Friday, September 3, 2010

Suami Isteri ; Antara Hak Dan Kebersamaan

"Salam, tgh jaga exam ujian ni. Tanya sikit, ada dr perbualan dgn kwn2 : isteri b'kerja, wajib suami bg belanja dapur/mkn minum dsbnya, mcmana dr segi bulanan cash money cth utk dia nak beli baju ka dsbnya.Satu lagi situasi nak byr duit pengasuh anak, ada pendapat bini la coz dia nak keje, what is ur opinion? Kalu x leh jawab sms ustaz hurai dalam email/blog, senang nak forward, tq."

Begitulah "SMS" yang saya terima dua tiga hari lepas dari seorang kawan. Meminta saya memberikan pandangan kepada beberapa persoalan yang telah dinyatakan. 

Dan saya memilih berkongsi pandangan melalui blog ini.


RESPON SAYA;

Walaupun saya bukanlah orang yang paling layak, namun untuk berkongsi pengalaman dan pandangan bukanlah sesuatu yang salah dan bersalahan pada hemat saya.  Sedikit sebanyak ilmu yang ada mungkin boleh membantu saya untuk berkongsi di blog saya ini.

Barangkali ada tiga perkara pokok yang telah dinyatakan dalam "SMS" di atas.

1. Pernyataan ; Bahawa isteri bekerja, suami tetap kena bagi belanja dapur serta untuk makan, minum dan seumpamanya. 

2. Persoalan ; Macam mana dengan belanja bulanan. Contohnya untuk beli baju dan sebagainya.

3. Persoalan ; Ada pendapat mengatakan bahawa duit pengasuh anak-anak hendaklah dibayar oleh isteri dengan alasan kerana dia yang ingin bekerja.

Barangkali perkara di atas agak sulit untuk dijelaskan dalam tulisan ringkas ini, tetapi saya akan cuba memberikan huraian yang paling mudah untuk difahami berasaskan kemampuan saya yang terbatas ini.

Pada saya, perkara pertama dianggap selesai. Berdasarkan serba sedikit ilmu yang saya ada, pernyataan tersebut dianggap betul dengan kehendak hukum. Dan perkara ini mungkin telah diterima umum.

Cuma perkara 2 dan 3 perlukan huraian lebih lanjut barangkali.

Saya mulakan begini.

Umumnya, kewajipan mutlak seorang isteri dalam hidupnya ada tiga sahaja.

Pertama  : Taat Allah SAW. Mutlak.
Kedua    : Taat Rasul SAW. Mutlak.
Ketiga   : Taat suami selagi suami tidak menyuruh melakukan maksiat kepada Allah SAW dan melanggar perintah RasulNya. Tidak mutlak.

Selebihnya ada tanggungjawab bersama suami, isteri dan anak-anak.

Lazimnya dalam sesebuah rumahtangga hak-hak terbahagi tiga.

Hak(tanggungjawab) suami ke atas isteri.
Hak(tanggungjawab) isteri ke atas suami.
Hak(tanggungjawab) bersama. Suami dan isteri.

Tanggungjawab bersama, contohnya membesarkan anak-anak, menjaga keharmonian rumahtangga dan lain-lain lagi.

Barang diingat bahawa ketaatan "mutlak" seorang wanita kepada ibu dan bapanya terhenti secara automatik sebaik sahaja wanita itu berubah status dari dara sunti kepada status seorang isteri kepada seorang suami yang sah di sisi hukum syarak.

Dan bekerja bukanlah kewajipan bagi seorang isteri dan tentunya isteri hanya boleh bekerja setelah mendapat keizinan seorang suami. Bukan lagi keizinan ibu atau bapanya atau penjaganya.

Dan perlu diketahui juga bahawa menjadi seorang suami bermakna anda bertanggungjawab sepenuhnya, seratus peratus ke atas keluarga sama ada tanggungjawab jasmani dan juga rohani. Keluarga di sini bermaksud isteri dan anak-anaknya.

Makan.
Minum.
Pakaian.
Dan sekelian yang lainnya.

Isteri hanya membantu meringankan beban.

Berdasarkan itu.

Bagi menjawab persoalan kedua, kalau boleh saya gunakan istilah bahawa hukum "asal"nya memang begitu. Menyediakan makan, minum dan juga pakaian yang sewajarnya sebagai seorang isteri muslimah adalah tanggungjawab suami.

Bandingannya, jika isteri tidak menutup aurat kerana suami tidak belikan kain tudung dan pakaian-pakaian sedangkan ia tahu dan berkemampuan, maka suami akan menanggung juga bebanan dosa atas kesalahan si isteri tidak menutup aurat tersebut. Pakaian itu pula dalam jumlah yang "sepatut" dan "sewajarnya" dengan mengambil kira pelbagai faktor. Dari pelbagai sudut juga.

Mengikut hukum asalnya, hak isteri memang begitu.

Walau bagaimanapun, hak seorang manusia dengan manusia masih ada ruang kelonggaran.

Menjelaskan lagi, izinkan saya membawakan dua contoh lain.

Hukum Hudud misalnya adalah hukum Allah untuk menunaikan hak Allah. Bermaksud hukum Hudud mesti dilaksanakan kepada pesalah yang telah disabitkan kesalahannya. Dalam bahasa manusia, sebarang rundingan tidak akan dilayan.  

Sementara hukum Qisas pula adalah hukum Allah untuk menunaikan hak manusia. Bermaksud, hukuman balas balik bagi menunaikan hak Qisas boleh berubah kerana keputusan terakhirnya terletak di tangan manusia. Dalam bahasa manusia, "rundingan" boleh diterima. Sama ada ingin meneruskan hukuman Qisas atau memberikan pengampunan atau si pesalah dikenakan bayaran tertentu yang dipanggil Diat. Sama ada Diat berat atau Diat ringan. Diat adalah sejumlah bayaran tertentu oleh si pesalah ke waris si mati atau si cedera sebagai ganti Qisas yang tidak dilaksanakan.

Bandingan saya.

Asasnya menyediakan pakaian menutup aurat dalam "kadar" yang sewajarnya adalah kewajipan suami ke atas isteri.

Walaubagaimana pun, si isteri boleh "meleraikan" hak itu jika ia mahu. Kebersamaan dan perkongsian memahami bebanan suami dalam dunia serba moden ini. 

Hak boleh menjadi tidak hak lagi sekiranya si pemunya hak meleraikan hak tersebut.

Misalan lain.
Hutang adalah hak. Hak manusia yang mesti ditunai dan dilangsaikan oleh si pemiutang. Tetapi sekiranya  si pemberi hutang memaafkan dan mengganggapnya sebagai hadiah atau sedekah, maka hak tersebut sudah beralih status. Tidak menjadi hutang lagi dan tidak wajib dilangsaikan.

Tetapi sekiranya si isteri menuntut juga haknya itu dalam jumlah yang wajar. Si suami apakan daya. Itu memang hak si isteri. Kena tunaikanlah juga. 

Begitu juga bedak dan gincu, untuk memberikan rasa  "keindahan" kepada si suami.

Bukan semata-mata untuk ditunjukkan kepada lelaki-lelaki lain. Kalau sampai ke situ, ia bukan lagi hak bahkan haram ditunaikan. Kalau bekerja apakan daya, niat hendak tunjukkan kepada suami, sampai di pejabat orang lain tumpang tengok bukan sahaja "sekaki", bahkan tumpang "dua kaki". Mudah-mudahan diampunkan dengan mengganggapnya ia bukan sengaja.  

Bagi persoalan ketiga, saya melihatnya begini.

Kalau pun si isteri dikehendaki membayar upah pengasuh anak, pada saya ia masih lagi bukan suatu kewajipan atas sebab dia bekerja. Barangkali kewajipan itu datang dari sebab yang "mendatang". 

Maksud saya.
Si Suami telah memberikan keizinan si isteri untuk bekerja bagi membantu bebanan suami dengan syarat si isteri membayar upah pengasuh. Sebab "mendatang" maksud saya ialah keizinan suami untuk isteri bekerja. Sebagai tanda terima kasih atas keizinan suami maka isteri "wajib" membayar upah pengasuh tersebut.

Saya masih berpandangan bahawa bayaran tersebut bukan semata kerana dia bekerja, tetapi kerana "perjanjian" yang telah dibuat dengan suaminya. Iaitu keizinan untuk bekerja. Di samping meraikan kebersamaan dan perkongsian suami dan isteri.  

Bukankah hidup suami isteri itu adalah suatu kebersamaan dan berkongsian. Pada saya lebih mudah begitu. Supaya tiada siapa yang bersalah dan bersalah. Kerana dua jiwa itu telah memeterai janji-janji mereka.

Kalau boleh, biarlah bercinta sampai ke syurga. Tak gitu Pak Longnya.

Demikianlah pandangan saya.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan ada manfaat. Mohon ampun dari Allah SAW seandainya ada kekhilafan.

No comments: