Tuesday, September 7, 2010

Formalin ; Pengawet Mayat Pada Makanan






Sekadar hiasan

Sambutan hari raya dan pelbagai juadah hidangan mungkin sesuatu yang sudah sinonim dan tidak dapat dipisahkan lagi.  

Sebagai "pemakan" tegar yang sememangnya cukup berselera untuk "makan-makan" pelbagai juadah tersebut terutama makanan laut, apa yang diketengahkan dalam sisipan Mega UM dalam ruangan Mega Sains, halaman 6 dan 7, Isnin 6 September 2010, sepatutnya memanggil rasa peduli kita semua.

Bukan main "bedal" sahaja apa yang ada di hadapan kita.

Oleh kerana saya bukan lagi peminat akhbar-akhbar, saya menjumpai sisipan ini secara tidak sengaja. Yang kebetulan berselerak di atas "meja terbiar" di ruang pejabat.

Dan tidak salah rasanya untuk saya berkongsi di sini.

Tajuknya ; Mengesan Pengawet Mayat Pada Makanan

(SEDUTAN PETIKAN DENGAN PENYESUAIAN)

Dicatatkan bahawa paling ketara ialah sumber makanan laut antara lain untuk memastikan ia sentiasa kelihatan segar, cantik dan paling penting laris penjualannya.

Disebutkan,  antaranya penggunaan bahan kimia terlarang seperti larutan formalin(formaldehid) untuk mengawet makanan laut terutamanya ikan dalam jumlah yang banyak.

Larutan formalin ini sebenarnya digunakan untuk mengawet tisu organisma hidup seperti daging bagi menjadikannya tahan lama. Apa yang pasti larutan yang sama juga digunakan untuk mengawet mayat manusia!

Hakikat penggunaan bahan kimia itu secara berleluasa ke atas bahan makanan seperti ikan serta makanan laut yang lain telah lama disedari saintis dan pengguna.

Namun kajian menyeluruh serta mendalam bagi mengesan penggunaannya kurang dilakukan terutamanya di negara kita.

Menurut Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan(UPM), Profesor Madya Dr. Fatimah Abu Bakar, jika bahan kimia tersebut diambil(melalui makanan) boleh membahayakan kesihatan manusia.

"Antara penyakit yang boleh dialami oleh seseorang yang menerima bahan kimia tersebut secara berlebihan adalah kanser paru-paru, kanser otak dan leukimia".

"Menurut The National Occupational and Health (NIOSH), Amerika Syarikat, larutan formalin amat berbahaya kepada kesihatan jika individu terdedah dengan bahan kimia tersebut pada kepekatan melebihi 20 bahagian per juta(ppm)," ujar beliau ketika ditemui baru-baru ini di Serdang, Selangor.

Menyedari keselamatan pengguna kini semakin terancam, beliau bersama beberapa pengkaji mencipta alatan yang dikenali sebagai teknologi biosensor, menggunakan sejenis enzim bagi mengesan kehadiran larutan tersebut dalam makanan.

Info
Apa itu larutan formalin?

  • Larutan formalin lebih dikenali dengan nama Formaldehyde dehydrogenase

  • Merupakan larutan bahan kimia yang tidak berwarna, mempunyai sifat yang mudah terbakar pada suhu bilik serta mempunyai bau yang agak menyengit atau "tajam"

  • Boleh menyebabkan rasa terbakar pada mata, hidung dan paru-paru apabila terdedah pada kepekatan yang tinggi.

  • Mudah larut dalam air dan tersejat udara.

  • Digunakan dalam sektor perkilangan seperti pembuatan kertas, papan lapis, resin urea formaldehid, hospital dan di makmal bagi tujuan pengawetan tisu spesimen.
Kesan kepada manusia.


  • Merupakan karsinogen yang bertindak sebagai mutagen yang mampu menyerang, menganggu kenormalan serta memusnahkan bahan genetik yang terdapat dalam sel badan mangsa.

  • Kajian menunjukkan pendedahan secara terus terhadap larutan formalin mampu menyumbang kepada penyakit kanser paru-paru, kanser otak dan leukimia.
Larutan formalin pada makan laut

  • Sebagai bahan pengawet agar kualiti dan jangka hayat daging ikan dan produk makanan laut dapat bertahan dengan lebih lama.
Razak Nordin berpesan ; Kepada peminat-peminat ikan dan produk-produk makanan laut. Ini bukan berita baik.

No comments: