Thursday, September 30, 2010

Dan Apabila Saya Bersetuju Dengan Abraham Lincoln






"Saya tidak pernah membaca surat-surat cercaan yang ditujukan kepada saya, tidak pernah membuka sampulnya, apatah lagi membalasnya; sebab jika saya menyibukkan diri untuk membaca cercaan tersebut, saya akan kehabisan waktu untuk berbuat sesuatu bagi rakyatku," Abraham Lincoln. SELANJUTNYA

Razak Nordin berpesan ; Apabila 'merasai' sakit hanya dengan pandangan mata semata, kita mungkin tersilap.

HPAIC Bukti Kejayaan; Semoga Memacu Terus






Oleh Zainuddin Zain

2010/09/29

BANGUNAN HPA International Center (HPAIC) bernilai hampir RM60 juta di Shah Alam, Selangor yang akan dirasmikan Sabtu ini menjadi bukti bukan sesuatu yang mustahil perusahaan bermula di kampung membabitkan herba hutan boleh mencapai peringkat antarabangsa.

Pengarah Urusan HPA Industries Sdn Bhd (HPA), Ismail Ahmad mahu seramai 1,800 staf dan 600,000 ahli syarikat pelbagai peringkat syariah (MLMS) di negara ini dan 200,000 ahli di Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja melihat HPAIC sebagai kejayaan bersama.

“HPAIC yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam adalah satu sejarah dalam penubuhan HPA sejak 1998. Kita adalah MLM berasaskan syariah yang berjuang untuk pasaran produk halal dan suci kepada ummah.

“HPA pernah mengalami jatuh dan bangun dunia perniagaan, tetapi ahli kita terus komited merealisasikan kejayaan bagi membolehkan HPA berkembang di dalam dan luar negara,” katanya.

Mengenai majlis perasmian HPAIC yang disempurnakan beliau sendiri Sabtu ini, Ismail berkata, ia akan bermula pada jam 8 pagi dengan kehadiran ahli dari segenap pelosok negara dan wakil luar negara.

Menurutnya, wakil HPA dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei dan Kemboja akan menyampaikan ucapan masing-masing.

“Upacara perasmian akan dilaksanakan PJS (Pengarah Jati Setia) HPA yang juga kumpulan pemimpin syarikat kami dari semua negara sebagai menghargai pengorbanan mereka meletakkan HPA di tempat sekarang,” katanya.

Turut diadakan pembentangan kertas kerja oleh pengurusan HPA termasuk bertajuk Dari Cawangan Ke Pasar Raya oleh Ismail sendiri.

Selain Pasar Raya Halal HPA, HPAIC juga akan menempatkan pelbagai perniagaan HPA selain pejabat pelbagai jabatan.

Selain MLMS, HPA juga terkenal dengan produk jenama Radix termasuk rangkaian restoran Radix Fried Chicken (RFC), Radix Chicken House (RCH), Radix Oriental Cuisine (ROC), Radix Pizza House (RPH) dan Radix Bakery House (RBH).

Selain halal dan suci, produk syarikat menggunakan herba dan kaedah organik.

Razak Nordin berpesan ; Tahniah dari ahli bernombor 372176.

Wednesday, September 29, 2010

Mencari Tautan Kasih Di Aidil Fitri 1431 H






Walaupun hari ini sudah memasuki 20 Syawwal, rasanya belum terlewat untuk dipersembahkan slideshow "Mencari Tuatan Kasih Di Aidil Fitri 1431 H lalu.

Paling tidak pun untuk tatapan dan kepuasan sendiri.


 
Razak Nordin berpesan ; Sesekali terfikir juga, berbaloikah adik-beradik yang lahir dari bapa dan ibu yang sama. Bersama hanya semasa kecil-kecil. Berpisah lama-lama ketika menginjak dewasa dan mempunyai haluan sendiri.

Festival Kesenian Islam Politeknik Zon Utara






Pada hari Sabtu yang lalu bersamaan 25 September 2010, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin khususnya Jabatan Pengajian Am telah diamanahkan untuk mengambil tanggungjawab sebagai tuan rumah Festival Kesenian Islam Politeknik Zon Utara yang melibatkan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin(PTSS) sebagai tuan rumah, POLIMAS,Jitra, Kedah, Politeknik Sultanah Bahiyah Kulim, Kedah dan juga Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.

Sebagai Penasihat II, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan kerjasama semua AJK yang terlibat sama ada dari Jabatan Pengajian Am sendiri atau jabatan-jabatan lain yang sudi membantu.

Yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Jabatan Matematik Sains Dan Komputer bagi penyediaan hadiah dan cenderahati.
Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan bagi urusan penyambut tetamu serta urusan penginapan.
Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual bagi penyediaan pentas pertandingan serta rakaman.

Serta semua yang turut membantu tetapi tidak disenaraikan namanya di sini.

Sekali lagi, terima kasih daun keladi.

Candid-candid sepagi festival.

Pengerusi majlis memulakan acara

Acara Nasyid
POLIMAS memulakan persembahan.

Wakil tuan rumah mengambil tempat

Dari Seberang Perai..Akhirnya dinobatkan sebagai juara..

Persembahan terakhir nasyid, Politeknik Sultanah Bahiyah Kulim

Penonton merangkap juru foto..

Barisan hakim, peserta-peserta, krew-krew merangkap penonton

Para peserta dan penonton-penonton di sebelah kiri dewan

Antara krew yang bertugas

Tuan hadiah dan cenderahati bersama hadiah-hadiah serta cenderahati sebelum diserahkan kepada para pemenang.

Hadiah-hadiah serta cenderahati-cenderahati bersedia untuk diserahkan kepada empunya..


Dan johan Dikir Barat jatuh kepada....
Tuan rumah...tempat pertama dari dua kumpulan yang bertanding

Apa-apa pun, tahniah kepada semua pemenang termasuk acara-acara lain yang tidak sempat dirakamkan oleh kamera saya.

Razak Nordin berpesan ; Syukur pada Allah SAW dan terima kasih buat semua yang membantu bagi menjayakan festival berkenaan.

Tazkirah Untuk Diri








Andainya kerja dan bebanannya terasa sebagai suatu yang amat berat, menyiksa dan menyusahkan, apa kata tukarkan semua itu menjadi suatu ibadah. Ibadah yang berat kecuali untuk orang-orang yang sabar. Tidakkah ibadah solat telah mengajar mesej yang sama. Paling tidaknya, mudah-mudahan dalam segala yang terangkum itu ada pahala dan kebaikan untuk diri.

Tiada ruginya sambil menyelam minum.
Dapat gaji dapat bonusnya juga.
Dapat barang, dapat hadiahnya juga.

Mudah-mudahan.

Dalam kesusahan itu ada kemudahan.
Dalam tangisan ada kelegaan.
Dalam ancaman ada peluang yang terbuka.
Dalam ketawa dan riang ada keinsafan.

Razak Nordin berpesan ; Bukankah kita hanyalah hamba dan khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Monday, September 27, 2010

Pokok-Kayu Bujang Lagi






Hari ini pokok-kayu bujang lagi.

Kali ini pokok-kayu terpaksa dibujangkan sementara kerana Uminya bersama-sama anak-anak istimewa ditakdirkan untuk melawat negeri Sabah, negeri di bawah bayu. Negeri yang pertama kali saya di"posting"kan sebagai penjawat awam di Politeknik Kota Kinabalu pada 1 Julai 1999.

Tidaklah lama sangat. Dalam seminggu je. Huhuhu.Wawawa. Bukan sedih, bukan terkilan.

Pokok-kayu mendoakan semoga semua ahli rombongan selamat  pergi dan kembali. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT hendaknya.

Tetapi pokok-kayu tidak kisah sangat pasal dibujangkan itu. Yang dikisahkan barang sedikit adalah melayan karenah putera Razin yang pada hari pertama pun sudah macam-macam karenah peliknya. Si Kakak pula tidaklah payah sangat melayan peelnya itu.

Ketika pokok-kayu sedang menulis entry ini, dua beradik sehati sejiwa itu dibiarkan "berkubang" dalam bilik air. Berkubanglah wahai anak-anak Abi, janji jangan menangis sudah. Tidak larat Abi mendengarnya.

Dan malam ini, mereka berdua akan dibawa bersama pokok-kayu untuk ke kelas gantian pula. Apa nak buat, terpaksa.

Alang-alang sudah membuat janji dengan para pelajar minggu lepas, redah sahajalah. Harap-harap semuanya berjalan tanpa gangguan. Jika dibatal pun, susah juga mencari masa lain untuk dibuat penggantiannya.

Saat beginilah barulah terasa besarnya pengorbanan seorang isteri di samping suami untuk menguruskan anak-anak dan rumahtangga.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan serta kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sepanjang minggu semasa pokok-kayu dibujangkan ini.

Dan harapnya pokok-kayu tidak menggatal tidak tentu hala sepanjang minggu ini.

Razak Nordin berpesan ; Takbir3X.

Sunday, September 26, 2010

Mempengaruhi Pemikiran "Teknik" Keterhadan Palsu







Saya ingin berkongsi sedikit dapatan yang saya dapat hasil pembacaan dari buku Kemahiran Berfikir yang ditulis oleh Puan Ainon Mohd dan seorang penulis lain. Puan Ainon juga boleh ditemui  di sini.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah di bawah topik bagaimana cara mempengaruhi fikiran orang. Dan apa yang ingin dikongsikan di sini hanyalah satu sub topik yang kecil iaitu "teknik" keterhadan palsu.

Bagi menjelaskan teknik atau kaedah tersebut, Puan Ainon telah membawakan satu kajian yang telah dibuat oleh seorang pakar psikologi Jack Brehm.

Menurutnya, seorang pakar psikologi Jack Brehm, melalui kajiannya membuktikan apabila kita diberitahu kita tidak boleh mendapat apa-apa yang kita ingini, hal itu hanya membuat kita lebih inginkan perkara tersebut. Kajian yang beliau buat itu ialah berkenaan reaktans.

Di dalam sebuah kajian beliau, sekumpulan individu diminta mendengar empat buah rekod lagu-lagu. Kemudian mereka diminta menilai sejauh mana mereka suka rekod-rekod itu. Sebagai ganjarannya, mereka diberikan rekod-rekod tersebut mengikut pilihan masing-masing. Tetapi rekod-rekod itu diberikan apabila mereka datang kali kedua bagi membuat penilaian tambahan ke atas rekod-rekod tersebut. Apabila mereka datang kali kedua, mereka diberitahu mereka hanya boleh memilih satu di antara tiga rekod yang ada kerana rekod yang keempat tidak ada lagi bagi diberikan kepada mereka. Setiap individu diberitahu ada rekod yang tidak ada. Rekod itu pula ialah rekod yang dinilaikan di tempat ketiga sewaktu masing-masing menilai pada kali pertama. Keempat-empat rekod itu diperdengarkan sekali lagi kepada mereka bagi dinilai kali kedua.

Hasil kajian itu mendapati, penilaian yang diberikan ke atas rekod yang tidak ada naik dengan banyaknya. Ini menunjukkan, rekod yang tidak dapat mereka miliki kini dianggap lebih baik dan menjadi lebih menarik. Gejala ini disebut reaktans.

Kesan reaktans kerap digunakan oleh para peniaga bagi menggalakkan jualan barang-barang mereka. Mereka mencipta gambaran seolah-olah barang-barang itu terhad. Mereka mengatakan tawaran adalah terhad atau selagi stok masih ada dan sebagainya.  Biasanya stok masih ada banyak, tetapi mereka sengaja memberi gambaran seolah-olah stok adalah terhad.

Mungkin sejak dahulu sehingga kini, teknik atau kaedah keterhadan palsu ini secara langsung atau tidak mungkin digunakan oleh sesetengah orang untuk 'mempengaruhi atau menakut-nakutkan' orang lain tentang sesuatu yang belum pasti atau wujud. Diulang sebut supaya melekat di benak pemikiran sehingga menjadikan sesuatu itu "benar" tanpa kewujudan.

Landasannya mungkin sama tetapi caranya mungkin berbeza.
Bahasanya mungkin berbeza tetapi matlamatnya hampir serupa.
Caranya mungkin berlainan tetapi tujuannya adalah sama.

Mempengaruhi pemikiran seseorang untuk mempercayai 'keterhadan palsu' sebagai sesuatu yang 'benar-benar wujud' dan 'benar-benar akan berlaku'.

Razak Nordin berpesan ; Lihatlah diseputar hidup. Mungkin kita pernah 'menjumpainya'. Sama ada secara sengaja atau tidak.

Telinga Oh Telinga-Hargai Nikmat Tuhan.







Selepas pemeriksaan dan rawatan yang agak mendebarkan dan mengilukan.

Doktor memberikan nasihat.

Jika ingin cepat sembuh.

Tiada lagi 'seafood'.
Tiada lagi makanan yang gatal-gatal.
Kurangkan daging dan ayam.
Perbanyakkan makan sayur.
Perbanyakkan makan buah. 
Minum banyak yogurt tapi kena buat sendiri supaya lebih baik dan selamat. 

Gantikan antibiotik dengan yogurt kerana antibiotik yang dimakan selalu akan menyebabkan badan menjadi lemah.
Jadi gantikannya dengan yogurt untuk kekuatan badan. Supaya mempercepatkan proses penyembuhan.
Kalau boleh, makan sayur dan ikan sahaja. 

Habiskan antibiotik yang ada dan teruskan dengan ubat yang doktor bagi ini.
Dan pastikan supaya telinga tidak dimasuki air dan sentiasa kering.

Dan saya mengiakannya tanda faham dan akur. Sambil mengangguk-ngangguk kepala.  

Begitulah kurang lebih antara 'rangkuman' nasihat-nasihat doktor telinga yang saya temui maghrib semalam. Seperti dalam "entry" sebelum ini.

"Tak boleh  "repair" ke", saya bertanya. Dengan harapan ada perkembangan yang lebih positif.  

"Empangan" sudah pecah, kalau saya "repair" pun dia akan pecah semula. So, bagi kering dulu, lepas tu baru boleh "repair".

"Ooo", saya mengiakan tanda akur. Tanpa menambahkan pertanyaan lagi. 

"Terima kasih doktor", saya mengucapkannya sambil bersalaman dan doktor tersebut menepuk-nepuk bahu saya. Mungkin berdoa agar telinga saya cepat sembuh.

Dengan senyuman, keramahan dan ambil beratnya serta rawatan yang memuaskan, kelamaan menunggu tadi terasa berbaloi juga.

Walaupun hanya kerana sebelah telinga tetapi ia banyak mengganggu keselesaan hidup juga.

Hargailah telinga anda sebelum ia memberikan masalah kepada hidup anda. 

Hargailah nikmat walau sekecil mana sekalipun dan hindarilah mudharat walau sekecil mana jua pun.  

Jangan sampai menghargai sesuatu hanya setelah kehilangan sesuatu.

Hargailah ia sementara Allah SWT takdirkan ia adalah milik kita.

Semoga hidup kita semua sentiasa dipayungi rahmat Ilahi.

Razak Nordin berpesan ; Mungkin ada rawatan alternatif yang boleh membantu? Sudi-sudilah kiranya berkongsi di sini.

Saturday, September 25, 2010

Ter"Tension" Hari Ini







Maafkan saya.

Ini hanyalah kisah peribadi.

Saya pun keliru apakah tajuk yang paling sesuai untuk cerita ini.  

Lalu saya memilih tajuk ter"tension" hari ini. "Meluahkan perasaan" sebelum tidur.

Kisahnya begini.

Selepas majlis penutupan Festival Kesenian Islam Politeknik Zon Utara tengahari tadi, saya bergegas pulang ke rumah untuk solat zuhur dan juga makan tengahari.  

Sebabnya.
Saya ingin ke sebuah klinik di Alor Setar untuk memeriksa telinga kanan saya yang masih tidak kebah-kebah lagi dari "sakit" yang berpanjangan itu. Harapnya, bila sampai awal, makanya selesainya awallah juga. Semuanya tanpa dirancang awal kerana saya baru mendapat maklumat tentang klinik tersebut dari seorang rakan sekerja. Teruja ingin mencuba.   

Syukur, dengan hanya sekali "kesesatan", akhirnya saya bersama isteri dan anak-anak telah sampai ke klinik yang dimaksudkan itu.

Kurang lebih pukul 3.30 petang dan saya mendapat kad giliran bernombor 17. Ketika itu tidak sabar rasanya ingin berjumpa doktor yang dikatakan pakar "bab-bab" telinga tersebut.

Tunggu punya tunggu, selepas lebih setengah jam barulah diketahui bahawa sebenarnya doktor belum "masuk" lagi untuk sesi petang.

 Yang hairannya, semua pesakit yang ada terus menanti dengan "sabar" kedatangan doktor tersebut walaupun terlewat agak jauh dari waktu kebiasaannya. Menurut pembantu klinik di situ, selalunya doktor akan masuk jam 3 petang.   Dan saya pun tumpang menanti dengan sabar juga. Alang-alang mari jauh kata isteri saya.

Sekejap duduk.
Sekejap bangun.
Sekejap menjenguk isteri dan anak-anak dalam kereta.

Rimas.
Tertekan.
Cemuh.

Kurang lebih pukul 5.10 @ ketika saya hampir putus harapan@ bertanya pembantu klinik sama ada doktor akan datang atau tidak@ doktor baru sampai, sudah dua orang pesakit sudah selesai.

Kerana alang-alang tadi, saya bertekad untuk menunggu. Kali ini "bawa turun" isteri dan anak-anak sekali sebagai peneman kegelisahan perasaan.

Sudahnya, ketika jam menunjukkan pukul 6.15, baru 9 pesakit yang dipanggil untuk menerima rawatan. Sedangkan nombor giliran saya adalah 17. Solat asar belum ditunaikan. Mahu tidak mahu, bergegas dahulu untuk solat Asar. Nasib baiklah tempatnya "tidak berapa jauh" dari klinik tersebut.

Campur solat asar dan karenah anak-anak, saya sampai semula ke klinik tersebut kira-kira hampir jam 7 malam. Ketika itu giliran saya hampir sampai. Pesakit nombor 15 telah dipanggil. Bermakna hanya ada seorang pesakit lagi sebelum tiba giliran saya.  

Dan.
Kurang lebih jam 7.30 malam, giliran saya tibalah jua.

Dan.
Selesai pemeriksaan kira-kira jam 8 malam.

Selepas mengambil ubat dikaunter, solat maghrib di surau stesen petronas dan singgah "pekena" bihun tomyam di restoran Thai sekitar Anak Bukit, saya memandu dalam kelesuan dan kepenatan menuju rumah ketika anak-anak sudah terlena. Isteri pula terlentuk di kerusi sebelah.

Semuanya lesu dan penat.

Kelesuan dan kepenatan bukan kerana bekerja tetapi kelesuan dan kepenatan kerana lamanya menunggu.

Cumanya, sambil-sambil itu saya fikir juga "seposen". Kepada satu persoalan. Kenapa orang-orang itu sanggup menunggu walaupun dalam tempoh masa yang lama dan saya pun terpengaruh untuk menunggu sama.

Dengan "sepenuh dan rela hati". Tanpa marah-marah dan maki hamun.

Saya belum menjumpai rumusan tepat kepada "fenomena" tersebut.

Razak Nordin berpesan ; Pandangan anda bagaimana?

Sunday, September 19, 2010

Kita Mungkin Tahu Tetapi Kurang "Cakna"

Malam tadi, saya sempat mengikuti kuliah Maghrib yang telah disampaikan oleh seorang penceramah di surau Nurul Hikmah di Taman Lela Satu Kamunting.

Dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke Perlis, kesempatan tersebut digunakan untuk "singgah tidur semalam" di rumah mertua di Taman Lela Satu Kamunting.

Dan Allah SAW. telah mentakdirkan untuk saya apa yang telah berlaku itu dan tidak salah rasanya untuk saya kongsikan di sini. Dengan pengolahan sekadarnya.  

Kita Mungkin Tahu Tapi Kurang Cakna

1. Bahawa beruntunglah orang-orang yang menghadiri majlis Zikrullah(termasuk majlis ilmu-contoh-mendengar kuliah yang dapat mendekatkan diri dengan Allah SAW-jangan sempitkan maksudnya) kerana Malaikat Allah "bagi pihak" sesiapa sahaja yang berada dalam majlis tersebut akan bertemu Allah SAW. untuk memohon keampunan bagi pihak mereka. 

Sehingga disebutkan bahawa sekiranya seseorang itu datang tetapi tertidur sekali pun, Malaikat Allah akan tetap memasukkan namanya ke dalam senarai orang-orang yang akan dipohon keampunan dari Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyanyang itu. 

2.  Hadis yang selalu disebut(dibaca) oleh Khatib  dalam khutbah kedua Solat Jumaat. 

Dengan hanya sekali  berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dengan penuh keikhlasan, maka Allah berselawat kepada orang itu dengan sepuluh selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.
  
Seperti yang disebutkan dalam hadis di bawah.

Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim; Sabda Nabi Muhammad SAW. :

"Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya. " SUMBER

Mungkin ramai orang sudah mengetahui, tetapi kebanyakan orang mungkin kurang cakna dengan perkara-perkara yang "kecil" ini.

Apakah lagi yang kau dambakan wahai insan-insan!!! Kau dan aku...

Apabila Allah SWT berselawat ke atas dirimu kerana sekali selawatmu kepada Nabi Muhammad SAW serta menghapuskan dosa-dosamu lalu mengangkat darjatmu dan Malaikat Allah SWT pula adalah wakilmu untuk berjumpa Allah SWT bagi memohon keampunan bagi dirimu.

Adakah lagi penolongmu sehebat itu di dunia ini?
Adakah lagi rahmat sehebat itu di dunia dan akhiratmu?

Razak Nordin berpesan ; "JUALAN MURAH" TANPA MODAL KEWANGAN , SUDIKAH KITA SEMUA MEREBUTNYA"

Nampak Macam Mudah Tapi..

Lama tidak berkongsi di pokok-kayu. Eloklah kiranya kali ini saya mulakan dengan yang ringkas dahulu.

Merenung dengan mata hati. Akan wasiat ini.  

Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan; “Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara;

1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan.

2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha.

3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Razak Nordin berpesan ; Sesuatu yang dilihat mudah dan senang, belum tentu mudah dan senang juga dalam pelaksanaannya serta mengerjakannya. Buat semua, selamat mencuba, dengan Eemanann(penuh keimanan) Wahtisaabann(mengharapkan keampunan) dari Allah SWT.

Saturday, September 11, 2010

Syawwal ke 2 ; Ziarah Yang Mengusik Rohani

 
 
 
 
 
 
 
Kisah 1
 
Seorang nenek tanpa atuknya.
 
"Berapa umur dia", saya bertanya kepada salah seorang pakcik tentang umur emaknya.
 
Ingin mendapat kepastian kerana ibunya itu boleh dikatakan sudah hilang memori ingatannya. Sekejap-kejap ditanyanya emak mertua saya soalan yang sama berulang kali. Mungkin menghidapi penyakit nyanyuk.
 
"Dah dekat 80", dah banyak yang tak ingatnya" jawab pak cik tersebut ringkas.
 
Saya mengangguk tanpa faham. Sambil-sambil cuba menyelami, meletakkan diri ditempat nenek tua itu.
 
 
Kisah 2
 
Seorang atuk tanpa neneknya.
 
Perlakuannya seolah-olah membayangkan bahawa atuk ini sudah melupai semuanya mungkin. Melupai semua memori masa silamnya.

Dan saya tidak bercadang menyatakan satu-persatu contoh-contohnya. Kerana sesungguhnya bukan maksud saya mencari keaiban walau sebesar zarrah sekali pun. .  
 
Sebaliknya apa yang lebih penting, sama-sama "menggali" iktibar dengan apa yang Allah SAW telah mentakdirnya kita menjumpainya. Berwaspada, berikhtiar serta berdoa agar dijauhi.  
 
Saya yakin "perjumpaan" itu bukan sia-sia bagi sesiapa yang mahu berfikir dan mengambil iktibarnya.  
 
Sama ada Alzheimer dan Demensia.
 
Kedua-duanya tidak pernah menjadi impian warga tua malahan sesiapa sahaja. Walau bagaimapun, jika ditakdirkan panjang umurnya, setiap orang yang sampai umur tuanya mungkin akan "disinggahi" penyakit nyanyuk atau dementia tersebut.  

"Disinggahi" bermakna sama ada suka atau terpaksa. Ia akan tiba jua jika telah ditakdirkan.

Tetapi manusia dibekali ikhtiar, doa dan tawakkal kepada Allah SAW.

Doa yang boleh merubah Qodo'(qada'). “Tidak tertolak qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.” , itu sabda Rasullullah SAW.  (Hadis riwayat Tirmidzi)


Secara ringkas. Tentang Alzheimer.
 
Alzheimer atau sebutannya alz-zhai-me, merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif. Penyakit Alzheimer bukannya sejenis penyakit berjangkit. Penyakit Alzheimer adalah keadaan di mana daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri. Penyakit Alzheimer bukannya `nyanyuk' yang sekadar satu proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah kesihatan yang amat menyeksakan dan perlu diberikan perhatian.

Alzheimer digolongkan ke dalam salah satu daripada jenis nyanyuk (dementia) yang dicirikan dengan melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personaliti dan tingkah laku yang tidak terkawal. Keadaan ini amat membebankan bukan saja kepada si penghidapnya, malah ahli keluarga yang menjaga. Penyakit Alzheimer yang menurunkan fungsi memori ini juga menjejaskan fungsi intelektual dan sosial penghidapnya. Biasanya, ahli keluarga hanya datang membawa pesakit berjumpa doktor apabila mereka sudah tidak tahan dengan gejala pesakit.

Hingga kini, punca sebenar penyakit ini tidak diketahui. Tetapi, ia bukanlah disebabkan penuaan. Bagaimanapun, saintis berpendapat, ia dikaitkan dengan pembentukan dan perubahan pada sel-sel saraf yang normal menjadi serat.

Risiko untuk menghidap Alzheimer, penyakit yang sinonim dengan warga tua ini, meningkat seiring dengan pertambahan usia. ``Bermula pada usia 65 tahun, seseorang mempunyai risiko lima peratus menghidap penyakit ini dan risiko ini meningkat dua kali ganda setiap lima tahun, kata Pakar Psikogeriatrik, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Esther Ebeenezer.

Menurut Esther, sekalipun penyakit ini dikaitkan dengan warga tua, namun sejarah membuktikan bahawa pesakit pertama yang dikenal pasti menghidap penyakit ini ialah wanita dalam usia awal 50-an.

Manakala Dementia pula.
Dementia (dari bahasa Latin demens) adalah kemerosotan dalam fungsi kognitive akibat kecederaan atau penyakit pada otak melebihi dari apa yang dijangka dalam proses penuaan biasa. Kawasan yang mempunyai kesan khusus ingatan, perhatian, bahasa dan menyelesaikan masalah, walaupun terutamanya pada tahap akhir penyakit, pesakit mungkin kabur tentang masa (tidak tahu hari apa, minggu, bulan, atau tahun), tempat (tidak tahu di mana mereka berada) dan orang (tidak mengenali diri sendiri).

Al Quran pernah menyebutkan tentang fenomena ini. Antaranya.

Pertama dalam surah An Nahl ayat 70 di bawah.

Dan juga dalam surah al Hajj ayat 5.
Ayat-ayat di atas menunjukkan penyakit nyanyuk(arzali umuri) berlaku kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah SWT. 

Pesan Junjungan
Tugas kita sebagai hambaNya adalah memohon dilindungkan dari penyakit ini, bahkan Nabi SAW sendiri memohon berlindung darinya.

Seperti yang diriwayatkan dari Anas r.a., katanya Nabi SAW sering berdoa:



Razak Nordin berpesan ; Ziarah Syawwal ke 2 yang menghimpunkan ziarah, makan minum dan sebuah keinsafan. 

Hati-Hati Memilih Makanan Sempena Aidil Fitri







Berwaspada memilih makanan untuk di makan dalam "kegembiraan"  sempena menyambut hari raya. Takut-takut mendapat "musibah" atas kegelojohan dan kealpaan diri sendiri.

Kalau bolehlah saya katakan begitu.

Memahami tahap kesihatan diri dengan banyaknya pantang, saya memang "berhati-hati" dalam memilih makanan daripada pelbagai juadah yang dihidangkan. 

Dalam berhati-hati itu pun, kami sekeluarga akhirnya "terkena" juga.

Sejak malam tadi, kami sekeluarga sakit-sakit perut dan cirit-cirit. Entahlah mana satu puncanya. 

Sama ada.

Lemang bersama rendang ayam atau daging.
Laksa.
Mee Sup Tulang.
Kari Kepala Ikan kedai mamak.

Apapun, ianya telah berlaku.

Saya hanya ingin berkongsi.

Sama-samalah kita berhati-hati dalam memilih makanan dan minuman sempena raya ini. Jangan main "bedal" sahaja.

Jangan berikan terlalu banyak "kejutan" kepada perut anda yang agak lama juga berehat itu.

Razak Nordin berpesan ; Moga kita semua lebih berhati-hati.

Friday, September 10, 2010

Cuit-Cuit Di Pagi Syawwal 1431H







Alhamdulillah dan tahniah.

1 Syawwal 1431H tiba jua.

Kepada umat Islam yang berjaya menghabiskan puasa Ramadan pada tahun ini dengan "sebenar-benar" puasanya. Moga segala puasa tersebut dapat dipersembahkan kepada Allah SWT dalam keadaan yang paling sempurna.

Tahniah juga kepada umat Islam yang tidak pernah meninggalkan solat terawih serta dapat menyempurnakan ibadat-ibadat sunat yang lain juga. Pahala sunat yang dikatakan seumpama pahala ibadat wajib kerana mulianya Ramadan itu. 

Saya pun ada menerima ucapan melalui SMS sempena 1 Syawwal ini.

Mengucapkan "Selamat Menyambut Hari Raya" dengan pelbagai bunga bahasa yang indah-indah semuanya. Gembira dan seronok-seronok semuanya.

Banyaklah juga.

Ada yang saya kenal penghantarnya. Dan ada juga yang ucapannya tanpa saya tahu siapakah penghantarnya. Kepada semua telah menghantar ucapan, sama ada yang memperkenalkan diri atau tidak, terima kasih atas ingatan dan doa kalian. 

Kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua yang telah menghantar SMS serta semua umat Islam yang mengenali diri ini.  

Tanda lahiriahnya, "semua" orang seronok dan bergembira.

Macam-macam acara juga diadakan tanda seronok dan gembira menyambut hari raya.

Rasanya tidak perlulah saya senaraikan satu persatu di sini. No komen, kata orang putih.

Cuma nak cuit sikit. Seronok pasal apa ye?

Gembira dan seronok kerana berjaya berpuasa dengan sebenar-benar puasa serta berjaya juga menyempurnakan ibadah-ibadah yang lain dengan jayanya sepanjang Ramadan yang baru melabuhkan tirainya.

Atau.

Seronok kerana tidak perlu berpuasa lagi. Boleh makan dan minum semahunya serta boleh melakukan perkara-perkara yang "dilarang sementara" di bulan Ramadan sebelum ini.

Atau.

Entahlah. Orang seronok, kita pun tumpang seronok juga.

Apa-apa pun.

Hendaknya kita semua berada di "lorong yang betul". Tak gitu? 

Begitulah hendaknya.

Kuala Kangsar@ Sungai Perak Resort(Awan Bayu).

Razak Nordin berpesan ; Cuit-cuit di pagi Syawwal 1431.

Tuesday, September 7, 2010

Tiga Hari Yang Hampir Setahun

Salah satu gambar terakhir bersama arwah ibu..menimang Razin, cucu terbaru ketika itu.


Razak Nordin berpesan ; Moga roh ibu sentiasa dicucuri rahmat Ilahi. Kepada adik-adik, maaf kerana mengambalikan nostalgia ini. Hakikatnya ia tidak pernah padam dari ingatan.

Formalin ; Pengawet Mayat Pada Makanan






Sekadar hiasan

Sambutan hari raya dan pelbagai juadah hidangan mungkin sesuatu yang sudah sinonim dan tidak dapat dipisahkan lagi.  

Sebagai "pemakan" tegar yang sememangnya cukup berselera untuk "makan-makan" pelbagai juadah tersebut terutama makanan laut, apa yang diketengahkan dalam sisipan Mega UM dalam ruangan Mega Sains, halaman 6 dan 7, Isnin 6 September 2010, sepatutnya memanggil rasa peduli kita semua.

Bukan main "bedal" sahaja apa yang ada di hadapan kita.

Oleh kerana saya bukan lagi peminat akhbar-akhbar, saya menjumpai sisipan ini secara tidak sengaja. Yang kebetulan berselerak di atas "meja terbiar" di ruang pejabat.

Dan tidak salah rasanya untuk saya berkongsi di sini.

Tajuknya ; Mengesan Pengawet Mayat Pada Makanan

(SEDUTAN PETIKAN DENGAN PENYESUAIAN)

Dicatatkan bahawa paling ketara ialah sumber makanan laut antara lain untuk memastikan ia sentiasa kelihatan segar, cantik dan paling penting laris penjualannya.

Disebutkan,  antaranya penggunaan bahan kimia terlarang seperti larutan formalin(formaldehid) untuk mengawet makanan laut terutamanya ikan dalam jumlah yang banyak.

Larutan formalin ini sebenarnya digunakan untuk mengawet tisu organisma hidup seperti daging bagi menjadikannya tahan lama. Apa yang pasti larutan yang sama juga digunakan untuk mengawet mayat manusia!

Hakikat penggunaan bahan kimia itu secara berleluasa ke atas bahan makanan seperti ikan serta makanan laut yang lain telah lama disedari saintis dan pengguna.

Namun kajian menyeluruh serta mendalam bagi mengesan penggunaannya kurang dilakukan terutamanya di negara kita.

Menurut Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan(UPM), Profesor Madya Dr. Fatimah Abu Bakar, jika bahan kimia tersebut diambil(melalui makanan) boleh membahayakan kesihatan manusia.

"Antara penyakit yang boleh dialami oleh seseorang yang menerima bahan kimia tersebut secara berlebihan adalah kanser paru-paru, kanser otak dan leukimia".

"Menurut The National Occupational and Health (NIOSH), Amerika Syarikat, larutan formalin amat berbahaya kepada kesihatan jika individu terdedah dengan bahan kimia tersebut pada kepekatan melebihi 20 bahagian per juta(ppm)," ujar beliau ketika ditemui baru-baru ini di Serdang, Selangor.

Menyedari keselamatan pengguna kini semakin terancam, beliau bersama beberapa pengkaji mencipta alatan yang dikenali sebagai teknologi biosensor, menggunakan sejenis enzim bagi mengesan kehadiran larutan tersebut dalam makanan.

Info
Apa itu larutan formalin?

  • Larutan formalin lebih dikenali dengan nama Formaldehyde dehydrogenase

  • Merupakan larutan bahan kimia yang tidak berwarna, mempunyai sifat yang mudah terbakar pada suhu bilik serta mempunyai bau yang agak menyengit atau "tajam"

  • Boleh menyebabkan rasa terbakar pada mata, hidung dan paru-paru apabila terdedah pada kepekatan yang tinggi.

  • Mudah larut dalam air dan tersejat udara.

  • Digunakan dalam sektor perkilangan seperti pembuatan kertas, papan lapis, resin urea formaldehid, hospital dan di makmal bagi tujuan pengawetan tisu spesimen.
Kesan kepada manusia.


  • Merupakan karsinogen yang bertindak sebagai mutagen yang mampu menyerang, menganggu kenormalan serta memusnahkan bahan genetik yang terdapat dalam sel badan mangsa.

  • Kajian menunjukkan pendedahan secara terus terhadap larutan formalin mampu menyumbang kepada penyakit kanser paru-paru, kanser otak dan leukimia.
Larutan formalin pada makan laut

  • Sebagai bahan pengawet agar kualiti dan jangka hayat daging ikan dan produk makanan laut dapat bertahan dengan lebih lama.
Razak Nordin berpesan ; Kepada peminat-peminat ikan dan produk-produk makanan laut. Ini bukan berita baik.

Persoalan Hari Raya Yang Jatuh Serentak Dengan Hari Jumaat

Perkara ini mungkin jarang-jarang berlaku.

Tetapi kerana jarang-jarang itulah,  persoalan selalunya timbul.

Bukan tujuan saya ingin menghuraikan. Cuma ingin berkongsi artikel yang dijumpai.

Mudah-mudahan ada manfaat untuk saya dan sesiapa sahaja yang membaca dan mengambil manfaatnya.

Jika berminat, bolehlah klik di SINI.

Razak Nordin berpesan ; Terima kasih kepada "tuan asal" atas perkongsian.

Duit Raya : Mengajar Anak-Anak Tentang Adab







"Alah, "singgit" je", rungut si anak kecil itu.

"Kedekutlah Pak Cik ni, abang tadi tu bagi lima ringgit", si kawan pula cuba menambah "perasa".

Walaupun tidak semuanya, barangkali kita pernah mendengar dialog-dialog seperti di atas atau seumpamanya setiap kali tiba musim perayaan.

Dialog "anak-anak rebung" kita.

Anak-anak yang belum banyak mengerti tentang adab dan tatasusila bahkan kehidupan itu sendiri.

Barangkali bukan salah "anak-anak rebung" kita itu seratus peratus.

Bukan juga ingin mencari salah sesiapa.

Cuma.

Barangkali menjadi tanggungjawab ibubapa, abang-abang, kakak-kakak serta guru-guru atau sesiapa sahaja yang merasa bertanggungjawab untuk mengajar ana-anak kita, adik-adik kita serta anak-anak didik kita tentang adab dan tatasusila hidup.

Beritahu dan didiklah "anak-anak rebung" kita tentang perpatah kita ; "Sedikit tanda ingat, manakala banyak pula tandanya ada".

Didik dan beritahulah mereka ;

1. Bahawa pemberian duit raya itu adalah berkonsepkan sedekah bukan pemberian wajib. Dan sedekah itu diberikan mengikut kemampuan orang yang memberi bukan mengikut kehendak orang yang menerimanya.

2. Hargailah setiap pemberian sedikit atau banyak kerana mungkin ada orang-orang lain yang tidak menerima apa-apa pun sempena hari raya ini.

3. Ucaplah terima kasih kepada sesiapa yang memberikan duit raya sama ada pemberian itu sedikit atau banyak.

4. Bahawa semua itu bukan diukur pada sedikit atau banyak duit rayanya tetapi diukur kepada keikhlasan pemberi dan penerimanya.

5. Terimalah pemberian itu dengan tangan kanan, supaya dilihat lebih beradab. Mengambil iktibar dari ajaran Rasullullah SAW kerana Rasullullah SAW pernah mengajarkan jika makan gunakanlah tangan kanan.

6. Jangan buka sampul-sampul raya tersebut sebelum sampai di rumah. Lebih-lebih lagi, jangan sesekali membuka sampul-sampul tersebut di hadapan orang yang memberikannya, kerana ia boleh menimbulkan aib kepada si pemberi dan menandakan tiadanya adab pada anak-anak.

Itu antaranya yang boleh saya masukkan dalam senarai.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Raya-raya yang lalu-lalu. 

Mudah-mudahan ia tidak berulang lagi kali ini.

Bukan anak-anak yang mendapat malu.

Tetapi kita yang mendapatnya.

Ibu, bapa, abang-abang serta kakak-kakaknya.

Yang mungkin terlupa untuk memberitahu.  

Sama-sama kita perhatikan anak-anak sendiri atau anak-anak buah sendiri.

Agar "kompeni" tidak malu-malu lagi.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan ada perubahan raya kali ini.

Monday, September 6, 2010

Jangan Buat-Buat Tidak Perasan

Insyaallah.

Hari Raya Eidul Fitri tahun ini akan disambut pada hari jumaat ini.

1 Syawwal 1431H.
Bersamaan 10 September 2010.

Itu semua orang tahu dan tidak lupa.
Sama ada orang itu berpuasa atau tidak.
Berpuasa penuh atau ada yang ponteng-ponteng.
Peduli banyak atau peduli sikit-sikit sahaja.

"Semua" orang bergembira.
"Semua" orang berasa seronok.
"Semua" orang terasa teruja.
"Semua" orang semakin tidak sabar-sabar lagi.

Dan pelbagai macam perasaan lagi mungkin.

Teruja balik kampung.
Teruja "naik" rumah baru.
Teruja hendak pakai baju baru.
Teruja hendak tunjuk kereta baru.
Teruja hendak tunjuk isteri baru.

Dan tentunya pelbagai macam teruja lagi.

Bergembiralah di hari raya.
Itu hak anda wahai orang-orang yang berpuasa.
Kegembiraan pertama.
Dibalas di dunia.
Kegembiraan berbuka.
Termasuk berhari raya.

Kegembiraan kedua.
Ketika bertemu dengan Allah SWT di hari pembalasan nanti. Jika amal puasanya diterima olehNya. Mudah-mudahan begitulah hendaknya.

Cuma.
Dalam kegembiraan meraikan hak masing-masing.

Perasanlah sama.

Bahawa setiap hari yang bertambah bermakna ;

Berkurang lagi umur dunia dan jarak kiamat semakin mendekat.
Umur manusia semakin bertambah dan bakinya semakin kurang.
Jasad manusia semakin tua dan tenaga gagahnya semakin berkurang.
Tanggungjawab manusia semakin bertambah, sedangkan kebanyakkan manusia semakin "hilang upaya".

Mata makin kelabu.
Sendi-sendi tangan dan kaki makin longgar.
Selalu sakit-sakit dan lenguh-lenguh.

Pinggang selalu pula sakit-sakit.
Gigi-gigi semakin longgar.
Belakang semakin bongkok.
Telinga juga semakin kurang pendengaran.
Selera makan makin berkurang.
Tidur malam banyak terganggu.
Badan pula selalu lenguh-lenguh.

Bergembiralah.
Tiada salahnya.

Tapi ambillah sedikit masa yang ada untuk "perasan" juga.

Razak Nordin berpesan ; Eidul Fitri atau Aidil Fitri. Keliru pasal bahasalah pula.

Zaujuh ; Hanya Untuk Isteri Yang Beriman

Perkataan yang Allah SWT. gunakan dalam al Quran bagi menunjukkan suami ataupun isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza.

Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah "husband" manakala perkataan untuk isteri ialah "wife". Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah "mari" manakala perkataan "femme" untuk isteri.

Dalam al Quran, suami isteri tidak disebut dengan dua perkataan yang berbeza iaitu "zaujuh" dan "zaujati". Hanya satu perkataan yang digunakan bagi kedua-duanya iaitu "zaujuh" yang bermakna "pasangan". Islam melihat suami dan isteri sebagai pasangan, penutup dan juga pelindung antara satu sama lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna kaum lelaki dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanita. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Sudah tentu kita tidak menganggap stokin sebelah kanan lebih hebat daripada stokin sebelah kiri ataupun kaca mata sebelah kanan lebih baik daripada kaca mata sebelah kiri. Begitulah ibaratnya sepasang suami isteri dalam Islam seperti yang tercatat dalam al Quran.

Namun, gelaran "zaujuh" ini hanya diberikan kepada isteri yang sama-sama beriman seperti suami mereka. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut "zaujuh". Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Dalam al Quran, mereka disebut "imraah", kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

Rujukan.
1. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat & Hasmariza Md. Hashim.(2009). Bunga Kebahagiaan. Anbakri Publika Sdn Bhd. 

Razak Nordin berpesan ; Kelainan bukan semata kerana ingin dilihat berbeza.

Walaupun Enam, Enam Tanda Cinta dan Sayang







Puasa Ramadan tanda taat dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Susulilah puasa Ramadan dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawwal.

Sebagai tanda cinta dan sayang yang tidak berbelah bahagi, tidak bertengah tepi kepada Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sebagai mengambil manfaat dari hadis di bawah.

Dari Abi Ayub Al-Anshari, : Bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “Barangsiapa puasa Ramadhan kemudian diikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, adalah ganjarannya seperti puasa setahun” [Hadith Riwayat Muslim]

Razak Nordin berpesan ; Moga Allah SWT. memberikan kekuatan.

Syaitan Itu Hanya Dirantai, Bukan Dibunuh

"Kalau syaitan sudah dirantai, kenapa masih ada lagi orang buat perkara yang tidak baik di bulan Ramadan ni", kata si A. Keliru. "Penggoda" sudah dirantai tetapi masih ada lagi manusia semacam terkena bisikannya.  

"Depa tu kot yang bertukar menjadi syaitan", kata si B menambah "perasa". Agak keras lagi "syadid".

"Aku rasa macam nilah", kata si C cuba meredakan kekeliruan yang baru terjadi.

"Macam mana", tanya si A semacam tidak sabar.

"Bukankah syaitan tersebut hanya dirantai, bukan dibunuh", kata si C.

"Jadi, apa kaitannya", si B semakin tidak sabar.

"Anjing garang juga dirantai tetapi pernah juga menggigit orang".

"Lembu garang juga dirantai(ditambat) tetapi pernah juga menyondol orang".

"Kerbau garang juga dirantai(ditambat) bahkan dikandangkan tetapi pernah juga menanduk orang"

Dan menambah.

"Aku rasalah, walaupun anjing itu dirantai tetapi yang dirantai itu adalah jasadnya bukan sifat garang dan bengisnya. Sama juga lembu dan kerbau tersebut".

"Ketiga-tiga binatang tersebut memang tidak bebas ke mana-mana untuk menggigit, menyondol atau menanduk sesiapa".

"Tetapi aku rasa, ketiga-tiganya akan bertindak kepada sesiapa yang lalu berhampiran mereka yang sedang dirantai tersebut atau masih cuba-cuba lalu-lalang di sekitarnya atau cuba-cuba mengacau-ngacaunya".

"Bila dirantai tu, mungkin lebih garanglah kerana boleh jadi lebih tertekan agaknya", kata si C cuba menambah perasa juga.

"Memang kerbau tersebut telah ditambat dan dikandangkan, tetapi aku rasa sesiapa yang memasuki kandang tersebut sengaja mencari nahaslah".

"Aku rasa begitulah juga dengan syaitan tadi. Syaitan tetap syaitan. Sebagaimana permohonan dan janjinya dengan Allah SWT. Syaitan akan tetap akan menggoda, membisik serta mengganggu sesiapa sahaja yang cuba "menghampiri kawasan" di mana ia dirantai".

"Tetapi sekiranya manusia itu telah mencuba sedapat mungkin untuk "menjauhi kawasan" syaitan-syaitan tersebut dirantai, tidaklah dapat syaitan-syaitan tersebut menggoda mereka lalu mereka terselamatlah, Insyaallah".

"Masalahnya di mana syaitan-syaitan tersebut dirantaikan", tanya si A belum berpuashati.

"Itu hanya analogi, bahawa yang dirantai tidak semestinya tidak boleh mengggigit, menyondol atau menanduk mangsa-mangsanya yang sengaja mencari nahas".

"Kalau salah, aku mintak ampun banyak-banyak dengan Allah SWT". Kata si C menamatkan tazkirah ringkas pagi itu. Meninggalkan si A dan si B separuh kebingungan.

Sekurang-kurangnya, pagi ini si A dan si B adalah "bahan" untuk difikirkan sementara mereka akan bertemu lagi zohor nanti.

Razak Nordin berpesan ; Allah yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.

Friday, September 3, 2010

Suami Isteri ; Antara Hak Dan Kebersamaan

"Salam, tgh jaga exam ujian ni. Tanya sikit, ada dr perbualan dgn kwn2 : isteri b'kerja, wajib suami bg belanja dapur/mkn minum dsbnya, mcmana dr segi bulanan cash money cth utk dia nak beli baju ka dsbnya.Satu lagi situasi nak byr duit pengasuh anak, ada pendapat bini la coz dia nak keje, what is ur opinion? Kalu x leh jawab sms ustaz hurai dalam email/blog, senang nak forward, tq."

Begitulah "SMS" yang saya terima dua tiga hari lepas dari seorang kawan. Meminta saya memberikan pandangan kepada beberapa persoalan yang telah dinyatakan. 

Dan saya memilih berkongsi pandangan melalui blog ini.


RESPON SAYA;

Walaupun saya bukanlah orang yang paling layak, namun untuk berkongsi pengalaman dan pandangan bukanlah sesuatu yang salah dan bersalahan pada hemat saya.  Sedikit sebanyak ilmu yang ada mungkin boleh membantu saya untuk berkongsi di blog saya ini.

Barangkali ada tiga perkara pokok yang telah dinyatakan dalam "SMS" di atas.

1. Pernyataan ; Bahawa isteri bekerja, suami tetap kena bagi belanja dapur serta untuk makan, minum dan seumpamanya. 

2. Persoalan ; Macam mana dengan belanja bulanan. Contohnya untuk beli baju dan sebagainya.

3. Persoalan ; Ada pendapat mengatakan bahawa duit pengasuh anak-anak hendaklah dibayar oleh isteri dengan alasan kerana dia yang ingin bekerja.

Barangkali perkara di atas agak sulit untuk dijelaskan dalam tulisan ringkas ini, tetapi saya akan cuba memberikan huraian yang paling mudah untuk difahami berasaskan kemampuan saya yang terbatas ini.

Pada saya, perkara pertama dianggap selesai. Berdasarkan serba sedikit ilmu yang saya ada, pernyataan tersebut dianggap betul dengan kehendak hukum. Dan perkara ini mungkin telah diterima umum.

Cuma perkara 2 dan 3 perlukan huraian lebih lanjut barangkali.

Saya mulakan begini.

Umumnya, kewajipan mutlak seorang isteri dalam hidupnya ada tiga sahaja.

Pertama  : Taat Allah SAW. Mutlak.
Kedua    : Taat Rasul SAW. Mutlak.
Ketiga   : Taat suami selagi suami tidak menyuruh melakukan maksiat kepada Allah SAW dan melanggar perintah RasulNya. Tidak mutlak.

Selebihnya ada tanggungjawab bersama suami, isteri dan anak-anak.

Lazimnya dalam sesebuah rumahtangga hak-hak terbahagi tiga.

Hak(tanggungjawab) suami ke atas isteri.
Hak(tanggungjawab) isteri ke atas suami.
Hak(tanggungjawab) bersama. Suami dan isteri.

Tanggungjawab bersama, contohnya membesarkan anak-anak, menjaga keharmonian rumahtangga dan lain-lain lagi.

Barang diingat bahawa ketaatan "mutlak" seorang wanita kepada ibu dan bapanya terhenti secara automatik sebaik sahaja wanita itu berubah status dari dara sunti kepada status seorang isteri kepada seorang suami yang sah di sisi hukum syarak.

Dan bekerja bukanlah kewajipan bagi seorang isteri dan tentunya isteri hanya boleh bekerja setelah mendapat keizinan seorang suami. Bukan lagi keizinan ibu atau bapanya atau penjaganya.

Dan perlu diketahui juga bahawa menjadi seorang suami bermakna anda bertanggungjawab sepenuhnya, seratus peratus ke atas keluarga sama ada tanggungjawab jasmani dan juga rohani. Keluarga di sini bermaksud isteri dan anak-anaknya.

Makan.
Minum.
Pakaian.
Dan sekelian yang lainnya.

Isteri hanya membantu meringankan beban.

Berdasarkan itu.

Bagi menjawab persoalan kedua, kalau boleh saya gunakan istilah bahawa hukum "asal"nya memang begitu. Menyediakan makan, minum dan juga pakaian yang sewajarnya sebagai seorang isteri muslimah adalah tanggungjawab suami.

Bandingannya, jika isteri tidak menutup aurat kerana suami tidak belikan kain tudung dan pakaian-pakaian sedangkan ia tahu dan berkemampuan, maka suami akan menanggung juga bebanan dosa atas kesalahan si isteri tidak menutup aurat tersebut. Pakaian itu pula dalam jumlah yang "sepatut" dan "sewajarnya" dengan mengambil kira pelbagai faktor. Dari pelbagai sudut juga.

Mengikut hukum asalnya, hak isteri memang begitu.

Walau bagaimanapun, hak seorang manusia dengan manusia masih ada ruang kelonggaran.

Menjelaskan lagi, izinkan saya membawakan dua contoh lain.

Hukum Hudud misalnya adalah hukum Allah untuk menunaikan hak Allah. Bermaksud hukum Hudud mesti dilaksanakan kepada pesalah yang telah disabitkan kesalahannya. Dalam bahasa manusia, sebarang rundingan tidak akan dilayan.  

Sementara hukum Qisas pula adalah hukum Allah untuk menunaikan hak manusia. Bermaksud, hukuman balas balik bagi menunaikan hak Qisas boleh berubah kerana keputusan terakhirnya terletak di tangan manusia. Dalam bahasa manusia, "rundingan" boleh diterima. Sama ada ingin meneruskan hukuman Qisas atau memberikan pengampunan atau si pesalah dikenakan bayaran tertentu yang dipanggil Diat. Sama ada Diat berat atau Diat ringan. Diat adalah sejumlah bayaran tertentu oleh si pesalah ke waris si mati atau si cedera sebagai ganti Qisas yang tidak dilaksanakan.

Bandingan saya.

Asasnya menyediakan pakaian menutup aurat dalam "kadar" yang sewajarnya adalah kewajipan suami ke atas isteri.

Walaubagaimana pun, si isteri boleh "meleraikan" hak itu jika ia mahu. Kebersamaan dan perkongsian memahami bebanan suami dalam dunia serba moden ini. 

Hak boleh menjadi tidak hak lagi sekiranya si pemunya hak meleraikan hak tersebut.

Misalan lain.
Hutang adalah hak. Hak manusia yang mesti ditunai dan dilangsaikan oleh si pemiutang. Tetapi sekiranya  si pemberi hutang memaafkan dan mengganggapnya sebagai hadiah atau sedekah, maka hak tersebut sudah beralih status. Tidak menjadi hutang lagi dan tidak wajib dilangsaikan.

Tetapi sekiranya si isteri menuntut juga haknya itu dalam jumlah yang wajar. Si suami apakan daya. Itu memang hak si isteri. Kena tunaikanlah juga. 

Begitu juga bedak dan gincu, untuk memberikan rasa  "keindahan" kepada si suami.

Bukan semata-mata untuk ditunjukkan kepada lelaki-lelaki lain. Kalau sampai ke situ, ia bukan lagi hak bahkan haram ditunaikan. Kalau bekerja apakan daya, niat hendak tunjukkan kepada suami, sampai di pejabat orang lain tumpang tengok bukan sahaja "sekaki", bahkan tumpang "dua kaki". Mudah-mudahan diampunkan dengan mengganggapnya ia bukan sengaja.  

Bagi persoalan ketiga, saya melihatnya begini.

Kalau pun si isteri dikehendaki membayar upah pengasuh anak, pada saya ia masih lagi bukan suatu kewajipan atas sebab dia bekerja. Barangkali kewajipan itu datang dari sebab yang "mendatang". 

Maksud saya.
Si Suami telah memberikan keizinan si isteri untuk bekerja bagi membantu bebanan suami dengan syarat si isteri membayar upah pengasuh. Sebab "mendatang" maksud saya ialah keizinan suami untuk isteri bekerja. Sebagai tanda terima kasih atas keizinan suami maka isteri "wajib" membayar upah pengasuh tersebut.

Saya masih berpandangan bahawa bayaran tersebut bukan semata kerana dia bekerja, tetapi kerana "perjanjian" yang telah dibuat dengan suaminya. Iaitu keizinan untuk bekerja. Di samping meraikan kebersamaan dan perkongsian suami dan isteri.  

Bukankah hidup suami isteri itu adalah suatu kebersamaan dan berkongsian. Pada saya lebih mudah begitu. Supaya tiada siapa yang bersalah dan bersalah. Kerana dua jiwa itu telah memeterai janji-janji mereka.

Kalau boleh, biarlah bercinta sampai ke syurga. Tak gitu Pak Longnya.

Demikianlah pandangan saya.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan ada manfaat. Mohon ampun dari Allah SAW seandainya ada kekhilafan.
Share/Bookmark