Saturday, September 25, 2010

Ter"Tension" Hari Ini







Maafkan saya.

Ini hanyalah kisah peribadi.

Saya pun keliru apakah tajuk yang paling sesuai untuk cerita ini.  

Lalu saya memilih tajuk ter"tension" hari ini. "Meluahkan perasaan" sebelum tidur.

Kisahnya begini.

Selepas majlis penutupan Festival Kesenian Islam Politeknik Zon Utara tengahari tadi, saya bergegas pulang ke rumah untuk solat zuhur dan juga makan tengahari.  

Sebabnya.
Saya ingin ke sebuah klinik di Alor Setar untuk memeriksa telinga kanan saya yang masih tidak kebah-kebah lagi dari "sakit" yang berpanjangan itu. Harapnya, bila sampai awal, makanya selesainya awallah juga. Semuanya tanpa dirancang awal kerana saya baru mendapat maklumat tentang klinik tersebut dari seorang rakan sekerja. Teruja ingin mencuba.   

Syukur, dengan hanya sekali "kesesatan", akhirnya saya bersama isteri dan anak-anak telah sampai ke klinik yang dimaksudkan itu.

Kurang lebih pukul 3.30 petang dan saya mendapat kad giliran bernombor 17. Ketika itu tidak sabar rasanya ingin berjumpa doktor yang dikatakan pakar "bab-bab" telinga tersebut.

Tunggu punya tunggu, selepas lebih setengah jam barulah diketahui bahawa sebenarnya doktor belum "masuk" lagi untuk sesi petang.

 Yang hairannya, semua pesakit yang ada terus menanti dengan "sabar" kedatangan doktor tersebut walaupun terlewat agak jauh dari waktu kebiasaannya. Menurut pembantu klinik di situ, selalunya doktor akan masuk jam 3 petang.   Dan saya pun tumpang menanti dengan sabar juga. Alang-alang mari jauh kata isteri saya.

Sekejap duduk.
Sekejap bangun.
Sekejap menjenguk isteri dan anak-anak dalam kereta.

Rimas.
Tertekan.
Cemuh.

Kurang lebih pukul 5.10 @ ketika saya hampir putus harapan@ bertanya pembantu klinik sama ada doktor akan datang atau tidak@ doktor baru sampai, sudah dua orang pesakit sudah selesai.

Kerana alang-alang tadi, saya bertekad untuk menunggu. Kali ini "bawa turun" isteri dan anak-anak sekali sebagai peneman kegelisahan perasaan.

Sudahnya, ketika jam menunjukkan pukul 6.15, baru 9 pesakit yang dipanggil untuk menerima rawatan. Sedangkan nombor giliran saya adalah 17. Solat asar belum ditunaikan. Mahu tidak mahu, bergegas dahulu untuk solat Asar. Nasib baiklah tempatnya "tidak berapa jauh" dari klinik tersebut.

Campur solat asar dan karenah anak-anak, saya sampai semula ke klinik tersebut kira-kira hampir jam 7 malam. Ketika itu giliran saya hampir sampai. Pesakit nombor 15 telah dipanggil. Bermakna hanya ada seorang pesakit lagi sebelum tiba giliran saya.  

Dan.
Kurang lebih jam 7.30 malam, giliran saya tibalah jua.

Dan.
Selesai pemeriksaan kira-kira jam 8 malam.

Selepas mengambil ubat dikaunter, solat maghrib di surau stesen petronas dan singgah "pekena" bihun tomyam di restoran Thai sekitar Anak Bukit, saya memandu dalam kelesuan dan kepenatan menuju rumah ketika anak-anak sudah terlena. Isteri pula terlentuk di kerusi sebelah.

Semuanya lesu dan penat.

Kelesuan dan kepenatan bukan kerana bekerja tetapi kelesuan dan kepenatan kerana lamanya menunggu.

Cumanya, sambil-sambil itu saya fikir juga "seposen". Kepada satu persoalan. Kenapa orang-orang itu sanggup menunggu walaupun dalam tempoh masa yang lama dan saya pun terpengaruh untuk menunggu sama.

Dengan "sepenuh dan rela hati". Tanpa marah-marah dan maki hamun.

Saya belum menjumpai rumusan tepat kepada "fenomena" tersebut.

Razak Nordin berpesan ; Pandangan anda bagaimana?

No comments:

Share/Bookmark