Monday, March 22, 2010

Jabatan Pengajian Am; Relevenkah Wujud Di Politeknik.

"Payah rupanya mengajar subjek yang orang tak suka ni, baru tau, selama ini ingatkan macam mana", begitulah lebih kurang cakap ajuk yang pernah diucapkan oleh seorang pensyarah yang bukan dari Jabatan Pengajian Am apabila beliau mencuba untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Hampir 11 tahun lamanya.
Itulah antara "perasaan dan pilu" yang saya alami selama menjadi pensyarah Jabatan Pengajian Am di politeknik.
Bukan setakat pahit, saya telan segala kepahitan bersekali dengan hempedu-hempedunya juga.  Betapa pahitnya.

Bukan mudah.
Memulakan kerjaya di Politeknik Kota Kinabalu Sabah pada Julai 1999, sehinggalah sekarang ini sudah mencecah tahun 2010. Bermula Disember 2003 sehingga kini masih setia meneruskan khidmat bakti di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. 

Jabatan sokongan, nama jolokan yang cukup sinonim. Entahlah apa yang disokongnya saya pun tidak pasti. 

Mengajar subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Tamadun Islam. Subjek yang "kurang" nilai "komersial".
Ibarat susahnya memberi makan anak-anak kecil antibiotik yang berbau busuk tetapi ia perlu dan wajib dihabiskan.
Ibarat susahnya memaksa kuda untuk minum air, tidaklah sepayah untuk membawanya ke air.  
Ibarat menyediakan hidangan yang tidak disukai oleh jemputan pada majlis keraian. Makanan tidaklah habis, sisanya pula dibiarkan bertimbun di dalam pinggan dan mangkuk.
Ibarat perkahwinan secara paksaan tanpa kerelaan empunya badan, bahagianya tiada, yang banyaknya hanyalah resah dan gelisah. Setiap tahun mengandung  dan melahirkan anaknya juga. Tetapi cinta dan sayangnya pula berkala-berkala.

Payahnya bukan pada mendapatkan antibiotik, tetapi payahnya pada memberikan anak-anak kecil makan antibiotik yang "berbau busuk" itu.
Payahnya bukan pada membawa kuda ke air, tetapi payahnya adalah untuk "menyuruh" kuda itu minum air. 
Payahnya bukan pada menyediakan makanan, tetapi payahnya pada menyediakan makanan yang memenuhi selera semua orang.  
Payahnya bukan pada melangsungkan perkahwinan, tetapi payahnya pada memaksa dua hati yang tiada "rasa" untuk saling cinta menyintai serta saling sayang menyanyangi.
"Payah"nya bukan pada subjek yang diajar, tetapi payahnya pada "memaksa orang untuk menyintai pilihan keluarga sedangkan dia sudah mempunyai pilihan hati yang sudah bertahun lamanya menyulam cinta dan rindu".
Payahnya untuk belajar sesuatu yang tidak berapa disukai dan diminati. Adat manusia memang begitu. Kita dan mungkin orang lain juga.

Sepanjang hampir 11 tahun itu.
Saya melaksanakan amanah itu dengan "sesungguhnya". Cuba memberikan yang terbaik dicelah-celah kehampaan yang acapkali juga bertandang. Saya pendamkan segala keresahan dan kegelisahan yang selalu bertandang. Berbakti di dunia demi kesinambungan di akhirat kelak. Melebarkan senyum selagi mampu, menutup segala gundah yang selalu mendatang.

Kadang itu saya terfikir juga.
Berbaloikah "mengusung" laptop dan LCD sampai ke tingkat 4.

Kepuasan?

Pada saya semuanya terletak kepada kepuasaan. Saya puas apabila maklumat dapat disampaikan dengan cara yang paling baik, sistemetik dan berkesan. Sementara kepuasaan pula memerlukan reaksi dua hala. Kepuasaan pada memberi dan juga kepuasaan pada menerimanya juga. "Hukum" memang begitu. Suami puas, isteri pun perlu puas juga (bacaan 18 tahun ke atas sahaja). Pengajar "puas", pelajar pun "puas" juga.

Baru berbaloikan?
Seronoknya mengusik anak-anak kecil ialah apabila adanya tindakan balas yang diberikan. Lagi "kecoh" tindakbalasnya, maka lagi seronoklah usik-mengusiknya. Puasnya apabila ada tindakbalas itu. Sebab itu saya tidak pernah menemui orang-orang usik-mengusik dengan batang kayu atau benda-benda bukan hidup yang lain. Kerana batang kayu atau benda-benda bukan hidup yang lain tiada naluri untuk bertindakbalas yang "kecoh-kecoh".

"Tindakbalas" yang baik selalunya merangsang tindakbalas yang baik juga tentunya. Dalam ilmu pendidikan yang saya pernah belajar dahulu dinyatakan bahawa peneguhan itu ada dua jenis ; peneguhan positif dan peneguhan negatif. Dan selalunya peneguhan positif banyak merangsang ke arah pencapaian yang lebih baik berbanding peneguhan negatif yang adakalanya bersifat membunuh.

Selalu saya katakan.
Terbaik pada saya tidak semestinya terbaik pada penerimaan orang lain. Tetapi setiap kali saya berbuat sesuatu saya pastikan ia adalah yang terbaik dari saya. Saya tidak suka main-main dalam memberi.

Dalam kelamaan masa itu.
Adakalanya puas juga. Terima kasihlah pada yang pernah, sedang dan akan menghargai.

Sehingga ini.
Relevenkah Jabatan Pengajian Am di Politeknik?

Razak Nordin berpesan ; Cukuplah. Antaranya sahaja. Tergantung dan perlukan kesudahan.

1 comment:

Ibnu 'Uthman said...

Sama-sama kita jadikan ianya sentiasa releven... Takbir!!!