Thursday, November 25, 2010

Begitulah Kasihnya Ibu

Untuk tiga hari berturut-turut.

Selasa, Rabu dan Khamis.

Isteri saya 'terpaksa' mengunjungi klinik dan hospital.

Selasa dan Rabu untuk memeriksa tahap kesihatan kandungan, zuriat ketiga kami yang insyaallah akan 'selamat datang' pada bulan Februari 2011. Doa-doakanlah semoga semuanya sempurna, selamat dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Amin.

Dan hari ini, ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar kerana ada temujanji doktor bagi pemeriksaan diri sendiri pula. 'Penyakit perempuan.'

Itulah yang dilakukan oleh kebanyakan ibu dan isteri.

Semuanya dilakukan sendiri, membawa perut 'boyot', kadang-kadang melupakan kepenatan dan kesusahan sendiri demi memastikan bayi yang dikandungnya sihat walafiat. Di ketika lain, melayan 'karenah' suami, bersabar dengan peel anak-anak serta menjalankan rutin harian sebagai isteri dan ibu seperti biasa. Tetap menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga walaupun dengan segala kepayahan yang ada.  

Pening-pening, sakit belakang, sakit pinggang, bengkak kaki, muntah-muntah adalah antara 'wajib tanggung' ibu-ibu mengandung yang kebanyakkan orang tahu kalaupun saya tidak memberitahunya di sini.

Kenapa Saya Menulis Semua Ini

Sekurang-kurangnya atas dua sebab.

Pertama ;  Untuk semua anak-anak yang masih mempunyai ibu-ibu. Hargailah pengorbanan ibu-ibu yang terlalu banyak bersusah payah sehinggalah kita menjadi seperti hari ini. Caranya, terpulanglah. Saya tiada cadangan untuk anda.

Kedua ; Untuk suami-suami terutama saya sendiri. Buatlah apa yang patut untuk suri anda itu. Kalau pun tidak sepadan 'seratus peratus' dengan apa yang isteri anda lakukan untuk anda sendiri.  

Ini bukan cerita semata.

Kaedah usul fiqh ada menyebutkan "Pengajaran diambil dari lafaz yang umum, bukan dari sebab yang khusus."

Razak Nordin berpesan ; Kadang-kadang kita terlupa. Ingatkan kita sahaja yang penat, letih dan merasa sakit. Rupanya tidak.

1 comment:

Abdullah Risuki said...

Tu la dikata "Ganah" Ustaz Razak aka Abe Jak nih. Member-member sebaya dah berenti dah, Abe Jak dok tengah laju lagi..... menambah rezeki. Tahniah dan semoga semua selamat menyambut zuriat abe jak yg ke3 ni.

Gu-gu sebaya jah tue, Abe jak masih muda, masih gagah, masih bergaya....