Saturday, March 27, 2010

Radix Pizza ; Tidak Rugi Mencubanya.

Radix Satay Saiz L.
Harga : RM 21++
Walaupun saya adalah ahli HPA yang bernombor 372176 tetapi tulisan ini adalah tanpa prejudis. Bukan bertujuan untuk kempen atau promosi produk-produk HPA. Pilihan. Dulu, kini dan selamanya tetap di tangan anda. Mungkin sekadar ingin berkongsi pengalaman. Kalau berminat untuk mencubanya selepas membaca coretan ini, silalah rasainya sendiri kemudian andalah yang berhak secara mutlak untuk menilainya.

Ahad lepas.
Saya sempat "menyusahkan" En. Rashdan dan Puan Farizah(terima kasih banyak-banyak-rasa bersalah pula selepas En. Rashdan dan Puan Farizah "terbalik" awal ke PTSS mungkin kerana kiriman pizza tersebut) dengan mengirimkannya untuk membelikan isteri saya Pizza Radix. 

Kebetulannya En. Rashdan sebelum itu ada menelefon saya bertanyakan di mana lokasinya Radix Pizza. Dan kebetulannya saya pula tidak tahu di mana lokasinya kerana saya sebenarnya tidak pernah sampai pun ke situ. Lalu saya minta dia menghubungi Ustaz Yasir untuk maklumat tepat kerana Ustaz Yasir pernah singgah makan di Pizza Radix tersebut. Lokasinya di kawasan Village Mall, Sungai Petani, Kedah.  

Memenuhi permintaan isteri yang teruja dengan cerita tentang En. Rashdan yang singgah di Pizza Radix. Dengan muka "tebalnya" saya menelefonnya kembali untuk mengirimkan sebiji Pizza tidak kiralah apa perasanya. Katanya, sudah lama benar dia ingin mencubanya. Cuma sebelum ini tiada kesempatan yang sesuai untuk singgah mencuba. Belum ada rezeki kata orang.

Tidak mengecewakan.
Itulah barangkali kata-kata yang boleh saya lontarkan walaupun saya sebenarnya bukanlah seorang peminat pizza. Seingat saya, ini merupakan kali kedua saya merasai pizza sepanjang hidup ini. Kali pertama hanyalah "satu segitiga" yang kecil itu sahaja. Itupun kerana ingin menjaga hati isteri.

Berjaya menghabiskan "tiga segitiga" yang kecil itu bagi seorang yang bukan peminat pizza saya rasa bukanlah sesuatu yang mudah. Hari pertama satu "jurai". Hari kedua pula dua "jurai". Saya tidak pandai dan berhak untuk menilainya bagi pihak orang lain sama ada ianya sedap atau tidaknya. Ukuran sedapnya pada saya hanyalah pada banyak mana yang berjaya saya habiskan. Mungkin juga kerana ianya kena dengan "rasa" lidah saya. Dan selepas ini saya tidak akan teragak-agak dan takut-takut lagi untuk singgah di Pizza Radix untuk mencubanya lagi. Kerana sebelum ini saya cukup "takut" setiap kali isteri bercadang untuk singgah memakan pizza kerana saya "akan terpaksa" makan juga untuk menjaga hati isteri. Untuk akan datang, Insyaallah tidak lagi. Semuanya dengan kerelaan hati sendiri.  

Kepada peminat-peminat Pizza yang kebetulan lalu di Sungai Petani atau yang tinggal di kawasan Sungai Petani, sudi-sudilah jenguk-jenguk serta singgah rasa di Radix Pizza di kawasan Village Mall Sungai Petani, Kedah. Mana tahu. Mungkin ia kena dengan selera anda. 

Razak Nordin berpesan ; Selamat mencuba.  Saya tidak dibayar sebarang royalti untuk menulis tentang perkara di atas. Sekadar perkongsian dan saya rasa tidak rugi untuk anda mencubanya walaupun hanya sekali.

No comments: