Wednesday, September 1, 2010

Sesekali Izinkan Lelaki Ini "Membebel"

Seperti Iman barangkali.

Iman yang adakalanya bertambah.
Iman yang adakalanya berkurang.

Bertambah dan berkurang atas sebab dan musabab yang pelbagai.

Barangkali begitulah juga "bangun dan jatuh"nya semangat saya dalam bidang yang sedang saya ceburi sekarang.

"Mengajar" dan "mendidik". (Pastinya bukan sekadar cari makan dan minum).

Ya.

Setelah(baru) hampir 11 tahun lebih saya dalam bidang ini.
Mengajar subjek Tamadun Islam, Pendidikan Islam serta Pendidikan Moral di politeknik bukanlah sesuatu yang setiap masa menghasilkan rasa seronok dan gembira di hati.

Subjek kelas kedua.
Kata sesetengah orang.  

Jabatannya pula hanyalah sokongan.
Tapi bukan sokongan yang membawa rebah.

Mengajar subjek Pengajian Am, tambah lagi subjek-subjeknya berbentuk teori lagi elektif di "dunia" teknikal, teknologi maklumat, hospitali dan pelancongan serta reka bentuk dan komunikasi visual, dalam kebanyakkan masa menuntut kesabaran dan pengorbanan yang bukan sedikit. 

Jiwa dan raganya sekali.

Tidur sebantal pun belum tentu menghasilkan mimpi yang sama. Inikan pula tidur beralaskan bantal yang berlainan warna dan coraknya.  Lagi-lagilah berbeza mimpi-mimpinya.

Namun saya tetap memberikan seluruh jiwa dan raga. Sentiasa berusaha sedapat mungkin memberikan yang terbaik setiap kali memasuki kelas pengajian untuk berkongsi ilmu, pandangan dan segala macam lagi. Menghargai setiap ruang dan peluang untuk melakukan yang terbaik.  

Bermula 1 Julai 1999 sehingga 30 November 2003, di Politeknik Kota Kinabalu Sabah. Kemudian beralih "tapak" ke Politeknik Perlis(sekarang Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin) bermula 1 Disember 2003 sehinggalah ke saat catatan ini dituliskan.

Namun.

Sepanjang perjalanan itu, acapkali semangat saya tenggelam dan timbul semula.

Bukan sekali.
Bukan dua kali.
Bukan tiga kali.
Bukan empat kali.
Bukan lima kali. 
Bukan sepuluh kali.

Tetapi berulang-ulang kali.
Tenggelam timbul yang acapkali silih dan berganti.
Datang dan pergi tetapi tidak terhitung dengan banyaknya jari jemari tangan dan juga kaki.

SEBABNYA

Setakat ini saya belum menjumpai sebab-sebab yang "pasti" dan "muktamad" kenapa semua itu boleh terjadi.

Kepuasan.
Barangkali kesimpulan yang paling tepat buat masa ini untuk semua sebab-sebab di atas. 

Dan ketidakpuasan itu pula mungkin timbul kerana pelbagai sebab(andaian).

1. Sesekali merasakan subjek yang diajar kurang dihargai memandangkan ianya bukan subjek teras jabatan masing-masing. Berdasarkan sikap dan reaksi sebahagian pelajar.(Mungkin juga silap saya).

2. Sesekali  merasakan subjek teori terutama Pendidikan Islam  dan Pendidikan Moral serta Tamadun Islam kurang diminati oleh kebanyakkan pelajar. Bila kurang minat, maka banyaklah benda yang secara semulajadinya menjadi kurang. (Mungkin juga silap saya atau silap saya).

3.  "Kejemuan" melakukan yang rutin setiap tahun. Sedangkan saya mengimpikan dunia yang lebih "adventure" barangkali.

4. Mungkin latar belakang pendidikan yang berbeza serta zaman juga turut berbeza,  menyebabkan payah juga untuk saya menerima sesuatu yang "pelik-pelik", berbeza dengan apa yang pernah saya alami dan lalui dulu-dulu.

5. Mungkin disiplin ilmu yang berbeza, menyebabkan berbeza juga cara menerima dan mendapatkan ilmu. Adab dan tatasusilanya.

6. Dan pelbagai sebab lagi yang tidak tertulis dalam bentuk perkataan.

Terkadang kita merasa bosan, tetapi tidak tahu kenapa kebosanan itu hadir.
Terkadang kita merasa jemu, tetapi tidak mengetahui kenapa kita merasai kejemuan itu.
Terkadang kita merasa marah, tetapi tidak diketahui pun punca kemarahan itu.
Terkadang itu kita  rimas, tetapi tidak pasti apakah sebenarnya yang kita rimaskan.

Begitulah barangkali perasaan yang telah acapkali juga saya rasai dalam bidang yang sedang saya ceburi ini.

YANG BELUM BERKESUDAHAN!!!!

Perlukah saya mencari jalan keluar yang lebih "sesuai" demi kebaikan diri sendiri.

Atau.

Mampukah saya bertahan menghabiskan sisa-sisa perjuangan yang masih berbaki sedangkan hari-hari yang dilalui kurang seronok dan menggembirakan.

Mampukah saya bertahan? Mungkinkah takdir dan waktu penentu segalanya.

Sesekali.
Izinkan lelaki ini "membebel" sendirian.

Razak Nordin berpesan ; Saya benar-benar maksudkannya. 

1 comment:

askRAIN said...

izinkan sahabat ini memberi komen...

baru benar saya dalam bidang ini... agak sukar untuk membuat telahan pada setiap pelajar di hadapan mahu pun di belakang saya...marilah kita menguatkan semangat yang tersisa untuk menghadapi generasi-y ini :)

p/s: generasi-y adalah kategori kelahiran selepas 1979 dan mereka ini dikatakan dikuasai oleh era teknologi. sumber lupa la pulak.