Monday, April 26, 2010

Catatan Hujung Minggu

Catatan ini dituliskan sebaik sahaja tiba di rumah dari Pantai Merdeka, Sungai Petani  selepas berjumpa dengan bapa dan ibu mertua yang kebetulannya cuti-cuti hujung minggu di sana bersama ahli-ahli kelab "POP"nya. "POP" adalah singkatan kepada Persatuan Orang-Orang Pencen. Kelab "suka-suka" bagi orang-orang pencen. Tidak rasmi, tetapi agak aktif juga. Walaupun kepala masih pening-pening sejak pagi tadi, tetapi "terapi minda" melalui penulisan mesti saya tunaikan juga.

Hujung minggu yang sedikit "terisi" walaupun agak kepenatan juga.

Flashback

Petang Jumaat 23 April 2010.
Saya terpaksa mengambil cuti ganti pada hari jumaat semata-mata untuk mengambil kesempatan menziarahi kedatangan "orang baru" dalam keluarga kami di Padang Serai, Kedah. Anak ketiga dan terakhir bagi adik perempuan saya dan anak  saudara yang kelapan kepada saya. Cucu kelapan ini tidak sempat dilihat, ditimang, dibelai serta dicium oleh arwah Tok Wannya.

Selepas usai solat fardhu jumaat, kami sekeluarga bertolak ke Taman Mahsuri di Padang Serai dengan iringan doa agar semuanya selamat dan dipermudahkan segala urusan berkaitan. Dan kami sekeluarga sampai ke destinasi yang dituju sekitar jam 5.15 petang. Alhamdulillah.

Kebetulan pula abang, kakak ipar serta anak-anak saudara dan adik saya dari Terengganu juga datang pada masa yang sama.  Dan isteri saya pula terpaksa bekerja pada hari Sabtu keesokan harinya. Jadinya, selepas selesai makan malam, kami terpaksa bergegas pulang ke rumah semula.

Alhamdulillah.
Segalanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Sekitar pukul 10.38 malam kami sekeluarga selamat sampai di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. Perjalanan terus tanpa menyinggah di mana-mana destinasi lain lagi.
Orang baru dalam keluarga kami

Sabtu 24 April 2010
Sebelah pagi.
Isteri ke sekolah dengan tugas-tugas yang tidak pernah akan selesai itu dan saya melayan karenah anak-anak di rumah sehingga ke tengahari. Sempat sekejap menjenguk ke Dewan Harum Manis untuk menyaksikan pertandingan sepaktakraw jemputan Perlis. Peel anak-anak yang pelbagai macam karenah tidak mengizinkan saya berlama-lama di situ.

Balik ke rumah 'merimaskan juga". Siaran astro yang tergendala kerana masalah penerimaan "signal" sedikit sebanyak memberikan tekanan juga kepada saya. Oh dunia ini. "Terseksakah" hidup anak-anak zaman ini tanpa astro. Entahlah. Tetapi sedikit-sedikit saya terasa juga kesannya. Menghubungi pihak asrto melalui talian bebas tol dan insyaallah, jaminan yang diberikan seawalnya Isnin ini barulah pihak astro akan datang untuk melihat masalah sebenar kenapa "signal" tidak dapat diterima dengan baik. 

Petangnya.
Isteri bercadang untuk membeli hadiah Abah dan Maknya sekali.
Membawa isteri jenguk-jenguk ke C-Mart Arau yang baru di buka sekitar 2 hari yang lalu tetapi tidak kesempatan untuk singgah dan membeli apa-apa pun. Along tertidur dalam kereta sebelum sempat kereta sampai ke C-Mart Arau. Terpaksalah isteri saya bersama Razin turun berdua sahaja. Akhirnya isteri saya pulang dengan tangan kosong kerana tidak larat untuk beratur panjang kerana terlalu ramai pembeli yang sedang beratur untuk membayar barang-barang yang ingin dibeli.

Dalam hati saya bermonolog " Umpama semut mengerumuni gula, gulanya habis, semut menghidapi penyakit kencing manis dan akhirnya yang kaya raya taukeh gula juga".

Ahad 25 April 2010.
Bertolak dari rumah kediaman sekitar jam 9.15 pagi. Singgah sebentar di Sungai Petani kerana isteri ingin membelikan hadiah-hadiah yang tertangguh kelmarin. Selesei membeli, meneruskan perjalanan ke Pantai Merdeka. Sampai di sana sekitar jam 12 tengahari.

"Percutian" saya sedikit terganggu kerana tiba-tiba kepala terasa pening dan saya "hampir jatuh" sebaik sahaja sampai di sana tetapi sempat duduk untuk menenangkan keadaan. Sudahnya saya menjadi kurang aktif dan membiarkan isteri dan anak-anak beramah mesra dengan abah dan mak serta atuk dan opah mereka.

Lebih kurang pukul 3.20 petang, kami bertolak pulang dan kepeningan kepala saya semakin berkurangan tetapi saya belum bersedia untuk singgah di mana-mana. Sebagai memenuhi hajat isteri, saya gagahkan diri untuk singgah beli Radix Pizza di Sungai Petani. "Cash and Carry" sahaja. Itulah syarat utamanya. Isteri yang turun dan saya menemani Along yang lena di tempat duduk belakang Innova. Berbaloi juga rasanya.

Malamnya.
Kepala masih "berat" dan saya "tidur-tidur" yang tidaklah lena. Mata dipejam tetapi kepala otak pula bersimpang siur "memikirkan" pelbagai macam karenah hidup. Ada yang bersangkutan dan ada yang "kurang bersangkutan". Ada yang perlu dan ada yang "tidak perlu" difikirkan oleh saya. Semuanya berhimpun dalam ketika yang sama dan usaha untuk mengusir ia pergi tidaklah berjaya sepenuhnya.

Sudahnya.
Saya tidak berjaya menyiapkan coretan ini malam tadi dan terpaksa disambung ke petang 26 April 2010. Lebih kurang "dua hari" lamanya. Tetapi syukur kerana saya berjaya juga untuk melelapkan mata malam tadi walaupun masih lagi diganggu mimpi-mimpi meletihkan minda dan fizikal yang nampaknya terus menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Razak Nordin berpesan ; Akhirnya dapat dikirim juga walaupun mengambil masa yang agak lama.

1 comment:

ajaknordin said...

Pembetulan..baru terperasan...anak sedara ke 9 dah rupanya..semakin tuakah aku ini...jumlah anak sedara pun dah tersilap kira