Friday, April 30, 2010

Berubah : Pilihan Atau Keperluan Dan Kemestian

Saya tidaklah mempunyai banyak wang, duit atau "pitis".  Tetapi saya mempunyai sekurang-kurangnya empat akuan bank yang berlainan yang masih aktif. Hanya satu yang mempunyai "adalah sikit-sikit" di dalam akaunnya, sementara tiga yang lain hanya setakat hidup segan sahajalah.

Pertama : Akaun Bank Simpanan Nasional
Kedua    : Akan Ambank
Ketiga    : Akaun Maybank
Keempat: Akaun Bank Islam

Dan setiap satunya mempunyai sebab dan musabbab yang berbeza kenapa saya membuka akuan di bank-bank berkenaan.

Dan rasanya tidak perlulah saya ceritakan semuanya di sini.

Hanya satu.
Akaun Ambank terpaksa dibuka juga kerana elaun KPLI semasa saya membuat Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Kuala Terengganu dulu hanya dibayar melalui Ambank sahaja. Mahu tidak mahu, saya terpaksa membukanya juga walaupun jumlah banknya tidaklah banyak pada ketika itu di banyak tempat juga. Dan saya mengalami banyak "kepayahan" juga kerana pembayaran gaji pun saya menggunakan akaun Ambank juga semasa mula-mula bekerja di Sabah dahulu sehinggalah kini.

Mungkin pada masa itu tahap keyakinan orang ramai kepada keupayaannya masih di tahap rendah. "Kemalasan" saya untuk mengubah-mengubah benda-benda yang "kecil-kecil" menyebabkan saya terus bertahan dengan Ambank. Dan sehingga hari ini. Saya rasa berbaloi atas beberapa sebab. Antaranya saya tidak perlu beratur panjang setiap kali berurusan di kaunter atau di mesin pengeluaran wang. Barangkali kerana penggunanya tidaklah ramai. Persepsi saya sahaja.

Dari Terengganu, terus ke Kota Kinabalu, Sabah, kemudian ke Jitra, Kedah dan kini di Arau Perlis. Itulah antara yang telah dan pernah saya alami. Cuma sejak akhir-akhir ini, wujudnya mesin-mesin pengeluaran Ambank di banyak 7-Eleven banyak memudahkan pengguna-pengguna setia Ambank seperti saya. Akhirnya kesetiaan saya berbaloi juga rasanya. Bermula dengan pandangan sebelah mata.

Zaman Sudah Berubah.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Ambank kerana telah meningkatkan kualiti perkhidmatannya dalam proses pemindahan wang melalui "internet banking" antara bank yang berlainan.  Selalunya ia akan mengambil masa sehari untuk dipindahkan ke bank berlainan tersebut. Itu pun jika pindahan tersebut dilakukan sebelum tengahari pada hari berkenaan. Jika pindahan itu dilakukan di sebelah petangnya, maka pindahan itu akan "masuk" ke akuan pihak ketiga dua hari berikutnya. Cuma saya tidak teliti sangat "sempadan masa" antara pagi dan petang tersebut.

Tetapi apa yang saya alami pada hari Rabu tiga hari yang lepas sungguh menggembirakan saya kerana ia banyak memudahkan kerja-kerja saya. Pindahan wang dari bank ke bank yang saya mempunyai kepentingan selain Ambank adalah antara rutin bulanan saya walaupun tidaklah banyak. Antaranya, pindahan ke akaun Bank Islam untuk memudahkan pembayaran hutang Kad Kredit dilakukan. Walaupun tidak dipindahkan terus seperti pindahan dari bank ke bank yang sama. Tetapi sekurang-kurangnya saya tidak perlu lagi menunggu keesokan harinya untuk menggunakan wang di Bank Islam tersebut untuk melangsaikan bayaran-bayaran tertentu melalui "internet banking" dari akuan Bank Islam. Dipindahkan sebelah paginya dan apabila saya menyemak akuan Bank Islam sekitar jam 8 hingga 9 malam pada hari yang sama, wang tersebut telah pun "dipindahkan".

Saya harap apa yang telah terjadi itu bukanlah suatu kebetulan. Tetapi suatu peningkatan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pelanggannya. Yang masih setia seperti saya ini.

Dan kira berbaloilah juga kesetiaan saya itu barangkalinya.

Razak Nordin berpesan ; Dalam dunia penuh persaingan ini, perubahan mungkin bukan lagi satu pilihan tetapi suatu keperluan dan kemestian jika ingin terus releven dipersada. Tahniah Ambank!!!.

Thursday, April 29, 2010

Ketika Saya "Hilang Upaya"

Entah mengapa.
Dalam tempoh dua tiga hari ini, saya semacam hilang upaya untuk berfikir dan menulis secara "betul-betul puas".

"Banyak" benar rasanya "benda dan perkara" yang sedang "berjalan dan berlegar-legar" dalam kepala separuh bulat ini. Sebahagiannya terasa ingin dikongsikan di pokok-kayu ini. Tetapi "terasa ingin" sahaja rupanya belum berupaya untuk "mengeluarkan" sebahagian yang terpendam untuk menjadi tulisan dan bait-bait ayat.  

Dada terasa penuh.
Belakang leher terasa tegang.
Otak pula menjadi semacam "otak-otak".

Hakikatnya.
Tidak semua perkara dalam hidup ini boleh diselesaikan dengan sekadar berfikir. Perlunya kepada bertindak dan laluinya dengan iringan doa dan raja' yang mutlak kepada Allah s.w.t.
Mudah-mudahan semuanya direstui dan dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang. Menadah doa dengan penuh raja'. Hanya kepada Yang Maha Esa.

Razak Nordin berpesan; Semoga disejahterakan perjalanan pulang dan balik semula ke PTSS. Semoga dipermudahkan segala urusan hidup kini dan akan datang juga. Meneruskan perjuangan hidup. Mencari redha Ilahi.

Wednesday, April 28, 2010

Jika Engkau

Razak Nordin berpesan ;
Jika engkau menangis kerana  tidak mempunyai kasut, barangkali engkau masih beruntung kerana ada orang lain yang menangis kerana tidak mempunyai kaki untuk berjalan.
Jika engkau sakit hati dengan sebahagian kecil "manusia" yang tidak reti untuk menghargai dan menghormati, barangkali engkau masih beruntung kerana masih ada sebahagian lagi orang lain yang sudi menghargai.

"Ulul Azmi"kah seorang aku.

Monday, April 26, 2010

Catatan Hujung Minggu

Catatan ini dituliskan sebaik sahaja tiba di rumah dari Pantai Merdeka, Sungai Petani  selepas berjumpa dengan bapa dan ibu mertua yang kebetulannya cuti-cuti hujung minggu di sana bersama ahli-ahli kelab "POP"nya. "POP" adalah singkatan kepada Persatuan Orang-Orang Pencen. Kelab "suka-suka" bagi orang-orang pencen. Tidak rasmi, tetapi agak aktif juga. Walaupun kepala masih pening-pening sejak pagi tadi, tetapi "terapi minda" melalui penulisan mesti saya tunaikan juga.

Hujung minggu yang sedikit "terisi" walaupun agak kepenatan juga.

Flashback

Petang Jumaat 23 April 2010.
Saya terpaksa mengambil cuti ganti pada hari jumaat semata-mata untuk mengambil kesempatan menziarahi kedatangan "orang baru" dalam keluarga kami di Padang Serai, Kedah. Anak ketiga dan terakhir bagi adik perempuan saya dan anak  saudara yang kelapan kepada saya. Cucu kelapan ini tidak sempat dilihat, ditimang, dibelai serta dicium oleh arwah Tok Wannya.

Selepas usai solat fardhu jumaat, kami sekeluarga bertolak ke Taman Mahsuri di Padang Serai dengan iringan doa agar semuanya selamat dan dipermudahkan segala urusan berkaitan. Dan kami sekeluarga sampai ke destinasi yang dituju sekitar jam 5.15 petang. Alhamdulillah.

Kebetulan pula abang, kakak ipar serta anak-anak saudara dan adik saya dari Terengganu juga datang pada masa yang sama.  Dan isteri saya pula terpaksa bekerja pada hari Sabtu keesokan harinya. Jadinya, selepas selesai makan malam, kami terpaksa bergegas pulang ke rumah semula.

Alhamdulillah.
Segalanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Sekitar pukul 10.38 malam kami sekeluarga selamat sampai di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. Perjalanan terus tanpa menyinggah di mana-mana destinasi lain lagi.
Orang baru dalam keluarga kami

Sabtu 24 April 2010
Sebelah pagi.
Isteri ke sekolah dengan tugas-tugas yang tidak pernah akan selesai itu dan saya melayan karenah anak-anak di rumah sehingga ke tengahari. Sempat sekejap menjenguk ke Dewan Harum Manis untuk menyaksikan pertandingan sepaktakraw jemputan Perlis. Peel anak-anak yang pelbagai macam karenah tidak mengizinkan saya berlama-lama di situ.

Balik ke rumah 'merimaskan juga". Siaran astro yang tergendala kerana masalah penerimaan "signal" sedikit sebanyak memberikan tekanan juga kepada saya. Oh dunia ini. "Terseksakah" hidup anak-anak zaman ini tanpa astro. Entahlah. Tetapi sedikit-sedikit saya terasa juga kesannya. Menghubungi pihak asrto melalui talian bebas tol dan insyaallah, jaminan yang diberikan seawalnya Isnin ini barulah pihak astro akan datang untuk melihat masalah sebenar kenapa "signal" tidak dapat diterima dengan baik. 

Petangnya.
Isteri bercadang untuk membeli hadiah Abah dan Maknya sekali.
Membawa isteri jenguk-jenguk ke C-Mart Arau yang baru di buka sekitar 2 hari yang lalu tetapi tidak kesempatan untuk singgah dan membeli apa-apa pun. Along tertidur dalam kereta sebelum sempat kereta sampai ke C-Mart Arau. Terpaksalah isteri saya bersama Razin turun berdua sahaja. Akhirnya isteri saya pulang dengan tangan kosong kerana tidak larat untuk beratur panjang kerana terlalu ramai pembeli yang sedang beratur untuk membayar barang-barang yang ingin dibeli.

Dalam hati saya bermonolog " Umpama semut mengerumuni gula, gulanya habis, semut menghidapi penyakit kencing manis dan akhirnya yang kaya raya taukeh gula juga".

Ahad 25 April 2010.
Bertolak dari rumah kediaman sekitar jam 9.15 pagi. Singgah sebentar di Sungai Petani kerana isteri ingin membelikan hadiah-hadiah yang tertangguh kelmarin. Selesei membeli, meneruskan perjalanan ke Pantai Merdeka. Sampai di sana sekitar jam 12 tengahari.

"Percutian" saya sedikit terganggu kerana tiba-tiba kepala terasa pening dan saya "hampir jatuh" sebaik sahaja sampai di sana tetapi sempat duduk untuk menenangkan keadaan. Sudahnya saya menjadi kurang aktif dan membiarkan isteri dan anak-anak beramah mesra dengan abah dan mak serta atuk dan opah mereka.

Lebih kurang pukul 3.20 petang, kami bertolak pulang dan kepeningan kepala saya semakin berkurangan tetapi saya belum bersedia untuk singgah di mana-mana. Sebagai memenuhi hajat isteri, saya gagahkan diri untuk singgah beli Radix Pizza di Sungai Petani. "Cash and Carry" sahaja. Itulah syarat utamanya. Isteri yang turun dan saya menemani Along yang lena di tempat duduk belakang Innova. Berbaloi juga rasanya.

Malamnya.
Kepala masih "berat" dan saya "tidur-tidur" yang tidaklah lena. Mata dipejam tetapi kepala otak pula bersimpang siur "memikirkan" pelbagai macam karenah hidup. Ada yang bersangkutan dan ada yang "kurang bersangkutan". Ada yang perlu dan ada yang "tidak perlu" difikirkan oleh saya. Semuanya berhimpun dalam ketika yang sama dan usaha untuk mengusir ia pergi tidaklah berjaya sepenuhnya.

Sudahnya.
Saya tidak berjaya menyiapkan coretan ini malam tadi dan terpaksa disambung ke petang 26 April 2010. Lebih kurang "dua hari" lamanya. Tetapi syukur kerana saya berjaya juga untuk melelapkan mata malam tadi walaupun masih lagi diganggu mimpi-mimpi meletihkan minda dan fizikal yang nampaknya terus menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Razak Nordin berpesan ; Akhirnya dapat dikirim juga walaupun mengambil masa yang agak lama.

Saturday, April 24, 2010

Pokok-Kayu.Blogspot.Com Berwajah Baru

Hari ini.
pokok-kayu.blogspot.com sedikit berubah dari segi penampilan. Biarlah "bentuk wajah" tidak sesegak mana, tetapi penampilan perlulah sentiasa dijaga. Terlalu statik dalam tempoh yang agak lama mungkin akan menimbulkan kebosanan dan kejemuan. Diri sendiri terutamanya dan juga pengunjung-pengunjung setia jika ada.

Perlukah berubah..
Seumpama penampilan diri manusia juga. Kacak, segak dan "hansom" pada paras rupa adalah anugerah Allah "tertentu untuk seseorang". Dan semua itu, kata orang bersifat relatif. Berbeza sudut pandang dari seseorang dengan seseorang berdasarkan cita rasa sendiri.

Dan perubahan juga "pengkemaskinian" penampilan yang dilakukan paling tidak pun untuk kepuasan sendiri kalau pun ianya tidak mampu membahagiakan orang-orang diseputar hidup kita.

Bagi lelaki.
Rambut digunting sesuai dengan bentuk muka, diminyak serta disisir rapi.
Misai dan janggut dijaga supaya "terbela".
Bulu-bulu yang tidak diperlukan, dicukur selalu.
Kulit wajah juga perlu dibersihkan.
Pewangi semerwak wanginya.
Dan lain-lainnya.

Bagi perempuan.
Bubuhlah gincu "secukup rasa".
"Lukislah" mana yang perlu tetapi jangan sampai "tabarruj".
Hiasilah dengan mana-mana aksesori jika perlu tetapi jangan sampai "tabarruj" juga.
Semburlah kewangian untuk menambah aroma ghairah di kala bersama suami.
Dan seumpanya lagi.

Air yang  bertakung tanpa mengalir boleh membiakkan jentik-jentik serta nyamuk yang boleh membawa ancaman kepada manusia dan paling tidak pun mengeluarkan bau-bauan yang mengundang ketidakselesaan hidung untuk menghidunya. 

Peubahan adakalanya perlu.
Bukan semata-mata untuk dilihat berbeza. Tetapi perlu untuk mencari sudut "terbaik diri" untuk diri sendiri dan orang lain juga. Berubah menjadi lebih baik bukan sebaliknya.

Sebagaimana...
Hiasan rumah perlu juga berubah penampilannya untuk mengelakkan kebosanan penghuninya dengan landskap yang tidak pernah berubah. Lalu lahirlah rancangan Casa Impian bersama Eric.

Menu masakan juga perlu berubah gaya "persembahannya" agar sentiasa melahirkan rasa "ingin" tangan untuk menjamahnya, mulut untuk memakannya dan lubang tekak untuk menelannya. Lalu lahirlah Chef Wan, Chef Li dan juga Chef Zam.

Hatta hubungan suami isteri acapkali juga perlukan "kelainan" untuk mengelak kejemuan dan kebosanan. Mungkin teknik, posisi dan gaya persembahan. Lalu carilah sendiri ilmu-ilmunya....

Mudah-mudahan perubahan penampilan ini akan menambah keyakinan kepada pokok-kayu untuk melangkah lebih jauh dalam dunia blog ini. Bukanlah hangat-hangat tahi ayam sahaja jadinya.

Razak Nordin berpesan ; Selamat maju jaya buat pokok-kayu. Jangan sampai bersawang dalam masa yang lama.

Friday, April 23, 2010

Hukum Berpuasa Pada Hari Jumaat Sahaja-Versi Update

Lepas kelas petang semalam, ada seorang pelajar bertanya kepada saya tentang hukum berpuasa sunat pada hari Jumaat sahaja.

Saya katakan bahawa puasa sunat Jumaat, Sabtu dan Ahad hendaklah digabungkan antara keduanya. Ertinya Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak boleh berpuasa secara tunggal tetapi hendaklah  digabungkan sama ada sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. Hujah itu berdasarkan ingatan saya terhadap ilmu-ilmu yang pernah saya pelajari dulu-dulu. Saya berpegang bahawa hukumnya adalah haram berdasarkan ilmu-ilmu yang saya pernah dapat dan saya masih berpegang dengannya. Dan jika kefahaman saya silap dan seandainya saya salah ingatan terhadap ilmu-ilmu yang saya pernah pelajari dulu-dulu, saya mohon ampun banyak-banyak dengan Allah s.w.t. Dan pohon maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah mendapat jawapan serupa itu. Dan jika ada kebetulannya. Moga ada manfaat yang dapat diperolehi.

Di bawah ini diperturunkan dua hadis untuk semakan bersama ;  

982. Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda : Janganlah kamu puasa pada hari Jumaat, melainkan bersama satu hari sebelumnya atau sesudahnya."

983. Dari Juwairiyah binti al Harits r.a., katanya bahawasanya Nabi s.a.w. datang ke rumahnya pada hari Jumaat, sedangkan ia (Juwairiyah) sedang puasa. 
Sabda Nabi s.a.w., "Apakah engkau puasa kelmarin?"
Jawabnya, "Tidak!"
Sabda Nabi s.a.w., "Apakah engkau ingin puasa pula esok?"
Jawabnya, "Tidak!"
Sabda Nabi s.a.w., "Berbukalah".   
(Dipetik dari Terjemahan Hadis Shahih Bukhari Jilid I,II,III,IV AL IMAM AL BUKHARI)

Dan tidak dijelaskan pula sama ada Juwairiyah tersebut menuruti suruhan Nabi s.a.w. tersebut atau meneruskan puasa sunatnya itu. Allahu'alam.
Di bawah ini saya bawakan pula maklumat yang saya jumpa di internet dari Jabatan Mufti Negara Brunei Darussalam. Untuk rujukan lanjut. Dalam huraian tersebut dijelaskan bahawa larangan itu hanyalah berbentuk makruh sahaja. Allahu'lam.

Komentar dari orang-orang yang lebih mengetahui amat-amat diharapkan. Mencerahkan "kekelabuan" yang mungkin ada. Paling tidak pun untuk golongan "minoriti" yang masih berminat untuk mengetahuinya. 

Razak Nordin berpesan ; Andainya saya tersilap, semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa saya. Semoga kebaikan sentiasa bersama kita.

Thursday, April 22, 2010

Hajat Merungkai Pantang

Semuanya bermula secara tidak sengaja.
Apabila minggu lepas saya "tertengok" dan mengikuti rancangan Warung Kita di Astro walaupun sudah hampir di penghujung rancangan.

Dan kebetulan pula episod tersebut dirakamkan di Kuala Terengganu. Apa yang saya sempat "menikmatinya" ialah Farouk dibawa oleh seseorang dari Terengganu untuk menjamu selera di "keda ikang bako Pok Rosid" di Bukit Tunggal.

Menunya ;
Ikan merah bakar
Sotong bakar
Nasi putih
Acar.

Saya tertarik benar dengan sotong bakar yang dipersembahkan.
Sudah lama benar rasanya saya berpantang dari memakan makanan yang mengandungi kolestrol dan "pecoh liur" saya bukan sedikit melihat Farouk dan rakannya itu meratah sotong bakar ala Terengganu tersebut.

Dan petang tadi, saya dengan "penuh rasa berdosa" akhirnya telah melanggar pantang tersebut. Untuk penyedap hati, saya katakan pada diri sendiri "sekali sekala apa salahnya".

Sotong yang sedang dibakar...cara moden tanpa menggunakan arang..rasanya mungkin berbeza.
Dah pun masak..Bismillah semua.

Razak Nordin berpesan ; Hanya sesekali. Mengubat rindu.

Wednesday, April 21, 2010

Renungan Buat Pengguna Kad Kredit.

Tulisan ini tanpa prajudis.

Semata-mata untuk dijadikan iktibar dan ingatan tambahan untuk semua pengguna kad kredit seperti diri saya juga.

Jika anda terpaksa juga menggunakan kad kredit atas apa sebab sekalipun.
Beringatlah.
Iktibar dan ingatan saya mudah dan ringkas sahaja.

Jangan sesekali terlewat membayar ansuran kad kredit walaupun hanya sehari. Usahakan sedapat mungkin supaya pembayarannya dapat diselesaikan sebelum tarikh sebenar berakhir. Ini adalah kerana, sekiranya anda terlewat walau hanya sehari sekalipun anda akan dikenakan Caj Ganti Rugi Kelewatan Pembayaran(Ta'widh). Saya perasan tentang perkara ini. Cuma sedikit kelalaian terlewat membayar selepas sehari melepasi tarikh akhirnya, menyebabkan saya dikenakan Ta'widh sebanyak RM 17.21.

Contoh Bil Sebenar. Bukan sekadar hiasan.

Rujukan nombor yang telah dibulatkan.
1. Tarikh akhir pembayaran sepatutnya pada 05 April 2010.
2. Pembayaran dibuat pada tengahari 06 April 2010.
3. Ta'widh dicatatkan  pada 07 April 2010.
4. Jumlah ta'widh yang dikenakan : RM 17.21

Ta'widh akan dikenakan sebanyak 1% ke atas jumlah baki semasa atau minima RM 5.00 yang mana lebih tinggi sekiranya tiada pembayaran dibuat selepas tarikh akhir pembayaran atau pembayaran yang dibuat kurang daripada 5% bayaran minima. Jumlah maksima Ta'widh adalah RM 50.00. (Sumber : Dari bahagian belakang bil yang dikepilkan)

Walaupun RM 17.21 "tidaklah banyak" tetapi banyaklah juga. Kiranya "lepaslah" empat kali makan  tengahari bagi seorang makan di kedai pokok getah di hadapan kampus utama Unimap di Ulu Pauh, Arau,Perlis.  Paling tidak pun, lepaslah juga untuk dua kali makan tengahari bagi seorang makan jika kedainya lebih "standard" lagi, yang harga makanan pun tentunya "standard"lah juga. Walaupun rasa makanannya belum tentu ada "standard"nya.

Itupun tidak termasuk "Profit Charge" yang mesti dibayar tiap-tiap bulan selagi ada baki hutangnya. Dan untuk bulan ini "Profit Charge" yang saya terpaksa bayar adalah sebanyak RM 20.36. Ertinya untuk bulanan ini sahaja, saya mesti membayar "saja-saja" atas penggunaan satu kad kredit  adalah sebanyak RM 37.57.

Lagi banyak baki terhutang, maka lagi banyaklah "profit charge" bulanannya. Saya penuh yakin bahawa semua pemegang kad kredit sudah mengetahui perkara ini walaupun saya tidak menulisnya di sini. Mungkin berguna sebagai "makluman" kepada sesiapa sahaja yang sedang bercadang-cadang untuk memiliki kad kredit. Dengan itu, maka lagi banyaklah bayaran yang "saja-saja" itu terpaksa kita lakukan selama bertahun-tahun lamanya itu.

Dan betapa banyaknya bayaran yang "saja-saja" telah kita langsaikan demi "memenuhi" tuntutan hidup di akhir zaman ini.

Akhirnya.
Antara keperluan dan kemahuan memiliki kad kredit. Pilihlah mana yang terbaik untuk kita semua. Kerana kesan "baik buruknya" kita juga yang akan tanggung semuanya.

Selamat membuat pilihan bijak untuk hidup yang lebih harmoni tanpa hutang yang "tidak disedari" itu.

Razak Nordin berpesan ; Tersedar selepas terantuk ada baiknya juga daripada tidak tersedar langsung walaupun sudah acapkali terantuk dan terseradung.

Tuesday, April 20, 2010

Sebatang Gigi, Seekor Nyamuk

Alhamdulillah.
Setelah menukar "pain killer" terbaru, gigi geraham yang sakitnya "datang dan pergi" dalam tempoh seminggu ini "bertenang" seketika. Sebolehnya dan sedapat mungkin saya ingin mengelak dari menelan "pain killer". Merbahaya kata orang jika diamalkan selalu. Tetapi apakan daya.  Sakitnya gigi bukan sakit yang sebarangan. Hanya jauhari yang mengenal manikamnya. Sakit yang payah hendak ditafsirkan dengan kata-kata. Sesiapa yang pernah merasai, tentu faham apa yang saya maksudkan.

Jadinya.
Kerana sebatang gigi yang sakit, banyak kerja terbengkalai dalam sehari dua ini. Dan hari ini sakitnya telah mencecah di tahap "gaban". "Pain Killer" berwarna biru nampaknya kurang berkesan setelah di cuba beberapa kali. Dan apabila kesabaran sudah mencapai tahap yang tidak dikawal lagi. Terpaksalah saya mencari ikhtiar baru iaitu mencari "pain killer" yang lebih "power" untuk meredakan kesakitan buat sementara waktu setidak-tidaknya, sebelum ia diberikan ubat yang paling mujarab untuk "membuang" kesakitan itu iaitu mencabutnya.  Dan alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t jua, kesakitan itu reda seketika. Harap-harap redanya berpanjangan dan gigi tersebut tidak perlu dicabut lagi.

Keegoaan.
Patutkah manusia miliki  keegoan lagi seandainya kerana sakitnya sebatang gigi, derita sakitnya hanya Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui. Mengganggu sebahagian besar kelancaran hidup seharian dan semalamannya juga.

Duduk tidak kena.
Berdiri pun tidak kena.
Baring pun tidak kena.
Berjalan pun tidak kena.
Semuanya serba tidak kena.

Senang cakap.
Bila sakitnya gigi, "kegembiraan" kehidupan dalam banyak perkara akan terhenti seketika. Segala senyuman hilang di wajah. Yang berganti hanya kerutan di wajah menahan denyutan yang menghubung sampai ke otak.

Kisah Raja Namrud Dan Seekor Nyamuk.

Sehebatnya mana pun kita hari ini.
Sebesar mana pun pangkat kita hari  ini.
"Seberkuasa" mana pun kita hari ini.
Kebesaran dan kekebalan apa pun yang kita ada hari ini.
Dan segala macam lagi "ketinggian" di dunia ini hari ini kita "miliki".

Barangkali Raja Namrud lebih "tinggi" dari "kita-kita" semua jika perbandingan  kehebatan  dunia yang dimilikkan sementara oleh Allah s.w.t untuk menguji hamba-hambanya dijadikan sebagai ukurannya.

Sama ada semua itu menambah keimanan atau sebaliknya menambah perderhakaan dan kelaknatan kepada Allah s.w.t.

"Hebatnya" Raja Namrud sehinggakan namanya disebut di dalam Al Quran, Taurat, Injil dan kisah-kisah Islam. Sengaja Allah s.w.t "nukilkan" untuk manusia sebagai suatu pengajaran dan suri tauladan untuk sesiapa yang mempunyai akal dan mahu berfikir dengannya.   

Dan sehebat-hebat Raja Namrud. "Kemusnahannya" hanyalah kerana seekor serangga sekecil nyamuk sahaja, tentunya dengan kehendak Allah s.w.t. jua. Dan semua itu tidaklah Allah s.w.t menjadikannya hanyalah sia-sia sahaja.  

Ingatlah.
Bahawa pengajaran itu diambil dari lafaz yang umum bukannya dari sesuatu sebab yang khusus. Terjadi kepada Raja Namrud, tetapi pengajaran dan iktibarnya untuk semua manusia. Dulu, kini dan selamanya selagi ada manusia yang masih melata di permukaan bumi ini.

Sesungguhnya.
"Takutnya" melihat "keceluparan" yang makin membiak dalam masyarakat kita hari ini. Sama ada dalam bentuk percakapan dan tulisan juga. Seolah-olah hidup ini tiada pengakhiran dan tiada akhirat selepas berakhirnya dunia ini untuk "sebuah" pembalasan. Dan bertambah-tambah lagi takutnya apabila Allah s.w.t menegaskan bahawa apabila ditakdirkan datangnya bala Allah s.w.t kepada  manusia, bala itu tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim di kalangan kamu. Bahkan akan menimpa seluruh penghuni qaryahnya tanpa terkecuali.

Minta dijauhkan Allah s.w.t. hendaknya.
Dan semuanya itu "tidak cukup" dengan sekadar berharap. Jangan sampai terantuk, baru tersentak oleh sakitnya itu.

Dan jangan pula sampai terlewat yang menyebabkan "kita" terus "ditinggalkan dan dilupakan".

Razak Nordin berpesan ; Allah s.w.t. Maha Mengetahui.

Monday, April 19, 2010

Mulut Dan Tangan Itu

Gunalah "semahu" hatimu ;
nikmat mulut ini
 dan
juga nikmat tangan ini...

untuk berkata-kata dan menulis sama ada yang baik-baik atau yang buruk-buruk selagi gerak tutup bukanya masih menghasilkan suara. Selagi gerak tari jarimu membentuk kata-kata. Hingga saat ini mungkin belum ada sesiapa yang "mampu" menghalangmu dari engkau berkata-kata dan menulis sesuka hatimu. Caci, maki, fitnah dan segala macam adu domba yang menyakitkan hati dan perasaan manusia-manusia lain seperti mu jua.

Bahagialah engkau dengan sikapmu itu.

Cuma aku ingin bertanya ;
Pernahkah sekali dalam hidupmu tidur malammu terganggu oleh "laluan" hidup ini.
Pernahkah sekali dalam hidupmu kepalamu terasa pening-pening dan muntah-muntah.
Pernahkah sekali dalam hidupmu hidungmu pula selesema dan melelehlah air hidungnya.
Pernahkah sekali dalam hidupmu  merasai bagaimana sengsaranya jiwa apabila hati disakiti dan engkau tiada peluang dan ruang untuk "membalas"nya.
Pernahkah sekali dalam hidupmu isteri dan anak-anakmu sakit, derita dan sengsara.
Pernahkah sekali dalam hidupmu engkau merasai demam.
Pernahkah sekali dalam hidupmu engkau sakit-sakit perut dan cirit birit.
Pernahkah sekali dalam hidupmu engkau merasa sakitnya sakit gigi.
Pernahkah sekali dalam hidupmu engkau merasai pelbagai "kesakitan" lagi dalam mendepani hidup ini.

Jika jawapannya tidak.
Teruskan "kehidupan lamamu". Kerana engkau hampir sudah menjadi "Tuhan". Semacam Firaun. Tapi Firaun "tertimbus" juga akhirnya. Setakat ini belum ada yang abadi dan kekal. Sama ada seseorang itu sebaik-baik manusia atau sejahat manusia di kosmos milik Allah ini.


Jika jawapannya, Ya.

Ingatlah firman Allah s.w.t di bawah. Mudah-mudahan ia boleh mengingatkan kita semua. Manusia-manusia yang acapkali terlupa, mungkin atas pelbagai sebab dan kemungkinan.

 
Razak Nordin berpesan ; Dari sudut pandangan mana sekali pun, matlamat tidak mungkin menghalalkan semua cara.

Sunday, April 18, 2010

Bersediakah Anda Menghadapi Hari Tua.


Bersediakah anda menghadapi hari tua jika ditakdir panjang umurnya?

Persoalan ini pernah sekali saya "tampalkan di dinding" facebook saya. Saya sengaja meletakkan di situ dalam bentuk persoalan dengan harapan adalah respon-respon yang diberikan untuk perkongsian pandangan jika ada.

Berikut adalah respon yang telah diberikan oleh rakan-rakan. Mungkin ada yang releven dan ada yang tidak berapa releven dengan persoalan asal ;

Mungkin hari ini kita adalah lelaki perkasa, macho, hebat dan segala macam kehebatan-kehebatan kemudaan sebelum datangnya hari tua yang pasti itu, sebelum kita di bawa ke "sana" jua.

Seperti ini.
 

Atau ini.

Atau begini ;

Dan apabila sampai masanya. Bersedia atau tidak, ia pasti datang dan singgah jua.
Maksud saya mungkin seperti gambar-gambar di bawah ini ;  
Mampukah kita menjadi sehebat wanita tua ini?

Masih berkesempatankah kita bermesra dengan cucu-cucu dari anak-anak yang pernah kita tatang bagaikan minyak yang penuh itu. Berlimpah kasih dan sayang. 

Masih adakah kesempatan untuk kita berpimpin tangan tandanya kita saling menyayangi dan memerlukan dengan orang-orang yang kita sayang dalam menyelusuri penghujung perjalanan itu.

Atau tongkat inilah teman setia baru kita sementara menunggu untuk ke sana. Itu pun kalau panjang umurnya.

Razak Nordin berpesan ; Pohon izin kepada semua "pemilik-pemilik" asal gambar yang disalinkan di sini. Semuanya untuk tujuan kebaikan semata. 

Mereka Pun Pernah Gagal Juga

Razak Nordin berpesan ;




Saturday, April 17, 2010

Dialah Yang Menurunkan Dan Menjaganya.


Saya dan rakan-rakan "pernah secara maya" membuat kajian tentang topik di bawah ini ;


Sebab-sebab "kajian maya" tersebut dibuat adalah kerana sebab-sebab di bawah pula ;

 
Refleksi bukan maya, tapi realiti. Dan ia berlaku setiap semester. Hanya jauhari mengenal manikamnya.

Dan pagi tadi.
Saya bersama dua orang lagi rakan dijemput untuk menjadi juri pertandingan tilawah Al Quran peringkat saringan yang telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar SUP semester 4 Sesi Januari 2010. Dan insyaallah petang esok pertandingan peringkat akhir akan diadakan di Dewan Harum Manis.

Para Juri yang "arif lagi bijaksana".

Dalam "keresahan jiwa pendidik" dengan sebab-sebab yang disebutkan di dalam "kajian maya tersebut" di atas,  barangkali apa yang ditunjukkan oleh para peserta peringkat saringan tadi bolehlah menjadi sedikit pengubat "keresahan jiwa pendidik" tersebut kalau pun tidak sepenuhnya. Walaupun masih ada kelemahan tajwid yang berlaku tetapi secara dasarnya semua peserta ada kebolehan untuk membaca ayat-ayat suci Al Quran yang telah ditetapkan.  Dengan gilapan dan asahan berterusan serta "mengadap guru" untuk belajar mendalami, Insyaallah kelemahan-kelemahan tersebut dapat diperbaiki sedikit demi sedikit. Paling tidak, untuk memahami dan dapat mempraktikkan hukum asas tajwid yang lima itu untuk "keperluan sendiri" kalau pun tidak mampu jadi pakar tajwid Al Quran.

Dan tahniah kepada semua peserta yang berani mencuba. Mungkin inilah janji Allah yang telah dirakamkan di dalam Al Quran bahawa "Dialah(Allah)  yang menurunkan Al Quran dan Dialah yang akan memeliha dan menjaganya".

Walaupun nisbahnya mungkin kecil jika dibandingkan dengan jumlah "yang ramai itu" tetapi sekurang-kurangnya masih ada yang sudi dan boleh membaca Al Quran walaupun dengan kekurangan yang ada. Mudah-mudahan kekurangan, kelemahan serta segala kesilapan yang berlaku akan diampunkan oleh Allah s.w.t. hendaknya. Apa yang penting, usaha-usaha untuk memperbaiki diri perlu diteruskan dari semasa ke semasa.  Mana tahu dan harapnya begitulah, mereka ini akan menjadi penyambung warisan ketika "ramai orang malu-malu" untuk membaca Al Quran kerana ketidakmampuan membacanya. 

Dan sebagai tanda penghargaan saya untuk semua peserta, saya abadikan gambar-gambar mereka di bawah ini ;   
Peserta 1 berbaju kuning.

Peserta ke 2

Peserta ke 3
Peserta ke 4

Peserta ke 5

Peserta ke 6

Peserta ke 7

Peserta ke 8

Peserta ke 9

Peserta ke 10

Peserta ke 11

Peserta ke 12 dan terakhir.

Dan 4 qari dan 4 qariah telah terpilih  untuk bertanding pada peringkat akhir yang akan diadakan pada petang esok di Dewan Harum Manis. Jumpa di sana petang esok, Insyaallah. 

Dua dalam satu.
Mencari "pemenang" pertandingan dan lebih penting memupuk nilai-nilai menyintai Al Quran dengan cara mempelajari, membacanya dengan bertajwid serta memahami isi kandungannya untuk panduan hidup.
  
"Peserta dan penonton" yang boleh dilihat dan yang tidak boleh dilihat.


Razak Nordin berpesan ; Kecil Tapi Besar.

Friday, April 16, 2010

Mengajar Tidak Semuanya Dengan Kata-Kata.

"Abi, nok awan Abi?(Abi nak lawan ke)", masih pelat-pelat anak kedua saya yang baru berumur kurang lebih 2 tahun sebulan itu mengajak saya "berlawan" malam tadi sambil menunjukkan gaya "ultraman kosmosnya".

Entahlah dari mana anak sekecil itu "belajar" semua gaya-gaya itu. Pastinya, saya tersenyum dan tergelak melihat gelagat nakalnya anak kecil "sebesar" itu jika dibandingkan dengan usianya.

Dan sebelum sempat saya menjawab, dia sudah meluru ke arah saya bersama tumbukan "jitu lagi padunya" itu. Dan seperti biasa juga saya "meraung" kesakitan bersama "ketewasan" itu. Dan dia pula cukup seronok atas "kemenangan" pertarungan "satu lawan satu" itu.
Dan selepas seketika.
Sambil tersenyum dan tergelak kecil, kepala saya memikirkan sesuatu.

Mudah Menerima Dan Menyerap.
Anak-anak kecil mungkin sifatnya begitu. Mudah menerima dan menyerap sesuatu yang "disampaikan" kepadanya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Umur seusia itu saya rasa anak-anak banyak menerima "pelajaran dan pengajaran" daripada apa-apa yang dilihat diseputar hidupnya sama ada perkara itu baik atau sebaliknya. Mengikut sahaja apa yang "diterima dan diserap" tanpa mengetahui pun sebab dan akibatnya barangkali. Nama pun anak-anak kecil. Belum mengerti banyak perkara tentunya.

Memang.
Adakalanya cara saya agak "kasar dan ganas" apabila "bermesra" dengan anak-anak. Tetapi seingat saya, saya tidak pernah menggunakan perkataan "berlawan" itu apatah lagi mengajak mereka "berlawan" walaupun adakalanya ada juga saya mempamerkan aksi "pukulan terbang dan sisi" tetapi tanpa "ajakan" dan "pemberitahuan" pun. Bukan betul-betul, cuma main-main dengan anak-anak. Cuma caranya mungkin agak "kasar dan ganas" yang mungkin diwarisi dari kehidupan dulu-dulu yang mungkin sehingga sekarang masih membekas dalam "kelakuan" saya walaupun tidaklah banyak. Dan tentunya orang yang paling marah ialah isteri saya, kerana katanya saya mengajar anak-anak perkara yang "bukan-bukan".

Yang selalunya.
Perkataan yang acapkali dan selalu saya gunakan semasa melawak dengan anak-anak ialah " Nak tumbukan jitu lagi padu, boleh!!!!", saya bertanya dan saya pulalah yang menjawabnya, gigi dikacip tanda "geram", sambil genggaman tangan diacukan tepat ke hidung salah satu dari mereka pada waktu yang berbeza dan kedua-dua anak saya juga sering mengajuk-ajuk kata-kata itu beserta dengan tindakannya sekali. Tanda "geram sayang" untuk anak-anak. Itu saya akui. Dan anak-anak mula "menerima dan menyerap". Mungkin tanda "geram sayang" mereka kepada Abi mereka. Dan saya menerimanya sebagai gurauan bukan penderhakaan. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Tetapi hati kecil kadang itu berbicara juga. Bimbang-bimbang perkara ini dibawa ke "besar hidupnya". Harap-harap tidak begitulah. Dan selepas saya mula menyedari, "pukulan terbang dan sisi" telah di"hazaf"kan terus dalam modul lawak saya bersama anak-anak.

Dan juga.
Telah menjadi amalan dan budaya kami suami isteri memberi salam setiap kali memasuki mana-mana rumah sama ada rumah itu berpenghuni atau pun tidak. Tentunya rumah kami paling banyaknya. Melakukan amalan dan budaya tersebut tanpa menyuruh atau memaksa pun anak-anak mengikutinya. Tetapi tanpa disedari bila permulaan dan detik awalnyabudaya itu tanpa disedari mula diterima dan diserap oleh anak-anak saya. Sepelat mana pun, mereka mula belajar memberi salam apabila setiap kali masuk ke rumah. Amalan ini nampaknya memberikan hasil yang positif dan perlu diteruskan.

Dalam bahasa agama, mungkin inilah yang boleh disebut sebagai Lisanul Hal. Dakwah dengan menunjukkan contoh tanpa perlu "nasihat bercakap" melalui kata-kata. Dan dalam banyak perkara di dunia moden ini, Lisanul Hal mungkin lebih berkesan. Takut-takut nanti cakap tidak serupa bikin jadinya.  Atau dalam bahasa moden mungkin inilah yang dikatakan "contoh melalui tauladan". Atau kepimpinan melalui tauladan.

Bermula saat ini.
Mungkin saya perlu lebih "berwaspada" dalam menunjukkan aksi-aksi yang tidak sepatutnya di hadapan anak-anak. Memang itu yang sepatutnya pun. Dan mungkin orang lain juga.

Maaf.
Sebolehnya saya tidak berminat sangat menggunakan watak-watak dalam keluarga sendiri dalam menceritakan kisah-kisah. Mungkin boleh menimbulkan berat sebelah dan mungkin juga boleh memualkan orang yang membacanya. Tetapi ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam kes di atas. Saya mengalami sendiri dan atas sebab itulah mungkin, menjadi lebih mudah untuk saya kongsikan.

Razak Nordin berpesan ; "Ambillah" jika ada walaupun sedikit jernihnya . Yang keruh tinggalkan ia di muara.
Lihatlah keindahan bunga ini, walaupun baunya tidak boleh dihidu. Lihatlah bunga yang kembang mekar itu. Abaikan bangunan usang di"seberang" itu.

Wednesday, April 14, 2010

Pada Syurga Di Wajah-Wajah Mu



Razak Nordin berpesan ; Biarlah penghujungnya di syurga yang kekal lagi abadi.
Share/Bookmark