Saturday, October 16, 2010

Kenapa Pokok-Kayu?







Sama ada sesiapa yang mungkin pernah bertanya atau tidak. Dan juga untuk sesiapa yang ingin tahu atau sebaliknya.

Saya ingin ceritakan juga.

Kenapa pokok-kayu.

Sebenarnya, saya sengaja memilih nama pokok-kayu sebagai nama blog peribadi ini. Bukan kebetulan tetapi suratan yang telah disengajakan.

Antara lain kerana selalu juga dinasihatkan.

Harapnya.

Jadilah seperti pokok yang baik dan bermanfaat. Kata orang, walaupun dibaling dengan kayu dan batu serta segala macam lagi, tetapi pokok tetap menghadiahkan buah-buah yang ranum dan enak untuk dinikmati oleh si pembalingnya.

Dahannya mungkin ada yang patah, 'batang tubuh'nya mungkin ada yang lebam-lebam, kulitnya mungkin ada yang luka dan berdarah. Tetapi pokok-kayu jarang 'merajuk' dan 'marah-marah'. Kalau ada pun hanya sesekali merajuk hati. Tetap memberikan apa yang 'dia' ada untuk sesiapa sahaja yang memerlukan. Sama ada manusia dan binatang-binatang juga.

Walaupun patah dahannya tidak pernah dibalut. Lebamnya pula tidak pernah diurut dan digosok minyak panas. Luka dan darahnya juga tidak dibersih dan dibubuh ubat, tetapi pokok kayu tetap setia berbakti untuk manusia. Dengan pelbagai cara dan bentuk jua.

Sekurang-kurang selagi termampu oleh kudratnya.

Dan selebihnya.

Baca dan renunglah apa yang telah disebut dalam ayat 24 hingga 27 Surah Ibrahim di bawah. 

Kalimah yang baik seumpama pokok yang baik. Mudah-mudahan. Insyaallah.

Maksudnya ;

24. TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT (WAHAI MUHAMMAD) BAGAIMANA ALLAH MENGEMUKAKAN SATU PERBANDINGAN, IAITU: KALIMAH YANG BAIK ADALAH SEBAGAI SEBATANG POHON YANG BAIK, YANG PANGKALNYA (AKAR TUNJANGNYA) TETAP TEGUH, DAN CABANG PUCUKNYA MENJULANG KE LANGIT.

25. DIA MENGELUARKAN BUAHNYA PADA TIAP-TIAP MASA DENGAN IZIN TUHANNYA. DAN ALLAH MENGEMUKAKAN PERBANDINGAN-PERBANDINGAN ITU UNTUK MANUSIA, SUPAYA MEREKA BERINGAT (MENDAPAT PELAJARAN).

26. DAN BANDINGAN KALIMAH YANG JAHAT DAN BURUK SAMALAH SEPERTI SEBATANG POHON YANG TIDAK BERGUNA YANG MUDAH TERCABUT AKAR-AKARNYA DARI MUKA BUMI; TIDAK ADA TAPAK BAGINYA UNTUK TETAP HIDUP.

27. ALLAH MENETAPKAN (PENDIRIAN) ORANG-ORANG YANG BERIMAN DENGAN KALIMAH YANG TETAP TEGUH DALAM KEHIDUPAN DUNIA DAN AKHIRAT; DAN ALLAH MENYESATKAN ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM (KEPADA DIRI MEREKA SENDIRI); DAN ALLAH BERKUASA MELAKUKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan semua amal kita, kecil atau besar. Sedikit atau banyak. Dalam bentuk apa sekali pun. Semua menjadi amal baik yang 'jariah'. Berlari sampai ke syurga.

1 comment:

Abdullah Risuki said...

Tang ni yang baguih.

Jadilah pokok kayu yang memberi manfaat, semasa hidup maupun setelah mati. semasa hidup memberi buah-buah, peneduh kepada panas. Selepas mati, masih menjadi pelindung (rumah) kepada manusia