Tuesday, November 16, 2010

Ketika Kita Diuji







Ketika Kepala 'Bersimpang Siur.'

Barangkali semua orang menyedari dan mengakui bahawa kehidupan pada zaman mana pun mempunyai cabaran-cabarannya yang tersendiri serta berbeza-beza.

Manusia berbeza.
Cabarannya pula berbeza-beza serta bertahap-tahap pula.

Zaman berbeza.
Cabarannya pula berbeza-beza juga.

Tahap berbeza.
Berbeza pula bentuk dan keadaannya.

Cabaran fizikal dan mental juga.

Kadangkala sakit fizikal dan sakit juga jiwa hati nuraninya. Bersilih ganti dan acapkali datang bersekali. Antara ringan dan berat yang menuntut kesabaran hati. Terkadang di luar kawalan upaya diri kecuali dengan pertolongan dan limpah perkenan Ilahi.

Mungkin dengan apa yang telah dan sedang berlaku diseputar hidup harian yang telah dan sedang dilalui. Kerana kita adalah manusia, mamalia berdarah panas yang juga mempunyai hati dan nurani serta fizikal yang bisa merasa sakit dan menderita. Dan juga deraian tangisan serta lelehan air mata.

Sama ada secara langsung atau pun tidak langsung. Yang mampu dihadapi serta dibalasnya. Dan ada juga yang 'tidak mampu' dibalas secara langsung . Di kala kita hanya mentimun mana mungkin untuk berlawan dengan durian yang banyak durinya itu. Hukum logik dan akalnya tidak mengizinkan mentimun untuk menang dengan keupayaan yang terbatas itu. Kalaulah betullah andaian begitu.

Kadangnya mampu 'membalasnya' tetapi kita memilih untuk tidak menjadi gagah seperti itu. Kerana teringat pesanan Rasul Junjungan bahawa gagah sebenar adalah sesiapa yang berjaya menahan diri ketika marah bukan gagah kerana menang dalam bergusti. Bandingan hadisnya begitu.

Tidaklah  Allah membebankan serta mempertanggungjawabkan seseorang kecuali apa-apa yang mampu ditanggungnya.

Itu janji Allah. Mudah-mudahan untuk kita begitulah.

Sabar Yang Banyak Cabangnya Itu.

Dalam bukunya yang berjudul AKHLAK DAN TASAWUF, Prof. Madya Mohd Sulaiman bin Haji Yasin antara lain telah merumuskannya seperti berikut ;

Pertama : Sabar atas kesusahan atau bala bencala yang menimpa pada manusia biasa malahan juga menimpa para Nabi. Di antaranya yang dirumuskan oleh al Quran :
  • Sabar atas kefakiran atau kelaparan
  • Sabar atas kesakitan
  • Sabar pada masa peperangan atau dalam masa ketakutan
  • Sabar atas kehilangan wang
  • Sabar atas kehilangan jiwa
  • Sabar atas kehilangan harta benda.
Kedua : Sabar atas keinginan hawa nafsu yang menjadi urusan syaitan. Di antaranya : Sabar atas tarikan dan runtunan hawa nafsu yang rendah dan hina, di antaranya
  • Sabar dari menurutkan rasa marah.
Firman Allah yang maksudnya ;
Dan jika kamu membalas kejahatan(pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, maka sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar."
Surah al Nahl ayat ; 126.


Ketiga :
  • Sabar atas kemewahan seperti yang diisyaratkan dalam ayat di bawah ini:
  • Sabar atas kenikmatan orang lain, terutama orang kafir dan golongan Taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya azab.
  • Allah menegaskan dengan firmanNya yang bermaksud ; Katakanlah Wahai Muhammad akan firmanku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu : "Wahai hamba-hambaku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. Ingatlah orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan yang sebenar di akhirat. Dan ingatlah bumi Allah ini luas untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas. Sesungguhnya orang-orang yang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". Az Zumar ayat 10
Sabar atas kenikmatan ini lebih berat dari sabar atas bala bencana. Oleh kerana itu Allah memperingatkan dari fitnah anak-anak dan harta benda serta isteri.

Dalam surah At Tagharabun ayat 16 Allah berfirman dengan maksudnya ; "Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah akan pengajaran-pengajaranNya serta taatlah akan perintah-perintahNya dan belanjakan harta kamu serta buatlah kebajikan untuk diri kamu. Dan ingatlah sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya".

Keempat : Sabar atas ketaatan yang sememangnya banyak halangan; nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian serta malas pula untuk melaksanakan, seperti yang diisyaratkan oleh al Quran dalam surah Maryam 65 yang bermaksud ;

"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan bertekun tetap dalam beribadat kepadaNya ; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya?"

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat :
  • Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan maka perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar dari riya' yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan azam.
  • Ketika mengerjakan ketaatan hendaklah sentiasa berjaga dan waspada dari faktor atau sebab yang boleh melemahkan.
  • Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar dari melakukan sesuatu yang membatalkan amal ketaatannya.
Kelima : Sabar atas kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah kepada Allah atau ke jalan Allah adalah suatu usaha yang mulia dan suci, suatu usaha warisan daripada Rasul dan Nabi. Maka ia mempunyai halangan dan rintangan dari musuh-musuh kebenaran dan kebaikan, sama ada dari musuh iblis sdan syaitan, sama syaitan itu dari jin maupun syaitan itu dari jenis manusia sendiri, kerana dakwah kepada Allah, kepada agamaNya dan kepada jalanNya itu sangat bertentangan dengan keinginan dan kesukaan hawa nafsunya, dengan adat dan tradisinya, dengan keseronokan dan kerehatannya, dengan pangkat dan kedudukan, dengan kekayaan dan kekuasaan.

Razak Nordin berpesan ; Sabar. Sabar.Sabar. Pertolongan Allah sentiasa kita harapkan. Semoga kekuatan itu sentiasa bersama kita hendaknya.

Nota ; Semua terjemahan ayat dirujuk kepada Tafsir Pimpinan Rahman Kepada Pengertian Al Quran. Mushaf Malaysia Rasm Uthmani.

1 comment:

Abdullah Risuki said...

Apa makna sabar tu sebenarnya bang Jak?
apa bza sabar dengan 'oak'

Share/Bookmark