Wednesday, March 31, 2010

SHAMS : Aku Pernah Menjadi Wargamu 1985-1991.

Dalam perjalanan pulang dari bercuti di kampung halaman tempohari, saya sempat singgah sebentar di hadapan sekolah lama saya untuk mengabadikan beberapa foto sebagai tanda kenangan dan ikatan yang berkekalan.

SHAMS(MATAHARI).
SHAMS adalah nama singkatan kepada Sek. Men. Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Letaknya di Jalan Budiman Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu. Berhadapan dengan Sek. Ren. Keb. Seri Budiman(kalau masih menggunakan nama lamanya).

Ternyata SHAMS sudah banyak yang berubah. Dulunya kebanyakan tanahnya tandus dan gersang. Tetapi sekarang ini wajah fizikalnya sudah banyak yang berubah. Moga-moga "roh-roh" lamanya terus segar.

Saya dan rakan-rakan seangkatan merupakan generasi kedua sekolah tersebut yang sebenarnya baru memasuki tahun kedua kewujudannya semasa saya mula-mula menjadi warganya. Pada mulanya kami hanya menumpang di Sekolah Menengah Seri Budiman. Kelamaan menyebabkan saya sudah lupa nama asalnya tetapi lebih "glamour" dengan nama "sekolah Bunut". Kemudian kami berpindah ke SHAMS secara tetap setelah bangunannya sudah sedia untuk digunakan. Cumanya saya masih "ingat-ingat lupa" sama ada nama SHAMS digunakan sejak dari mula-mula penubuhannya atau digunakan setelah dibuat penukaran namanya. Tetapi yang pasti dikenang dan masih kekal diingatan kini hanyalah SHAMS.

Saya kira tidaklah susah sangat menjaga dan mendidik kami pada waktu itu. Mungkin atas dua sebab sekurang-kurangnya.

Pertama : Kami generasi kedua yang masih tiada "idola" yang besar-besar lagi untuk dijadikan contoh menyebabkan kami "sedikit mudah" untuk dibentuk.

Keduanya : Mungkin kerana jumlah kami tidaklah ramai sangat ketika itu. Lebih mudah untuk mengawalnya.

Sekurang-kurangnya pula ada empat "budaya" yang cuba diterapkan oleh pihak pengurusan sekolah untuk kami pada masa itu.

Pertama   :  Setiap pagi dipasangkan kaset-kaset yang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al Quran.

Kedua     : Setiap pagi sebelum kelas kami diberikan pengisian rohani berbentuk tazkirah oleh ustaz-ustaz kami.

Ketiga      : Diperdengarkan juga bacaan ayat-ayat suci al Quran berserta dengan terjemahannya sekali setiap pagi.

Keempat  : Kewajipan menunaikan solat zohor secara berjemaah untuk semua warganya sama ada yang tinggal di rumah atau pun yang tinggal di asrama.
 
Lama juga saya di sini untuk menghabiskan zaman persekolahan menengah saya. Bermula dari tahun 1985 hinggalah tahun 1991. Kira-kira 7 tahun lamanya. Bermula dengan kelompok besar sehingga tinggallah kami "beberapa kerat" untuk menyambung pembelajaran di tingkatan enam. Dulu-dulu pernah juga rasa"terhina" jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang berjaya memasuki matrikulasi UIA dan juga Kusza pada masa itu. Rasa terhina yang tidak patut ada pun sebenarnya.

Dan ada antara kami yang mendapat 9 agregat tetapi memilih untuk menyambung pembelajaran ke tingkatan 6. Saya masih ingat lagi sebabnya. Hanya UITM Shah Alam hajat hatinya tetapi tidak tertunai pada ketika itu atas sebab-sebab yang saya sendiri pun tidak pasti. Dan mungkin dialah antara "penawar duka" kami pada masa itu barangkalinya. Itu tidak termasuk yang mendapat 10,11 agregatnya. Dan saya pula tidak buruk benar agregatnya. 14 agregat. Untuk anak kampung serba kekurangan dari segi "fizikalnya" tetapi tidak dari segi rohani dan semangat juang, tambahan pula baru mengenal daerah kebandaran, saya kira ada patutnya saya berbangga dengan apa yang saya perolehi pada masa itu. Membesar bersama nasi berlaukkan ikan singgang dicicah dengan budu hampak berperahkan limau nipis, mengapa saya harus merasa terhina dengan pencapaian "sehebat" itu? Titik. 

Saya orang "pertengahan". Tidak banyak yang saya sumbangkan demi menaikkan nama SHAMS. Dan tentunya SHAMS pula tidak pernah menyimpan nama saya dalam memorialnya. Tetapi hati saya tidak pernah melupakan SHAMS yang pernah saya menongkah hidup di dalamnya. Belajar merangkak, bertatih dan berjalan yang perlahan-lahan itu sehinggalah saya menjadi seperti hari ini. Kira jadi oranglah juga kata orang sekarang.

Saya datang ke bumi SHAMS dengan segala kepayahan yang ada. Seperti yang saya katakan, saya adalah anak kampung yang baru mengenal daerah kebandaran. Bukan mudah untuk saya berubah dan cuba menyesuaikan diri dengan banyak cara yang berbeza. Segalanya terasa canggung dan yang banyaknya adalah ketidakselesaan. Saya kira pada masa itu semuanya banyak bertolak dari perasaan rendah diri sebagai anak kampung yang serba di "bawah". "Pitis" yang tidak pernah cukup. Bayaran yuran asrama yang sentiasa tertunggak.   Dan terlalu banyak "kisah hidup" yang tidak akan saya ceritakan di sini. Biarlah ia abadi dalam diari sendiri, untuk saya ceritakan pada anak-anak saya apabila mereka mula mengerti nanti. Bahawa inilah antara liku-liku perjalanan hidup yang pernah Abi mereka lalui. Mudah-mudahan mereka akan lebih mengerti. Titik sekali lagi.

Buat guru-guru yang pernah mengajar, mendidik, memberikan tunjuk ajar, membimbing dan semuanya lagi. Terima kasih banyak-banyak atas jasa-jasa kalian. Yang manis-manis dan yang pahit-kelat juga. Tahulah bagaimana Allah s.w.t. untuk membalasnya. Dan saya tidak bercadang untuk menyebut nama-nama guru-guru yang pernah menaburkan jasa-jasa mereka kepada saya selama menjadi warga SHAMS. Kerana semua mereka sentiasa di hati.

Dan saya tumpang berbangga kerana namamu SHAMS acapkali juga memasuki surat-surat khabar atas kejayaan-kejayaan yang telah dilakarkan oleh warga-wargamu kalaupun bukan saya.

Buat teman-teman yang pernah dan masih mengenali saya dan terbaca blog ini, sudi-sudilah berkongsi kisah-kisah lama jika masih ada yang ingat. Harapnya adalah kebaikannya walaupun sedikit cuma.
Razak Nordin berpesan ; SHAMS. Saya amat berbangga kerana pernah menjadi wargamu suatu ketika dulu.

1 comment:

Abdullah Risuki said...

Jak
nama sebelum SHAMS ialah Sek Men Agama Seri Budiman

tengok balik sijl SRP masih nama SMASB tu.........

Jak
Kawe di shams 1985 - 1989 . bila kita mula kenal each other?