Saturday, May 15, 2010

Dua Malam, Suatu Petang, Tiga Peristiwa Dan Sebuah Doa

Dalam konteks agama.
Mungkin boleh saya katakan, itulah mungkin barakah doa sebelum perjalanan, suatu amalan yang tidak pernah saya lupakan sebelum memulakan perjalanan. Dekat atau jauh. Semoga perjalanan sentiasa dilindungi Allah s.w.t dari segala kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Dalam konteks adat dunia.
"Nasib baik" mungkin masih menyebelahi saya dalam tiga situasi tersebut.

Situasi 1
Malam semalam.
Ia terjadi semasa kami sekeluarga dalam perjalanan ke RCH di Jelempok selepas Maghrib. Dalam "samar-samar kegelapan itu" sebelum sampai ke simpang tiga Kodiang, tiba-tiba seorang lelaki melintas di hadapan kereta yang saya pandu. Kurang lebih 10 meter jaraknya. Tetapi alhamdulillah, barakah dan nasib baik itu masih berpihak kepada saya. Tetapi terkejut saya bukan sedikit dengan kejadian itu. Dan dia berlalu tanpa rasa bersalah pun.

Situasi 2.
Petang tadi.
Berlaku di Lebuhraya Utara Selatan menuju selatan di kawasan Pendang kalau tidak silap saya. Ketika saya cuba memotong sebuah treler panjang, tiba-tiba tidak semena-mena treler se"panjang" itu termasuk sedikit ke lorong tengah sedangkan tidak ada "apa-apa" yang perlu dipotongnya. Sangkaan saya kemungkinan pemandunya terlelap atau terkhayal seketika dan pada saya ia tidak sepatutnya berlaku untuk sebuah treler "sepanjang" itu di laluan lebuhraya. Kecut perut juga seketika. Dan sekali lagi barakah doa dan nasib baik itu masih berpihak kepada saya.

Situasi 3.
Awal malam tadi.
Berlaku selepas kami melepasi Plaza Tol Bukit Merah menuju ke Kamunting. Awal malam yang baru masuk seketika masuk waktu maghribnya, tiba-tiba seorang Mak Cik yang sedang bercakap dengan seseorang yang berada di kanan jalan melintas jalan dalam keadaan tergesa-gesa "tidak jauh" di hadapan kereta saya. Entahlah apa puncanya saya tidaklah pasti. Barangkali dia "terlalai" dan tidak perasan kehadiran kereta saya. Dalam keadaan terkejut itu, alhamdulillah, sempat juga saya menekan brek sambil mulut "membebel-bebel" panjang juga. Dan sekali lagi barakah doa dan nasib baik itu masih berpihak kepada saya.


Sama ada apa yang berlaku itu suratan atau kebetulan.
 
Doa yang dipohon kepada Allah s.w.t. setiap kali sebelum memulakan perjalanan atau pengembaraan rasanya telah acapkali menyelamatkan kami semua. Syukur, alhamdulillah. Moga rahmat Ilahi sentiasa berpihak kepada kita semua.
 
Razak Nordin berpesan ; Apabila kamu berazam, maka bertawakallah kepada Allah s.w.t.

No comments: