Sunday, November 7, 2010

Satu Petang, Dua Cerita

Petang semalam.

Pertama.
Banjir Dan Iktibar. 

Dari Ulu Pauh, kami menyelusuri Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis menuju ke Kuala Perlis. 'Meninjau-ninjau' keadaan banjir sambil mengambil 'angin petang'.

Kata orang, melihat fenomena dan ciptaan alam dengan segala kebesarannya sedikit sebanyak boleh merungkai resah dan gelisah di jiwa.

Melihat dan 'terlihat' beberapa pemandangan yang sedikit sebanyak menyentuh hati juga. Betapa ada manusia-manusia lain yang sedang diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai cara dan keadaan.  

Di kiri-kanan lebuhraya masih ada kawasan-kawasan yang ditenggelami air banjir yang telah berlarutan hampir seminggu. 

Menenggelami sawah padi dan terdapat juga rumah-rumah sekitarnya yang dimasuki air.

Kelihatan khemah-khemah dipasang di kawasan-kawasan yang agak tinggi di atas jalan-jalan kecil di tepi parit dan sawah. Mungkin dijadikan sebagai tempat berehat dan berkawal serta ada juga kelihatannya seperti tempat kediaman sementara. Dengan segala kekurangan yang ada.

Dan ada juga yang menjadikan bahagian bawah jejantas sebagai tempat rehat dan kediaman sementara menanti keadaan kembali seperti sediakala.  

Ada kenderaan-kenderaan yang diletakkan di tepi-tepi lebuhraya sebagai langkah awal bagi mengelak ditenggelami air yang mungkin datang secara mendadak.

Dan tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan ini untuk memancing dan menjala. Kalau ada rezeki bolehlah dijadikan lauk seisi keluarga agaknya.

Itulah antaranya.

'Melihat ke bawah' yang sepatutnya menginsafkan. Melahirkan rasa syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita ketika orang-orang lain diuji dengan pelbagai cara dan keadaan.

Berat pada memikulnya, bukan berat hanya sekadar pada memandangnya.

Kedua.
Mencari Tomyam Di Kuala Perlis.

Antara hajat ke Kuala Perlis petang semalam adalah untuk memcari tomyam 'power'. Entah mengapa, semenjak 'dua menjak' ini asyik terliur tomyam sahaja. Tetapi malangnya setakat ini masih belum berjumpa tomyam yang betul-betul 'power' dan kena dengan selera.

Dan petang semalam sekadar mengesahkan lagi bahawa pencarian tersebut masih belum berakhir.

Dan saya akan terus mencari lagi. Sampai ketemu jua akhirnya. Mencari yang 'kena' dengan selera untuk menghargai nikmat Tuhan tetapi bukan bermakna sampai berlebih-lebihan untuk mengisi 'perut bodo' ini.

Kadang-kadang terfikir juga.

Berbaloikah sampai begitu sekali 'kisahnya' pasal makan.

Dan juga, berbaloikah makan di luar?

Entahlah.

Petang semalam, jika dibandingkan harga dan kesedapan makanan-makanannya. Rasanya tidaklah berbaloi sangat.  

Kontrakah dua cerita di atas?

Mungkin pesanan di bawah ada sedikit kesimpulannya.

Razak Nordin berpesan ; Tidak salah rasanya menghargai nikmat Tuhan tetapi jangan pula sampai 'melampau-lampau' dalam menghargainya.

No comments: