Wednesday, October 27, 2010

Lima Jenis Nikmat Allah-Penawar Jiwa Ujian Allah







Ketika tahap kesihatan saya kembali turun dan naik, Allah SWT telah mentakdirkan saya terjumpa satu 'artikel' berkaitan dengan lima jenis nikmat Allah ketika membelek-belek buku kecil Pengajaran Ummah yang bertajuk Cerita Serta Doa Dari Hadith & Al Quran.

Mudah-mudahan ia boleh dijadikan sedikit penawar jiwa dan saya berbesar hati untuk berkongsi di sini.

Ini yang saya maksudkan.

Nikmat Allah SWT berikan kepada manusia memang tidak terhitung. Ada di antara kita yang tidak menyedari bahawa sesuatu yang diperolehi adalah nikmat daripada Allah SWT. Lazimnya mereka bersyukur. Tetapi ada yang melupakan sesuatu nikmat kebahagiaan, kemewahan, darjat dan kebesaran yang diperolehi itu datangnya daripada Allah.

Secara kasar nikmat Allah SWT. boleh dikategorikan dalam lima kumpulan :

Pertama : Kebahagiaan di akhirat iaitu kebahagiaan yang kekal abadi. Antara kebahagiaannya ialah kegembiraan yang tiada kesedihan, kepandaian yang tiada kebodohan dan kekayaan yang tidak bercampur kefakiran.

Tetapi kita tidak dapat mencapainya kecuali dengan pertolongan Allah SWT. Kebahagiaan yang pertama ini tidak sempurna kecuali ada nikmat yang kedua iaitu :

Kedua : Akal yang disempurnakan dengan ilmu, pemeliharaan diri yang disempurnakan dengan menjauhi yang haram, subahat dan maksiat.

Nikmat lain yang termasuk dalam kumpulan ini ialah keberanian yang disempurnakan dengan rasa kesedaran. Nikmat-nikmat ini pada hakikatnya adalah pokok-pokok agama. Keutamaan nikmat yang kedua ini dapat disempurnakan dengan adanya nikmat yang ketiga iaitu :

Ketiga : Keutamaan badaniah yang meliputi kesihatan badan dan panjang umur. Nikmat yang ketiga ini dapat disempurnakan dengan adanya nikmat yang keempat iaitu :

Keempat : Harta, keluarga, kemuliaan dan keluarga yang mulia. Tetapi tidaklah sempurna dengan mengambil manfaat nikmat-nikmat itu kecuali dengan adanya nikmat kelima iaitu :

Kelima : Hidayah Allah, pimpinan Allah, pembetulan Allah dan kekuatan dari Allah.

Sekarang cubalah kita tanya pada diri kita sendiri. Adakah kita sudah bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada kita?

Pangkat dan kedudukan yang tinggi, badan yang sihat, keluarga yang bahagia, keperluan rumah, makanan dan pakaian yang mencukupi serta lain-lain keistimewaan yang kita miliki.

Razak Nordin berpesan ; Antara kita, terlepas mungkin tidak tetapi bentuk ujiannya kadangnya berbeza-beza.

No comments: