Friday, April 23, 2010

Hukum Berpuasa Pada Hari Jumaat Sahaja-Versi Update

Lepas kelas petang semalam, ada seorang pelajar bertanya kepada saya tentang hukum berpuasa sunat pada hari Jumaat sahaja.

Saya katakan bahawa puasa sunat Jumaat, Sabtu dan Ahad hendaklah digabungkan antara keduanya. Ertinya Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak boleh berpuasa secara tunggal tetapi hendaklah  digabungkan sama ada sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. Hujah itu berdasarkan ingatan saya terhadap ilmu-ilmu yang pernah saya pelajari dulu-dulu. Saya berpegang bahawa hukumnya adalah haram berdasarkan ilmu-ilmu yang saya pernah dapat dan saya masih berpegang dengannya. Dan jika kefahaman saya silap dan seandainya saya salah ingatan terhadap ilmu-ilmu yang saya pernah pelajari dulu-dulu, saya mohon ampun banyak-banyak dengan Allah s.w.t. Dan pohon maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah mendapat jawapan serupa itu. Dan jika ada kebetulannya. Moga ada manfaat yang dapat diperolehi.

Di bawah ini diperturunkan dua hadis untuk semakan bersama ;  

982. Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda : Janganlah kamu puasa pada hari Jumaat, melainkan bersama satu hari sebelumnya atau sesudahnya."

983. Dari Juwairiyah binti al Harits r.a., katanya bahawasanya Nabi s.a.w. datang ke rumahnya pada hari Jumaat, sedangkan ia (Juwairiyah) sedang puasa. 
Sabda Nabi s.a.w., "Apakah engkau puasa kelmarin?"
Jawabnya, "Tidak!"
Sabda Nabi s.a.w., "Apakah engkau ingin puasa pula esok?"
Jawabnya, "Tidak!"
Sabda Nabi s.a.w., "Berbukalah".   
(Dipetik dari Terjemahan Hadis Shahih Bukhari Jilid I,II,III,IV AL IMAM AL BUKHARI)

Dan tidak dijelaskan pula sama ada Juwairiyah tersebut menuruti suruhan Nabi s.a.w. tersebut atau meneruskan puasa sunatnya itu. Allahu'alam.
Di bawah ini saya bawakan pula maklumat yang saya jumpa di internet dari Jabatan Mufti Negara Brunei Darussalam. Untuk rujukan lanjut. Dalam huraian tersebut dijelaskan bahawa larangan itu hanyalah berbentuk makruh sahaja. Allahu'lam.

Komentar dari orang-orang yang lebih mengetahui amat-amat diharapkan. Mencerahkan "kekelabuan" yang mungkin ada. Paling tidak pun untuk golongan "minoriti" yang masih berminat untuk mengetahuinya. 

Razak Nordin berpesan ; Andainya saya tersilap, semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa saya. Semoga kebaikan sentiasa bersama kita.

No comments: