Friday, December 31, 2010

Hari Terakhir 2010 Masihi

31 Disember 2010.
Hari terakhir tahun 2010.

Bukan sekadar 'berpesta' menyambut kedatangan tahun baru.

Kalau boleh.

'Melihat' 2010 antara tauladan dan sempadan untuk melalui 2011 yang akan menjelang.  

Yang buruk dan keji, jadikan sempadan. Yang baik, jadikan tauladan. Mudah-mudahan semuanya mengarahkan kepada pembaikan diri secara berterusan.  

Hisablah diri sebelum setiap diri dihisab di hadapan Allah SWT. Mungkin itu antara yang sepatutnya kita lakukan.

Razak Nordin berpesan ; Berhenti sebentar, merenung seketika bermuhasabah diri dan teruskan perjalanan seterusnya di atas landasan yang betul, Insyaallah.

Wednesday, December 29, 2010

Kerana Kita Bukan Immortal Jellyfish


'Benda' dalam gambar di atas dikenali sebagai Immortal Jellyfish atau Jellyfish


Menurut sumber yang boleh dipercayai, Immortal bermakna abadi, dan ubur-ubur ini dikatakan memang seperti namanya, tidak boleh mati. Ia lahir dan membesar seperti biasa. Namun hidupnya dikatakan tiada pengakhiran. Ia akan kembali ke bentuk polyp atau bayi ubur-ubur dan hidupnya akan bermula semula dari awal!

Kerana Kita Bukan Immortal Jellyfish

Tetapi kita adalah manusia.
Hayawanun Natiq yang boleh berfikir dan bertutur.
Makhluk Mukallaf yang dipertanggungjawabkan atau dibebankan ke atasnya segala amanah dan tanggungjawab.

Amanah dan tanggungjawab yang mesti dipertanggungjawabkan setelah manusia diberi pilihan untuk memilih antara dua jalan. Iaitu jalan kebaikan atau jalan kejahatan.

Kita adalah hamba dan khalifah di muka bumi yang bertanggungjawab kepada Allah, bertanggungjawab sesama manusia dan juga alam.

Manusia yang ada kesudahan dan pengakhiran.

Ada tempat kembali yang kekal lagi abadi.

Waimma Syurga, Alhamdulillah.
Atau.
Neraka, Nauzubillah, minta dijauhkan.

Maka sepatutnyalah kita menjadi apa yang sepatutnya kita jadi.

Menjadi hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi yang tahu bahawa manusia akan ada kesudahan dan hari pembalasan.

Bukan seperti Jellyfish yang tiada pengakhiran.

Sepatutnya manusia yang faham dan reti.

Tidak berbangga dan riak dengan sedikit kelebihan diri kerana sebenarnya masih banyak kelemahan yang mungkin terselindung.

Siapa pun kita.

Sama ada kita orang besar atau orang kecil, kelebihan yang sedikit dan kekurangan yang bertimbun sentiasa seiring bersama. Lebihnya mungkin satu, dua atau tiga tetapi kekurangan tidak terhitung oleh jari-jemari kaki dan tangan.

Kalau pun  kita pakar dan dikenali ramai dengan kebolehan yang ada, tetapi mungkin hanya dalam beberapa bidang bukan semua bidang hidup yang tidak terhitung itu.

Sebagai bandingan.

Belum tentu seorang panglima perang yang gagah perkasa mampu mendodoikan anak-anak kecil dengan sabar dan tanpa terbakar hatinya.

Belum tentu seorang pakar sakit puan mampu membuat kek strawberi yang sedap lagi enak untuk 'puan'nya di rumah.

Belum tentu seorang tukang masak yang hebat mampu menggubah hantaran perkahwinan yang cantik lagi menarik.

Belum tentu seorang pemidato yang hebat mampu menyediakan kek lapis yang enak dan lazat.

Belum tentu seorang  pengarang yang hebat mampu menyediakan teh tarik yang secukup rasa lidah merasai dan tekak menelannya.

Dan pelbagai belum tentu lagi.

Jika susah sangat untuk memahami, lihatlah diri sendiri.

Jika perlu, senaraikan apa sahaja yang berlaku di sepanjang perjalanan hidup yang telah dan sedang dilalui, perkara-perkara yang kita memerlukan orang lain untuk membantu. Kecil atau besar. Sedikit atau banyak.

Berapa banyak kita memerlukan bantuan orang lain, bermakna sebanyak itulah juga kekurangan yang sedang kita miliki.

Cumanya.

Mungkin kebanyakan manusia sedang terlupa.

Razak Nordin berpesan : Berpesanlah pada diri sebelum berpesan kepada orang lain. 

Tuesday, December 28, 2010

Macam Tak Percaya Tetapi Ia Tetap Benar

Universiti Dhaka Juara Debat OIC

Apabila membacanya kali pertama tajuk berita di atas, saya semacam tidak percaya. Mungkin atas sebab kejahilan saya tentang Bangladesh itu sendiri. Atas kejahilan itu, saya selalu menganggap bahawa Bangladesh tetap ketinggalan dalam segala segi berbanding Malaysia.

Rupanya tidak.

Ini salah satu jawapannya.

Universiti Dhaka Bangladesh telah dinobatkan juara sulung Kejohanan Debat Antara Universiti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang diadakan di Pusat Kebudayaan dan Aktiviti(CAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) baru-baru ini.

Universiti itu telah menewaskan pasukan tuan rumah UIAM.

Pertandingan yang menggunakan format perdebatan Parlimen Asia itu menyaksikan peserta berdebat merangkumi pelbagai topik berkaitan isu domestik dan antarabangsa, politik, ekonomi, sosial dan aplikasi teknologi.

Penganjuran debat yang buat julung-julung kali dianjurkan UIAM itu berjaya menarik 30 penyertaan dari 13 buah negara OIC yang berlangsung pada 14 Disember 2010 yang lalu.

Sumber ; Disedut secara bebas dari Mega Kampus UM, Isnin 27 Disember 2010. Halaman 28.

Razak Nordin berpesan : Mungkin ungkapan ' Jangan menilai buku berdasarkan kulitnya' telah menghukum kejahilan saya.

Monday, December 27, 2010

Fakta Hujung 'Musim Perkahwinan'

Disember 2010 sudah hampir ke penghunjungnya dan barangkali kenduri kendara majlis perkahwinan sudah mula perlahan dan berkurangan. Dan apabila penggal persekolahan bermula minggu depan, tirai musim kenduri kendara mungkin turut melabuhkan tirainya.

Tapi saya ada satu fakta untuk dikongsikan. Terutama untuk pengantin-pengantin baru dan juga para pengantin lama.

Faktanya.

Sewaktu krisis ekonomi berlaku pada tahun 1997, masalah konflik rumahtangga telah meningkat sehingga 70%. Ini membuktikan masalah kewangan juga boleh menjadi penyebab utama bagi kehancuran sesebuah rumahtangga. Sumber ; Majalah Pengantin.

Razak Nordin berpesan ; Hidup adalah realiti.

Thursday, December 16, 2010

Belajar Menyelami Insan-Insan Istimewa

Dalam seminggu ini saya telah menghadiri Kursus Pendedahan Pendidikan Khas yang telah diadakan di Bilik Seminar Patawali, Pauh Inn, PTSS. Antara 'kemestian hadir' dan rasa tanggungjawab yang terletak di bahu kiri dan kanan.
Kerana saya memiliki seorang adik lelaki bertaraf 'insan istimewa', barangkali lebih mudah untuk saya menyelami rasa hati serta 'menyentuh rasa' dari setiap patah perkataan yang disebutkan tentang insan-insan istimewa ini.

Daripada enam orang adik beradik dalam kelurga kami, telah ditakdirkan terselit seorang insan istimewa yang selalu kami gelarkannya sebagai penghuni syurga. Mudah-mudahan insan istimewa ini dapat membawa kami sekeluarga serta kaum keluarga kami juga ke syurga yang kekal abadi itu.

Saya percaya bahawa lahirnya tanpa tannggungjawab dan dosa.

Tiada pahala dan dosa tetapi suci bersih kerana dia bukan seorang mukallaf, yang akan dipertanggungjawabkan ke atasnya segala amanah kehambaan dan kekhalifahan.

Mungkin hidupnya dengan segala 'kekurangan' di dunia ini.

Tetapi saya yakin dia akan menjadi penghuni syurga yang kekal abadi. Insyaallah, segala kekurangannya di dunia ini akan diganti oleh Allah SWT di syurga nanti.

Hidupnya tanpa impian-impian besar.
Harta, pangkat dan kedudukan dan segala macam lagi.
Kalau ada pun impiannya yang paling besar hanyalah memiliki basikal dan raket badminton sendiri.
Atau pun kasut berwarna hitam yang selalu menjadi sebutan dan kegilaannya. 

Dan tentunya, orang yang paling memahami dan menyayanginya adalah arwah ibu. Tiada galang ganti kerana cintanya tanpa syarat dan kontrak masa. Namun takdir Ilahi telah memisahkannya buat sementara waktu. Mudah-mudahan syurga menjadi tempat pertemuan yang kekal lagi abadi.  

Adakalanya, sedih mukanya meraih simpati. Menyimpan segala kesedihan dan kegelisahan di sebalik renungan dan redup matanya.

Tiada kuasa untuk bersuara. Yang mungkin ada hanyalah rajuk dan airmata.

Itulah 'insan istimewa' yang diberi nama Mohd Shukri bin Nordin. Satu-satunya adik lelaki saya.
Lalu, tiada salahnya saya mempelajari dan menyelami serba sedikit 'dunia istimewa' itu. Mudah-mudahan saya dapat membantu insan-insan istimewa lain yang memerlukan khidmat saya seada dan semampunya, kalau pun tidak sepenuhnya.
Dengan mempelajari bahasa-bahasa isyarat..
Mempelajari isyarat tangan..
Peserta berehat seketika...
Cikgu-cikgu yang mengajar kami, bukan sekadar isyarat tangan tetapi membawa kami memahami dunia 'insan-insan istimewa'. Berkongsi cerita dan pengalaman...
Persembahan berkumpulan..antara yang sempat dirakamkan...
Persembahan paling bertenaga..Isyaratkan lagu "Tanya Sama Pokok"

Razak Nordin berpesan ; Bersyukurkah kita dengan segala anugerah Ilahi buat kita yang serba upaya ini?

Thursday, December 9, 2010

Politeknik Kota Kinabalu @ Kota Kinabalu : Masih Ada Kenangan Yang Tertinggal

Segalanya berlaku tanpa dirancang tetapi telah ditakdirkan.

Petang semalam saya telah menonton salah satu antara rancangan kegemaran saya iaitu "Warung Kita.". Tentunya pasal makan lagi. Bukan kerana saya seorang yang kuat makan, tapi seronok menikmati kelainan menu serta berbeza selera yang dipaparkan bagi setiap episod.

Dan kebetulan pula untuk episod petang semalam, ia bersiaran dari Kota Kinabalu, Sabah.

Masih Ada Kenangan Yang Tertinggal

Suratan atau kebetulan?

Kedua-dua 'warung' yang dikunjungi petang semalam adalah antara 'pot' yang pernah acapkali saya kunjungi semasa  'mencari' makan malam di sekitar Kota Kinabalu terutama semasa Politeknik Kota Kinabalu masih menumpang di Sekolah Menengah Teknik Likas, Kota Kinabalu. Dan juga apabila sesekali ke Kota Kinabalu pada malam minggu apabila Politeknik Kota Kinabalu berpindah ke kampus tetap di Teluk Sipanggar, Jalan Tuaran.

Pertama Likas HighWay Corner yang terletak di Teluk Lipat berhampiran Masjid Bandaraya (Masjid Terapung) dan kedua,  Restoran Sempelang yang terletak di Sinsuran atau pun juga dikenali sebagai Kampung Air, , bersebelahan dengan Api-Api Centre. 

Beberapa Kenangan.

Antaranya.

Tradisi Menyambut Kedatangan Staf Baru dan 'Mengiringi' Staf Yang Berpindah.

Pengalaman sendiri.

30 Jun 1999.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu bersama dua orang lagi rakan untuk mendaftarkan diri  sebagai pegawai kerajaan di Politeknik Kota Kinabalu yang pada masa itu menumpang di Sekolah Menengah Teknik Likas, bersebelahan dengan Stadium Likas, Kota Kinalabu.

Kami selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah sekitar selepas Maghrib. Oleh kerana inilah kali pertama saya dan rakan-rakan lain menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu, maka saya yang kebetulannya mempunyai sahabat lama di Kota Kinabalu telah membuat janji temu awal untuk beliau menjemput kami bertiga sebelum mendaftar diri keesokan harinya. Rupanya-rupanya Ketua Jabatan saya, Ibu Noriah dan beberapa orang staf PKK Sabah telah sedia menjemput kami tanpa kami jangka.

Dan tradisi itu masih berlaku setidak-tidaknya selama saya masih di sana sehingga penghujung 2003. 

Begitu juga bagi staf-staf yang akan bertukar ke politeknik-politeknik lain. Mereka tetap diraikan serta dihargai dalam majlis perpisahan walau seringkas mana pun majlis tersebut. Dianjurkan oleh politeknik, bukan oleh jabatan berkenaan sahaja. Dan selalunya, ada rombongan yang akan mengiringi pegawai-pegawai yang berpindah sehingga ke lapangan terbang.

Tanda menghargai dan persahabatan barangkali.

Tiada tajuk yang sfesifik untuk segala kisah-kisah di atas dan bawah ini. Dan tiada bait-bait ayat yang paling mulus boleh saya susunkan untuk pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui itu.

Majlis-Majlis Penyubur Kekitaan

Sebarang majlis, sama ada majlis doa selamat serta majlis-majlis lain tiada masalah dari segi kehadiran dan sambutan dari rakan-rakan sekerja. Kehadiran dan sambutan sentiasa menggalakkan. Keakraban dan ukhwah yang bukan kebetulan itu. Sokongan sentiasa ada, kerjasama sentiasa erat. Bersatu untuk satu matlamat.

Dan pernah juga kami membuat usrah dari rumah ke rumah dengan sambutan yang amat menggalakkan.

Kami biasa membuat majlis korban sempena Aidil Adha yang sangat berbeza. Majoriti memberikan kerjasama terbaik mengikut bidang tugas masing-masing.

Pernah suatu ketika, ada yang sanggup tidur bertemankan nyamuk-nyamuk untuk menjaga lembu-lembu yang bakal menjadi korban secara bergilir-gilir. Dan keesokkan harinya, aktiviti masak memasak dijalankan secara gotong royong. Sehingga selesai kendaranya sekali. Bidang-bidang tugas telah diagihkan dan semuanya berperanan seperti yang telah ditentukan.

Di ketika lain, pernah kami secara beramai-ramai menaiki bas ke Tuaran untuk menyempurnakan 'majlis' korban. Bermula dari mengikat, menyembelih, melapah, menyiang-nyiang daging lembu tersebut.

Kami pernah juga menawan perbukitan Kundasang, menawan perladangan kobis dan tomato segar di perbukitan Kundasang. Berkampung di Pusat Dakwah Kundasang beberapa hari dan malam dengan pelbagai aktiviti yang di susun. Mengharungi udara sejuk dan mendamaikan di perbukitan Kundasang. Memanjat bukit dan menuruni lembah-lembah serta menyelusuri anak-anak sungai.

Para pensyarah dan pelajar berganding bahu membina hubungan tidak terlarang.

Itu belum dikira dengan aktiviti perkhemahan Ko-Kurikulum di Tamparuli dan beberapa tempat lain di pulau-pulau sekitar Kota Kinabalu seperti Pulau Mamutik.

Begitu juga pada musim perayaan.

Selalunya bukan setiap tahun semua kami berkesempatan untuk pulang beraya di kampung halaman. Maka pada masa inilah peluang untuk staf-staf yang sudah berkahwin dan telah mempunyai keluarga sendiri membuat rumah terbuka sekadarnya. Mana yang bujang-bujang, inilah pula ketikanya untuk membuat 'lawatan-lawatan secara terbuka'. Paling tidak pun, semua itu sedikit sebanyak telah meredakan kerinduan kepada kaum keluarga dan kampung halaman.

Perhimpunan-perhimpunan bulanan staf pula bukan sahaja dibuat di politeknik tetapi beberapa kali pernah diadakan di hotel-hotel terkenal di sekitar Kota Kinabalu. Tetapi kejuahan jarak geografi seingat saya tidak pernah menghalang sambutan dan kerjasama staf-staf untuk hadir meraikan serta memeriahkan majlis. Yang masih diingat, perhimpunan-perhimpuan tersebut pernah di buat di Promenade Hotel dan juga Sutera Harbour Hotel, Kota Kinabalu.

Dan di pentas itu juga, saya pernah mendeklamasikan sebuah sajak perpisahan untuk Mantan Ketua Jabatan saya iaitu Ibu Noriah Jamansah yang akan bersara wajibnya sebagai pegawai kerajaan, setelah sekian lama berbakti untuk agama, bangsa dan negara. Mewakili rakan-rakan seperjuangan di jabatan.

Sebuah sajak air mata yang tidak dijangka. Ada bunyi esakan dan banyak juga mata-mata yang menangis, kerana hatinya mungkin tersentuh. Saya pula teruja dalam kesedihan itu. Dan Ibu Noriah pula kehilangan kata-kata untuk meneruskan ucapan perpisahannya. Tersekat-sekat dan akhirnya yang tertumpah adalah air-air mata.

Pendak kata, selama pengalaman saya, setiap majlis atau acara yang diadakan tidak pernah mengecewakan dari segi sambutannya.

Membina Ukhwah Melalui Sukan.

Begitu juga dalam bidang sukan terutama bola sepak, futsal, badminton, bola tampar dan juga sepak takraw. Perlawanan persahabatan gabungan jabatan-jabatan selalu juga diadakan walaupun kami terpaksa membayar sewa padang menggunakan duit sendiri dan terpaksa pula bergerak ke lokasi yang agak jauh.

Dan pernah acapkali juga diadakan pertandinga futsal antara jabatan selepas waktu pejabat. Sama ada yang 'kaki bangku' dan 'kaki tidak bangku', semuanya memberikan kerjasama yang paling baik. 'Sporting' habis, bahasa orang sekarang.

Dan saya biasa menjadi pengelola pertandingan badminton antara regu. Walaupun semuanya menggunakan bujet sendiri termasuk sewaan dewan dan pembelian bulu tangkis, tetapi sambutan selalu menggalakkan. Yang biasa main, yang boleh main sikit-sikit kami regukan. Bukan sekadar mencari pemenang. Tetapi lebih penting membina hubungan dan ukhwah sesama staf.

Tidak ketinggalan sukan sepak takraw. Kerapkali juga dianjurkan pertandingan melibatkan pelajar dan staf walaupun dengan segala kekurangan yang ada. Terutama kekurangan pemain berbanding sukan-sukan lain.

Tidak ketinggalan sukan lola tampar juga. Para pensyarah sentiasa bersedia untuk memberikan cabaran. Bila ada penganjuran pertandingan bola tampar, pasukan pensyarah dan staf sentiasa menghantar penyertaan. Menang atau kalah 'kemudian kira'. Yang penting, menyertai.  Dan mereka begitu komited walaupun dengan 'kebolehan' yang terhad.

Malahan pernah diadakan acara sukan antara jabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Dengan pelbagai acara yang diadakan dan dengan kerjasama serta sambutan menggalakkan yang di berikan, menjadikan saya masih mengingati semua itu.

Itu sebahagiannya dan semua itu dilalui sehingga ia menjadi memori yang masih terpahat dalam ingatan saya.

Kenapa saya tuliskan semua ini setelah hampir tujuh tahun saya tinggalkan Politeknik Kota Kinabalu dan berpindah ke tempat baru.

Antara lain mungkin, kerana saya pernah 'memiliki' dan tiba-tiba terasa kehilangannya.

Entahlah.

Apakah yang sebenarnya mendorong kami menjadi seperti itu, dulu.

Pelbagai sebab dan kemungkinan.

Atau tanpa sebab dan ia berlaku secara semulajadi.

Tetapi, kata-kata seindah mana pun yang boleh dicoretkan, belum tentu dapat menterjemahkan sepenuhnya rasa yang pernah dirasai itu.

Sekadar semampunya, saya coretkan.

Pengubat rindu sebuah kenangan yang masih tertinggal.

Razak Nordin berpesan : Mungkin sahabat-sahabat bekas Politeknik Kota Kinabalu boleh menambahkan perkongsian anda. Di mana sahaja anda berada. Jika anda masih mengingati dan merindui semua itu.  

Wednesday, December 8, 2010

Selamat Ulang Tahun Kelahiran Anakanda Nursyuhada Najihah

 
Anakanda saya, Nursyuhada Najihah binti Razak, genap 5 tahun pada 8 Disember 2010.
Seorang sambut Hari Jadi, dua-dua dapat hadiah...rezeki...
Si Angah yang menumpang tuah... bergaya dengan basikal barunya..
Hadiah yang dijanjikan tertunai juga akhirnya...

Razak Nordin berpesan ; Semoga anakanda membesar dengan naungan rahmat Ilahi selamanya.

Tuesday, December 7, 2010

Selamat Menyambut Hijratul Rasul 1432H

Razak Nordin berpesan ; Dari kami sekeluarga, Razak, Norhasnizar, Syuhada dan Razin.

Sunday, December 5, 2010

'Sudut Bundle' Pusat Islam Luqman Hakim

Terima kasih kepada En. Rashdan Rashid di atas inisiatif mewujudkan 'sudut bundle' di Pusat Islam Luqman Hakim, PTSS.

Baju-baju terpakai yang 'dijual' dengan harga RM 1 sepasang dan semua hasil pembelian tersebut disalurkan ke Tabung Pusat Islam Luqman Hakim.

Sehingga petang tadi, sebahagiannya sudah 'terjual' berdasarkan 'hasil jualan' yang ditunjukkan oleh En. Rashdan kepada saya petang tadi.

Alhamdulillah. 
RM 1 sepasang
Masukkan wang di sini
Kepada sesiapa yang berminat untuk membeli sambil menderma, bolehlah datang sendiri ke Pusat Islam Luqman Hakim bila-bila masa.

Dan kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbangkan pakaian-pakaian terpakai untuk 'dijual' di 'sudut budle' tersebut, bolehlah menghubungi En. Rashdan secara terus di talian 019-5102722 untuk tindakan selanjutnya.

Jika ada pakaian-pakaian yang 'nak dipakai tidaklah muat, nak dibuang terasalah sayang,' atau atas pelbagai sebab lagi, mungkin 'sudut bundle' Pusat Islam Luqman Hakim ada jawapannya. 

Razak Nordin berpesan ; Selamat menabur benih untuk dituai hasil-hasilnya 'di sana' nanti. Walaupun hanya dengan sebiji benih.

Catatan Ringkas Pasal Kahwin






Hanya suatu catatan dan ingatan ringkas.

Musim cuti sekolah dan majlis perkahwinan bagaikan sinonim.

Kenduri kendara di mana-mana.
Dekat dan jauh.
Kecil atau besar.
Meriah atau sederhana.
Dan lembu, kerbau, kambing, ayam, itik pun turut menjadi 'korban'.

Kepada semua yang terlibat secara langsung, segala macam perasaan mungkin bercampur baur.

Gembira.
Seronok.
Terharu.
Teruja.
Gementar.
Dan segala macam perasaan lagi.

Istimewa untuk pengantin-pengantin baru.
Terutama yang mengenali diri saya.
Mahu pun yang tidak mengenali juga.

Dan tidak lupa juga untuk 'pengantin-pengantin lama'.
Untuk diri sendiri.
Juga kepada yang mengenali atau tidak.

Dalam segala macam perasaan yang bercampur baur itu, jangan sesekali lupa bahawa perkahwinan itu adalah suatu amanah Allah SWT.

Dengan segala harapan yang ada serta pelbagai cabaran yang telah dan bakal dihadapi, jagailah dan peliharalah amanah itu sebaik-baiknya.

Sudi-sudilah menghayatilah lirik nasyid di bawah ;


Album : Rindu
Kumpulan : Hijjaz

Bila dua hati dah terjalin
Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Menongkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal ke anak cucu
Moga kekal hingga ke syurga.

Kenapa saya menulis semua ini.

Paling tidak pun ;

Kerana kadang-kadang kita memang mengetahui dan memahami sesuatu tetapi kita sering terlupa oleh pelbagai sebab dan faktor.

Dan motivasi dan 'pemulihan' itu kadangkalanya adalah perlu.   

Razak Nordin berpesan ; Amanah. Amanah. Amanah. Bermakna ia akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan olehNya.

Saturday, December 4, 2010

Tambah Nilai 4-Tahukah Anda ; Chuping Perlis







Pertama ;
Chuping, Perlis, merupakan kawasan terpanas di Malaysia.

Kedua ;
Chuping, Perlis, merupakan kawasan terdapatnya Ladang Tebu Terbesar di Malaysia.

Razak Nordin berpesan ; Harap maaf, gambar-gambar agak kabur.

Tambah Nilai 3-Menunaikan Salah Satu Hak Anak-Anak

Tempat : Kolam Renang Hotel Pauh Inn, PTSS.
Tarikh : Pagi , 4 Disember 2010.


Razak Nordin berpesan : Kasih sayang itu indah. Kasih sayang itu anugerah.

Tambah Nilai 2-Program Pembinaan Sahsiah







Program Pembinaan Sahsiah PLK Sesi Disember 2010.
Tarikh : 2 hingga 4 Disember 2010
 Slot Pusat Islam-Aktiviti Kerohanian
LDK-Soal Selidik Solat.

Razak Nordin berpesan : Terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak. Moga ada kebaikan walaupun sedikit. 

Tambah Nilai 1-Kursus Bahasa Isyarat

Kursus Bahasa Isyarat
Tempat : Unit Multimedia, PTSS.
Tarikh : 2 Disember 2010.

Sedang mengeja nama sendiri menggunakan bahasa isyarat..'R'
Khusyuk menghayati sambil berbincang!!
Semua peserta bersemangat !!!
Mari mencuba sendiri..
    Razak Nordin berpesan ; Langkah demi langkah. Terima kasih kepada tenaga pengajar dan rakan-rakan yang 'sporting' dan penuh komited.
Share/Bookmark