Saturday, June 5, 2010

"Peliknya" Sesetengah Manusia..Iktibar Sebuah Kisah


Saya telah acapkali juga membaca kisah di bawah.
Cuma pagi ini barulah terdetik untuk berkongsinya di sini.

Puncanya.
Kerana semenjak akhir-akhir banyak juga terjadi perkara yang mengganggu "emosi dan perasaan" manusiawi saya.

Dan kerana "sedikit" merasa pelik dengan sikap sesetengah manusia.

Dan jika ada sesiapa yang pernah merasa kecewa, sakit hati dan segala macam lagi kerana dikritik, dipandang serong dan sebagainya. Barangkali kisah di bawah boleh dijadikan sebagai salah satu penawar sebuah duka dan sakit hati.

Saya pernah menceritakan kisah di bawah ini semasa berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan PTSS suatu ketika dahulu semasa saya Memangku Jawatan Ketua Jabatan Pengajian Am.

Fokus saya ialah tentang susahnya untuk memuaskan hati semua orang. Mengambil iktibar dari kisah tersebut.

Dulu.
Kini.
Dan selamanya.
Dan jika kita peduli sangat dengan kata-kata kritikan yang tidak membina itu atau hanya mengharapkan kata-kata pujian yang mulus-mulus sahaja, lalu kita pun tidak berbuat apa-apa atas kekecewaan kerana dikritik dan sakit hati itu, makanya.......mungkin kisah ini ada jawapannya. 

Kisahnya Begini.
Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman al Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, ‘Lihatlah orang tua itu yang tidak bertimbang rasa, dia menaiki himar, sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki.”

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, “Lihatlah orang tua itu berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu.”

Apabila mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, “Lihatlah dua orang itu menaiki seekor himar, ia sungguh menyiksakan himar itu.”

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, “Lihatlah dua orang itu hanya berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderainya, apalah orang ini.”

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, “Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu.”

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, “Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya.”

SUSAH BENAR HENDAK MEMUASKAN HATI-HATI MANUSIA
Susah Benar, Susah Benar.
"Susah benar, susah benar", kata Jackie. "Jadi, daripada saya cuba meniru dia (Bruce Lee), lebih baik saya menjadi diri saya sendiri."

Razak Nordin berpesan ; Begitulah ragamnya sesetengah manusia. Mereka tidak berbuat apa-apa pun selain menunggu-nunggu untuk mengkritik dan memperlekehkan kelemahan dan kesilapan orang lain. Tiada sumbangan melainkan "menyumbangkan". 

No comments:

Share/Bookmark