Monday, August 30, 2010

Kenapa Tidak Makan Dan Minum?

Ada orang tidak makan dan minum kerana pelbagai sebab ;

Antaranya mungkin ;

Tiada makanan dan minuman untuk dimakan dan diminum walaupun seleranya sentiasa segar dan "lalu sahaja".

Sakit, sehingga tidak boleh makan dan minum. Semuanya terasa pahit dan tekak pula "tidak mampu" untuk menelannya termasuk makanan-makanan dan minuman-minuman yang paling digemari semasa sihat bugarnya.

Tiada selera untuk makan dan minum walaupun makanan dan minuman sedia terhidang di hadapan muka. Badan sihat, tetapi seleranya tiba-tiba tumpul dan padam pula.

Berpantang kerana pelbagai penyakit. Makan dan minum perlu waspada walaupun makanan serta minuman bertimbun dan melimpah ruah.  

Dan barangkali kerana pelbagai sebab lagi.

Dan ada orang yang tidak makan dan minum kerana berpuasa, mentaati perintah Allah SWT sedangkan dia mempunyai harta benda dan kekayaaan untuk "melahirkan" makanan dan minuman "sesuka hatinya". "Jari dipetik, semua akan sedia terhidang".

Tetapi, disebalik segala limpah ruah  dan kemewahan itu, dia memilih untuk berlapar dan berdahaga kerana akur dengan perintah Allah SWT.

Siapakah agaknya yang paling istimewa antara mereka?

Razak Nordin berpesan ; Usikan jasad adakalanya payah berbekas, usikan jiwa di harap merubah sedikit "rasa".

Untuk Sesiapa Yang Masih Peduli Tentang Ummat Ini







Akan terus tetap ada dari kalangan umat manusia, manusia pilihan kerana kesucian dan ketinggian akhlak dan rohaninya sebagai pewaris Nabi yang memperlihat dan mempercontohkan akhlak yang mulia kepada umat manusia pada setiap generasi.

Razak Nordin berpesan ; Kitakah pewaris itu?

Puasa ; Apa Yang Berbeza?

Menginsafi maksud hadis di bawah ;  

707. Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda: Allah Ta’ala berfirman: Semua amal perbuatan anak Adam untuknya, kecuali puasa, maka itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, dan puasa itu sebagai perisai, maka pada hari puasa seorang tidak boleh berkata keji juga tidak boleh ribut, marah-marah, maka jika ada orang memakinya atau mengajak berkelahi maka hendaknya menjawab: Aku sedang puasa, demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, bau mulut orang yang puasa lebih sedap (harum) di sisi Allah dari bau misik (kasturi). Bagi orang yang puasa dua kegembiraan, jika berbuka bergembira, dan jika bertemu dengan Tuhan dia akan bergembira karena puasanya. (Bukhari, Muslim).(SUMBER)

PUASA ; APA YANG BERBEZA?
1. Rasulullah saw. bersabda: Allah Ta’ala berfirman: Semua amal perbuatan anak Adam untuknya, kecuali puasa, maka itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya...............

Ganjarannya tanpa batasan.
Berbeza seorang dengan seseorang.
Bergantung kepada keikhlasan dan "lain-lainnya" eksesori serta nilai tambahnya berpuasa kerana Allah SWT.
"Jumlah"nya bergantung kepada "budi bicara" serta rahmat Allah SWT jua.

KENAPA BEGITU AGAKNYA?

Ibadah puasa memerlukan pengorbanan yang paling berat dari seseorang manusia untuk meninggalkan perkara-perkara yang dihalalkan serta diharuskan pada bulan-bulan yang lain. Meninggalkan sesuatu hanya sanya kerana itu perintah Allah SWT. Lambang ketaatan dan kepatuhan yang tiada tolok bandingnya. Sedangkan perkara-perkara tersebut adalah keperluan hidup manusia. Tetapi kerana itu perintah Allah SWT, keperluan-keperluan tersebut sanggup ditinggalkan sementara.

Ibadah puasa menuntut kejujuran yang maksima di kala seseorang itu mampu untuk mengkhianatinya di belakang tabir.  Di tempat gelap dan tersembunyi serta terselindung dari pandangan mata manusia. Di kala itu, orang-orang yang berpuasa memilih untuk bersikap jujur kepada TuhanNya. Sama ada di tempat terang atau pun di tempat yang tersembunyi. Hanya kerana Allah SWT.

Ibadah puasa menuntut kesabaran. Bersifat amanah sama ada di tempat terang atau pun tersembunyi. Hanya kerana Allah. Lapar dan dahaga. Letih dan Penat. Semuanya bercantum dalam satu jasad. Tetapi semua itu tidaklah menjadikan orang-orang yang berpuasa sebagai pengkhianat amanah dan tidaklah pula melunturkan kesabaran jasadnya.  

Ibadah puasa menuntut kesetiaan hamba kepada TuhanNya di kala ia "mampu" untuk mengkhianatinya. Kalau dia mahu, dia boleh memilih untuk makan dan minum di bilik peribadinya. Makan dan minum di rumah peribadinya. Menadah mulut ketika mandinya. Sambil mandi, sambil minum airnya. Tetapi dia juga tidak memilih untuk berbuat demikian.  

Semua kerana Allah SWT.

Dan segala hikmah lain yang tidak semuanya mampu dirungkai oleh keterbasan akal manusia.

Razak Nordin berpesan ; Keampunan dipohon dari Allah SWT seandainya ada kekhilafan.

Antara "Prinsip" Dan Pelangi Hidup







Sejak berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, rutin raya kami disusun secara ber"jadual". Bergilir-gilir antara Terengganu dan Perak. Bermakna hanya satu lokasi sahaja, bagi setiap kali sambutan raya kecuali apabila "kena" giliran beraya di Terengganu. Apabila "kena" giliran beraya di Terengganu, kami akan cuba juga untuk singgah "barang" semalam di Kamunting, Perak.  Barangkali kerana letaknya kebetulan di "tengah-tengah" laluan perjalanan ke Perlis. "Menyelam sambil minum air kalau bukan di bulan Ramadan", apa salahnya.

Ada beberapa sebab kenapa saya memilih rutin begitu. Dulu-dulu.

Antaranya.
Kerana jarak kilometer antara Kamunting, Taiping, Perak dengan Kg. Bukit Kulim, Marang, Terengganu. Tambahan pula pada musim perayaan. Tentu banyak cabarannya. Fizikal dan mental juga.

Kerana ketidaksanggupan menghadapi kesesakan jalanraya pada musim perayaan terutama di kawasan Tanah Merah hingga ke Jeli di Kelantan. Juga di lokasi-lokasi lain sepanjang perjalanan.

Kerana ketidaksanggupan saya berada lama-lama di jalan raya pada musim perayaan. Sejujurnya memandu pada musim perayaan banyak memberikan tekanan kepada saya berbanding kegembiraan. Tangan dan kaki selalunya "sejuk-sejuk" walaupun tanpa penghawa dingin. Lambang ketakutan,kegelisahan dan kerisauan yang bersarang dalam diri. Atas banyak sebab dan kemungkinan.

"TERPAKSA BERUBAH"
Bermula tahun ini, rutin raya saya sedikit berubah.

Sambil mengharapkan anugerah kekuatan jasmani dan rohani dari Allah s.w.t., sedaya upaya saya cuba membuang segala "kerana-kerana" yang ditulis di atas dan "kerana-kerana" yang tidak tertulis di atas.

Dengan kekuatan itu, mudah-mudahan perubahan rutin tersebut akan mendapat restu Ilahi jua.

SEBABNYA
Apa yang terjadi 1 Syawal tahun lalu, banyak juga mengubah prinsip hidup saya. Kehilangan ibu tercinta di pagi Syawal lalu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilupakan. Rupanya kelamaan masa semata-mata belum cukup memudarkan ingatan itu walaupun sedikit cuma. Saya berfirasat, Ibu pergi dengan penuh dambaan kerinduan dan kasih sayang terhadap anak-anak serta cucu-cucu yang takdirnya ramai yang tinggal berjauhan. Dan selepas apa yang telah berlaku itu, menyebabkan saya seringkali berfikir. Antara prinsip dan pelangi hidup, mana yang perlu didahulukan.

Lalu akhirnya, saya memilih untuk menjadikan sebahagian hidup ini adalah pelangi, kalau pun tidak semuanya.

Mengubah rutin raya yang telah menjadi "prinsip" itu, untuk menjadikan sebahagian nikmat hidup ini seumpama pelangi.

Sementara masih ada upaya dan kekuatan.

Selagi dalam diri ini masih ada kasih dan sayang untuk dicurahkan.

Selagi dalam hidup ini masih ada insan-insan untuk disayangi dan dikasihi.

Selagi dalam hidup ini masih ada insan-insan yang masih menyayangi dan mengasihi diri ini.

Selagi dalam hidup ini masih ada lagi rindu merindui sesama insan.

Berkorbanlah. Selagi mampu dan berupaya. Kerana hidup ini umpama pelangi.

Tidak kiralah sama ada ia pelangi pagi, pelangi tengahari atau pelangi petang. Ia tetap keindahan.

Selagi masih mampu........

Ya, Allah. Seandainya aku lakukan semua ini kerana Mu, maka Engkau permudahkanlah jalannya.

Razak Nordin berpesan ; Ameen.

Siapa Peduli?

Siapa peduli?
Jika ada "umat Islam" yang mengabaikan kewajipan solat lima waktu.
Jika ada "umat Islam" yang mengabaikan kewajipan puasa di bulan Ramadan.
Jika ada "umat Islam" yang mengabaikan kewajipan menutup aurat dulu dan kini.
Jika ada "umat Islam" yang tidak berpuasa, makan dan minum secara terbuka.
Jika ada "umat Islam" yang tidak kisah pasal agamanya dan nilai-nilai indah di dalamnya.

Siapa peduli?

Siapa sudi memberikan komen tentang halal dan haramnya.

Lidah seakan kelu.
Mata seakan buta.
Telinga seakan pekak.
Tiba-tiba jadi jahil dan naif pasal ilmu.

Entahlah pasal apa.

Memilih-milih isu untuk "mempamerkan" kehebatan ilmunya.

Kadang-kadang terlupa.
"Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar"

Atau.

Semakin ramaikah syaitan-syaitan bisu.
Sesekali menangguk di air yang tidaklah sekeruh mana.

Razak Nordin berpesan ; Jawapan pasti hanya ada di "sana". Pasti yang tiada ragu-ragu lagi.

Peringatan Yang Bisa Menggentarkan Hati Yang Masih "Hidup"







Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya). 

Disedut untuk peringatan dari sini.


Razak Nordin berpesan ; Sementara peluang masih terbuka.

Tuesday, August 24, 2010

Seloka Zaman Ini






Seloka Zaman Ini

Zaman ini.
Kebenaran itu.
Belum tentu engkau boleh katakan ia benar.
Kalau tidak semuanya, ada kebenaran yang terpaksa engkau pendamkan di sudut hati "kecil" mu itu.
Kalau engkau berani serta sanggup menerima risiko, engkau katakanlah sahaja.

Tapi ingat!!!!
Kerana adakalanya kebenaran amat pahit rasanya dan mungkin juga pahit "akibatnya".
Jika engkau "kurang berani", simpanlah "kepedihan itu" di ruang takut hatimu.
Dan engkau akan menderita dalam diam jika engkau takdirnya pencinta kebenaran.  

Yang salah atau batil.
Belum tentu engkau boleh katakan ia salah.
Kalau tidak semuanya, ada kebatilan yang hanya mampu engkau membenci dengan hatimu.
Dan itu, hanya milik orang-orang yang selemah-lemah Imannya.

Jika engkau berani serta sanggup menerima risiko, engkau katakan sahaja.
Pahit dan "manis"nya pun mungkin hampir serupa.
Jika engkau "kurang berani", simpanlah juga "kepedihan" itu di ruang takut hatimu.
Dan bertambahlah lagi luka dan derita sengsara hati jujurmu.

Zaman ini.
Yang benar, bukan "hidup" semata-mata kerana kebenarannya.
Yang batil, bukan "mati" semata-mata kerana kebatilannya.

Zaman ini.
Yang kecil, adakalanya diperbesar-besarkan.
Yang besar, buat "semacam" terlepas pandang.

Banyak perkara.
Mungkin.
Dinilai kerana kepentingan.
Atau.
Dinilai juga kerana keuntungan.

Dunia
Atau
Akhirat jua...

Oleh mereka yang punyai "segala-gala"nya.
"Pemberian"  Allah yang sementara ini.

Razak Nordin berpesan  ; Biarlah ianya berselindung di sebalik Seloka Zaman Ini.

Alur kecil yang mengalir jika disekat dalam tempoh yang lama dan panjang boleh melimpah empangan juga akhirnya. Harap-harap kesabaran dan ketabahan sentiasa bersama mu, pencinta kebenaran.

Wednesday, August 18, 2010

Mutiara Dari Timur



Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang orang lain lakukan.

Ingat-ingatlah maksud firman Allah dari ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.”

Razak Nordin berpesan ; Lafaz dengan lisan dan berfikir dengan mata hati.

Monday, August 16, 2010

Hikmahnya Tersimpan Di Sisi Allah

Hari ini.
Isnin. 16 Ogos 2010  bersamaan 6 Ramadan 1431H.

Saya terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menjaga anak jantan saya yang demam sejak semalam. Ingatkan biasa-biasa sahaja. Rupanya melarat sampai ke hari ini. 

Sambut Awal Ramadan Dengan Demam.

Telah ditakdirkan.
Minggu "sebelum minggu lepas", minggu lepas dan minggu ini adalah minggu demam untuk keluarga kami barangkali.

Mendahului senarai adalah anak perempuan sulung saya. Seminggu lebih juga masa yang terpaksa diambil bagi memastikan demamnya benar-benar kebah.

Belum pun sempat Along kebah sepenuhnya, Umi pula menambah senarai pada Ramadan yang kedua. Dan saya tidak menunggu lama untuk menambah senarai itu.

Dan hari ini, Umi masih demam-demam tetapi tetap mahu pergi bekerja juga. Akhirnya saya yang masih berbaki demamnya ini terpaksa mengambil cuti bagi menjaga "sibotak" yang baru memenuhi senarai terbaru demam dalam keluarga kami.

Walaupun demam, dengan segala kudrat yang masih ada, hujung minggu yang baru berlalu, saya gagahkan diri jua untuk memandu membawa kami sekeluarga balik ke Kamunting demi memenuhi hajat berbuka puasa bersama keluarga mertua. Itu pun perjalanan terpaksa dilewatkan ke hari Sabtu kerana pada petang Jumaat tersebut, saya tiada kekuatan untuk memandu memandangkan badan yang membahang panasnya serta sendi-sendi pula lenguh-lenguh. Pendek kata, ingin mengangkat kaki sendiri pun tidaklah larat. Inikan pula ingin memandu sejauh itu.    

Sehingga malam Ahad, anak jantan saya itu masih ampuh bertahan kerana dia satu-satunya dalam keluarga kami yang tidak demam pada awalnya. Dan sehinggalah malam semalam, dia juga akhirnya memasuki senarai terbaru. Tetapi mujurlah Along pula sudah pun baik sepenuhnya dari demamnya yang panjang itu. Mudah-mudahan ia tidak berulang lagi dalam tempoh terdekat ini.

(Umi baru membuat panggilan dari klinik memberitahu bahawa dia terpaksa dimasukkan air kerana tekanan darahnya rendah sangat ketika ini. Bersemangat juga untuk pergi bekerja walaupun demam yang masih belum baik sepenuhnya itu datang kembali. Dan akhirnya ke klinik juga sudahnya. Moga cepat sembuh).

Dan saya mendapat "demam pakej". Tiga dalam satu. Demam, batuk dan selesema.

Beberapa hari yang dilalui, hampir satu keluarga diuji pula dengan deman, bukanlah sesuatu yang mudah.  

Menyediakan juadah berbuka dan sahur satu hal. Melayan karenah anak-anak pula satu hal yang lain pula.

Dalam keadaan badan yang kurang larat dan kurang bermaya tersebut, tahap kesabaran adakalanya banyak teruji.

Atas semua itu.

Sama ada hikmat itu yang boleh dilihat atau tersimpan di sisi Allah s.w.t.

Mudah-mudahan hadis di bawah boleh menjadi penawarnya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya, daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat.

Dan juga hadis di bawah ini.

 
Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Razak Nordin berpesan ; Semoga Allah sentiasa memberikan kita semua segala kekuatan untuk menghadapi segala ujianNya. Ameen.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadan : Satu Yang Terbahagi Tiga

Ramadan : Satu Yang Terbahagi Tiga

Awalnya rahmah(rahmat).

Pertengahannya keampunan.

Dan akhirnya pembebasan atau kemerdekaan dari api neraka.

Razak Nordin berpesan ;  Kalau boleh rebutlah ketiga-tiganya. Jangan pula sampai semuanya terlepas.  

Saturday, August 7, 2010

Dari Arau Ke Kajang-Catatan Ringkas "Flashback"

Selasa. 3 Ogos 2010.

Alhamdulillah.
Saya selamat sampai di Kajang kira-kira jam 5 petang tadi dalam satu "kembara solo" dari Arau, Perlis. Bertolak dari Arau kira-kira jam 8 pagi tadi.

Semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Pemanduan agak lancar dan menyelesakan sepanjang perjalanan. Tiada kesesakan yang berlaku sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan hinggalah ke Lebuh Raya Elite. Sehinggalah "berpusing" semula melalui susur keluar  tol Bangi/UKM/Dengkil. Dan seterusnya ke hotel penginapan di Kajang. 

Tiada yang peliknya apabila sesekali memandu sendirian. Dalam keadaan kesihatan yang sedikit tidak menentu, kadangkala memandu sendirian terasa lebih selesa dan mendamaikan juga. Sistem perkumuhan yang kurang stabil barangkali sebab utama saya berpendapat begitu. Mudah untuk saya berhenti di mana-mana lokasi yang munasabah untuk memenuhi sebarang hajat tanpa menyusahkan sesiapa. Kerana kadangkala "hajat" itu datang tiba-tiba dan tidak menentu.

Hari Lebuh Raya "Tanpa" R&R
Kebetulan pula banyak kawasan R&R yang ditutup pada hari ini. Mengikut kain-kain rentang yang tergantung di sekitar R&R berkaitan dan yang sempat dibaca, ada R&R terpaksa ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan pencucian.  Elokah juga, sesekali dibuat "major servis".

Sungguh pun begitu, sempat jugalah saya singgah di beberapa tempat untuk menunaikan "hak" masing-masing.

Pertama.
Singgah sekejap di kawasan tol Jitra untuk menambah nilai kad TnG sambil melelapkan mata barang seketika. Walaupun sekejap, dapatlah juga melepaskan rasa mengantuk yang datang tiba-tiba itu.

Antara perkara perlu ketika memandu di lebuh raya dan di mana-mana sahaja. Elakkan memandu ketika mata mengantuk. Berhenti seketika untuk melelapkan mata seketika kemudian teruskanlah pemanduan dengan selamat, insyaallah.

Kedua.
Hajat hati ingin "pekena" Bihun Sup Ayam Abu Hasan Din di R&R Gunung Semanggol tidak kesampaian kerana R&Rnya ditutup bagi kerja-kerja pembersihan dan pencucian. Tetapi menariknya saya terjumpa notis di bawah pada dinding tandas(tempat dirahsiakan tetapi bukan pada dinding tandas R&R) yang saya masuki untuk menunaikan hajat kecil. Notis yang pada saya penuh "hikmah" dan sinis kerana "kealpaan" pengguna-pengguna sebelum ini barangkali. "Pukul anak sindir menantu", dalam bahasa perpatahnya.

Ketiga.
Singgah di R&R Sungai Perak untuk makan tengahari. Sempatlah "pekena" ikan keli sambal. Cuma rasanya mungkin boleh "ditambah nilai" lagi supaya setanding dengan harganya.

Keempat.
Singgah sekejap di Agro Bazaar Ulu Bernam. Sempatlah pusing-pusing seketika sambil-sambil dapatkan air mineral bekalan sepanjang perjalanan.

Hajat hati ingin menderma kepada Pusat Tahfiz Quran yang kebetulan ada membuka(mungkin wakil) "gerai produk" di situ tidak juga kesampaian apabila tiba-tiba penjaganya mengeluarkan rokok lalu menghisapnya ketika saya "hampir-hampir" membuka pintu kereta untuk ke gerai berkenaan.



Kelima.
Singgah di R&R Sungai Buloh dengan dua hajat pada asalnya. Makan sate dan solat jamak. Sudahnya, hanya solat yang tertunai kerana kekangan masa untuk "mengejar" kemungkinan kesesakan di Kuala Lumpur. 

Alhamdulillah.
Sekitar jam 5 petang. Selamat sampai di hotel penginapan di Kajang.

Dan Kajang Yang "Tidak Pernah Berubah"

Mungkin sesiapa yang pernah menjadi warganya akan memahami maksud saya.

Pertengahan tahun 1996.
Saya tinggalkan Bangi dan Kajang dengan pelbagai cerita hidup. Ada yang suka dan banyak juga yang dukanya. Semuanya bercantum dalam satu, menjadi rencah cerita hidup. Tersimpan dalam memori dan kenangan tetapi terlalu banyak, sulit dan payah untuk "dimuntahkan" dalam bait-bait ayat untuk menjadi suatu "cerita".

Untuk rakan-rakan seperjuangan  yang pernah menjadi warga Bangi dan Kajang dan tidak berkesempatan untuk mengunjungi semula.

Mungkin gambar-gambar di bawah boleh mengembalikan sebahagian kecil kenangan silam anda.
 

Gambar diambil dari tingkat tiga hotel menggunakan kamera telefon yang tidak berapa canggih.

Razak Nordin berpesan ;

Semangat Yang Hilang






Entah kenapa semangat untuk menulis tiba-tiba hilang. Menulis tanpa hati dan perasaan tentunya tanpa kepuasan juga.

Sehinggakan ada coretan yang terbengkalai di tengah jalan tanpa sempat untuk disambung-sambung lagi.

Mungkin itu tandanya kita adalah manusia. Semangatnya yang kadangkala pasang dan ketika lain surut pula.

Dan mudah-mudahan semangat itu tidaklah lama menghilangnya. Kerana menulis selalunya antara terapi minda dan perasaan yang banyak meredakan kegelisahan hati dan perasaan sendiri. Luahan rasa untuk kepuasan sendiri walaupun mungkin tidak dihargai oleh orang lain. 

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan semangat itu kembali pulih yang entah di mana "rosaknya" itu 

Sunday, August 1, 2010

Jom Tangani Stres-Berfikiran Positif-Nota Lima

Berfikirlah secara positif

Pemikiran positif adalah kebolehan melihat situasi dari sudut yang positif walaupun ia berbentuk atau bersifat positif.


Teknik untuk dipraktikkan

Ubah cara berfikir dari negetif kepada positif. Contoh : Bila kehilangan pekerjaan kita mengubah cara berfikir dari " Saya tak mungkin dapat kerja lain" kepada "Saya perlu berusaha keras untuk mendapat kerja baru".

Bicara diri secara positif. Contoh : SAYA BOLEH! 
Berkawan dengan mereka yang positif.
Amalkan aktiviti kerohanian serta aktiviti yang boleh mengukuhkan semangat.
Baca bahan bacaan yang memberi inspirasi.


Untungnya berfikiran positif

Boleh mengawal situasi
Dapat mempertingkatkan harga dab keyakinan diri
Boleh menangani stres.


Kit Poskad "Jom Tangani Stres" .

Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Razak Nordin berpesan ; Akan bersambung...

Amalkan Tips Mudah Tangani Stres Serta Merta-Nota Empat

Amalkan 10B
Bertenang
Berurut
Bernafas dengan dalam
Berehat dan mendengar muzik(ikut kesesuaian-pokok-kayu)Berkata : Relakslah...
Beribadah
Beriadah
Bercakap dengan seseorang
Berfikiran positif
Bersenam


Belajar Kemahiran Daya Tindak

Berfikir secara positif
Menyelesaikan masalah dan membuat keputusan
Tegas diri
Asertif komunikasi Interpersonal.


Kit Poskad "Jom Tangani Stres" .

Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Razak Nordin berpesan ; Akan bersambung...

Kenali Tanda-Tanda Stres-Nota Tiga

Kenali Tanda-Tanda Stres...

Tanda-Tanda Fizikal

  • Sakit-sakit badan yang kurang jelas puncanya
  • Perubahan selera makan
  • Gangguan tidur
  • Letih lesu
Tanda-Tanda Emosi Dan Tingkahlaku

  • Hilang sabar
  • Mudah marah
  • Resah gelisah
  • Risau dan bimbang
  • Kurang minat dan tumpuan terhadap aktiviti seharian
  • Penggunaan ubat-ubatan yang tidak terkawal
  • Memikir atau bercakap tentang mencedera atau membunuh diri
  • Tingkahlaku impulsif dan agresif
  • Penyalahgunaan dadah dan alkohol
 Kit Poskad "Jom Tangani Stres" .
Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Razak Nordin berpesan ; Akan bersambung...

Punca stres-Nota Dua

Punca Stres

Punca Dalam Diri

Pengalaman zaman kanak-kanak
Perwatakan/Personaliti
Keyakinan dan harga diri yang rendah
Dilema dalam membuat pilihan


Punca Luaran
Stres perkahwinan dan rumah tangga
Stres keibubapaan
Perhubungan interpersonal yang bermasalah
Cabaran kehidupan di kota atau di bandar
Stres di dalam pekerjaan
Peristiwa dalam kehidupan
Bebanan kewangan
Penyakit kronik


Kit Poskad "Jom Tangani Stres" .

Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Razak Nordin berpesan ; Akan bersambung...

Fakta Mengenai Stres-Nota Satu

Stres adalah satu tindak balas fizikal(badan), emosi(perasaan) dan mental(fikiran) kepada peristiwa dalam kehidupan.

Stres berlaku apabila saya risau atau rasa tidak selesa terhadap sesuatu peristiwa.

Stres boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira umur, jantina, bangsa dan agama.

Kit Poskad "Jom Tangani Stres" .
Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Razak Nordin berpesan ; Akan bersambung...
Share/Bookmark