Wednesday, October 6, 2010

Apabila Saya Silap Mencari Kesempurnaan







'Putus angin'.

Mungkin itulah dua patah perkataan ringkas bagi menggambarkan perasaan saya pagi ini.

Pagi tadi. 

Seperti biasa saya memilih menggunakan bilik seminar Pusat Islam Luqman Al Hakim untuk mengadakan kelas setiap rabu dari jam 10 hingga 12 tengahari.

Sekurang-kurangnya atas tiga sebab.

Pertamanya ; Kedudukannya yang hampir dengan kamsis serta memudahkan para pelajar untuk datang.

Kedua         ; Saya tidak perlu 'menanggung' LCD serta 'memanjat' bangunan untuk ke bilik kuliah

Ketiga         ; Suasananya agak 'kondusif' berbanding bilik kuliah biasa. Berhampiran tasik serta jauh dari 'keriuhan' dan 'kebisingan'. 

Dan selalunya.

Kelas berjalan lancar tanpa gangguan. Sama ada masalah-masalah teknikal dan juga masalah-masalah lain. Dan saya cukup seronok mengadakan kelas di situ. Setidak-tidaknya saya boleh membuat persediaan awal setiap kali kelas akan berlangsung. Dan boleh juga dilanjutkan masanya jika perlu tanpa menyusahkan sesiapa.

Baru kali ini. Pertama kali berlaku. Gangguan teknikal  berlaku acapkali juga. Elektriknya sekejap terputus, sekejap ada.

Dicampur dengan sakit-sakit badan, kepala yang seakan melayang, leher dan kepala terasa 'tegang dan penuh', serta keadaan telinga yang sedikit 'merimaskan', semuanya itu menyumbang secara tidak langsung kepada lagi cepat 'putusnya angin' saya pagi tadi.

Kemuncak kepada semua itu, kelas terpaksa diberhentikan lebih awal dari yang sepatutnya sebelum tekanan darah saya naik mendadak. Dan juga bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini dari berlaku.

'Nasib baiklah'.

Kebetulan kali ini saya membawa 'handout' bagi sub topik berkenaan. Dapatlah juga diserahkan kepada wakil kelas untuk salinan mana-mana ahli kelas yang berminat.

Tetapi kepuasaannya tetap juga tidak sampai ke kemuncak. Anti klimak selalunya akan mengganggu jiwa dan emosi saya sehingga kelas yang akan datang. 

Itulah antara masalah saya.

Dalam banyak kerja buat dan tindakan yang dilakukan. Saya 'terlalu' mencari kesempurnaan sehingga 'kepincangan' kecil selalunya banyak mengganggu fikiran dan emosi sendiri.  

Sehingga seakan terlupa kuasa dan 'campur tangan' Tuhan dalam segala kerja buat dan tindakan manusia.

Yang berlaku pagi ini hanyalah satu contoh dari banyak-banyak contoh yang boleh saya kongsikan di sini.

Razak Nordin berpesan ;  Bukan salah sesiapa. Mungkin itu sudah takdirnya. Peringatan dari Tuhan untuk hamba dan khalifahnya di muka bumi.
Share/Bookmark