Saturday, January 9, 2010

Skim DH ; Surat Untuk Sahabatku ; Razak Nordin

Salam..

Saudara Razak

Saudara apa khabar? Di kejauhan ini saya doakan saudara sihat sejahtera hendaknya disamping orang-orang yang saudara sayangi dan kasihi. Saya juga doakan mudah-mudahan rahmat Ilahi sentiasa mengiringi perjalanan hidup saudara. Moga Allah s.w.t. panjangkan umur, murahkan rezeki, ditetapkan Iman di atas akidah yang betul serta dipermudahkan segala urusan dunia menuju akhirat yang kekal abadi. Semoga dunia ini menjadi jambatan yang baik untuk menuju akhirat yang pasti.

Maafkan saya jika warkah yang tidak diundang ini sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman saudara. Tetapi sebagai kawan lama rasanya wajar juga untuk saya berkongsi pandangan dengan saudara tentang Skim DH untuk pensyarah politeknik yang sama-sama kita telah pilih itu. Ada orang mengatakan "terpaksa memilih". Terpulanglah. Rela atau terpaksa. Hakikatnya kita sama-sama telah berada di dalamnya. Barangkali tiada lagi jalan pulang dan tiada lagi peluang untuk kembali ke pangkalan jalan.

Saudara Razak,

Saya berpandangan jika tiada jalan kembali, apa gunanya kita menangis sampai keluar air mata darah sekalipun. Tentunya sia-sia sahaja rasanya. Pada saya lebih baik kiranya kita gunakan masa yang ada untuk belajar menerima hakikat serta menyusun strategi untuk mengharungi perjalanan masa hadapan. Saya juga bersetuju dengan ungkapan bahawa langkah seribu bermula dengan langkah yang pertama. Marilah sama-sama kita mulakan langkah pertama bersama-sama. Senang atau susah adalah asam garam yang telah lama merencah dalam hidup manusia.

Saudara Razak,

Dalam kesempatan yang ringkas ini, izinkan saya membawakan dua contoh bagi menjelaskan maksud surat saya ini. Jika contoh perbandingan yang cuba saya bawakan ini tidak sesuai untuk saudara, abaikan sahaja. Namanya pun pandangan peribadi. 

Pertamanya ; 

Realiti hidup manusia di dunia ini tentunya berbeza-beza. Ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang sederhana hidupnya, ada yang bahagia, ada yang derita, ada yang sengsara dan segala macam lagi. Manis, pahit, maung, masin, kelat adalah antara istilah yang selalu digunakan orang bagi menggambarkan liku-liku perjalanan hidup ini. Halangan berada di mana-mana. Bukan selalunya bahagia, senang dan mudah. Dan bukan juga selalu derita, sengsara dan diiringi airmata. Adakalanya ia bersilih ganti. Lumrah alam untuk manusia barangkali. 

Persoalannya? Adakah dengan segala halangan serta segala-segala yang tidak "menggembirakan" dalam hidup kita di dunia ini, kita boleh kembali masuk ke dalam perut ibu kerana menyesal dilahirkan lantaran terpaksa menghadapi bermacam "benda yang kita tidak ingini"  dalam hidup ini. Meminta mati tentunya perkara pasti yang amat dilarang oleh agama. Jadi, apa pilihan yang kita ada? Barangkalinya menyusun strategi dan membuat yang terbaik dalam meneruskan perjuangan hidup ini. Dalam kata lain, hidup mesti diteruskan kerana kita telah berada di dunia dan di hadapan kita hanya ada akhirat. Tiada pilihan lain.

Saudara Razak,  

Keduanya ;

Kalau boleh saya buat andaian. Katalah,  kita kini dalam ekspidisi pendakian gunung Kinabalu setelah melalui kesusahan penerbangan dan segala kesusahan lain untuk sampai ke bumi Sabah apatah lagi untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu tentunya. Dan ketika kita sudah semakin hampir sampai ke puncak Gunung Kinabalu, tentunya semua pendaki merasa penat, letih dan sebagainya. Adakah patut ketika itu kita saling menyalahkan, menyatakan penyesalan atau hanya duduk di situ sambil menunggu-nunggu keajaiban akan berlaku tanpa membuat apa-apa kecuali merungut-rungut sahaja? Pada saya ia sesuatu yang tidak wajar dan tidak patut. Ketika itu pada saya, kita hanya ada tiga pilihan, meneruskan pendakian sampai ke puncaknya atau turun balik sebelum sampai ke puncak dan semuanya menjadi sia-sia sahaja. Harus ditanya juga. Berbaloikah kita turun ketika kita sudah hampir sampai ke kemuncaknya.  Atau kita boleh terjun ke bawah "melepaskan" kekesalan, kebencian dan kemarahan kita, lalu kita hilang dan berkubur tanpa nisan entah di mana. Saya berpandangan begini. Mahu tidak mahu, ketika saat-saat yang genting seperti itu, ada baiknya kita bertenang seketika, mengumpulkan tenaga, menyusun strategi terbaik, bekerjasama antara kita dan meneruskan pendakian sampai ke puncak gunung Kinabalu dengan jayanya.  

Saudara Razak,

Begitulah dua contoh yang boleh saya bawakan untuk kita kongsikan bersama. Bandingannya. Hakikatnya, kita telah dan sudah pun memilih atau terpaksa memilih Skim DH. Seperti yang saya katakan di atas tadi. Memilih atau terpaksa memilih, kita telah pun berada di dalamnya. Pada saya, kita tiada banyak pilihan. Yang terbaik ketika ini pada saya adalah "buatlah apa yang patut daripada tidak buat langsung apa-apa yang patut". 

Saudara Razak,

Sebagai kawan lama,  pesan di bawah mungkin ada manfaatnya untuk kita bersama.
"Jika kita menunggu kesempurnaan, tunggulah sampai bila-bila". 

Saudara Razak,

Untuk kali ini, rasanya setakat ini sahaja coretan saya untuk saudara. Jika ada kelapangan masa bolehlah kita berlepak cara moden di facebook atau berbalas email. Jika segan bercakap di telefon. 

Sebelum mengundur diri, izinkan saya memohon maaf jika bahasa yang saya gunakan ada kesilapan di mana-mana, mengguris hati dan juga perasaan saudara. Saya menyerahkan bulat-bulat kepada saudara sama ada ingin menerima atau menolak pandangan saya itu. Pilihan tetap di tangan saudara. Tiada paksaan. Tentunya dari sahabat untuk sahabatnya jua. Sehingga ketemu lagi.

Sahabat lamamu.
Pokok bin Kayu
Politeknik Tepi Tasik
Pauh Ulu
60020
Uara
Lisper.

p.s ; bila nak tambah sorang lagi? Untuk kita-kita aje...huhuhu.... Apa-apa hal emaillah ke alamat email di atas atau jumpa di facebook, kita lepak gaya moden.

2 comments:

adanz said...

guano xdok ore balah ko surat ni? doh tok buh pecah kaca pecah gelas dekpong!

ajaknordin said...

Ado doh ore balas..tapi kot email ja..nanti kalu ado maso kawe copy deh...huhuhu

Share/Bookmark