Wednesday, October 27, 2010

Lima Jenis Nikmat Allah-Penawar Jiwa Ujian Allah







Ketika tahap kesihatan saya kembali turun dan naik, Allah SWT telah mentakdirkan saya terjumpa satu 'artikel' berkaitan dengan lima jenis nikmat Allah ketika membelek-belek buku kecil Pengajaran Ummah yang bertajuk Cerita Serta Doa Dari Hadith & Al Quran.

Mudah-mudahan ia boleh dijadikan sedikit penawar jiwa dan saya berbesar hati untuk berkongsi di sini.

Ini yang saya maksudkan.

Nikmat Allah SWT berikan kepada manusia memang tidak terhitung. Ada di antara kita yang tidak menyedari bahawa sesuatu yang diperolehi adalah nikmat daripada Allah SWT. Lazimnya mereka bersyukur. Tetapi ada yang melupakan sesuatu nikmat kebahagiaan, kemewahan, darjat dan kebesaran yang diperolehi itu datangnya daripada Allah.

Secara kasar nikmat Allah SWT. boleh dikategorikan dalam lima kumpulan :

Pertama : Kebahagiaan di akhirat iaitu kebahagiaan yang kekal abadi. Antara kebahagiaannya ialah kegembiraan yang tiada kesedihan, kepandaian yang tiada kebodohan dan kekayaan yang tidak bercampur kefakiran.

Tetapi kita tidak dapat mencapainya kecuali dengan pertolongan Allah SWT. Kebahagiaan yang pertama ini tidak sempurna kecuali ada nikmat yang kedua iaitu :

Kedua : Akal yang disempurnakan dengan ilmu, pemeliharaan diri yang disempurnakan dengan menjauhi yang haram, subahat dan maksiat.

Nikmat lain yang termasuk dalam kumpulan ini ialah keberanian yang disempurnakan dengan rasa kesedaran. Nikmat-nikmat ini pada hakikatnya adalah pokok-pokok agama. Keutamaan nikmat yang kedua ini dapat disempurnakan dengan adanya nikmat yang ketiga iaitu :

Ketiga : Keutamaan badaniah yang meliputi kesihatan badan dan panjang umur. Nikmat yang ketiga ini dapat disempurnakan dengan adanya nikmat yang keempat iaitu :

Keempat : Harta, keluarga, kemuliaan dan keluarga yang mulia. Tetapi tidaklah sempurna dengan mengambil manfaat nikmat-nikmat itu kecuali dengan adanya nikmat kelima iaitu :

Kelima : Hidayah Allah, pimpinan Allah, pembetulan Allah dan kekuatan dari Allah.

Sekarang cubalah kita tanya pada diri kita sendiri. Adakah kita sudah bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada kita?

Pangkat dan kedudukan yang tinggi, badan yang sihat, keluarga yang bahagia, keperluan rumah, makanan dan pakaian yang mencukupi serta lain-lain keistimewaan yang kita miliki.

Razak Nordin berpesan ; Antara kita, terlepas mungkin tidak tetapi bentuk ujiannya kadangnya berbeza-beza.

Friday, October 22, 2010

Mereka Insan-Insan Istimewa







Telah ditakdirkan.

Menjelang pertengahan Sesi Jun 2010, saya telah mengambil alih satu kelas dari seorang kawan yang terpaksa bercuti dan berehat panjang atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Khasnya bagi kursus AK 104 Bahasa Melayu 1 untuk pelajar-pelajar KHK 1.

KHK adalah singkatan kepada Kemahiran Khas.  Mereka ini pelajar-pelajar istimewa. Berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat 'sepenuh'nya.

Pertama kali dan ia suatu pengalaman baru serta berguna untuk saya. Saya yang tiada langsung asas bahasa isyarat dibantu oleh dua orang juru bahasa isyarat secara bergilir-gilir iaitu Encik Fadhli dan juga Cik Ros. Terima kasih untuk mereka berdua kerana banyak membantu saya untuk berkomunikasi dengan para pelajar sepanjang tempoh tersebut.

Sejujurnya, saya seronok bersama mereka. Sekurang-kurangnya sehingga kelas yang terakhir pagi tadi.

Pendek kata, mereka tiada masalah. Kecuali masalah pembelajaran yang sesuai dengan kemampuan dan tahap mereka.

Tiada masalah ponteng kelas.
Tiada masalah bercakap-cakap semasa kelas berlangsung.
Tiada masalah bising-bising.
Tiada masalah datang kelas lambat.
Tiada masalah menghantar tugasan lambat.
Tiada masalah ingkar arahan.

Mereka adalah ;

Azhar.
To.
Amirah.
Phun.
Fatin.
Wirda.
Afzan.
Ain.
Diana.

Berdasarkan pengalaman saya, pelajar-pelajar ini tiada masalah tiru dan cubaan meniru semasa sebarang kuiz yang dijalankan walaupun jarak kedudukan antara mereka membolehkan mereka untuk jeling-menjeling.

Mudah kata. Mereka terlalu jujur. Sekurang-kurangnya dalam perkara yang saya sebutkan di atas.

Candid-candid semasa kuiz 3 pagi tadi.

Bersama Encik Fadhli yang banyak membantu saya. Wirda, Diana, Afzan dan Ain.

Fatin, Amirah dan Phun. Khusyuk menjawab.

Azhar dan To. Dua-duanya pelajar lelaki dalam kelas ini.
Ain dan Afzan dari pandangan depan.

Razak Nordin berpesan ; Buat mereka, selamat maju jaya. Insyaallah, bahagia dunia dan akhirat. Cemerlang dunia, cemerlang jua di akhirat.

Wednesday, October 20, 2010

Lelaki Ego. Apa Kata Orang Ramai.







'Maha Susah dan Maha Payahnya' untuk saya menjawab apabila pertama kali ditanya kenapa lelaki ego dan tidak boleh ditegur. Kurang lebih begitulah maksud soalannya.

Sekurang-kurangnya atas beberapa sebab.

Pertama  ; Kerana saya juga lelaki. Jawapan saya mungkin berat sebelah dan menyebelahi kaum sejenis.  

Kedua     ; Kerana payahnya untuk menjawab bagi pihak lelaki-lelaki lain. Kalau ditanya kenapa saya ego dan tidak boleh ditegur, barangkali lebih mudah untuk saya menjawabnya.

Ketiga     ; Ukuran ego dan tidak boleh ditegur itu mungkin subjektif dari sudut pandang yang berbeza.

Keempat : Saya sebetulnya belum berjumpa dalil dari Quran atau Sunnah yang secara jelas membuktikan lelaki memang makhluk yang dilahirkan untuk mewarisi sifat ego dan tidak boleh ditegur.

Kajian-kajian oleh pakar-pakar mungkin ada. Tetapi untuk kali ini saya kesampingkan dahulu.
Namun, untuk tidak menghampakan si penanyanya. Saya telah membuat 'tinjauan rambang' meminta pandangan orang ramai tentang isu berkenaan.

Berikut adalah antara hasil dapatan 'tinjauan rambang' tersebut. Walaupun mungkin tidak menjawab sepenuhnya persoalan asal yang telah dibangkitkan, tetapi mudah-mudahan sedikit sebanyak 'jalannya' semakin terbuka.
Nor Fazlin Nak mintak pendapat kawan2 lah.. Kenape ek org lelaki ni susah sgt nak ucapkan terima kasih pade org yg membantu dia.. Nape org yg di bantu tu perlu bagtau baru lah dia nak ucapkan terima kasih.. Ape yg diorg ni nak kan sebenar nyer... Pening lah...
about 6 months ago

Juzaili rasanya itu sudah lumrah kejadan lelaki tetapi tak semua ada sebilangnya boleh menyatakan ucapan terima kasih itu.
about 6 months ago

Abd Halim Salam sejahtera mmg betul kata Juzaili,tak semua lelaki sama,sy lain pulak,sbb sy yg selalu ucapkan terima kasih kat wife sy bila sy silap sy minta maaf tp wife sy sebaliknya.nak kata queen control tak juga sbb dia mmg patuh dgn sy hehehe mungkin dia jenis yg kurang bercakap.Mcm mana pun sy tetap bersyukor sbb dia jd wife sy,I love U so Much.Kesimpulannya kalau org tu tak kira lelaki atau perempuan kalau jenis yg pendiam ni mmg sukar nak keluarkan kata2 terima kasih mahupun utk meminta maaf pd pasangan masing2,jd kita kena lah faham jgn terlalu fikirkan perkara yg kecil,kalau tak puas hati bg tau jer,sbb sy ni mmg jenis yg suka berleter sikit hehehehe bukan apa,cuma bg nasihat.Mmg lah ego lelaki tu lebih dr perempuan,dan itu sy akui.tp bukan selalunya.
about 6 months ago

مراد‏ Lelaki & perempuan kan bebeza....so ada lelaki yg ok dan ada juga yg ko. Maksudnya tak semua lelaki susah utk mengucapkan terimakasih dan maaf.....
about 6 months ago

Nor Fazlin Hm...thanks ye sbb bg pendapat... Kadang2 org laki ni susah nak di fahami..
about 6 months ago

Liyana hihi, yang nak menerima "terima kasih" tu buat tak ikhlas ke, hehe, saja provok, bukan LillahiTaala la. hehe

amalan ucap terima kasih tu bukan hanya pada suami isteri, mmg secara amnya, kita mesti amalkan ucapan terima kasih. kalau gi makan kat kedai, orang hantar pesanan kita pun, kan elok kita ucap terima kasih

kalau2 dapat suami hat payah ucap terima kasih ni, kita didik anak2 kita tak kira laki ka pompuan utk selalu ucapkan terima kasih, suami? lantok la, dah jadi buluh kera dah, ahahaha
about 6 months ago

Nor Fazlin Hahahaha.. Betul tu liyana.. dah mls nak pikir dah.. Nak ucap ke, tak nak ke.. Lantok lah... Yg penting kite dah buat yg terbaik untuk dia.. Buluh kera??? ape tu? tak penah dgr pon..)
about 6 months ago

Liyana buluh keras yang. tertinggal G
about 6 months ago

Nor Fazlin Oooo....;)
about 6 months ago

Juzaili jangan berbicara begitu puan/cik nor fazlin. laki atau ppun sama aje ada yang susah dan ada yang mudah difahami.
about 6 months ago

Erniezan masing2 ada ego nya,baik lelaki @ perempuan.masalah sebegini selalu terjadi dalam hidup suami isteri.tak perlu lah kita nak salah kan sesiapa.tengok lah diri kita sendiri..........
about 6 months ago

Aishah Semua orang ada ego masing2. tak kira lelaki atau perempuan. Cuma jangan melampau2 sangat sudahlah. Kalau benda tu betul tp nak dinafikan juga. Teruk sangatlah tu. Sentiasa hidup nak menang je mana boleh. Dalam pertandingan pun ada kalah dan menang. kalau tak boleh terima kekalahan susahlah.
about 6 months ago

Noor Diyana same jer..masing2 ade ego sendiri........
about 6 months ago

Tms allah buat sudah cantik ade laki ade pompuan ade langit ade bumi

cuma masing2 tak perasan jew ego masing2
about 6 months ago

Noor Diyana kalu x dapat kawal ego tu merana gak pasangan..bg yg x perasan ego tu,bile si isteri dh luahkan perasaan..buang la perasaan ego tu..untuk kebaikan bersama juga..
about 6 months ago

Abd Halim Salam sejahtera.telah dicipta kaum hawa dgn penuh kelembutan.gunakan lah dgn sebaik baiknya.Ibarat air yg menimpa batu,walaupun batu itu keras tp dgn kelembutan air,lama kelamaan batu yg keras itu pasti akan berlekuk juga.Ego lelaki mmg tak boleh dinafikan,tp kalau ada org perempuan yg cuba mencabar pasti akan menaikan lg ego yg ada pada lelaki,jd fikirlah cara terbaik utk menangani masaalah ini.Kalau boleh elakkan lah apa2 perselisihan.Mengalah bukan bermakna kita tewas dan berkeras belum tentu kita boleh menang.Sebelum terjadi perkara yg memudaratkan elok lah salah seorang kena mengalah dr berterusan tanpa kesudahan dan akhirnya anak2 yg menjadi mangsa.
about 6 months ago
Sumber

Saya Muda-Muda Dulu.

Saya bukan baik sangat tetapi bukanlah jahat sangat semasa muda-muda dahulu. Tetapi saya ada sedikit mewarisi sifat panas baran dari darah yang telah mengalir itu. Lalu menjadikan saya mudah emosional apabila bercakap dan memperkatakan sesuatu walaupun dalam perkara yang saya tidak perlu emosional pun. Dan saya juga mudah 'berpeluh' apabila ada orang-orang yang membantah dan tidak setuju dengan pandangan saya. Sahabat-sahabat yang pernah bekerja dengan saya 'dulu-dulu' rasanya lebih memahami maksudnya saya tersebut. Harap-harap saya tidak menyakiti sesiapa.

Ketika itu, memang begitu. Tiada apa yang boleh dikembalikan.

Masa muda-muda dahulu.

Dalam kebanyakan perkara, saya selalu percaya bahawa pendapat saya selalunya benar, tepat dan boleh diterima oleh semua orang. Dan orang lain 'mesti' menerima pandapat dan pandangan saya. Apabila ada orang yang membantah dan tidak bersetuju malahan mempertikaikannya, saya akan melawan secara hujah dan sedapat mungkin akan mempertahankan apa yang saya percaya itu.

Pendapat-pendapat serta pandangan-pandangan saya selalunya keras, putus dan bersifat 'berpatah arang'. Mungkin kerana darah muda lagi panas yang sedang mengalir ditambah pula dengan sikap terlalu percaya dengan pandangan sendiri.

Apabila menonton filem-filem, saya lebih suka dialog yang tegas, keras, kasar serta bersifat kepahlawanan berbanding dialog lembik serta 'tangkap leleh'.

Saya suka pidato yang bersemangat dan berapi-api. Sebab itu sedari kecil saya amat meminati pemidato-pemidato hebat dan tersohor yang tidak perlu saya tuliskan nama-nama mereka di sini.

Dan selepas saya bertambah usia dan bertambah pengalaman hidup yang pelbagai, semakin saya memahami bahawa orang-orang muda mungkin sifatnya begitu.  

Terlalu percaya kepada pandangan sendiri serta 'taksub' dengan pandangan tersebut. Pandangan mereka yang bersifat keras, putus dan 'berpatah arang' sahaja.

Kadangkala mempercayai seseorang dengan mengetepikan langsung pandangan-pandangan orang lain tanpa memberi peluang langsung kepada otak untuk berfikir walau sejenak.

Itu adalah sebahagian diri saya suatu ketika dahulu bagi maksud topik di atas.

Kalau itu dikatakan ego, egolah saya ketika itu. Kalau tidak, maka tidak egolah saya ketika itu.

Dan sekarang. 

Dalam usia mencecah 38 tahun, saya makin memahami makna memberi dan menerima.

Belajar mengerti bahawa ada kalanya kita perlu bersetuju untuk tidak bersetuju. Walaupun terpaksa 'mengorbankan' pandangan dan kepercayaan sendiri terhadap sesuatu perkara selagi tidak bertentangan dengan kepercayaan bersifat keagamaan.

Mengakui kelemahan dan kesilapan diri sebagai manusia biasa.
Mengakui bahawa manusia dalam banyak masa dan ketika bersifat nasiya atau sering lupa.
Mengakui bukan semua perkara akan terjangkau oleh tangan sendiri tanpa bantuan orang-orang lain.
Mengakui bahawa pendapat-pendapat atau pandangan-pandangan sendiri tidak semuanya betul dalam semua masa dan keadaan.
Mengakui bahawa adakalanya kita mesti menerima pandangan-pandangan orang lain.
Mengakui bahawa adakalanya kita terpaksa menelan kepahitan 'menerima sesuatu yang tidak sejiwa' bersama dengan hempedunya sekali.

Setakat ini, rasanya saya belum lagi menjawab persoalan kenapa lelaki ego dan tidak boleh ditegur.

Saya hanya berkongsi cerita dan pengalaman. Mungkin di dalamnya ada 'sedikit-sedikit' imbas-imbas dan sipi-sipi jawapannya.

Razak Nordin berpesan ; Jika ada kebetulannya.

Tuesday, October 19, 2010

Melihat Ke Dalam Diri Di Penghujung Sesi Jun 2010

Alhamdulillah.

Secara rasminya, 15 minggu pengajian Sesi Jun 2010 sudah hampir ke penghujungnya.

Insyaallah.
Esok akan menjadi pertengahan minggu ke 15 sebelum melabuhkan tirainya pada hari Jumaat ini.

Mengikut jadualnya, peperiksaan akhir akan bermula pada 1 November 2011 dan dijangka berakhir pada 12 November 2011. Tepatnya, mengambil masa dua minggu secara keseluruhannya.

Antara alhamdulillah dan insyaallah tersebut.

Saya lalui beberapa semester kebelakangan ini dengan perasaan yang berbaur. Sebelas tahun yang telah dilalui sebenarnya bukanlah lama sangat pun. Namun adakalanya saya semacam 'keliru yang tak sudah' dengan sebahagian perjalanan hidup yang sedang dilalui.

Sama ada.

Mampu atau tidak, saya datang sebagai 'kawan dan pulang sebagai keluarga' dalam bidang yang saya berada sekarang ini.

Atas sebab itu, izinkan kali ini saya 'tabik spring' untuk tenaga-tenaga pengajar sama ada di sekolah-sekolah, IPTA-IPTA, IPTS-IPTS serta lain-lain pusat pengajian dari semua peringkat. Rendah, menengah dan tinggi. Khususnya, mereka-mereka yang telah menghabiskan sebahagian besar hidup menjadi seorang guru, cikgu, pensyarah, Prof. Madya, Profesor dan sebagainya  di bilik-bilik kelas serta bilik-bilik kuliah bersama para pelajar yang silih berganti setiap semester dan tahun.

Dalam banyak keadaan, susah juga untuk saya memahami  serta menyelami semangat dan kegigihan mereka menjadi murabbi, mengajar, mendidik, membimbing serta memandu anak-anak generasi yang berbeza.

Lebih-lebih untuk memahami generasi-generasi awal yang begitu tabah dalam perjuangan. Dalam bidang apa sekalipun.

Menjadi setabah.

Abu Bakar As Siddiq.
Umar Al Khattab.
Uthman bin Affan.
Ali bin Abi Talib.

Imam-Iman yang hebat.

Imam Syafei.
Imam Nawawi.
Imam Hambali.
Imam Maliki.

Tokoh-tokoh hebat lain.

Ibnu Sina.
Ar Razi.
Al Kindi.
Al Biruni.
Al Khawarizmi.
Al Haitham.
Ibnu Al Baitar.
Az Zahrawi.
Jabir bin Hayyan.

Dan tentunya banyak lagi nama yang tidak dituliskan tetapi pernah menjadi mata-mata rantai kelangsungan perjuangan ummah dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini.  

Paling tidaknya, mereka telah membuktikannya kepada Allah SWT yang mereka percaya dan sembah, RasulNya yang menjadi uswah dan qudwah sepanjang zaman dan juga generasi selepasnya.

Bahawa, mereka tidak pernah mengalah dan merajuk sebagai perjuang. Sama ada di medan yang bisa meleleh dan menumpahkan darah serta keringat di bumi kering lagi tandus. 

Juga di bidang ilmu secara khusus yang menuntut pelbagai kesabaran dengan segala macam kesusahan dan kepenatan juga.  Agar segalanya dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Generasi sebelum kita, generasi kita dan insyaallah generasi akan datang.

Bukankah itu yang lebih baik untuk diwariskan?

Sedekah jariah.
Ilmu yang bermanfaat.
Anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan.

Bukankah semuanya itu kerana AGAMA. Dan adakah saya sedang dan makin memahami?

Tetapi hidup ini adalah realiti bukan fantasi dan khayalan.  Merasai bukan bayangan.

Sekali lagi.
Mudah-mudahan.

Dalam kepayahan ada kemudahan.
Dalam tangisan ada kelegaan.
Dalam kesesatan ada jalan keluar.
Dalam kekusutan ada keleraian.

Razak Nordin berpesan ; Ketika lelah bangat untuk berfikir dan berkritis-kritis, termangu menghisab diri. 

Monday, October 18, 2010

Susu Ibu Ubat Sakit Mata






Ini bukan pasal petua. Kerana itu bukan bidang saya.

Hanya satu perkongsian ringkas hasil pengalaman seorang kawan.

Petang tadi seorang kawan bercerita bahawa beliau menghidapi sakit mata malam tadi. Kira teruk jugalah katanya.

Tetapi alhamdulillah, selepas beberapa kali menitikkannya dengan susu 'ibu anak'nya, keadaan bertambah baik pagi ini. Jadinya tidak perlulah dia pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sekurang-kurangnya untuk waktu ini.

Dulu-dulu saya biasa mendengar 'petua' ini dan tidak menyangka saya akan mendengarnya lagi hari ini dari seorang kawan yang telah mencuba dan terbukti berkesan setakat ini.

Kira hebat jugalah warisan orang-orang terdahulu ini. Entahlah dari mana ilmu tersebut diperolehi. Sayangnya tidak banyak yang dikaji serta dibukukan, hingga akhirnya banyaklah yang hilang ditelan zaman dan kemodenan.

Razak Nordin berpesan ; Kepada sesiapa yang terkena sakit mata, bolehlah mencuba kaedah rawatan ini. Moga-moga ada kesembuhan dengan izin Allah SWT. jua.

Saturday, October 16, 2010

Kenapa Pokok-Kayu?







Sama ada sesiapa yang mungkin pernah bertanya atau tidak. Dan juga untuk sesiapa yang ingin tahu atau sebaliknya.

Saya ingin ceritakan juga.

Kenapa pokok-kayu.

Sebenarnya, saya sengaja memilih nama pokok-kayu sebagai nama blog peribadi ini. Bukan kebetulan tetapi suratan yang telah disengajakan.

Antara lain kerana selalu juga dinasihatkan.

Harapnya.

Jadilah seperti pokok yang baik dan bermanfaat. Kata orang, walaupun dibaling dengan kayu dan batu serta segala macam lagi, tetapi pokok tetap menghadiahkan buah-buah yang ranum dan enak untuk dinikmati oleh si pembalingnya.

Dahannya mungkin ada yang patah, 'batang tubuh'nya mungkin ada yang lebam-lebam, kulitnya mungkin ada yang luka dan berdarah. Tetapi pokok-kayu jarang 'merajuk' dan 'marah-marah'. Kalau ada pun hanya sesekali merajuk hati. Tetap memberikan apa yang 'dia' ada untuk sesiapa sahaja yang memerlukan. Sama ada manusia dan binatang-binatang juga.

Walaupun patah dahannya tidak pernah dibalut. Lebamnya pula tidak pernah diurut dan digosok minyak panas. Luka dan darahnya juga tidak dibersih dan dibubuh ubat, tetapi pokok kayu tetap setia berbakti untuk manusia. Dengan pelbagai cara dan bentuk jua.

Sekurang-kurang selagi termampu oleh kudratnya.

Dan selebihnya.

Baca dan renunglah apa yang telah disebut dalam ayat 24 hingga 27 Surah Ibrahim di bawah. 

Kalimah yang baik seumpama pokok yang baik. Mudah-mudahan. Insyaallah.

Maksudnya ;

24. TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT (WAHAI MUHAMMAD) BAGAIMANA ALLAH MENGEMUKAKAN SATU PERBANDINGAN, IAITU: KALIMAH YANG BAIK ADALAH SEBAGAI SEBATANG POHON YANG BAIK, YANG PANGKALNYA (AKAR TUNJANGNYA) TETAP TEGUH, DAN CABANG PUCUKNYA MENJULANG KE LANGIT.

25. DIA MENGELUARKAN BUAHNYA PADA TIAP-TIAP MASA DENGAN IZIN TUHANNYA. DAN ALLAH MENGEMUKAKAN PERBANDINGAN-PERBANDINGAN ITU UNTUK MANUSIA, SUPAYA MEREKA BERINGAT (MENDAPAT PELAJARAN).

26. DAN BANDINGAN KALIMAH YANG JAHAT DAN BURUK SAMALAH SEPERTI SEBATANG POHON YANG TIDAK BERGUNA YANG MUDAH TERCABUT AKAR-AKARNYA DARI MUKA BUMI; TIDAK ADA TAPAK BAGINYA UNTUK TETAP HIDUP.

27. ALLAH MENETAPKAN (PENDIRIAN) ORANG-ORANG YANG BERIMAN DENGAN KALIMAH YANG TETAP TEGUH DALAM KEHIDUPAN DUNIA DAN AKHIRAT; DAN ALLAH MENYESATKAN ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM (KEPADA DIRI MEREKA SENDIRI); DAN ALLAH BERKUASA MELAKUKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan semua amal kita, kecil atau besar. Sedikit atau banyak. Dalam bentuk apa sekali pun. Semua menjadi amal baik yang 'jariah'. Berlari sampai ke syurga.

Friday, October 15, 2010

Biarlah Youtube Bercerita







Biarlah Youtube di bawah 'bercerita' kenapa manusia jangan cepat berbangga dan lupa diri.

Razak Nordin berpesan ; Apabila sesekali belajar dari pengalaman manusia lain.  

Untukmu Wanita-Wanitaku







Untukmu, Wanita-Wanitaku



Kau digelar sebagai penyeri dunia
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa

Akalmu senipis bilahan rambut
Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
Jua hatimu bak kaca yang rapuh
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh

Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat dibahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi
Engkaulah wanita hiasan duniawi

Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
Jika datangnya dari kayu yang bengkok
Begitulah peribadi yang dibentuk

Didiklah wanita dengan keimanan
Bukannya harta ataupun pujian
Kelak tidak derita berharap pada yang binasa

Engkaulah wanita istimewa

Sedarilah insan istimewa
Bahawa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan
 
Wanita - Dehearty

Razak Nordin berpesan ; Khas untukmu wanita-wanitaku. Engkau mungkin seorang ibu, isteri,anak-anak, adik, kakak, emak saudara, sepupu dan wanita-wanita istimewa dalam hidup ini.

Wednesday, October 13, 2010

Inikah Salah Satu Maksud Al Ghazali

Saya menerima SMS di bawah dari seorang kenalan.

Kata Al Ghazali :

"Yang jauh itu WAKTU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang berat itu AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA, yang panjang itu AMAL SOLEH dan yang indah itu SALING MEMAAFKAN".

Yang besar itu NAFSU.

Mungkinkah ini salah satu contohnya?

Razak Nordin berpesan ; 'Yang salah bukan kerana 'apa yang manusia ada' , tetapi yang salah ialah apabila manusia riak serta takabbur dengan apa yang mereka ada'.

Monday, October 11, 2010

Bila Pak Imam Dan Masjid Juga Yang Bersalah

Seseorang bercerita kepada saya tentang kisah 'anak-anak besar' yang tidak pergi solat Jumaat.

Apabila ditanya kenapa?

Tiga jawapan 'skema' paling kurang.

Lebih kurang begini.

'Sebab-sebab' dan 'cadangan-cadangan'.

1. Pusat Islam @ Masjid perlu di'ekon'kan. 
2. Perlu dipasang LCD.(Untuk paparan khutbah kot)
3. Imam perlu ditukar ganti.

Entahlah atas sebab-sebab apa 'cadangan-cadangan' di atas telah diberikan.

Mungkin kerana sebab-sebab di ataslah menyebabkan sehingga kini mereka-mereka ini masih belum berminat untuk turut serta solat Jumaat. Entah sama ada selalu atau kadang-kadang atau jarang-jarang.

Saya jadi sedikit 'bingung' bila cuba memikirkannya.

Sudahnya Tuan Imam dan Masjid juga yang bersalah.

Razak Nordin berpesan ; Tidak sudi rasanya ingin dikomenkan.

Al Nafs Al-Lawwamah ; Sakit Yang Masih Ada Harapan Sembuh







Kerana kita manusia.

Acapkali juga 'kemarahan' kita terlepas dari ikatan kesabaran. Namun saya masih percaya bahawa sabar sesaat lebih baik dan dapat menyelamatkan banyak perkara dalam hidup ini. Ada pengalaman peribadi yang tidak perlu rasanya saya kongsikan di sini bagi tujuan coretan ini.

Namun, tiada jaminan ianya pasti berjaya pada semua masa, keadaan dan tempat.

Menahan marah, kegeraman serta sakit hati bukanlah sesuatu yang mudah. Tersimpan di dada selalu menyesakkan. Tambahan pula jika perkara serupa yang berulang dan mengharapkan reaksi yang serupa juga berulang.

Hidup ini bukan wayang atau filem yang selalunya berakhir dengan 'happy ending'. Hidup ini adalah realiti yang berpijak di bumi nyata. Cubit yang merasai sakitnya, penampar yang merasai pedihnya.  

Menginsafi setelah 'ketelanjuran' kata dan tindakan menandakan kita sebenarnya masih beruntung. 

Dalam bahasa agama ia disebut sebagai nafsu lawwamah @ al Nafs al Lawwamah. Peringkat kedua bagi nafsu. Peringkat ini lebih baik berbanding peringkat pertama iaitu nafsu Ammarah yang dianggap sebagai yang terendah sekali. Hanya menyuruh kepada kejahatan dan keburukan. Jika membuat kebaikan pun hanyalah sebagai topeng atau jalan untuk kejahatan. Diri insan nafsaninya telah dikuasai sepenuhnya oleh unsur kejahatan dan kerendahan. Pada diri yang serendah ini nilai baik dan buruk tidak bermakna dan tidak penting. Tetapi yang penting baginya ialah dapat menunaikan keinginan hawa nafsunya.

Malah manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatannya. Tiada sebarang kekesalan, tiada rasa bersalah dan tiada rasa terkilan atas kesalahan yang dilakukan.

Beruntunglah jika masa ada 'al Lawwamah'.

Kerana Insan Nafsani pada peringkat ini akan merasa kesal atas ketelanjuran melakukan kesalahan atau kekurangan dalam menunaikan kewajipannya. Dirasakan dalam diri insan nafsaninya semacam ada sesuatu yang mengutuk dan mencela. Adanya suara kutukan atau celaan dalam diri ini menunjukkan bahawa insan nafsaninya masih hidup, walaupun berpenyakit tetapi penyakit masih belum parah menjadi barah dan masih menerima rawatan dan pemulihan melalui usaha tazkiyah untuk kembali sembuh.

Razak Nordin berpesan ; Sesekali 'terlepas ikatan' juga. Tapi masih 'beruntung' jika ia peringkat Lawwamah. Kerana masih ada jalan pulang.

Wednesday, October 6, 2010

Apabila Saya Silap Mencari Kesempurnaan







'Putus angin'.

Mungkin itulah dua patah perkataan ringkas bagi menggambarkan perasaan saya pagi ini.

Pagi tadi. 

Seperti biasa saya memilih menggunakan bilik seminar Pusat Islam Luqman Al Hakim untuk mengadakan kelas setiap rabu dari jam 10 hingga 12 tengahari.

Sekurang-kurangnya atas tiga sebab.

Pertamanya ; Kedudukannya yang hampir dengan kamsis serta memudahkan para pelajar untuk datang.

Kedua         ; Saya tidak perlu 'menanggung' LCD serta 'memanjat' bangunan untuk ke bilik kuliah

Ketiga         ; Suasananya agak 'kondusif' berbanding bilik kuliah biasa. Berhampiran tasik serta jauh dari 'keriuhan' dan 'kebisingan'. 

Dan selalunya.

Kelas berjalan lancar tanpa gangguan. Sama ada masalah-masalah teknikal dan juga masalah-masalah lain. Dan saya cukup seronok mengadakan kelas di situ. Setidak-tidaknya saya boleh membuat persediaan awal setiap kali kelas akan berlangsung. Dan boleh juga dilanjutkan masanya jika perlu tanpa menyusahkan sesiapa.

Baru kali ini. Pertama kali berlaku. Gangguan teknikal  berlaku acapkali juga. Elektriknya sekejap terputus, sekejap ada.

Dicampur dengan sakit-sakit badan, kepala yang seakan melayang, leher dan kepala terasa 'tegang dan penuh', serta keadaan telinga yang sedikit 'merimaskan', semuanya itu menyumbang secara tidak langsung kepada lagi cepat 'putusnya angin' saya pagi tadi.

Kemuncak kepada semua itu, kelas terpaksa diberhentikan lebih awal dari yang sepatutnya sebelum tekanan darah saya naik mendadak. Dan juga bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini dari berlaku.

'Nasib baiklah'.

Kebetulan kali ini saya membawa 'handout' bagi sub topik berkenaan. Dapatlah juga diserahkan kepada wakil kelas untuk salinan mana-mana ahli kelas yang berminat.

Tetapi kepuasaannya tetap juga tidak sampai ke kemuncak. Anti klimak selalunya akan mengganggu jiwa dan emosi saya sehingga kelas yang akan datang. 

Itulah antara masalah saya.

Dalam banyak kerja buat dan tindakan yang dilakukan. Saya 'terlalu' mencari kesempurnaan sehingga 'kepincangan' kecil selalunya banyak mengganggu fikiran dan emosi sendiri.  

Sehingga seakan terlupa kuasa dan 'campur tangan' Tuhan dalam segala kerja buat dan tindakan manusia.

Yang berlaku pagi ini hanyalah satu contoh dari banyak-banyak contoh yang boleh saya kongsikan di sini.

Razak Nordin berpesan ;  Bukan salah sesiapa. Mungkin itu sudah takdirnya. Peringatan dari Tuhan untuk hamba dan khalifahnya di muka bumi.

Tuesday, October 5, 2010

Menunggu Transformasi Bilik Kuliah







Saya menulis entri ini dari Pusat Islam Luqman Al Hakim PTSS.

Sementara menunggu kedatangan pelajar untuk kelas jam 3.00 petang ini.

Mengajar subjek teori dan berstatus 'kelas kedua' memaksa saya untuk sentiasa berfikir dan ber'kreatif' 'konon'nya untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran menarik serta tidak membosankan. Saya sendiri yang sudah semakin 'tepu' dan para pelajar mungkin juga begitu, yang seminggu sekali bertemu itu.

Dua Dalam Satu.

'Tempat kuliah' kondusif satu hal. Teknik dan kaedah yang berkesan pula satu hal yang lain pula.

Saya masih percaya bahawa gabungan kedua-dua perkara ini penting dalam menentukan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Bagi subjek teori dan berstatus 'kelas kedua', jam 2 hingga 5 petang mungkin bukan masa yang sesuai  untuk sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku. 'Menambah buruk' lagi apabila 'suasana, tempat dan persekitaran' yang kurang kondusif. 

Bilik kuliah yang hangat lagi membahang, merimaskan dan 'memeluh'kan semua penghuninya. Sama ada yang mengajar atau yang diajar. Yang bercakap atau yang mendengarnya. 

Dan.

Hari ini, saya memilih koridor Pusat Islam Luqman Al Hakim sebagai tempat yang 'kondusif' untuk kelas petang ini. Cuba mengubah kebiasaan menjadi kelainan. Harap-harap berbaloilah.

Berbaloi atau tidak?

Saya dengan penuh sabar masih menunggu saat dan ketikanya, paling tidak pun sebahagian besar bilik-bilik kuliah di politeknik ini dipasang dengan penghawa dingin demi keselesaan semua yang terlibat semasa berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. 

Dan dengan teknik yang baik dan berkesan semampunya, diharapkan dapatlah menambah nilai kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.  

Bukankah 'akal yang sihat itu berada dalam badan yang sihat dan sejahtera juga'.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan. Belanjawan yang bakal menyusul jangan pula 'terlepas pandang' perkara ini

Sambungan ; Tidak sempat publish sebelum jam 3 tadi.

Catatan hujung ; Rupanya kelainan yang cuba dilakukan hari ini membuktikan berubah tidak semestinya menghasilkan natijah yang lebih baik.

Senang.
Laptop, LCD
Bercakap.
Bersoal jawab.

Catatan hujung ditulis sekitar jam 6.45 petang. Muhasabah untuk hari ini.   

Saturday, October 2, 2010

Sekali Lagi Melanggar Pantang







Jangan terkejut pula.

Pelanggaran pantang ini insyaallah tidak menyebabkan saya bersalah dan berdosa dengan sesiapa pun. Saya mungkin hanya "berdosa" dengan diri sendiri. Menerima kesan sampingan yang mungkin ada. Tetapi saya berharap tiadalah kesan sampingan yang tidak diingini terjadi.

Antara lain pesanan doktor tempohari, jika ingin cepat sembuh telinga yang 'sakit' itu, jangan makan makanan yang gatal-gatal termasuk udang, sotong dan seumpamanya. Di samping beberapa perkara lain yang telah disebutkan terdahulu.

Manakan saya tidak tergoda dan terlanggar pantang apabila dihidangkan dengan udang 'semontok' dan 'seseksi' ini. Tambahan pula udang-udang ini 'terpaksa' pula menaiki kapal terbang Air Asia dari Sabah untuk sampai ke Semenanjung ini.

Makan seadanya tanda menghargai walaupun terpaksa melanggar sedikit nasihat doktor tersebut.

Mudah-mudahan semua selamat dan sejahtera.
Made In Sabah


Razak Nordin berpesan ; Tiba-tiba teringat kenangan-kenangan lalu bermula Julai 1999 hingga Disember 2003 semasa berkhidmat di Politeknik Kota Kinabalu.

Friday, October 1, 2010

Dilema Hidup Seronok 'Kontroversi'






Cerita lama. Kisah dulu-dulu.

Saya pernah duduk serumah dengan "seorang kawan ini" dan seorang kawan lagi. Atas beberapa sebab yang tidak perlu dinyatakan, nama 'seorang kawan ini' dan tempat 'kejadian" perlu dirahsiakan. Kerana tujuan perkongsian ini bukan untuk mencari aib sesiapa tetapi sebaliknya mencari iktibar dari satu peristiwa yang telah berlaku walaupun sedikit jika ada.

Dan selalunya saya memang gemarkan memasak. Walaupun ringkas dan tidak sesedap mana pun. Cuma semenjak berkahwin, minat saya terhadap dunia masak-memasak semakin hari semakin pudar.

Hendak dijadikan cerita, sehingga diingat sampai hari ini.

Suatu hari, saya masak ringkas sahajalah. Goreng ikan dan beberapa menu lain. Sementara menunggu ikan goreng masak, saya mengambil peluang ke ruang tamu sebentar untuk menonton tv seketika.

Tiba-tiba dalam "keasyikan" menonton itu, datanglah 'seorang kawan ini' memberitahu bahawa ikan goreng sudah masak dan hampir hangit.

"Dah tu angkat tak", tanya saya spontan.

"Tak pun", jawapnya sambil tersenyum. 'Sardin' saja mukanya.

Fuh...terbakar juga hati ini. Kalau sudah tahu nak hangit, angkat jelah. Paling tidak pun, 'tutuplah apinya' dahulu.

Inikan tidak.

Sudahlah hubungan yang sedia ada tidaklah sehangat mana pun. Lalu apa yang berlaku itu menambah kedinginanlah jadinya.

Padahal sama-sama ingin makan. Lagi pun bukan berat sangat pun kalau sekadar 'tutup api' dapur gas atau angkat ikan goreng dari kuali tersebut. Semuanya sudah tersedia.

Kehidupan Dan Kontroversi

Barangkali begitulah yang banyak berlaku diseputar hidup kita kini. Orang lebih suka berkontroversi daripada berusaha menyelesaikan masalah.

Mencari kesilapan orang bukan untuk diperbaiki. Bukan untuk menukar kelam kepada cahaya, tetapi untuk dicaci maki dan di'wajah hodoh'kan dengan pelbagai cara. Supaya orang lain dilihat busuk dan jijik. Tidak sesuci dirinya.

Jika dalam kes tadi.
Matikan api, angkat ikan dan sama-sama makan. Selesai. Kenapa perlu yang menggorengnya juga untuk buat semuanya kalau sekiranya kita sudah melihat keadaan 'genting' itu terjadi di hadapan mata kita?

Kalau terbakar sungguh macam mana. Sama-sama kempunanlah jawabnya.

Kenapa perlu diriuh-ruihkan jika kita sudah mampu menghalau lalat yang seekor itu seorang diri?

Kenapa perlu diisukan sesuatu perkara sekiranya perkara tersebut boleh diselesaikan secara baik?

Kenapa bertelur sebiji riuhnya sekampung, sedangkan padi, biji penuh di tangkai, menunduk merendah diri. Walaupun ia pula adalah makanan asasi.

Dan banyaknya kenapa, kenapa, kenapa yang berada dalam kepala saya ini. Dan saya tidak bercadang untuk menyenaraikannya satu persatu.

Menganggap itu dan ini hanya untuk orang itu dan ini sahaja. Dan kita hanyalah menilai tanpa berbuat apa-apa.

Cukup saya katakan kali ini.

Kalau kita mampu.

Lakukanlah.
Laksanakanlah.
Sempurnakanlah.
Tidak perlulah menunggu orang lain berbuat sesuatu bagi memuaskan hati kita. 

Semakin kita mencari kesempurnaan maka kepincanganlah yang selalunya kita akan nampak. Dan melihat kepincangan itu pula berpunca dari orang lain, bukan dari kita.

Kerana kita adalah pengkritik tanpa alternatif.

Razak Nordin berpesan ; Kita hanyalah salah satu mata rantai dari mata-mata rantai yang entah berapa banyak itu. Apa sangat yang kita ingin 'bangga'kan? 

Soalan "Lisan", Jawapan Dengan "Amali"







Dalam khutbah jumaat yang disampaikan oleh Khatib tengahari tadi, saya dapat 'menangkap" suatu hadis yang telah disebutkan. Barangkali boleh dijadikan renungan dan tindakan bersama. Peringatan untuk diri sendiri dahulu, ahli keluarga sendiri kemudian barulah untuk orang lain yang sudi mengambil pengajarannya.

Bukankah Allah SWT telah berpesan dalam surah At Tahriim ayat 6, antara lain bermaksud ;

"6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala Yang diperintahkan."



Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Bukan pula jagalah dirimu dan orang lain serta biarlah keluargamu terbakar oleh api neraka.

Dan bukan juga jagalah orang lain dan biarlah dirimu terbakar oleh api neraka.  

Saling mengingati adalah lebih baik dari hanya saling mencari kelemahan orang lain di mana ada.

Inilah maksud hadis yang saya maksudkan ; Antara lain menjelaskan beberapa perkara yang menuntut rasa peduli sesiapa sahaja yang ingin peduli.

Tidak berganjak dari sisi Allah kedua tapak kaki manusia pada Hari Kiamat (kelak) sehingga dia ditanya tentang lima perkara:
1. Tentang umurnya – untuk apa ia dihabiskan.
2. Tentang masa mudanya – untuk apa ia digunakan.
3. Tentang hartanya – dari mana ia diperolehi,
4. (Tentang hartanya) – kepada apa ia dibelanjakan,
5.  Dan apa yang dia amalkan dari ilmu yang dimiliki.  Shahih Sunan al-Tirmizi.

Semua soalannya berbentuk "lisan".

Tetapi semuanya jawapannya adalah berbentuk "amali". Tunjukkan buktinya dengan amalan, bukan sekadar teori tanpa pembuktian.

Bukan untuk orang lain.
Tapi untuk aku dan engkau.
Yang masih ada rasa peduli. Walaupun sebesar zarrah. Bukan semata kerana kecil dan besarnya.

Bukankah dalam surah  Al Zalzalah ayat 7 dan 8 Allah SWT sudah memperingatkan ;

7. maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! 
8. dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!


Razak Nordin berpesan ; Semoga Allah SWT sentiasa memandu kita semua supaya sentiasa berada di jalan yang diredhai sepanjang perjalanan hidup ini. Kita redha Allah SWT, Allah SWT pun meredhai kita juga.
Share/Bookmark