Friday, April 16, 2010

Mengajar Tidak Semuanya Dengan Kata-Kata.

"Abi, nok awan Abi?(Abi nak lawan ke)", masih pelat-pelat anak kedua saya yang baru berumur kurang lebih 2 tahun sebulan itu mengajak saya "berlawan" malam tadi sambil menunjukkan gaya "ultraman kosmosnya".

Entahlah dari mana anak sekecil itu "belajar" semua gaya-gaya itu. Pastinya, saya tersenyum dan tergelak melihat gelagat nakalnya anak kecil "sebesar" itu jika dibandingkan dengan usianya.

Dan sebelum sempat saya menjawab, dia sudah meluru ke arah saya bersama tumbukan "jitu lagi padunya" itu. Dan seperti biasa juga saya "meraung" kesakitan bersama "ketewasan" itu. Dan dia pula cukup seronok atas "kemenangan" pertarungan "satu lawan satu" itu.
Dan selepas seketika.
Sambil tersenyum dan tergelak kecil, kepala saya memikirkan sesuatu.

Mudah Menerima Dan Menyerap.
Anak-anak kecil mungkin sifatnya begitu. Mudah menerima dan menyerap sesuatu yang "disampaikan" kepadanya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Umur seusia itu saya rasa anak-anak banyak menerima "pelajaran dan pengajaran" daripada apa-apa yang dilihat diseputar hidupnya sama ada perkara itu baik atau sebaliknya. Mengikut sahaja apa yang "diterima dan diserap" tanpa mengetahui pun sebab dan akibatnya barangkali. Nama pun anak-anak kecil. Belum mengerti banyak perkara tentunya.

Memang.
Adakalanya cara saya agak "kasar dan ganas" apabila "bermesra" dengan anak-anak. Tetapi seingat saya, saya tidak pernah menggunakan perkataan "berlawan" itu apatah lagi mengajak mereka "berlawan" walaupun adakalanya ada juga saya mempamerkan aksi "pukulan terbang dan sisi" tetapi tanpa "ajakan" dan "pemberitahuan" pun. Bukan betul-betul, cuma main-main dengan anak-anak. Cuma caranya mungkin agak "kasar dan ganas" yang mungkin diwarisi dari kehidupan dulu-dulu yang mungkin sehingga sekarang masih membekas dalam "kelakuan" saya walaupun tidaklah banyak. Dan tentunya orang yang paling marah ialah isteri saya, kerana katanya saya mengajar anak-anak perkara yang "bukan-bukan".

Yang selalunya.
Perkataan yang acapkali dan selalu saya gunakan semasa melawak dengan anak-anak ialah " Nak tumbukan jitu lagi padu, boleh!!!!", saya bertanya dan saya pulalah yang menjawabnya, gigi dikacip tanda "geram", sambil genggaman tangan diacukan tepat ke hidung salah satu dari mereka pada waktu yang berbeza dan kedua-dua anak saya juga sering mengajuk-ajuk kata-kata itu beserta dengan tindakannya sekali. Tanda "geram sayang" untuk anak-anak. Itu saya akui. Dan anak-anak mula "menerima dan menyerap". Mungkin tanda "geram sayang" mereka kepada Abi mereka. Dan saya menerimanya sebagai gurauan bukan penderhakaan. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Tetapi hati kecil kadang itu berbicara juga. Bimbang-bimbang perkara ini dibawa ke "besar hidupnya". Harap-harap tidak begitulah. Dan selepas saya mula menyedari, "pukulan terbang dan sisi" telah di"hazaf"kan terus dalam modul lawak saya bersama anak-anak.

Dan juga.
Telah menjadi amalan dan budaya kami suami isteri memberi salam setiap kali memasuki mana-mana rumah sama ada rumah itu berpenghuni atau pun tidak. Tentunya rumah kami paling banyaknya. Melakukan amalan dan budaya tersebut tanpa menyuruh atau memaksa pun anak-anak mengikutinya. Tetapi tanpa disedari bila permulaan dan detik awalnyabudaya itu tanpa disedari mula diterima dan diserap oleh anak-anak saya. Sepelat mana pun, mereka mula belajar memberi salam apabila setiap kali masuk ke rumah. Amalan ini nampaknya memberikan hasil yang positif dan perlu diteruskan.

Dalam bahasa agama, mungkin inilah yang boleh disebut sebagai Lisanul Hal. Dakwah dengan menunjukkan contoh tanpa perlu "nasihat bercakap" melalui kata-kata. Dan dalam banyak perkara di dunia moden ini, Lisanul Hal mungkin lebih berkesan. Takut-takut nanti cakap tidak serupa bikin jadinya.  Atau dalam bahasa moden mungkin inilah yang dikatakan "contoh melalui tauladan". Atau kepimpinan melalui tauladan.

Bermula saat ini.
Mungkin saya perlu lebih "berwaspada" dalam menunjukkan aksi-aksi yang tidak sepatutnya di hadapan anak-anak. Memang itu yang sepatutnya pun. Dan mungkin orang lain juga.

Maaf.
Sebolehnya saya tidak berminat sangat menggunakan watak-watak dalam keluarga sendiri dalam menceritakan kisah-kisah. Mungkin boleh menimbulkan berat sebelah dan mungkin juga boleh memualkan orang yang membacanya. Tetapi ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam kes di atas. Saya mengalami sendiri dan atas sebab itulah mungkin, menjadi lebih mudah untuk saya kongsikan.

Razak Nordin berpesan ; "Ambillah" jika ada walaupun sedikit jernihnya . Yang keruh tinggalkan ia di muara.
Lihatlah keindahan bunga ini, walaupun baunya tidak boleh dihidu. Lihatlah bunga yang kembang mekar itu. Abaikan bangunan usang di"seberang" itu.

No comments:

Share/Bookmark