Saturday, July 24, 2010

Kifarah Sakit Dan Penawar Keresahan

Penawar keresahan jiwa untuk sesiapa sahaja yang sedang diuji oleh Allah s.w.t. dengan sakit-sakit yang pelbagai itu.

Kifarah Sakit Dan Penawar Keresahan
Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qada') Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati. Selagi ketentuan (qada') bagi sakit itu belum menepati qada' Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia. Jelas di sini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan.

Sesungguhnya, apabila Allah s.w.t. itu mengasihi seseorang hamba Ia akan mengujinya. Dan apabila Ia mengujinya, sama ada dengan menurunkan penyakit dan sebagainya, Allah akan memberikan kesabaran. Dalam menghadapi cubaan seperti ini, kesabaran adalah paling utama. Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (az-Zumar: 10).

Allah s.w.t. menetapkan martabat seseorang pada maqam-maqam tertentu. Namun amalan-amalan yang dilakukan olehnya tidak membolehkannya mencapai martabat yang ditetapkan. Untuk membolehkan hamba berkenaan mencapai martabat tadi, Allah akan mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke atasnya, seperti sakit, kehilangan pancaindera dan sebagainya. Apabila diberi ujian maka Allah akan memberi kesabaran. Dengan ini hamba berkenaan akan mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah terhadap hambanya yang dikasihi.

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya, daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat.

Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab, dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qada' dan qadar Ilahi itu mengandungi rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia.

Jelas disini membuktikan bahawa setiap pihak itu perlu memainkan peranan masing-masing. Rasulullah s.a.w. menyuruh orang yang sakit agar berubat. Pakar-pakar perubatan perlu berusaha, menyelidik dan mencari penemuan-penemuan baru untuk menangani penyakit berdasarkan latar belakang dan kepakaran masing-masing. Masalah kesembuhan adalah urusan Tuhan.

Semakin banyak dan mendalam penyelidikan dilakukan, seseorang itu akan lebih insaf dan menyedari bahawa terlalu banyak ilmu yang tidak diketahui olehnya, menyedarikan betapa terhadnya ilmu yang dimiliki berbanding dengan ilmu Allah. Dari pengalaman seperti ini dan pengalaman harian menangani penderitaan, akan lahir golongan manusia yang berupaya bersyukur kepada Allah dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menolong manusia, bukan untuk kepentingan diri yang terlalu mengutamakan keuntungan, atau pun untuk mengagungkan diri.
 
Disedut secara bebas dengan pengubahsuaian kecil untuk perkongsian dari kertas "KONSEP PERUBATAN ISLAM".
 
Oleh
Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din
Darussyifa'

Razak Nordin berpesan ; Moga Allah s.w.t. memberikan kekuatan yang berkekalan untuk sesiapa sahaja yang sedang diuji walau dari aspek apa sekali pun.

Friday, July 23, 2010

Apabila Sesekali Perkara Kecil Diremehkan

Untuk diri cuba memahami hikmah di sebaliknya.

Untuk rekod berdasarkan ingatan saya.
Perkara serupa telah terjadi dua kali.

Pembesar suara tidak berfungsi ketika Khatib ingin menyampaikan khutbah di Pusat Islam Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

Dan hari ini, kejadian serupa terjadi lagi.

Sama ada suratan atau kebetulan. Saya tidak mampu untuk membuat kesimpulannya.

Walaubagaimanapun, apa yang berlaku hari ini memaksa saya untuk berfikir sejenak. Ini adalah kerana ia ditakdirkan berlaku apabila setiap kali saya "sengaja lupa" untuk membuat "ujian suara" terlebih dahulu terhadap pembesar suara yang akan digunakan oleh Khatib dan Imam.

Sama seperti ia terjadi kali pertama dahulu.

Saya benar-benar mengambil pengajaran daripada kejadian pertama. Sebab itulah selepas kejadian pertama dahulu, membuat "ujian suara" terhadap pembesar suara yang akan digunakan untuk solat Jumaat merupakan antara kemestian pertama saya apabila tiba di Pusat Islam sebelum acara sembahyang Jumaat dilangsungkan.

Dan Apabila Allah S.W.T. Ingin Mendidik

Dan hari ini, saya sampai di Pusat Islam PTSS seawal jam 12.35 tengahari kurang lebih.

Tetapi oleh kerana badan saya terasa lenguh-lenguh dan kurang bermaya sedikit, saya mengambil peluang untuk berehat seketika di "Bilik Tetamu" Pusat Islam.  Kerana itu, saya terlepas untuk membuat "ujian suara" sambil menganggap semuanya mungkin baik-baik semuanya.

Sebabnya, semenjak kejadian pertama dahulu, saya tidak pernah terlepas membuat "ujian suara" dan setiap kali itulah juga semuanya berfungsi seperti biasa.

Suratan atau kebetulannya, apabila saya terlepas membuat "ujian suara" pada kali ini, takdir serupa berulang sekali lagi.

Semua itu membuatkan saya sedia untuk berfikir semula.

Suratan atau kebetulan.

Semuanya telah terjadi dan berlalu. Tetapi emosi dan jiwa saya sedikit "terganggu" dengan apa yang telah berlaku itu.

Dan saya belum menjumpai jawapan sebenarnya.

Barangkali.
Kini.
Saya mungkin perlu mengerti lebih mendalam dan mendasar dalam untuk memaknakan erti hidup ini.

Dan juga.

Belajar memahami hikmah disebalik kejadian yang berlaku. Kecil atau besarnya juga.

SEKECIL MANA PERKARA SEKALI PUN,  JANGAN SESEKALI DIREMEHKAN.

DAN.

 PASTINYA JUGA HIDUP INI BANYAK KEMUNGKINAN. DAN KEMUNGKINAN ITU BERADA DI MANA-MANA. SAMA ADA KITA BERSEDIA ATAU TIDAK UNTUK MENGHADAPI ATAU MENERIMANYA.

Razak Nordin berpesan ; Kecil pun dari Allah s.w.t. Besar pun dari Allah s.w.t. juga. Kewajipan manusia adalah mengambil pelajaran dan pengajaran dari setiap perkara yang terjadi itu.

Tuesday, July 20, 2010

Capati Dan Susu Lembu Pak Awang

Semuanya gara-gara gangguan mimpi tidur  siang atau malam yang semakin menjadi-jadi semenjak akhir-akhir ini.

Semacam semakin tidak terkawal tanpa mengetahui akar punca masalah besar yang masih berlarutan dan beruntaian itu. Sudahnya setiap kali bangkit dari tidur, saya kepenatan, keletihan dan segala macam rasa lagi. Sepatutnya berehat semasa tidur bertukar menjadi "bekerja" semasa tidur.

"Cubalah minum susu", itu antara cadangan dari rakan-rakan yang mungkin ada sedikit simpati apabila saya "membebel" berkongsi penderitaan itu.


Kata orang minum susu sebelum tidur boleh menambah kenyenyakan tidur. Entahlah.

Sebagai manusia yang mempunyai tandatangan senget ke kanan, saya mungkin tergolong dalam kelompok yang suka dan mudah mencuba serta mudah juga dipengaruhi dalam sesetengah perkara.

"Kembara" Mencari Susu Lembu

"Tuan Susu"

Selepas solat fardhu Isyak malam tadi.
Saya bersama dua anak "mengembara" mencari susu lembu di Gerai Capati Pak Awang  di Pekan Kodiang. Bahasa perpatah menyebutkan "menyelam sambil minum air". Selepas membeli puting-puting susu untuk anak-anak di Pekan Pauh, saya memandu ke Pekan Kodiang dengan satu "cita-cita" sambil melayan perasaan yang bercampur-baur itu. Mendapatkan susu lembu di Gerai Capati Pak Awang. Anak-anak saya biarkan "beraksi" sesuka hati mereka. Janji jangan terjun kereta sudah.

Alhamdulillah.
Mungkin sudah rezeki saya. Seperti dijangka, susu tersebut ada dan "alang-alang menyeluk pekasam", saya belikannya sebanyak 2 bungkus. Harganya, RM 2 untuk segelas atau sebungkus. Di"order" bersama sekeping capati serta seketul ayam bermasak kari.
Sesampai di rumah, sambil "menahan" bau-bau yang selayaknya bagi susu lembu, saya gagahkan diri untuk "menelan habis" segelas pertama susu tersebut.

Hasilnya.
Wallahua'lam.
Saya tak perasan pulok.

Insyaallah. Malam karang, saya akan cuba segelas lagi. Jika ada perubahan dan kesan positif. Bolehlah mendapatkannya lagi untuk dijadikan minuman harian.

Kepada sesiapa yang berminat ingin mendapatkan susu lembu.
Sepengetahuan saya.
Gerai tersebut dibuka pada waktu malam sahaja.

Lokasinya.
Berhampiran satu-satunya lampu isyarat di Pekan Kodiang.
Tiada duanya.

Razak Nordin berpesan ; Sesiapa yang ada penawar, sudi-sudilah untuk berkongsi ke arah hidup yang lebih menceriakan. 

Monday, July 19, 2010

Muhasabah Sebelum Lena

Untuk mendapat seorang kawan atau sahabat, anda mungkin memerlukan masa berjam-jam tetapi untuk kehilangan seorang kawan dan sahabat mungkin hanya akan mengambil masa seminit!!!

Razak Nordin berpesan ; Menghargai sebelum kehilangan.

Saturday, July 17, 2010

RFC Kangar Di TV1


Razak Nordin berpesan ; Melihat kejayaan yang telah dicapai mungkin jauh lebih mudah daripada melalui liku-liku perjalanan untuk mencapai kejayaan-kejayaan. Ahli 372176 tumpang berbangga.

Friday, July 16, 2010

Muhasabah Pagi Jumaat



Tiga Golongan Yang Dicintai Allah

Dalam Hadis Qudsi disebut tiga golongan manusia yang dicintai dan paling dibenci Allah s.w.t., iaitu :

  • Allah s.w.t.  menyintai orang yang tawadduk, tetapi Allah s.w.t. sangat menyintai orang kaya yang tawadduk.
  • Allah s.w.t. menyintai orang yang pemurah, tetapi Allah s.w.t. sangat menyintai orang miskin yang pemurah.
  • Allah s.w.t. menyintai orang yang bertaubat, tetapi Allah s.w.t. sangat menyintai orang muda yang bertaubat.
Tiga Golongan Yang Dibenci Allah s.w.t.  ialah :
  • Allah s.w.t. membenci orang yang takbur, tetapi Allah s.w.t. sangat membenci orang kaya yang takbur.
  • Allah s.w.t. membenci orang yang bakhil, tetapi Allah s.w.t. sangat membenci orang kaya yang bakhil.
  • Allah s.w.t. membenci orang yang tidak mahu bertaubat, tetapi Allah s.w.t. sangat membenci orang tua yang tidak mahu bertaubat.
Rujukan Bebas : Pengajaran Ummah. Cerita Serta Doa Dari Hadith & Al Quran.

Razak Nordin berpesan ; Paling tidak pun, kita adalah satu antara tiga yang pertama dan tiada satu pun dalam tiga yang kedua itu.

Thursday, July 15, 2010

Bukan Mudah

Bukan mudah ; "Bersahabat dengan lawan dan bertenang dalam kegelisahan".

Razak Nordin berpesan ; Erti hidup. Belajar dan berkembang. 

SMS Yang Memutus "Angin"

Salam..ustaz...ni sy plajar.......(dipadamkan)..erm,tgroup kteorg xmasuk klas le x? Kteorg nk g bt assgment agme 2...le x?

Dengan bahasa paling lembut dan bersopan saya membalasnya ;

"Mana boleh mcm tu, tak dibuat orang".

Razak Nordin berpesan ; Akukah yang berdosa? Dan "angin" saya tiba-tiba terputus.

Wednesday, July 14, 2010

Ular Menyindir, Manusia Tersindir






Bangau oh bangau
Kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus ikan tak mahu timbul

Ikan oh ikan
Kenapa tak mahu timbul?
Macam mana aku nak timbul rumput panjang sangat

Rumput oh rumput
Kenapa panjang sangat?
Macam mana aku tak panjang kerbau tak makan aku

Kerbau oh kerbau
Kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan perut aku sakit

Perut oh perut
Kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit makan nasi mentah

Nasi oh nasi
Kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah kayu api basah

Kayu oh kayu
Kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah hujan timpa aku

Hujan oh hujan
Kenapa kau timpa kayu?
Macam mana tak timpa kayu katak panggil aku

Katak oh katak
Kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil ular nak makan aku

Ular oh ular
Kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan memang makanan aku, memang makanan aku..

Razak Nordin berpesan ; Kerana kita bukan ular.

Untukmu Wanita


Dirimu pembakar semangat perwira
Rela berkorban demi agama
Kau jadi taruhan berjuta pemuda
Yang bakal dinobat sebagai syuhada
Itulah janji pencipta Yang Esa

Engkaulah bidadari dalam syurga
Bersemayam di mahligai bahgia
Anggun gayamu wahai seorang puteri
Indahnya wajah bermandi seri

Menjadi cermin tamsilan kendiri
Untuk melakar satu wacana
Buatmu bernama wanita

( korus )
Ainul Mardhiah
Kau seharum kuntuman di Taman Syurga
Menanti hadirnya seorang lelaki
Untuk menjadi bukti cinta sejati

Ooh! Tuhanku
Bisakah dicari di dunia ini
Seorang wanita bak bidadari
Menghulurkan cinta setulus kasih
( ulang korus )

Di hati lelaki bernama kekasih ( 3X )

Razak Nordin berpesan ; Jadilah engkau sumber ketenangan bukan sumber tekanan.

Monday, July 12, 2010

Piala Dunia Vs Bulan Ramadhan

Tulisan ini tanpa prejudis terhadap sukan bolasepak. Cuma suatu perbandingan kecil.

Dan demam Piala Dunia 2010 akhirnya "kebah" juga penghujung malam, pagi tadi waktu Malaysia. Seperti yang diduga oleh seekor sotong, akhirnya Sepanyol menjadi juara Piala Dunia edisi kali ini. Jika dunia masih belum kiamat, khabarnya Piala Dunia akan datang iaitu pada tahun 2014 akan diadakan di bumi Samba, Brazil. Saya tidak menontonnya secara langsung malam tadi. Dan juga malam-malam sebelumnya kecuali beberapa perlawanan "terpilih". Itu pun hanya bagi perlawanan-perlawanan yang "kick-off"nya bermula seawal jam 10 malam.  

Entahlah.
Minat saya terhadap bolasepak semenjak akhir-akhir ini tidaklah seperti muda-muda dulu. Sedikit sebanyak minat tersebut masih ada.

Mungkin faktor usia.
Mungkin faktor kesihatan.
Atau mungkin kerana faktor-faktor lain yang saya sendiri pun tidak tahu.

Paling senang.
Seawal pagi.
Buka saluran sukan, tengok keputusan.
Bereh.

Juara Piala Dunia 2010, Andalusia.
Kelainan
Sengaja atau tidak.
Perasan atau tidak.
Sedar atau tidak.

Secara tidak sengaja, ada juga beberapa"pembaharuan" yang saya terperasan berlaku sepanjang kejohanan pada kali ini.

Majoriti manusia dipermukaan bumi ini amat teruja dengan sukan ini dan keterujaan itu ditunjukkan dalam tindakan-tindakan mereka. Menzahirkan sayang dan kecintaan masing-masing terhadap kononnya sukan nombor satu di dunia ini.

Antaranya mungkin ;
1. "Seorang" binatang menjadi peramal perlawanan dan manusia-manusia begitu teruja membicarakan tentangnya.
2. Banyak juga saya terjumpa kain-kain rentang yang mempromosikan tempat-tempat siaran langsung yang "perlu dan mesti" dikunjungi oleh peminat-peminat bolasepak.
3. Menonton bolasepak dengan orang-orang tertentu. Mungkin "lambang" prihatin dan ambil peduli. Dan pelbagai "lambang" lagi mungkin.

Ada di dewan tertutup.
Ada juga di tempat terbuka.
Ada bersama "orang-orang besar".
Ada juga bersama orang-orang kecil sahaja.

Dan semuanya sanggup bersengkang mata kerana bolasepak.
Pada saya, itu bukan suatu "kesalahan dan kesilapan" yang akan menyebabkan anda marah-marah kepada saya kerana tulisan ini.

Demam Ramadhan.
Cuma saya dengan sabar menanti pada Ramadhan kali ini. Akan adakah kain-kain rentang seperti ini atau yang memberikan maksud yang hampir serupa :-

"Selamat Datang Ke Qiamullail Perdana Bersama "Somebody" Di Dewan Orang Ramai.... Bermula Jam 2.30-5.30 Pagi. Semua Di Jemput Hadir".

Atau seperti ini.
"Solat Sunat Terawikh, Bertadarus dan Berqiamullail Bersama MP-MP Di Stadium Negara". Bermula Jam 8 Malam Hingga 5.30 Pagi".

Dalam erti kata lain, semua tempat yang pernah menawarkan tayangan perdana Piala Dunia kali ini, juga menawarkan pakej yang sama untuk memeriahkan "demam" Ramadhan kali ini.

Dan ramailah pula yang akan hadir kerana cinta dan sayang serta keterujaan kepada demam Ramadhan itu. Datang untuk menunjukkan bukti cinta, kasih, sayang dan keterujaan itu.

Mudah-mudahan.

Jika ada ruang kosong untuk berkumpul dan berhimpun.

Apa salahnya.

Saya benar-benar mahu melihatnya. Mudah-mudahan keterujaan itu tidak selalunya berada ditempat yang kurang sesuai.

Tidak salah rasanya memberikan Ramadhan itu akan hak-haknya.

Razak Nordin berpesan ; Suatu pandang sisi dari seorang yang masih lagi peminat bolasepak. Kalau pun bukan peminat nombor satu.

Nota Awal-"Terlepas Pandang" Di Bulan Ramadhan

1. Meninggalkan yang wajib, membanyakkan yang sunat.

2. Menjadikan puasa sebagai alasan untuk berpesta makan-makanan.

3. Meninggalkan masjid dan surau yang selalu dikunjungi pada bulan-bulan lain untuk solat di tempat lain sedangkan tempat asal lebih afdal.

4. Menjadikan puasa sebagai "kambing hitam". Kelemahan dan kesilapan diri disandarkan kepada Ramadhan. Ramadhan menjadi bulan untuk bermalas-malasan.

5. Meninggalkan keburukan hanya dalam bulan Ramadhan.

6. Tidak menjaga batas-batas agama.

7. Membazir ketika berbuka.

Razak Nordin berpesan ; Menulis untuk difikirkan, bukan untuk menerima dan mesti terima.

Saturday, July 10, 2010

Ralat-Hadrat Al Qudsi

"Khutbah sani ambik kat mana yer atau buat sendiri", itulah pertanyaan pertama daripada salah seorang jemaah Jumaat yang saya "terima" sebaik sahaja selepas berdoa solat Jumaat tengahari semalam.

"Entah, saya tak pasti pulok. Selalunya ambik khutbah JAKIM atau Jabatan Agama Islam Perlislah. Tapi khutbah sani, saya tak pastilah", sejujurnya saya menjawab.

Kemudian menambah,

 "Kenapa", saya bertanya untuk mendapat kepastian kepada persoalan sebenarnya.

"Setahu ana, macam ada kesilapan fakta. Kalau berdasarkan isi khutbah tadi, seolah-olah Nabi Muhammad s.a.w. berjumpa Allah s.w.t. di Sidratul Muntaha. Kalau ikut apa yang ana belajar dan tahu, sebenarnya Nabi Muhammad s.a.w. bertemu Allah s.w.t. di Hadrat Al Qudsi bukan di Sidratul Muntaha. Bukan apa, cuma takut budak-budak yang prihatin dengan khutbah tadi akan berpegang pada fakta yang salah je", kata ahli jemaah tersebut cuba menjelaskan maksud pertanyaan itu.

"Ustaz ingat tak", tanyanya untuk kepastian.

"Saya pun tak pastilah, saya tak teliti sangat" ringkas saya menjawab.

Sebetulnya saya memang bukanlah seorang manusia yang teliti dan terlalu ambil kisah sangat dengan fakta-fakta atau isi-isi yang terlalu "kecil".

Dan apabila khutbah tengahari semalam bercerita tentang Isra Miraj (الإسراء والمعراج), saya lebih suka memerhatikan pengajaran-pengajarannya untuk dijadikan sebagai panduan dan iktibar daripada meneliti dan memerhati fakta-fakta yang kecil dari isi-isi khutbah tersebut. Mungkin itu antara kelemahan-kelemahan saya.

Dan pada saya sikap teliti seperti itu pun bukan satu kesalahan, cuma saya tidak mampu menjadi seteliti itu barangkali.

Dan pertanyaan semalam itu memaksa saya untuk menjadi manusia teliti barang seketika. Paling tidak pun tentang isu di atas.

Dan kebetulan pula dua tiga hari lepas saya ada "melihat-lihat" sekali imbas beberapa artikel tentang peristiwa Isra Miraj (الإسراء والمعراج), dan seperti biasa saya tidak prihatin sangat tentang istilah-istilah seperti itu.

Kerana persoalan itu.
Saya meneliti balik artikel tersebut di bawah tajuk Israk dan Mikraj dan saya telah menjumpai "sub topik" :-
MENEMUI ALLAH RABUL JALIL
 "Kemudian Rasullullah s.a.w. diangkat ke Hadrat Al Qudsi. Di sini Rasulullah s.a.w. dapat melihat ALLAH dengan tiada apa-apa perantaraan pun, iaitu dengan matanya sendiri. Tiada seorang pun dari para Nabi ataupun Mursalin melihat ALLAH sebelum ini. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. melihat ALLAH, baginda terus sujud menyembah-NYA"

Mungkin betullah tanggapan ahli jemaah tersebut. Dan khatib pun sebenarnya telah dimaklumkan tentang perkara ini. Untuk sama-sama dibuat semakan semula.

Sekadar sedikit perkongsian.
Mudah-mudahan ada manfaatnya walaupun sedikit. Ameen.

Razak Nordin berpesan ; Sebarang komen dan pandangan amat dialu-alukan. Ingat mengingati atas perkara kebaikan. Allahu'lam.

Friday, July 9, 2010

Nota Kaki Petang Jumaat

1. Adakalanya kita merasa terlalu jemu, bosan, rimas, tertekan dan gelisah. Tetapi "malangnya" kita tidak mengetahui semua sebab kenapa ia bertandang. Kadangkala ia datang dan kadangkala ia pergi.

2. Setiap malam kita diganggu mimpi-mimpi yang memenat dan meletihkan. Tetapi kita tidak mengetahui punca-punca dan sebab-sebabnya. Dan tidak tahu pula bagaimana cara untuk menghalau gangguan-gangguan mimpi itu agar "nyah pergi" dan tidak datang-datang lagi ke "dalam" tidur kita.

3. Terkadang hati ini terlalu rindu kepada kenangan dan memori silam. Tetapi semua kenangan dan memori itu hanya "hidup" dalam bayangan tanpa jasad. Ia telah pergi dan hilang jejak destinasi. Dan tidak mungkin hadir kembali. Dan kekallah kita dengan kerinduan tidak berkesudahan itu.

Razak Nordin berpesan ; Selamat berhujung minggu. Mampukah manusia hidup hanya dengan fantasi dan khayalan semata?

"Larikan" Diri Dari Stress






Kadang-kadang.
Cuba dan berjaya.
Kadang-kadang.
Cuba tetapi tidak berjaya.

Apa pun.
Mai-mai sama-sama pakat mencuba.
Razak Nordin berpesan ; Telah mencuba tetapi belum berjaya.

Thursday, July 8, 2010

Sesekali Perlu Juga Ke "SPA": Suatu Analogi


Bersedia untuk dimandikan.
Ini harta dunia.
Sebuah kenderaan untuk kemudahan dan keperluan hidup.
Untuk diri sendiri
Keluarga sendiri.
Dan juga orang-orang lain yang memerlukan khidmatnya.

Harta ini.
Hanya bersifat sementara dan "kemusnahannya" tidak meninggalkan kesan yang berkekalan. Kecuali ia digunakan untuk kebaikan atau kejahatan semasa hayatnya. Maka kesannya juga akan berlanjutan dan berkekalanlah ia sampai alam yang SANA itu. Kepada TUAN HARTA itu.

Sunnatullah mungkin.
Semua manusia menyayangi harta. Barangkali kerana ia "rukun" hidup. Suatu keperluan dan kemestian. Pelbagai cara manusia gunakan untuk mendapatkan harta benda. Sama ada cara yang halal dan dibolehkan atau cara haram dan tidak dibolehkan. Sama ada oleh agama atau undang-undang kehidupan manusia.

Kerana kita menyayanginya.
Kita hantarnya ke "SPA" :-
Untuk dimandikan.
Untuk disabunkan.
Untuk diurut.
Untuk digosok-gosokkan.
Untuk dilap-lapkan serta diwangi-wangikan.

Kerana kita menyayangi yang "sementara dan tiada rasa sakit" itu.
Selepas dimandi dan disabunkan.
Digosok, diurut, dilap-lap serta diwangi-wangikan.
Dan setelah beberapa hari berlalu, ia kembali kotor dan cemar. Dan sampai masanya ia perlu dihantar ke "SPA" semula. Dan kita akan menghantarnya lagi. Berulang-ulang kali.

Berulang-ulang kali kita lakukan untuknya kerana kita amat menyayanginya. Malu dilihat kotor dan cemar. Malu pada diri sendiri dan juga orang-orang lain yang melihatnya.

TUAN HARTA ITU. KITA. MANUSIA-MANUSIA INI.

Sehingga hari ini, pernahkah walau sekali kita menghantar diri kita ke "SPA-SPA ROHANI" untuk membersihkan segala kekotoran yang ada dalam diri masing-masing.

"SPA"nya mungkin berada di mana-mana. Pilihlah mana yang paling sesuai untuk diri masing-masing.

Kalau pun tidak malu dan segan kepada diri sendiri dan orang-orang lain. Ingatlah bahawa kita ada Allah s.w.t yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui.
Luar dan dalam.
Dalam terang atau gelap tersembunyi.
Terselindung atau tidak.

Kerana jasad kita ada rasa sakit.
Tetapi tidak harta kita.
Tetapi jasad kita mungkin akan sakit kerana harta-harta kita yang tidak sakit itu.  

Sesekali manjakan dan bersihkan diri di "SPA-SPA" rohani juga.
Bersihkan mana-mana kekotoran yang ada.
Muhasabah diri atas kealpaan dan dosa.
Moga-moga kita semua akan menjadi hamba-hamba dan khalifah-khafilah yang diredhai.
Di dunia dan akhirat juga.

Razak bin Nordin berpesan ; Ameen.

Tuesday, July 6, 2010

Terkadang Itu

Sungguh.
Terkadang itu terasa benar "penat dan letih"nya.

Penat dan letihnya untuk berbicara, bercakap,berhujah, berdiskusi atau sekadar sembang biasa.
Penat dan letihnya untuk berfikir-fikir walaupun sekecil perkara cuma atau sebesar-besar perkara juga.
Penat dan letihnya untuk membaca "cerita-cerita" yang banyak menyakitkan hati dan juga jiwa. 

Dan pelbagai kepenatan dan keletihan lagi. Yang berjalan dan beriring bersama perjalanan kehidupan.
Ada yang mampu disenaraikan.
Dan ada yang tidak mampu disenaraikan.

Terkadang itu seronok juga mungkin.
Bercakap seadanya.
Berfikir seadanya.
Membaca hanya apa yang patut dan perlu.
Juga seadanya.
Semuanya seadanya.

Entahlah.
Masih adakah damainya hidup di dunia penuh keserabutan ini?

Razak Nordin berpesan ; Letihnya. Penatnya.

Sunday, July 4, 2010

Genaplah 38 Tahun

Alhamdulillah.
Dengan rahmat dan izin Allah s.w.t, usia kurniaanNya itu genaplah 38 tahun pada hari ini 4 Julai 2010. Semoga kehidupan seterusnya menjadi lebih baik daripada kehidupan-kehidupan yang telah ditinggalkan. Ameen.
Kakak dan Angah memotong kek "bagi pihak" Abi tersayang.

Terima kasih pada isteri dan anak-anak yang sudi berkongsi suka dan duka dalam menempuh kehidupan selama ini. Insyaallah selamanya juga.
Terima kasih kepada semua yang pernah berkongsi cerita hidup dulu, kini dan insyaallah selagi hayat dikandung badan.
Razak Nordin berpesan; Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang telah meng"SMS"kan apa sahaja bentuk ucapan berserta doa dan harapan pada Ilahi.

Friday, July 2, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah

Sudah sebelas tahun rupanya. Semuanya antara "sedar dan tidak".

Ya.
Hari ini 2 Julai 2010.
Bermakna semalam, genaplah 11 tahun saya berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia khususnya sebagai staf di politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.  

1 Julai 1999.
11 tahun yang lalu saya mendaftarkan diri untuk berkhidmat di Politeknik Kota Kinabalu yang pada masa itu beroperasi sementara di Likas, Kota Kinabalu Sabah. Bersebelahan dengan Stadium Likas, Kota Kinabalu. Tinggal di Indah Court, yang tidak jauh dari kampus sementara yang menumpang Sekolah Menengah Teknik Likas.

Pada awalnya, menumpang seketika di rumah kawan-kawan baru dan akhirnya menjadi kawan-kawan seperjuangan sampai sekarang pun. Perbezaan bidang pengajian dan pengajaran tidaklah memisahkan sangat hubungan yang bermula di situ.
 
Antaranya ;
Cik Car.
Ashok.
Ad.
Mat.
Zaini.
Dan ramai lagi yang tidak tersebut nama-nama mereka di sini.

11 tahun yang dilalui.
Mungkin bagi sesetengah orang, lama juga masanya. Dan bagi sesetengah orang, 11 tahun itu mungkin tidaklah lama sangat. Terpulanglah pada penilaian dan anggapan masing-masing.

Namun, 11 tahun yang berlalu itu, saya laluinya dengan pelbagai cerita hidup.
Ada suka.
Ada duka.
Ada pahit.
Ada kelat.
Ada masam.
Ada manis.
Ada masin.
Ada hambar.
Ada tawar.
Dan segala macam lagi.
Tidaklah pasti "rasa" mana yang paling banyak dan "rasa" mana pula yang paling sedikit.
Yang pastinya, semua rasa itu bersilih dan berganti.
Datang dan pergi.
Bertamu dan sampai masanya mengundur diri.  

Sesetengahnya diluahkan.
Dan sesetengah lagi dipendam dilubuk jiwa. Semuanya menjadi asam garam kehidupan yang mesti dilalui barangkali(mesti).

Moga-moga asam garam selama 11 tahun itu boleh dijadikan sebagai panduan untuk saya melalui tahun ke 12 dan seterusnya, dalam perkhidmatan kerajaan bermula Isnin nanti. Ataupun secara matematiknya bermula pukul 12 tengah malam ini.

Seronok ke 11 tahun tu?
Mampukah saya melalui "perjuangan" yang masih berbaki itu? 

Jawapan untuk kedua-duanya.

Entahlah.
Jiwa dalaman banyak meronta-ronta daripada menikmati bahagia.
Banyak mencuka, berbanding senyum melebar pipi.
Ada senyum, tetapi hanya banyak yang berpura-pura.

Sampai masanya.
Insyaallah, saya akan "melarikan" diri juga. 
Moga dipermudahkan untuk saya "mencari" kehidupan yang mungkin lebih baik untuk saya. 

Ya.Sungguh.
Betul-betul saya maksudkannya.  

Razak Nordin berpesan ;....

Makna Julai Pada Saya.

Barangkali salah satu sebab istimewanya bulan Julai setiap tahun @ 4 Julai  pada diri ini adalah kerana ini.  

4 Julai setiap tahun merupakan ulang tahun kelahiran saya ke dunia ini. Dan tahun ini, bermakna umur saya telah bertambah menjadi angka 38.

Banyak ketika dan masa lalu yang telah dilalui dan ditinggalkan. Soalnya, tertunaikah amanah sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi sepanjang perjalanan telah dilalui dan ditinggalkan itu. Umur yang berbaki tersimpan di sisi Allah s.w.t. Tentunya Allah s.w.t yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya.  

Mudah-mudahan.
Biarlah rahmat Ilahi sentiasa memayungi perjalanan masa hadapan yang "belum tentu" itu. Manusia hanya mampu membuat persepsi dan perkiraan dengan segala keterbatasan kemampuan akal yang ada, tetapi Allah s.w.t membuat perkiraan yang maha tepat. Tiada persepsi-persepsi lagi.

Supaya perjalanan ini sentiasa di landasan sebenar. Bukan tergelincir kerana kealpaan dan kesilapan.

1. Syukur kepada Allah s.w.t yang telah mentakdirkan saya dilahirkan ke dunia ini sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t di atas agama fitrah ini.
2. Terima kasih kepada semua insan-insan yang pernah memberikan "sumbangan" sehingga saya menjadi seperti hari ini. Dulu, kini dan sekarang. Tanpa perlu saya menyebutkan nama-nama mereka satu persatu. 

Istimewa atau tidak.
Penting atau tidak. 
Biarlah hati saya memberikan hak-hak mereka.

Hadiah paling istimewa tentunya doa-doa dari semua insan yang dikenali dan mengenali, semoga masa-masa hadapan yang akan dilalui sentiasa dengan rahmat Ilahi.

Razak Nordin berpesan ; Terima kasih buat semuanya.

Dari saya ;
Share/Bookmark