil masa untuk menulis topik ini dalam bentuk bait-bait ayat setelah sekian lama saya menyimpannya dalam monolog dalaman saya. Bukan saja-saja. Untuk sebuah nilai kemanusiaan dan kehidupan juga.

Topiknya ringan sahaja tetapi saya "seronok" untuk berkongsi di blog ini. Tentukan untuk diambil tauladan juga. Generasi IPOD barangkalinya.

Dulu-dulu, ramai juga yang bertanya soalan seperti ini " Macam mana boleh kenal isteri, sedangkan masa tu duk kat Sabah, sedangkan isteri kat Semenanjung ".

Tentunya Arwah Mak acapkali juga bertanya  " Doh Jak kenal maner Niza tu, kat Hariag Metro ke, dalang surat kabor ke, dalang majalah mane-maner ke, ke juper mane". Dalam loghrat Terengganu pekatnya.

Dan jawapan saya kepada soalan seumpama di atas hanyalah "sebuah senyuman penuh rahsia".

Syukurlah. Sebelum ibu pergi tinggalkan kami pagi Syawal yang lalu, ibu telah mengetahui rahsia perkenalan kami. Hinggalah kami "telah berjaya menghadiahkan" dua orang cucu untuknya walaupun ditakdirkan tidak sempat "hidup bersama" dalam tempoh yang lama. Kejauhan adakalanya "memudarkan" warna kasih dan sayang fizikal tetapi bukan kasih dan sayang yang melekat di sudut hati. Kekal lagi abadi.

"Kami kenal kat internet Mak" bagitau isteri saya pada suatu hari itu . Masa dan tarikhnya saya sendiri pun sudah lupa. Tetapi ungkapan itu masih di minda sedar saya. Saya sendiri pun tidak pasti sama ada mak memahami atau tidak perkataan internet tersebut.

Tetapi Mak menyambung dialognya;

"Padang(padan) pung Jak tak mboh(mahu) royat(bagitau)".

Dan saya tersenyum dengan senyuman yang tiada rahsia lagi.

Saya bangga dengan apa yang saya lalui dan alami. "Cinta cyber" yang membawa ke jinjang pelamin dan alhamdulillah dapat membina sebuah keluarga bahagia hendaknya dengan kehadiran sepasang cahaya mata setakat saat ini.

Mungkin kepada sesetengah orang malu untuk bercerita "cerita-cerita" seperti ini. Tetapi tidak saya. Saya ingin mengubah persepsi buruk kepada "cinta cyber". Kalau bukan saya, siapa lagi. "Menahan kentut, kata orang akan membawa penyakit". Kalau kentut itu membuang angin dalam badan dan memberikan kelegaan pada badan, lepaskan sahaja. Tetapi pilihlah "suasana dan tempat" yang sesuai juga.  Dan saya memilihnya di sini.

"Cinta Cyber" selalunya dilabel dengan nilai-nilai yang "buruk-buruk" sahaja. Tiada yang mulus tulus untuk "cinta cyber". Dan saya buktikan. Lihat dan pandanglah dengan mata lendir dan mata hati juga. Sama ada cinta itu "cinta cyber" atau "cinta alam nyata". "Letaknya" pada sebuah kejujuran dan keikhlasan. Sesekali tergigit lidah. Biasa. Itulah asam garam yang bisa menyatukan dua hati yang sememangnya berbeza. Kalau dalam masakan, tanpa garam dan asam. Sesetengahnya akan jadi hambar dan tawar semuanya.

Saya selalu juga buat joke ringan. Seperti ini. Kerana saya sendiri juga pernah membaca kisah cinta Wardina. Saya yakin betul. Cuma lupa di mana dan bila. Andainya saya  tersilap, mohon maaf banyak-banyak. Mengambil contoh untuk satu tujuan yang baik pada saya :

Buktikan kesucian cinta atas kejujuran dan keikhlasan hati.  Termasuklah "Cinta Cyber"

"Kami macam Wardina Safiyyahlah, berkenalan melalui internet, bercinta hingga ke jinjang pelamin dan seterusnya membina keluarga bahagia insyaallah". Alhamdulillah.

Ada sesiapa di luar sana ingin berkongsi kisah serupa. Silakan. Saya sudi mendengarnya. Kerana merah darah kita serupa. Saya boleh menyebutkan beberapa nama di sini. Tetapi buat masa ini, baik rasanya saya rahsiakan. Cukuplah "Cinta Cyber" saya untuk "panduan" jika ada. Untuk yang telah, sedang dan ingin bercinta lagi. Jika "engkau" di takdirkan.

Razak Nordin berpesan ; Dan tentunya ketentuan Ilahi juga. Itu yang sebetul-betulnya. Proses sebab dan musabab hanyalah  jalan "merealisasikan" ketentuan Ilahi tersebut.  

Anda Percaya : Sabar Menyihatkan Badan

Sesudah subuh tadi. Dalam proses belek-membelek majalah-majalah lama yang masih tersimpan, makanya terjumpalah satu artikel ringkas yang pada saya elok juga dikongsikan bersama. Yang telah diadun supaya sesuai dengan penulisan blog ini. Sekadar renungan mungkin.Untuk aku, kau dan dia.

Kita mungkin biasa mendengar nasihat seperti ini ; Jangan mudah naik darah jika tidak mahu terkena serangan jantung. Nasihat yang selalu didengar daripada mulut orang tua-tua ini atau mulut orang muda-muda atau daripada sesiapa sahaja atau terbaca di mana-mana, mungkin ada benarnya.

Dibuktikan dengan satu kajian yang dilakukan oleh Patricia Chang, seorang pakar jantung dari Universiti John Hopkins, Maryland, Amerika Syarikat setelah mengambil rekod kesihatan individu yang dikajinya . Chang dibantu oleh lebih seribu mahasiswa untuk menjayakan kajiannya. Semua individu yang dikaji telah melalui sesi wawancara dan pemeriksaan kesihatan yang rutin setiap lima tahun sekali. Hasil dari kajian mendapati 80 orang sukarelawan terkena serangan jantung sebelum usia 55 tahun. Setelah dianalisis mereka adalah orang yang mudah tersinggung, pendendam atau cepat naik angin. Chang menjelaskan apabila marah, tubuh seseorang menghasilkan satu enzim yang dikenali catecholamines. Enzim ini menyebabkan pembuluh darah tegang, jantung berdenyut lebih cepat dan tekanan darah meningkat. Akibatnya, keadaan jantung tidak stabil. Kajian ini jelas menunjukkan sifat sabar itu memang sifat terpuji yang perlu dimiliki oleh setiap orang kerana ia mempunyai kebaikan sama ada untuk kesihatan jasmani dan lebih-lebih lagi rohani.

Dan

Pakar motivasi Datuk Dr. Fadlilah Kamsah selalu juga menyebutkan ; Sebelum tidur maafkan semua orang. Mudah-mudahan jiwa lebih tenang dan hidup bertambah bahagia.

Dan

Rasulullah s.a.w juga ada berpesan ; "Sabar itu separuh daripada iman".

Tentunya ini adalah pesanan paling asah dan kuat. Kerana tiada perkataan daripada Rasulullah melainkan apa yang diwahyukan kepadanya.
Razak Nordin berpesan ; Mampukah kita untuk memaafkan semua orang setiap hari sebelum tidur kerana setiap hari itu juga hati-hati kita sentiasa disakiti atas sebab-sebab yang "tidak patut pun". Entahlah!!!!

Wednesday, December 16, 2009

Kita Mungkin Terlupa

Kita mungkin terlupa bahawa ;

Nabi S.A.W. pernah bersabda: Allah telah berkata : maksudnya ; "Barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia mohon perlindungan daripada-Ku, pasti Aku memberinya sebelum dia meminta. Dan barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan kepada makhluk, pasti Ku tutup semua pintu langit baginya."

Dan

Rasulullah juga bersabda : maksudnya : "Barangsiapa sakit semalam, dia sabar dan rela kepada Allah, maka bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya. Jika engkau sakit jangan segera meminta sembuh."

Ya Allah....tanpa hidayah dan kekuatan dari Mu siapa kami ini. Janganlah Engkau putuskan semuanya dari kami.

Razak Nordin berpesan ; Rasul junjungan sudah lama berpesan. Cuma aku yang sering terlupa dan alpa dalam "kekalutan" itu.

Monday, December 14, 2009

Mesej Seorang Teman

Sempena memperingati peristiwa Hijratur Rasul 1431H  yang akan tiba tidak berapa lama lagi, saya menerima mesej di bawah dari seorang teman lama. Dulu berkidmat di Melaka tetapi sekarang tidak pasti di mana. Baru pagi tadi saya menerimanya.

Dari Mejar Azri ;

"Semoga 12 bulan mendatang penuh cemerlang, 52 minggu kebahagiaan, 365 hari keberkatan,8760 jam penuh kasih sayang dan 525600 saat penuh senyuman. Salam Tahun Baru Hijrah 1431H dan 2010 Masihi."


Terima kasih atas ingatan. Tetapi mesej akan hanya tinggal mesej. Jika yang menulis, menghantar dan membacanya juga  tidak berusaha untuk berubah kepada yang lebih baik. Tidak berusaha untuk berhijrah dari dunia kelam ke dunia cahaya yang tentu terang sinarnya. Tentunya untuk menjadi manusia yang lebih baik di bawah redha Ilahi selalu. Jika tidak. Sudahnya yang kaya hanyalah syarikat telekomunikasi juga.

Siapa lagi idola sepanjang zaman kalau bukan Rasul Junjungan. Muhammad S.A.W. Dalam dunia yang semakin rumit untuk dijelaskan dengan kata-kata. Kita sama-sama laluinya. Kita sama-sama merasainya .  Kita sama-sama mengalaminya. Dan kitalah yang lebih memahaminya hendaknya.

Razak Nordin berpesan ; Saya panjangkan mesej ini juga untuk semua yang mengenali  diri ini dan  juga sesiapa sahaja yang sudi menjenguh pokok-kayu.blogspot.com dan ibnnordin.blogspot.com.

Sunday, December 13, 2009

Sabtu Dan Ahad,Semalam Dan Hari Ini

Sabtu dan Ahad. Semalam dan hari ini. Hari untuk menceriakan keluarga hendaknya. Harap-harap keduanya dikira ibadah juga. Cumanya caranya sahaja mungkin berbeza.  Satu di kolam renang. Bayar seringgit. Satu lagi di savecost Kangar. Kena keluarkan modal lebih sedikit.

Sabtu. Semalam.

Petang Sabtu. Menemani Along mandi kolam di Pauh Inn. Adik tidak berminat sangat. Sejukkk.


Umi melayan karenah anak-anak. Aku tiada dalam gambar pasal aku "tukang" ambik gambar.

Hari ini. Ahad.

Seawal jam 9.30 pagi. Di temani Abe De(terima kasih atas jasa baikmu) kami ke Savecost Kangar untuk memasang "TV dalam Innova". Abe De sebagai pakar rujuk. Sebabnya. Saya "bab-bab" macam ini memang tidak "reti" sangatlah. "Buta lagi kayu" kata orang sekarang.

Harapnya lepas ini, anak-anak tidak banyak karenah lagi bila perjalanan jauh. Harapan Uminya dan saya juga.

Pekerja Savecost sedang tekun bekerja.


Barang-barang yang sedia untuk di pasang.




Razak Nordin berpesan ; Ya Allah. Seandainya menggembirakan hati anak-anak dan isteri itu suatu ibadah jua. Kurniakanlah kebaikan dunia dan akhirat untuk kami semua.
Share/Bookmark