Tuesday, March 30, 2010

Maka Benarlah Kata-Kata Itu

Benarlah
Maksud perpatah Arab ; "Aqal yang sihat berada dalam tubuh badan yang sihat".

Lagi benarlah sabda Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Rebutlah LIMA PERKARA sebelum datangnya LIMA PERKARA. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat : masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima : masa hidup sebelum tiba masa mati.”
(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Setelah agak lama juga Allah S.W.T memberikan nikmat sihat kepada saya, Allah mengujinya lagi dalam seminggu dua ini dengan rasa kurang stabil dari segi ketidaklaratan badan. Dan secara langsungnya ia sedikit sebanyak mengganggu dari segi kemampuan berfikir dan mengingat sesuatu. Dan banyak jugalah tugas-tugas dan tanggungjawab serta amanah-amanah yang terbantut walaupun tidaklah sampai terbengkalai terus. Mudah-mudahan ada hikmat-hikmat yang baik yang sengaja Allah S.W.T. takdirkan kepada diri saya disebalik apa yang sedang berlaku.

Pesan orang bijak pandai ; Bersangka baiklah terhadap Allah s.w.t. dengan apa sahaja yang telah ditentukan untuk kita. Hakikatnya memang Allah S.W.T. lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita manusia, hamba-hambanya. Dan yakinlah bahawa Allah tidak taklifkan atas bahu seseorang kecuali sesuatu yang ditaklifkan itu mampu ditanggung oleh seseorang itu.

Besarlah mohon limpah perkenan kepada Allah s.w.t. agar saya diberikan kekuatan yang berterusan dan berpanjangan dalam menghadapi ujian yang tidak sebesar mana ini. Semoga kesembuhan juga yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. akhirnya.

Maaf juga kepada orang-orang yang berada diseputar hidup saya, sekiranya dalam seminggu dua ini saya tidak sepertinya. Isteri, anak-anak, sahabat handai dan juga para pelajar saya.

Razak Nordin berpesan; Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.  Jangan sampai terlewat.

No comments: