Tuesday, March 16, 2010

Mengantuk ; Anda Ada Jawapannya?

Sebetulnya.
Saya belum memahami secara pasti apakah sebenarnya fenomena mengantuk. Tetapi saya "faham benar" bahawa apabila ia datang, melawannya bukanlah sesuatu yang mudah. Setakat ini ubat paling mujarab untuk mengantuk adalah tidur. Sama ada dengan cara berbaring atau duduk sambil menundukkan kepala. Bahkan ada yang tersandar di kerusi dengan mulut ternganga, malahan lebih teruk ada yang "terlengkup" di birai meja sehingga mengeluarkan bunyi dengkur dan air liur basi.

Lazimnya.
Saya akan "membiarkan" mana-mana pelajar yang mengantuk dan tertidur di dalam kelas meneruskan "istirehat' mereka "semahunya".

Saya tidak rasmi, cara itu saya warisi daripada salah seorang bekas pensyarah saya semasa belajar dulu-dulu. Hujahnya yang masih saya ingat, orang mengantuk jangan dipaksa untuk segar. Kalau jaga pun, tiada apa yang mampu difikir dan dilakukan. Biarkan si mengantuk itu tidur adakalanya lebih baik daripada dia mengganggu sesi kelas yang sedang berjalan. 

Pergi ke tandas, basuh muka. Masuk kelas mengantuk semula. Bangun lalu buat regangan otot, bila duduk mengantuk juga. Kena marah, ditarik telinga, jentik telinga, sudahnya terlena juga.

Dan saya menerimanya dan mewarisi ilmu itu sedikit-sedikit.  Kerana adakalanya saya juga begitu.
Sumber : Koleksi peribadi

Tidur ialah keadaan rehat badan semula jadi yang dialami seluruh dunia fauna. Tidur diamalkan oleh semua mamalia dan burung, dan turut diperhati pada kebanyakan reptilia, amfibia dan ikan. Bagi manusia, mamalia-mamalia lain, dan kebanyakan besar haiwan-haiwan lain yang pernah dikaji — seperti ikan, burung, semut, dan bari-bari — tidur secara kerap adalah penting untuk kemandirian. Namun, tujuan tidur tidak jelas sepenuhnya, sebaliknya masih menjadi titik tengah kaji selidik yang berterusan.[Sumber]

Dikutip dari pengalaman sendiri dan juga kawan-kawan, selalunya fenomena mengantuk mudah menjelma dalam tiga keadaan.

Pertama ; Ketika mendengar ceramah atau kuliah. Tidak kiralah sama ada dalam kelas, semasa berkursus, berseminar, berforum, berdiskusi, mendengar khutbah di masjid dan aktiviti-aktiviti seumpamanya selagi kita menjadi pendengarnya. Dan tidak mustahil penceramah itu juga turut tertidur apabila ditakdirkan dia pula menjadi pesertanya pada masa yang lain. Yang ini, bahaya tahap dua barangkalinya. Ketika kita bersemangat bercakap, berpidato, bersyarah, berfalsafah, kita merasa hairan dan "marah-marah"  kerana masih ada yang tersenggut-senggut kerana mengantuk bahkan ada yang tanpa segan silu tertidur terus. Dan apabila kita menjadi pendengar, kita pula menjadi seperti mereka. Dua kali lima. Lima kali dua juga. Jawapannya adalah sepuluh. Persoalannya. Kenapa jadi begitu? Saya belum menjumpai jawapannya. Jika anda ada, kongsilah dengan saya.

Kedua ; Mengantuk akan datang tiba-tiba apabila baru sahaja memulakan pemanduan. Pejam celik, pejam celik, terkebil-kebil. Pasang radio kuat-kuat. Harapnya kebisingan menghilangkan rasa mengantuk. Sudahnya, terkebil-kebil lagi. Mengantuk yang bukan dibuat-buat. Makan makanan yang masam-masam, mengantuk tidak juga hilang. Silap-silap haribulan, macam-macam yang boleh berlaku. Sudahnya. Berhenti seketika untuk melepaskan mengantuk yang tidak dapat ditahan-tahan lagi itu. Yang ini pula bahaya tahap satu rasanya. Silap-silap nyawa jadi taruhan.

Ketiga ; Kebiasaannya, seseorang itu amat mudah untuk mengantuk dan terus terlena apabila kenderaan yang dinaikinya mula bergerak. Tidak kiralah sama ada bas atau kenderaan-kenderaan awam yang lain mahupun kenderaan-kenderaan milik sendiri. Yang ini pula mungkin rahmat kepada penumpang-penumpang bas ekspress, kenderaan-kenderaan persendirian tetapi "buang karan" bagi pemandu-pemandu kereta jika teman bicara mula di lamun mimpi. Akhirnya si pemandu pula mula mengantuk. Daripada tiada apa-apa, akhirnya bertukar menjadi bahaya tahap satu.

Jika anda ada jawapannya atau mungkin cara penyelesaiannya. Kongsilah dengan saya. Harap-harap ada kebaikan darinya.
Razak Nordin berpesan ; Bila mengantuk disorongkan bantal. Bila lena diganggu mimpi-mimpi yang menyiksakan jiwa dan fizikal. Fenomena apakah itu? Tapi hati-hati, jangan bercakap jika mengantuk, anda akan mula merapu-merapan!!!!

No comments:

Share/Bookmark