Saturday, August 7, 2010

Dari Arau Ke Kajang-Catatan Ringkas "Flashback"

Selasa. 3 Ogos 2010.

Alhamdulillah.
Saya selamat sampai di Kajang kira-kira jam 5 petang tadi dalam satu "kembara solo" dari Arau, Perlis. Bertolak dari Arau kira-kira jam 8 pagi tadi.

Semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Pemanduan agak lancar dan menyelesakan sepanjang perjalanan. Tiada kesesakan yang berlaku sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan hinggalah ke Lebuh Raya Elite. Sehinggalah "berpusing" semula melalui susur keluar  tol Bangi/UKM/Dengkil. Dan seterusnya ke hotel penginapan di Kajang. 

Tiada yang peliknya apabila sesekali memandu sendirian. Dalam keadaan kesihatan yang sedikit tidak menentu, kadangkala memandu sendirian terasa lebih selesa dan mendamaikan juga. Sistem perkumuhan yang kurang stabil barangkali sebab utama saya berpendapat begitu. Mudah untuk saya berhenti di mana-mana lokasi yang munasabah untuk memenuhi sebarang hajat tanpa menyusahkan sesiapa. Kerana kadangkala "hajat" itu datang tiba-tiba dan tidak menentu.

Hari Lebuh Raya "Tanpa" R&R
Kebetulan pula banyak kawasan R&R yang ditutup pada hari ini. Mengikut kain-kain rentang yang tergantung di sekitar R&R berkaitan dan yang sempat dibaca, ada R&R terpaksa ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan pencucian.  Elokah juga, sesekali dibuat "major servis".

Sungguh pun begitu, sempat jugalah saya singgah di beberapa tempat untuk menunaikan "hak" masing-masing.

Pertama.
Singgah sekejap di kawasan tol Jitra untuk menambah nilai kad TnG sambil melelapkan mata barang seketika. Walaupun sekejap, dapatlah juga melepaskan rasa mengantuk yang datang tiba-tiba itu.

Antara perkara perlu ketika memandu di lebuh raya dan di mana-mana sahaja. Elakkan memandu ketika mata mengantuk. Berhenti seketika untuk melelapkan mata seketika kemudian teruskanlah pemanduan dengan selamat, insyaallah.

Kedua.
Hajat hati ingin "pekena" Bihun Sup Ayam Abu Hasan Din di R&R Gunung Semanggol tidak kesampaian kerana R&Rnya ditutup bagi kerja-kerja pembersihan dan pencucian. Tetapi menariknya saya terjumpa notis di bawah pada dinding tandas(tempat dirahsiakan tetapi bukan pada dinding tandas R&R) yang saya masuki untuk menunaikan hajat kecil. Notis yang pada saya penuh "hikmah" dan sinis kerana "kealpaan" pengguna-pengguna sebelum ini barangkali. "Pukul anak sindir menantu", dalam bahasa perpatahnya.

Ketiga.
Singgah di R&R Sungai Perak untuk makan tengahari. Sempatlah "pekena" ikan keli sambal. Cuma rasanya mungkin boleh "ditambah nilai" lagi supaya setanding dengan harganya.

Keempat.
Singgah sekejap di Agro Bazaar Ulu Bernam. Sempatlah pusing-pusing seketika sambil-sambil dapatkan air mineral bekalan sepanjang perjalanan.

Hajat hati ingin menderma kepada Pusat Tahfiz Quran yang kebetulan ada membuka(mungkin wakil) "gerai produk" di situ tidak juga kesampaian apabila tiba-tiba penjaganya mengeluarkan rokok lalu menghisapnya ketika saya "hampir-hampir" membuka pintu kereta untuk ke gerai berkenaan.



Kelima.
Singgah di R&R Sungai Buloh dengan dua hajat pada asalnya. Makan sate dan solat jamak. Sudahnya, hanya solat yang tertunai kerana kekangan masa untuk "mengejar" kemungkinan kesesakan di Kuala Lumpur. 

Alhamdulillah.
Sekitar jam 5 petang. Selamat sampai di hotel penginapan di Kajang.

Dan Kajang Yang "Tidak Pernah Berubah"

Mungkin sesiapa yang pernah menjadi warganya akan memahami maksud saya.

Pertengahan tahun 1996.
Saya tinggalkan Bangi dan Kajang dengan pelbagai cerita hidup. Ada yang suka dan banyak juga yang dukanya. Semuanya bercantum dalam satu, menjadi rencah cerita hidup. Tersimpan dalam memori dan kenangan tetapi terlalu banyak, sulit dan payah untuk "dimuntahkan" dalam bait-bait ayat untuk menjadi suatu "cerita".

Untuk rakan-rakan seperjuangan  yang pernah menjadi warga Bangi dan Kajang dan tidak berkesempatan untuk mengunjungi semula.

Mungkin gambar-gambar di bawah boleh mengembalikan sebahagian kecil kenangan silam anda.
 

Gambar diambil dari tingkat tiga hotel menggunakan kamera telefon yang tidak berapa canggih.

Razak Nordin berpesan ;

1 comment:

Rahadzibi said...

Salam.. ustaz..maaf aritu tak sempat jenguk ustaz, dan belanja satay kajang... busy sgt... mintak ampun sgt2 sbb tak dpt tunai janji...

Share/Bookmark