Wednesday, March 24, 2010

Surau Tua Ini Surau Kita

Ini surau di hadapan rumah saya di Kampung Bukit Kulim 21600 Marang, Terengganu.

Saya ingat-ingat lupa bilakah tarikh rasmi ia dibina. Yang masih diingati,ketika itu saya masih kecil tetapi kecil yang sudah boleh mengingati banyak perkara, termasuk kisah surau tua ini. Seingat saya usianya sudah melangkau lebih 30 tahun tetapi surau ini masih setia berbakti untuk sesiapa yang masih sudi untuk sujud di atas sejadah di lantainya.

Surau tua ini dibina secara bergotong royong dalam semangat hidup berkampung. Berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Yang berat menjadi ringan, yang susah menjadi mudah. Berganding bahu menggunakan tulang empat kerat untuk membangunkan surau ini. Tapaknya adalah tanah wakaf milik penduduk setempat. Dananya dari lelahnya petani di sawah, juga dari susu yang mengalir lesu dari batang pokok getah tua di perbukitan, terbina dari semangat waja orang-orang kampung yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah. "Berjuang" bukan kerana nama dan sanjungan manusia. Tiada sponsor, tiada tajaan, tiada sumbangan. Tiada pujian dan sanjungan melampau. Semuanya dari poket sendiri-sendiri yang tidak pernah penuh itu.

Sesungguhnya.
Saya penuh yakin bahawa selagi ada matahari yang bersinar dan bulan yang bercahaya, surau ini akan terus berbakti. Ia tidak pernah dan tidak akan pernah tewas. Selama-lamanya. Yang tewas hanyalah manusia yang mendatanginya. Adakalanya bermasam muka atas kekhilafan tetapi yang menjadi mangsanya adalah surau dan masjidnya. Di banyak tempat ia sering berlaku. Pengalaman masa lampau banyak "memaklumkan" kepada saya tentang apa yang saya maksudkan di atas. Dan saya pernah merasai "derita" itu. Tersiksa jiwa dan raga sebagai imam muda surau kecil dan tua itu dengan karenah "pengunjung" yang pelbagai. Surau ini selalu dihati dan jiwa saya selagi saya melata di bumi Tuhan ini.

Kesempatan berkunjung dikala bercuti di kampung halaman baru-baru ini menyentuh rasa yang bukan sedikit.

Seronoknya hati melihat orang-orang lama yang masih "memerah kudrat" memakmurkan surau tua itu walaupun jumlahnya tidaklah ramai mana. Cik, Abang Mad, Pok Adam, Pok We, Pok Loh, Pok Soh, Mat Robi dan lain-lain. Mereka setia dulu, kini dan mungkin selagi hayat dikandung badan. Mudah-mudahan begitulah.

Melihat anak-anak remaja penyambung warisan yang begitu ramai juga bersolat jemaah dan juga mengaji al Quran melebihi jumlah orang-orang tua yang ada, membuatkan hati saya benar-benar tersentuh, terharu gembira dan rasa "ingin" yang amat sangat. Ramai antara mereka saya tidak kenal namanya pun. Mungkin kerana saya ditakdirkan tidak membesar di kampung halaman sendiri semenjak di tingkatan satu lagi. Atau masa terlalu cepat "membawa" mereka menjadi remaja. Terasa rindu benar untuk kembali berbakti di surau kecil dan tua itu. Setidak-tidaknya boleh juga menjadi pembimbing kepada remaja-remaja tersebut yang tentunya perlukan bimbingan itu. Seterusnya untuk "merasai" kembali masa-masa indah silam yang pernah ditinggalkan itu. Bersama orang-orang kampung adakalanya lebih mudah berbanding bersama cendiakawan-cendiakawan yang hebat-hebat. Mereka adakalanya lebih mudah dibawa berbincang, lebih mudah menerima pandangan serta lebih mudah dalam banyak hal walaupun karenah manusia akan tetap ada di mana-mana. Bezanya mungkin sedikit dan banyak. Senang dan payahnya sahaja.

Terlalu banyak nostalgia.
Di Surau inilah saya belajar dan mengerti banyak perkara tentang hidup ini.

Di sini ;
Di sinilah saya belajar mengenal Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.
Di sinilah saya belajar mengenal agama.
Di sinilah saya belajar mengenal al Quran.
Di sinilah saya belajar hidup bermasyarakat.
Di sinilah saya belajar menjadi pemimpin kecil kepada masyarakat besar. 
Di sinilah saya belajar menjadi bilal dan imam muda.
Di sinilah saya belajar solat berjemaah.
Di sinilah saya belajar erti saling menghargai.
Di sinilah saya belajar bersetuju untuk tidak bersetuju.
Di sinilah saya belajar tentang payahnya memimpin manusia yang pelbagai karenah dan pandangan hidup.
Dan sinilah saya belajar banyak perkara sama ada tersurat dan tersirat. Yang boleh dikongsi dan yang tidak boleh dikongsikan.

Saya "mengambil alih" menghidupkan surau ini selepas tamat pengajian di UKM sekitar tahun 1996 hingga bulan Julai tahun 1999 apabila mula berkhidmat secara rasmi dengan kerajaan Malaysia. Sebelum itu bapa saya yang menjadi imam di situ dan dia ditakdirkan sakit panjang selama lebih 10 tahun lamanya. Lama surau ini mengalami masa suramnya. Sekali terang, sesekali suram dan sesekali pula gelap gulita.

Bukan mudah rupanya menghidupkannya kembali walaupun ianya hanyalah sebuah surau kecil. Anak muda yang masih mentah dengan pengalaman dan ilmu, belum berkahwin dan tentunya belum mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Saya pernah katakan pada mereka yang masih setia. Biarlah kita bangun dan jatuh bersama. Kalau rebah, kita rebah bersama. Namun untuk kita tinggalkan surau ini saya tidak akan "membenarkannya" sama sekali. Surau ini adalah maruah kita. Surau ini adalah harga diri kita. Kita bina bersama dengan betapa banyaknya keringat dan airmata yang pernah mengalir untuk ia menjadi seperti hari ini. Kita pejuang bermaruah. Demi agama bukan yang lain. Titik.

Biarlah saya pendamkan segala pengalaman pahit maung dan saya hanya sudi berkongsi pengalaman yang manis-manis sahaja. Saya tidak bercadang untuk meluahkan segalanya di sini.

Ketika itu.
Sayalah Imamnya.
Walaupun arwah emak amat tidak bersetuju saya menjadi Imam ketika itu kerana bimbang tentang salah betulnya bacaan al Quran saya. Tapi saya katakan pada emak baik-baik. Kalau bukan saya siapakah lagi yang akan memimpin jemaah ini. Betul. Saya bukan gading tetapi hanya tanduk muda. Tetapi tanduk berguna juga ketika gading bertuah tiada bersama. Saya bukan rotan, cuma akar muda tetapi akar berguna juga jika tiada rotan dalam simpanan.  Ingin mencari semuanya seperti Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat nabi, mereka semua telah tiada. Dalam keberatan itu, arwah ibu menerima juga alasan saya. Dan dengan kudrat yang ada saya berusaha memimpin jemaah itu sebaiknya. Dan sejak itu hati saya sentiasa resah. Antara kebimbangan arwah ibu dan tuntutan fadhu kifayah mesti saya laksanakan. Dan sehingga ibu pergi menemui Ilahi kira-kira 6 bulan yang lalu. Kerelaan dan kebenaran itu tidak pernah diberikan dan saya pula tidak sempat meminta keizinan baru.

Dan sayalah bilalnya dalam kebanyakan masa yang ada.
Saya azan dan kemudian sayalah menjadi imam solatnya. Dengan penuh keberatan tetapi penuh azam saya memimpin jemaah yang ada secara merangkak, bertatih, berjalan dan jarang-jarang sekali mampu berlari. Saya tidak rela surau kecil ini yang dibina dengan segala kepayahan dan kesusahan orang-orang terdahulu dibiarkan usang tidak berpenghuni. Saya akan pastikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha di tunaikan di sini semasa saya berada di kampung. Biarlah yang berkereta, yang mempunyai motor dan kenderaan sendiri mencari masjid yang lebih selesa, nyaman dan mendamaikan.

Dan biarlah kami, yang capet dan datang berpimpin, yang buta dan datang bertongkat, yang uzur dan datang merangkak, ibu-ibu bersama anak-anak, nenek-nenek bersama cucu-cucu serta anak-anak terus setia di surau ini. Biar pun adakalanya hati kecil ini sering juga terluka tetapi cepat-cepat dihiburkan dengan muka-muka ceria yang masih sudi dan setia di surau ini.

Kerana.
Surau ini adalah surau kita.
Maruah kita.
Harga diri kita.
Maruah agama kita.
Dan semua orang pun mahu ke syurga juga. Bukan kita seorang sahaja.

Razak Nordin berpesan ; Sesungguhnya pada segala kejadian terdapat tanda-tanda untuk orang-orang yang berakal.

3 comments:

azwan said...

fuh..
mesti bnyk kenangan terindah..
dulu2 mesti meriah kan surau ni..
surau kat kampong saye pon da x ceria mcm dulu..
sebab ramai g masjid..
mgkin ade mkn free kot..
hehe...

ajaknordin said...

Tiada perkataan dan bahasa yang dapat menggambarkan secara hakiki..hanya yang pernah merasai akan memahami hakikatnya..Allah Maha Mengetahui

azwan said...

saya sokong!!

Share/Bookmark