Friday, April 2, 2010

Kerana Pulut Santan Binasa, Kerana Mulut Badan Binasa.

Sebetulnya.
Saya tidak "faham sangat" kenapa santan binasa kerana pulut. Tetapi saya boleh fahamlah kalau badan binasa kerana mulut.

Mulut yang boleh bercakap dan mengeluarkan suara adalah antara nikmat hidup yang tidak ternilai harganya kepada manusia yang tahu menghargainya. Barangkalinya saya tidak perlu menyenaraikannya satu persatu di sini.

Cuma satu. Antaranya.
Salah satu tanda syukur manusia kepada nikmat itu ialah menjaga lidah yang berada di dalam mulut itu agar terpelihara daripada kebinasaan yang berpunca darinya. Sama ada kebinasaan secara terus di dunia ini atau kebinasaan akhirat yang dijanjikan dengan neraka yang amat celaka itu.

Kebinasaan dunia.
Mungkin kehilangan ramai kawan dan secara tidak langsung mencipta ramai musuh dalam hidup seseorang. Dari segi fizikalnya mungkin kita akan di"penamparkan", dipukul, dibelasah, diamuk dan mungkin juga ditembak dikepala  sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Dari segi rohani, mungkin jiwa dan nurani kita sentiasa sengsara dan merana lantaran ramainya musuh yang kita ciptakan itu. Rasa tidak dihargai, tidak diendahkan, tidak dipedulikan, jiwa gelisah, dimaki hamun, diherdik mungkin antara "sengsara dan merana hidup" untuk kita di dunia ini. Dan kalaulah tiada kebinasaan di dunia untuk semua itu kerana kita memang "tiada rasa dan perasaan langsung" tentang apa yang berlaku, tunggulah akhirat yang pasti itu.

Iaitu pada hari yang dinyatakan oleh Allah s.w.t.  dalam Surah Yasiin ayat 65.

65. pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan.(Terjemahan dari software al Quran).

Saya yakin ramai yang tahu perkara ini, cuma mereka "kurang sedar". Pada saya tahu dan "sedar" adalah dua perkara yang berbeza. Sedar apabila sesuatu yang diketahui itu memberikan "kesan" kepada orang yang mengetahui sesuatu itu. Tidak kiralah sama ada kesan untuk melakukan atau kesan untuk meninggalkannya.

Kepada sesiapa yang pernah "terkena".
Sabar dan ingatlah.
Kerana di dunia ini.
Tidak semua kesakitan boleh dibalas dengan kesakitan juga.
Tidak semua fitnah boleh dibalas dengan kebenaran.
Tidak semua kebencian boleh dibalas dengan kebencian juga.
Barangkali atas banyak sebab.
Mungkin kerana kita orang yang tiada apa-apa.
Kerana kita tiada kuasa.
Kerana kita dipihak yang lemah dan seumpamanya lagi.
Kerana kita hanya...... 

Kepada yang selalu tidak pandai "jaga mulut dan lidah".
Sedarlah juga.
Lambat laung kau akan terkena juga.
Ingatlah.
Kehidupan ini ada dua.
Dunia dan akhirat juga.
Sebab itu untungnya ada akhirat.
Kerana Allah s.w.t akan membalasnya "bagi pihak" kita. 

Maaf. Terlalu banyak simbolik. Tanyalah Jauhari manakah manikamnya. Mungkin Jauhari tahu!!!
Dalam salah satu kaedah Islam disebutkan ; Pengajaran diambil dari lafaz yang umum bukannya dari sebab yang khusus.

Razak Nordin berpesan;  Untuk Jin dan manusia juga. Serta Iblis dan keturunannya yang enggan lagi takabbur.

No comments: