Thursday, December 9, 2010

Politeknik Kota Kinabalu @ Kota Kinabalu : Masih Ada Kenangan Yang Tertinggal

Segalanya berlaku tanpa dirancang tetapi telah ditakdirkan.

Petang semalam saya telah menonton salah satu antara rancangan kegemaran saya iaitu "Warung Kita.". Tentunya pasal makan lagi. Bukan kerana saya seorang yang kuat makan, tapi seronok menikmati kelainan menu serta berbeza selera yang dipaparkan bagi setiap episod.

Dan kebetulan pula untuk episod petang semalam, ia bersiaran dari Kota Kinabalu, Sabah.

Masih Ada Kenangan Yang Tertinggal

Suratan atau kebetulan?

Kedua-dua 'warung' yang dikunjungi petang semalam adalah antara 'pot' yang pernah acapkali saya kunjungi semasa  'mencari' makan malam di sekitar Kota Kinabalu terutama semasa Politeknik Kota Kinabalu masih menumpang di Sekolah Menengah Teknik Likas, Kota Kinabalu. Dan juga apabila sesekali ke Kota Kinabalu pada malam minggu apabila Politeknik Kota Kinabalu berpindah ke kampus tetap di Teluk Sipanggar, Jalan Tuaran.

Pertama Likas HighWay Corner yang terletak di Teluk Lipat berhampiran Masjid Bandaraya (Masjid Terapung) dan kedua,  Restoran Sempelang yang terletak di Sinsuran atau pun juga dikenali sebagai Kampung Air, , bersebelahan dengan Api-Api Centre. 

Beberapa Kenangan.

Antaranya.

Tradisi Menyambut Kedatangan Staf Baru dan 'Mengiringi' Staf Yang Berpindah.

Pengalaman sendiri.

30 Jun 1999.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu bersama dua orang lagi rakan untuk mendaftarkan diri  sebagai pegawai kerajaan di Politeknik Kota Kinabalu yang pada masa itu menumpang di Sekolah Menengah Teknik Likas, bersebelahan dengan Stadium Likas, Kota Kinalabu.

Kami selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah sekitar selepas Maghrib. Oleh kerana inilah kali pertama saya dan rakan-rakan lain menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu, maka saya yang kebetulannya mempunyai sahabat lama di Kota Kinabalu telah membuat janji temu awal untuk beliau menjemput kami bertiga sebelum mendaftar diri keesokan harinya. Rupanya-rupanya Ketua Jabatan saya, Ibu Noriah dan beberapa orang staf PKK Sabah telah sedia menjemput kami tanpa kami jangka.

Dan tradisi itu masih berlaku setidak-tidaknya selama saya masih di sana sehingga penghujung 2003. 

Begitu juga bagi staf-staf yang akan bertukar ke politeknik-politeknik lain. Mereka tetap diraikan serta dihargai dalam majlis perpisahan walau seringkas mana pun majlis tersebut. Dianjurkan oleh politeknik, bukan oleh jabatan berkenaan sahaja. Dan selalunya, ada rombongan yang akan mengiringi pegawai-pegawai yang berpindah sehingga ke lapangan terbang.

Tanda menghargai dan persahabatan barangkali.

Tiada tajuk yang sfesifik untuk segala kisah-kisah di atas dan bawah ini. Dan tiada bait-bait ayat yang paling mulus boleh saya susunkan untuk pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui itu.

Majlis-Majlis Penyubur Kekitaan

Sebarang majlis, sama ada majlis doa selamat serta majlis-majlis lain tiada masalah dari segi kehadiran dan sambutan dari rakan-rakan sekerja. Kehadiran dan sambutan sentiasa menggalakkan. Keakraban dan ukhwah yang bukan kebetulan itu. Sokongan sentiasa ada, kerjasama sentiasa erat. Bersatu untuk satu matlamat.

Dan pernah juga kami membuat usrah dari rumah ke rumah dengan sambutan yang amat menggalakkan.

Kami biasa membuat majlis korban sempena Aidil Adha yang sangat berbeza. Majoriti memberikan kerjasama terbaik mengikut bidang tugas masing-masing.

Pernah suatu ketika, ada yang sanggup tidur bertemankan nyamuk-nyamuk untuk menjaga lembu-lembu yang bakal menjadi korban secara bergilir-gilir. Dan keesokkan harinya, aktiviti masak memasak dijalankan secara gotong royong. Sehingga selesai kendaranya sekali. Bidang-bidang tugas telah diagihkan dan semuanya berperanan seperti yang telah ditentukan.

Di ketika lain, pernah kami secara beramai-ramai menaiki bas ke Tuaran untuk menyempurnakan 'majlis' korban. Bermula dari mengikat, menyembelih, melapah, menyiang-nyiang daging lembu tersebut.

Kami pernah juga menawan perbukitan Kundasang, menawan perladangan kobis dan tomato segar di perbukitan Kundasang. Berkampung di Pusat Dakwah Kundasang beberapa hari dan malam dengan pelbagai aktiviti yang di susun. Mengharungi udara sejuk dan mendamaikan di perbukitan Kundasang. Memanjat bukit dan menuruni lembah-lembah serta menyelusuri anak-anak sungai.

Para pensyarah dan pelajar berganding bahu membina hubungan tidak terlarang.

Itu belum dikira dengan aktiviti perkhemahan Ko-Kurikulum di Tamparuli dan beberapa tempat lain di pulau-pulau sekitar Kota Kinabalu seperti Pulau Mamutik.

Begitu juga pada musim perayaan.

Selalunya bukan setiap tahun semua kami berkesempatan untuk pulang beraya di kampung halaman. Maka pada masa inilah peluang untuk staf-staf yang sudah berkahwin dan telah mempunyai keluarga sendiri membuat rumah terbuka sekadarnya. Mana yang bujang-bujang, inilah pula ketikanya untuk membuat 'lawatan-lawatan secara terbuka'. Paling tidak pun, semua itu sedikit sebanyak telah meredakan kerinduan kepada kaum keluarga dan kampung halaman.

Perhimpunan-perhimpunan bulanan staf pula bukan sahaja dibuat di politeknik tetapi beberapa kali pernah diadakan di hotel-hotel terkenal di sekitar Kota Kinabalu. Tetapi kejuahan jarak geografi seingat saya tidak pernah menghalang sambutan dan kerjasama staf-staf untuk hadir meraikan serta memeriahkan majlis. Yang masih diingat, perhimpunan-perhimpuan tersebut pernah di buat di Promenade Hotel dan juga Sutera Harbour Hotel, Kota Kinabalu.

Dan di pentas itu juga, saya pernah mendeklamasikan sebuah sajak perpisahan untuk Mantan Ketua Jabatan saya iaitu Ibu Noriah Jamansah yang akan bersara wajibnya sebagai pegawai kerajaan, setelah sekian lama berbakti untuk agama, bangsa dan negara. Mewakili rakan-rakan seperjuangan di jabatan.

Sebuah sajak air mata yang tidak dijangka. Ada bunyi esakan dan banyak juga mata-mata yang menangis, kerana hatinya mungkin tersentuh. Saya pula teruja dalam kesedihan itu. Dan Ibu Noriah pula kehilangan kata-kata untuk meneruskan ucapan perpisahannya. Tersekat-sekat dan akhirnya yang tertumpah adalah air-air mata.

Pendak kata, selama pengalaman saya, setiap majlis atau acara yang diadakan tidak pernah mengecewakan dari segi sambutannya.

Membina Ukhwah Melalui Sukan.

Begitu juga dalam bidang sukan terutama bola sepak, futsal, badminton, bola tampar dan juga sepak takraw. Perlawanan persahabatan gabungan jabatan-jabatan selalu juga diadakan walaupun kami terpaksa membayar sewa padang menggunakan duit sendiri dan terpaksa pula bergerak ke lokasi yang agak jauh.

Dan pernah acapkali juga diadakan pertandinga futsal antara jabatan selepas waktu pejabat. Sama ada yang 'kaki bangku' dan 'kaki tidak bangku', semuanya memberikan kerjasama yang paling baik. 'Sporting' habis, bahasa orang sekarang.

Dan saya biasa menjadi pengelola pertandingan badminton antara regu. Walaupun semuanya menggunakan bujet sendiri termasuk sewaan dewan dan pembelian bulu tangkis, tetapi sambutan selalu menggalakkan. Yang biasa main, yang boleh main sikit-sikit kami regukan. Bukan sekadar mencari pemenang. Tetapi lebih penting membina hubungan dan ukhwah sesama staf.

Tidak ketinggalan sukan sepak takraw. Kerapkali juga dianjurkan pertandingan melibatkan pelajar dan staf walaupun dengan segala kekurangan yang ada. Terutama kekurangan pemain berbanding sukan-sukan lain.

Tidak ketinggalan sukan lola tampar juga. Para pensyarah sentiasa bersedia untuk memberikan cabaran. Bila ada penganjuran pertandingan bola tampar, pasukan pensyarah dan staf sentiasa menghantar penyertaan. Menang atau kalah 'kemudian kira'. Yang penting, menyertai.  Dan mereka begitu komited walaupun dengan 'kebolehan' yang terhad.

Malahan pernah diadakan acara sukan antara jabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Dengan pelbagai acara yang diadakan dan dengan kerjasama serta sambutan menggalakkan yang di berikan, menjadikan saya masih mengingati semua itu.

Itu sebahagiannya dan semua itu dilalui sehingga ia menjadi memori yang masih terpahat dalam ingatan saya.

Kenapa saya tuliskan semua ini setelah hampir tujuh tahun saya tinggalkan Politeknik Kota Kinabalu dan berpindah ke tempat baru.

Antara lain mungkin, kerana saya pernah 'memiliki' dan tiba-tiba terasa kehilangannya.

Entahlah.

Apakah yang sebenarnya mendorong kami menjadi seperti itu, dulu.

Pelbagai sebab dan kemungkinan.

Atau tanpa sebab dan ia berlaku secara semulajadi.

Tetapi, kata-kata seindah mana pun yang boleh dicoretkan, belum tentu dapat menterjemahkan sepenuhnya rasa yang pernah dirasai itu.

Sekadar semampunya, saya coretkan.

Pengubat rindu sebuah kenangan yang masih tertinggal.

Razak Nordin berpesan : Mungkin sahabat-sahabat bekas Politeknik Kota Kinabalu boleh menambahkan perkongsian anda. Di mana sahaja anda berada. Jika anda masih mengingati dan merindui semua itu.  

2 comments:

Abdullah Risuki said...

Abe Jak

Tak do ko cerita cerita kenangan manis hok lama-lama semasa di sekolah menengah bersama budak yg dipanggil Ray.

Ibnnordin said...

Ray..akan menyusul..kisoh tembo sekoloh,,,huhuhu

Share/Bookmark