Friday, December 23, 2011

2011-Tahun Merudum Emosi?







Tahun 2011.
Tahun emosi saya merudum walaupun 'bukan amat'.  Tenggelam timbul, tapi yang banyaknya adalah tenggelam yang saya sendiri pun tidak pasti sebabnya. Tapi itulah antara ujian dari Allah untuk saya.

Hambanya.

Jika boleh saya ungkapkan begitu.

Kayu ukur saya mungkin tidak tepat sepenuhnya tapi ada asas untuk saya mempercayainya.

Untuk kali ini, kayu ukur saya adalah berdasarkan jumlah 'entry' di blog-blog saya. Kerana antara minat saya adalah menulis apa-apa sahaja di blog, dan saya selalunya akan mampu menulis apabila emosi saya agak stabil dan terkawal. Kerana menulis walau se'simple' mana pun memerlukan 'hati' untuk 'melancarkan perjalanan'.

Blog pokok-kayu misalnya.

'Entry' 2008, 16.
'Entry' 2009, 148.
'Entry' 2010, 266.
'Entry' 2011, termasuk 'entry' kali ini jumlahnya hanyalah 131.

Abaikan 'entry' 2008, tahun mula berkenalan dengan blog.

Selepas tahun 2008, barangkali itulah 'KPI' mudah untuk saya menilai tahap emosi saya.

Emosi bulanan pula boleh dilihat kepada jumlah 'entry' bulanan dan begitulah seterusnya.

Saya sendiri pun kadangnya keliru.

Kadang-kadang menulis boleh merawat emosi, dan ketika lain, menulis pula memerlukan emosi.

HARAPAN 40
Kata orang, ketidakseimbangan emosi ada kaitan dengan ketidakseimbangan hormon. Dan 'masalah' ini dikatakan biasa dialami oleh kebanyakan orang menjelang umur 40.

Dari tinjauan rambang yang saya buat, ada yang mengakui bahawa ada perubahan dari segi emosi apabila memasuki gerbang 40-an. Emosi yang lebih baik untuk hidup yang lebih sihat.  

Saya sendiri pun tidak pasti akan kebenarannya.

Namun....

Jika telah ditentukan untuk saya, saya menanti dengan sabar dalam tempoh 9 hari lagi menjelang 1 Januari 2012 yang menjadikan umur saya mencapai 40 dari jumlah tahunnya, walaupun dari segi bulannya, pada 4 Julai 2012.

Moga kebaikan-kebaikan mengiringi peningkatan usia tersebut dan segala tanggungjawabnya.

Oh, Tuhan.

Ku serahkan segalanya padaMU Ya Allah.

Janganlah engkau serahkan diri kami untuk kami yang menguruskannnya walaupun sekelip mata, nescaya kami tidak mampu melakukan, dan janganlah engkau serahkan kepada orang lain untuk menguruskannya, nescaya mereka akan mensia-siakanya.

Moga ada pahala atas segala ujian Allah.

Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Ahhh, letihnya saya untuk menghabiskan 'entry' seringkas ini.

Seadanya, separuh hati.

Thursday, December 8, 2011

Jamuan Ukhwah JPA 2011

Alhamdulillah, dengan ketentuan Allah SWT jua, warga JPA PTSS setelah sekian lamanya. Akhirnya berjaya juga mengadakan jamuan di luar 'jajahan' PTSS.

Untuk kali pertama ini, tempatnya adalah di restoran Bunga Naga, Jitra Kedah.

Dengan pelbagai harapan yang baik-baik semuanya.

Silaturrahim, ukhwah antara warga JPA, barangkali itulah antara yang terangkum dalam pelbagai harapan itu. Harapan-harapan lain datang menambah, meraikan 'ahli keluarga' JPA yang terpaksa berpisah dan juga menyambut ahli keluarga JPA yang baru mendaftar sebagai warga JPA.  Sekali sekali berubah angin apa salahnya , kata orang begitulah.

Kepada yang terpaksa berpisah, tiada ucapan perpisahan, namun yang diucapkan adalah, sehingga ketemu lagi di lain ketentuan.

Kepada yang baru sampai, semoga berbahagia dan tabah menjadi warga JPA.
Pengerusi memulakan majlis.

Masing-masing tidak sabar menunggu gambar diambil..hehehe. Ingatkan tak sabar nak makan..jangan marah ye..
Meja belakang paling gempaq..pasal semuanya kaum Adam semuanya.
Ucapan Ketua Jabatan
Amboi, tongkat dagu Ciksu...yang lain mengawal keayuan...
Ucapan 'ahli keluarga' JPA yang terpaksa berpisah. Semoga berbahagia dengan kehidupan baru walau di mana jatuhnya.
Apa lagi yang mahu ditulis.
Semoga semuanya berpuashati seadanya.

Dan yang kesiannya, gambar jurugambar terlupa nak diambil.

Sehingga ketemu lagi, jika ada rezekinya untuk kita semua. 

Selamat Hari Lahir Anakanda








Alhmadulillah.

8 Disember 2011, bermakna genaplah 6 tahun umur anak sulung saya, Nursyuhada Najihah.
Sebagai Abi, saya sentiasa mendoakan semoga perjalanan hidupnya dari dunia sampai ke akhirat sentiasa dirahmati serta diredhai oleh Allah SWT.

Di dunia pun baik dan di akhirat pun baik juga.

Ya Allah, berikan kepada kami kehidupan yang baik di dunia dan kehidupan yang baik di akhirat dan bebaskan kami dari azab neraka.

Ya Allah, janganlah engkau serahkan diri kami untuk kami yang menguruskannnya, nescaya kami tidak mampu melakukan, dan janganlah engkau serahkan kepada manusia untuk menguruskannya, nescaya mereka akan mensia-siakanya.

Amin.

Tuesday, December 6, 2011

Berbahagialah Yang Satu Itu








Firman Allah swt dalam surah al-Naba' ayat 18 yang bermaksud:-

"Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke padang Mahsyar)"

Adalah diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut diatas pernah ditanyakan oleh Saidina Muaz bin Jabal kepada Rasulullah SAW, katanya, "Ya Rasulullah, apa maksudnya ayat ini?" Maka Rasulullah SAW menangis sebelum menjawab soalan tersebut kerana inilah yang selalu dibimbangkan oleh baginda. Lalu baginda menjawab:

"Ya Muaz, umatku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12 golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki neraka dan hanya 1 golongan sahaja yang akan memasuki syurga. Adapun 11 golongan yang memasuki neraka adalah seperti berikut:-

1. Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan. Ini adalah kerana mereka suka menyakiti hati jiran tetangga.

2. Mereka yang menyerupai babi. Ini adalah balasan bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat lima waktu.

3. Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala. Inilah balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.

4. Mereka yang keluar darah dari mulutnya. Inilah balasan mereka yang berdusta.

5. Mereka yang berbau busuk seluruh badannya. Ini adalah balasan mereka yang mengaut keuntungan dalam jual beli atas penipuan.

6. Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu. Ini adalah balasan mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.

7. Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulut. Ini balasan mereka yang tidak mahu menyaksikan kebenaran.

8. Mereka yang keluar dalam keadaan terbalik iaitu kepala dibawah dan kakinya keatas. Ini adalah balasan mereka yang berzina serta mati sebelum bertaubat.

9. Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api. Ini balasan mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim.

10. Mereka yang kulitnya penuh kudis dan penyakit-penyakit lain yang menjijikan. Ini adalah balasan mereka yang berani melawan kedua ibu bapanya.

11. Meraka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk,bibirnya berjuntai hingga keperut, dari perut dan pehanya keluar kotoran. Ini adalah balasan mereka minum minuman keras.

Dan satu golongan yang masuk ke syurga ialah:

1. Mereka yang wajahnya bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian Mustaqim pantas seperti kilat. Ini balasan orang yang beramal salih dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat."

Mudah-mudahan kitalah salah seorang dari golongan yang terakhir ini.

Saturday, December 3, 2011

Warkah Seorang Murabbi







Wahai orang yang sedang kebingungan di padang kehidupan, sampai bilakah engkau hidup dalam petualangan dan kesesatan padahal di tanganmu ada pelita yang bersinar terang?

‘Telah datang kepadamu cahaya dan kitab yang terang dari Allah. Allah membimbing kamu dengannya, siapa yang mengikuti redhaNya ke jalan keselamatan. dan membawa mereka dengan izinNya. Keluar dari kegelapan menuju cahaya. Menunjuki mereka jalan yang lurus.’ -Surah Al-Maidah ayat 15-16.

Wahai saudara yang sedang penat dan letih, yang tersungkur di bawah tindihan noda dan dosa, kepadamu kusampaikan bisikan kata bahawa pintu ampunan Tuhanmu luas terbuka. Dan ratap tangis orang yang bersalah lebih di sukai daripada doa orang yang patuh.

Duduklah engkau di malam sunyi, berbisik kepada Ilahi, menghadap dengan sepenuh hati. Titiskanlah air mata penyesalan dan kesedihan, ucapkanlah kalimat istighfar dan kata taubat. Semoga Allah menghapuskan semua noda dan dosamu dan mengangkat tinggi darjatmu. Dan semoga pula engkau menjadi orang yang di dekatkan kepadaNya.

‘Sungguh! Allah cinta orang yang taubat Dan cinta orang yang bersuci diri.’ -Surah Al-Baqarah ayat 222.

Alangkah dekatnya Tuhanmu kepada dirimu, sedangkan engkau tidak mahu mendekati-Nya. Alangkah cintanya Dia kepadamu, sedangkan engkau tidak mahu mencintaiNya. Alangkah besarnya kasih sayangNya kepadamu, sedangkan engkau melupakan hal itu.

Rasulullah saw bersabda:
‘Sesungguhnya Allah Taala membuka tanganNya pada waktu malam supaya bertaubat orang yang melakukan kesalahan pada siang hari dan Dia membuka tanganNya pada waktu siang supaya bertaubat orang yang melakukan kesalahan pada malam hari. Begitulah hingga matahari terbit dari barat.’ -Riwayat Muslim.

Tahun demi tahun yang baru lagi,

Masa berlalu dan kita hanya boleh sesali dosa-dosa. Maka kita perlu mengatur langkah sebaik-baiknya agar tidak tergelincir lagi.

Dan untuk menghadapi masa yang akan datang, kita buat persiapan berupa hati yang bersih, niat yang suci, dan kemahuan yang kuat untuk melakukan kebajikan.

‘Dan akan Kami tempatkan timbangan keadilan pada hari kebangkitan, sehingga tiada seseorang dirugikan sedikit pun, Dan jika ada seberat biji sawi pun (amalan), tentulah Kami akan datangkan pahalanya. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.’ -Surah Al-Anbiya ayat 47.

‘Sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat dan beriman. Yang berbuat amal kebajikan, kemudian bersedia menerima pimpinan.’ -Surah Thaha ayat 82.

Wahai saudara-saudara yang telah letih, yang tersungkur di bawah tindihan noda dan dosa-dosa, Janganlah anda berputus asa dan jangan pula putus harapan.

Inilah saat pengampunan yang datang bersamaan dengan datangnya tahun baru. Inilah hembusan angin penerimaan taubat yang dengan lemah lembut menerpa wajah baru yang molek dan indah. Inilah cahaya hidayah yang memancar bersamaan dengan terbitnya bulan sabit yang cerah dan indah.

Imam Hassan Al-Banna

Apabila Ayam Berkokok







Dari Abu Hurairah r.a. : Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu mendengar kokok ayam, maka mohonkanlah beroleh kurnia kepada Tuhan, kerana sesungguhnya ia melihat malaikat. Apabila kamu mendengar bunyi keldai, maka mohonkanlah perlindungan kepada Tuhan dari bahaya syaitan, kerana sesungguhnya ia melihat syaitan". (Hadis 1462 dalam Terjemahan Hadis Shahih Bukhari Jilid i,ii,iii,iv : Jilid iii halaman 187) 

Apabila Bangun Dari Tidur







Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW. Baginda bersabda: "Apabila seseorang di antara kamu bangun dari tidurnya, lalu ia berwudhuk, maka hendaklah menyemburkan air dari hidung(membersihkan hidungnya) tiga kali, kerana sesungguhnya syaitan bermalam pada lubang hidungnya". (Hadis 1458 dalam Terjemahan Hadis Shahih Bukhari Jilid i,ii,iii,iv. Jilid iii halaman 185) 

Thursday, November 24, 2011

Tahniah Abe De

Alhamdulillah.
Syukur banyak-banyak pada Allah SWT atas segala-galanya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat saya, Abe De kerana telah dikurniakan cahaya mata yang ke 3 tengahari kelmarin.

Cahaya mata lelaki yang diharap menjadi penyambung keperwiraan Babanya di dalam apa jua lapangan hidup yang bakal dilalui.

Semoga dengan kehadiran orang baru tersebut akan menambahkan lagi seri keluarga serta bertambahlah juga rahmah serta kasih sayang Allah dalam kehidupan berkeluarga.
Tahniah sekali lagi.

Apa pun.

Selamat 'berpuasa' buat Abe De.

Insyaallah, 100 hari tanpa 'berbuka'.

Tuesday, November 22, 2011

Saya Diserang Sakit Mata

'Musimnya' barangkali.

Dengar-dengar ceritanya, anak kawan isteri pun terkena juga. Di tempat lain.

'Dibawa balik' oleh Mimi Hayani dari 'sekolahnya'. Lebih kurang seminggu lebih juga lamanya matanya 'cemer'. Dan tiada sesiapa pun yang 'mewarisinya' dalam keluarga kami sehinggalah kurang lebih tiga hari lepas saya yang telah mewarisinya.

Dari anak kepada Abinya.

Dan ketika sakit mata Mimi Hayani semakin pulih, Allah SWT telah mentakdirkan sayalah pewaris pertamanya. Dan harapnya, ianya tidak akan merebak lagi dalam keluarga kami.

Mudah-mudahan.
Sakit mata Mimi Hayani semakin pulih. Gambar ini diambil tiga hari lepas. Alhamdulillah.

Selepas tiga hari diserang sakit mata. Gambar ini diambil tengahari tadi.

Walau apa pun takdir Allah SWT, moga ada hikmah-hikmah yang baik untuk saya. Semoga Allah SWT mengurniakan hati yang sentiasa redha, tenang, sabar serta ikhlas dalam menerima segala ujian serta ketentuanNya. 

Dari yang sekecil-kecilnya, hinggalah kepada yang sebesar-besarnya.

Walaubagaimanapun, dengan keterbatasan kemampuan aqal lemah ini, hikmah-hikmah yang dicari tidak semuanya dijumpai.

Tersimpan disisi Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Semoga ada kesembuhan.

Dengan khauf dan raja', saya bermohon kepada Tuhan Maha Penyembuh.

Monday, November 21, 2011

Lapan Jenis Makanan Terbaik Dunia







Dalam keghairahan mencari penawar dan kesembuhan, kekadang kita terlupa tentang jaminan Allah SWT melalui Al Quran dan Rasulullah SAW melalui hadis-hadisnya yang Maha Benar itu.

Tentang makanan-makanan terbaik yang telah dijamin oleh 'Penjamin' yang pasti benar tanpa sebarang kesilapan walau sebesar zarrah sekalipun.

1. DELIMA
Maksud Firman Allah:
"...Dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima yang sama dan yang tidak sama (bentuk,rupa dan rasanya). Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda(yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman." Surah Al- An'am ayat 99.

2. KISMIS
Dalam Tibb An-Nabawi menyebut hadis yang bermaksud: " Sebaik-baik makanan ialah buah zabib (kismis). Ia menghilangkan keletihan, menguatkan urat saraf, meredakan kemarahan, mencerahkan warna kulit dan mengharumkan bau hidung serta mulut"

3. KURMA
Maksud Firman Allah swt dalam surah Maryam: Ayat 25-26.
"Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah tamar yang masak kepadamu. Dan makanlah serta minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan...."

4. HABBATUS SAUDA'
Maksud Sabda Rasulullah: "Tetaplah kamu dengan Habbatus sauda' ini, kerana padanya terdapat penawar bagi segala penyakit kecuali as - Sam (mati)" Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

5. ZA'FARAN
Sayidina Ali pernah menyatakan yang bermaksud: " Sesiapa mengambil sebahagian za'faran dan su' di satu bahagian dicampur dengan madu, diminum sebanyak dua sudu pada setiap hari, maka ia dikagumi tentang ingatannya, sehingga dituduh melakukan sihir "

6. MADU
Mkasud Firman Allah:
"Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan(yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". Daripada perut lebah itu keluar minuman (madu) yang beraneka warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menjadi penyembuh bagi (keseluruhan penyakit) manusia. Sesungguhnya pada demikian itu benar-benar terdapat tanda (Kebesaran Allah) bagi orang-orang yang memikirkan (ahli ilmu, sarjana-sarjana dan pengkaji-pengkaji)." Surah An Nahl ayat 69.

7. ZAITUN
Maksud Firman Allah: " Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina*, yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan" Surah Al Mukminin ayat 20

*Yakni pokok zaiton. Bukan sahaja buahnya boleh dimakan tetapi juga dari buahnya terdapat minyak(minyak zaiton) untuk dimakan dan banyak lagi gunanya.

8. BUAH TIIN
Maksud : Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin. Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda :”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”

Selamat mencuba.

Friday, November 18, 2011

Masih Berbakikah Egomu Manusia-Lawatan Semula

Merasai sendiri dan melihat sahabat-sahabat yang dekat dan jauh menerima ujian Tuhan dalam pelbagai bentuk dan keadaan mendorong saya untuk menulis tentang perkara di atas. Paling tidak pun, sebagai suatu 'inzar' dan bahan renungan buat diri sendiri dan sesiapa yang sudi menerima peringatan.

Bentuk ujian pula pelbagai bentuk dan keadaan.

Ada yang diuji dengan sakit yang lama dan berpanjangan. Namun belum ada kesembuhan sepenuhnya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan. Kejerihan dan wang ringgit usah dikirakan. Dan doa pula tidak pernah putus-putus terus dipanjatkan. Dengan khauf dan raja' pada Ilahi.

Tidakkah semua itu patut menginsafkan? Bahawa kita adalah hamba yang tiada upaya kecuali yang dipinjamkan.

Sementara.

Apabila kekayaan tidak boleh membeli kesihatan.
Apabila pangkat tidak boleh membeli kesihatan.
Apabila keturunan tidak boleh membeli kesihatan.
Apabila wang ringgit tidak boleh membeli kesihatan.
Apabila segala yang dimiliki di dunia ini tidak boleh membeli kesihatan.

Dan.
Sakit itu pula berbagai-bagai bentuk pula.
Sakit lutut, sakit kepala
Ada yang diuji dengan kehilangan.
Ada yang diuji dengan kemalangan.
Ada yang diuji dengan tekanan perasaan.
Dan bermacam-macam bentuk ujian lagi.

Masih Berbakikah Ego Manusia?

Kehidupan dan ujian hidup yang tidak mungkin berpisah. Akan sentiasa ada, bezanya cuma mungkin kecil besar, ringan atau berat, lama atau sekejap.

Pengalaman sendiri.

Sekurang-kurangnya sejak lima tahun kebelakangan ini, bermula 2005 sehingga kini, tahap kesihatan saya agak kurang stabil. Bermula apabila saya terjatuh di Alor Star Mall sekitar Ogos 2005 sehingga kini, sejak itulah saya tidak pernah berputus asa berjuang untuk terus hidup sihat dan terus hidup.

Sudah tidak terkira berapa banyaknya Ringgit Malaysia yang terpaksa dihabiskan dalam usaha mendapatkan rawatan-rawatan serta membeli ubat-ubatan dalam usaha menyembuhkan diri dan hidup yang sihat. Dan betapa banyaknya ubat-ubat yang ditelan sama ada secara rela atau terpaksa. Berbagai-bagai jenis, bentuk dan rasa pula.

Menjelajahi bumi Tuhan mencari penawar di mana ada. Kadangkala banyak menyembunyikan kesakitan dan kegelisahan di sebalik senyum dan tawa yang sengaja dimaniskan. Nanti dikata berlebih-lebihan dan tidak rela menerima ujian Tuhan.

Bagaikan orang yang sangat-sangat mengantuk lalu disorongkan bantal.

Mungkin begitulah sifatnya orang-orang yang sakit dan tidak sabar-sabar untuk sembuh. Apa sahaja produk atau ubat-ubatan baru yang diperkenalkan, pasti akan dicuba sehingga kadangkala terlupa soal wang dan kesan sampingan, berkesan atau tidak.


Tidak Pernah Berhenti Berharap
Doa kesembuhan untuk diri sendiri dan juga sahabat-sahabat yang sedang diuji dengan sakit yang belum ada kesembuhan.
Semoga kesakitan dan kelamaan merasai segala ujian itu menjadikan kita semua semakin dekat denganNya.

Semoga kita tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah.

Cuma mungkin itulah takdirnya untuk kita buat masa ini dan harinya masih belum tiba untuk kita menerima rahmat kesembuhan itu.

Kepada yang belum merasai.

Rasanya tidak perlulah menunggu keegoan hidupmu ditundukkan oleh kesakitan dan segala macam ujian lain yang tiada penyembuhnya kecuali KEMATIAN.

Razak Nordin berpesan ; Aku yang pernah dan sedang merasai.

Thursday, November 17, 2011

Tahniah Dari Ayoh Ngoh

Tahniah kepada anak buah sulung saya, Mohd Luqman Haris bin Mohamad kerana berjaya memperolehi keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR yang dikeluarkan hari ini.

Semoga ianya menjadi titik permulaan ke arah kejayaan yang lebih cemerlang pada masa-masa yang akan datang.

Dan biarlah kecemerlangan dunia dan kecemerlangan akhirat sentiasa bersepadu sampai bila-bila.

Tahniah dari Ayoh Ngoh dan keluarga.

Wednesday, November 16, 2011

Pilihan-Pilihan Itu







Mana yang dipilih?

Ibadah Dan Maksiat.

Selalu buat ibadah, tetapi tidak boleh tinggalkan maksiat.
Buat ibadah pun tidak, maksiat pula selalu dibuat.
Rajin buat ibadah, pada masa yang sama tinggalkan maksiat.

Realitikah?

Ramai orang buat ibadah, tetapi tidak ramai orang yang boleh tinggalkan maksiat!

Bahagia?

Bahagia dunia, bahagia akhirat.
Bahagia dunia, tidak bahagia(celaka) akhirat.
Tidak bahagia di dunia dan tidak bahagia juga di akhirat.
Tidak bahagia di dunia, tetapi bahagia di akhirat.

Ikrar dengan lisan, membenarkan dengan hati dan melakukan dengan anggota badan.

Kita kita terleka, ingat-ingatlah didikan Allah SWT kepada Nabi Yaakob a.s. dengan memisahkannya dari anak kesayangannya, Nabi Yusuf a.s. selama 80 tahun.

"Aku takut dia akan dimakan oleh serigala". kata Nabi Yaakob ketika abang-abangnya meminta izin untuk membawa Nabi Yusuf a.s bersama dalam 'rombongan' mereka.

Dan kerana 'kealpaan' kecil itu, dengan tidak menyerahkan kepada Allah SWT untuk menjaga Nabi Yusuf a.s sepanjang perjalanan yang akhirnya direstui itu, Allah SWT memberikan didikan langsung kepada Nabi Yaakub a.s. dengan memisahkannya dengan anak kesayangannya, Nabi Yusuf a.s. selama 80 tahun lamanya.

Sehingga dikata telah buta matanya, kerana tangisan dan kerinduan yang amat sangat kepada anaknya itu.

Lalu, kita bagaimana?

Kadang-kadang atau jarang-jarang meletakkan sesuatu ditempat yang salah?

Mungkin masih beruntung kerana buat masa ini Allah SWT tidak membayarnya secara 'cash' tetapi sebaliknya sentiasa ada peluang kedua untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan sebelum nyawa sampai ke halkum dan sementara matahari belum lagi naik dari sebelah barat.

Namun, selama-lamakah kita akan diberikan peluang?

Monday, November 14, 2011

Sentuhan Jiwa Di Pagi Isnin







Mengusik jiwa di pagi Isnin ini ;

"Harta tidak dapat dikumpul melainkan dengan bekerja keras, demikian jugalah kamu tidak akan masuk Syurga melainkan kamu sabar dalam ibadah".

"Ramai orang yang rajin beribadah binasa kerana kagum pada dirinya; dan ramai orang yang sihat binasa kerana kesihatannya".

"Ramai orang kaya binasa kerana kekayaannya ; dan ramai orang miskin binasa kerana kemiskinannya".

"Kejayaan itu bermula dari kesungguhan, sedangkan kemiskinan itu bermula dari kemalasan".

"Orang yang bekerja akan mendapat upah; sedang orang yang tidur hanya akan mendapat mimpi".

Dikutip dari Kata-Kata Hikmah Arab-Melayu. Di susun oleh Mohd. Sofwan Amrullah. Terbitan 1998.

Friday, November 11, 2011

11.11.11.







Sepatutnya, saya tidak masuk campur menambah keributan kerana angka 11.11.11.

Sama ada keributan-keributan yang timbul itu berasas atau tidak, masuk akal atau tidak, saya tidak berminat untuk memberikan ulasan panjang. Namun, sefaham saya, cakrawala-cakrawala tidak pernah menentukan baik dan buruknya nasib manusia. Matahari, bulan dan bintang bukan penyebab kepada untung rugi nasib manusia.

Di dunia dan di akhirat sana.  

Saya tidak mengatakan keributan ini boleh menyamai kepercayaan kepada ilmu Astrologi. Namun...'saja-saja' dan 'kerana-kerana' itu sedikit sebanyak mengundang kewaspadaan.

'Istimewanya' 11.11.11. Bolehlah diambil fikir, jika sudi.

1. Kerana jatuhnya pada hari Jumaat, penghulu segala hari. 'Dulu-dulu' Nabi Adam diciptakan oleh Allah pada hari Jumaat.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ; terjemahannya :

"Hari yang lebih baik apabila munculnya matahari ialah hari Jumaat, kerana hari tersebut Allah telah menjadikan Adam, hari Jumaat Adam dimasukkan ke dalam Syurga, hari itu juga dikeluarkan ia darinya dan kiamat akan berlaku pada hari Jumaat."

2. Umur dunia semakin tua, dan akan berlakunya kiamat semakin hampir.

3. Bermakna umur setiap manusia yang masih hidup bertambah sehari lagi.

4. Manusia menjadi semakin tua dari semalam yang ditinggalkan. 

5. Baki umur semakin singkat dan perjalanan singkat ini semakin hampir sampai ke penghujungnya. 

6. Jasad semakin dimamah usia, dan tenaga pula semakin berkurang.

7. Kulit kian mengendur, dan mata pula kian kelabu.  

 Itulah mungkin antaranya, 'istimewanya' 11.11.11. Dari sudut pandang sisi saya.

Kepada yang ingin berfikir, fikir-fikirkan.

Kepada yang tidak ingin berfikir, terpulanglah.

Bukankah ingat-mengingatkan memberikan manfaat kepada orang-orang yang beriman.

Mudah-mudahan, mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan jua di akhirat.

Berhabis-habisan untuk sesuatu yang sementara dan sambil lewa untuk sesuatu yang kekal abadi!

Patutkah?

Bidalan Arab ada menyebutkan "Jika wangimu sudah lenyap maka berusahalah merebutnya semula."

Thursday, November 10, 2011

Empat Wasiat Untuk Anak-Anak







Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu 'Anhu beliau mengatakan: Suatu hari saya pernah di belakang Nabi Shallahu 'Alaihi wa Sallam , kemudian beliau bersabda kepadaku: Hai anak, sesungguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat:

Pertama:

Jagalah (hak) Allah, nescaya Dia akan menjagamu.

Yakni, laksanakan perintah-perintah Allah dan jauhi larangan-laranganNya, nescaya Dia akan menjagamu, baik duniamu maupun akhiratmu.

Kedua:

Jagalah Allah, nescaya engkau dapati Dia ada di hadapanmu.

Yakni, didepanmu, maka jagalah batas-batas ketentuanNya dan peliharalah hak-hakNya, nescaya kamu dapati Allah akan memberikan taufik kepadamu dan menolongmu.

Ketiga:

Apabila engkau memohon, maka mohonlah kepada Allah. Dan apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan kepada Allah.

Yakni, apabila kamu mencari pertolongan untuk mengatasi persoalan duniawi mahu pun ukrawi, maka mintalah pertolongan kepada Allah.

Terutama persoalan-persoalan yang tidak ada siapa pun yang mampu untuk mengatasinya kecuali Allah saja. Seperti penyembuhan suatu penyakit atau meminta rezeki, maka perkara itu merupakan hak prerogatif (hak istimewa) Allah.

Keempat:

Dan ketahuilah, bahawa umat, seandainya mereka berkumpul (bersepakat) untuk memberimu manfaat dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan (boleh) memberimu suatu manfaatpun melainkan (setakat) yang telah ditakdirkan oleh Allah bagimu, dan apabila mereka berkumpul (bersepakat) untuk menimpakan bahaya kepadamu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan (boleh) menimpakan suatu bahaya apapun kepadamu melainkan dengan sesuatu yang telah ditakdirkan Allah atasmu. Pena-pena telah diangkat dan lembar-lembar (tulisan takdir) telah kering. (Riwayat Imam Tirmidzi, dan beliau mengatakan: hadits hasan shahih)

Seorang mukmin wajib beriman kepada takdir yang telah ditulis semuanya oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, sama ada yang baik dan yang buruk.

Perpatah Arab Tentang Akhlak Yang Indah







Bagaimana orang-orang Arab(Islam) menggambarkan akhlak yang indah? 

Di bawah ini, sebahagian kata-kata hikmat yang sempat saya pilih untuk dikongsikan. Itu pun dalam bentuk terjemahannya sahaja.

"Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan cara bijaksana(hikmah) dan pengajaran yang baik".

"Jika cacian tidak mengotori kehormatan seseorang maka semua pakaian yang dikenakannya kelihatan indah".

"Sifat lambat marah(hilm) adalah penghulu akhlak (yang mulia)".

"Orang yang menunjukkan kebaikan sama (pahalanya) dengan orang yang melakukan kebaikan tersebut".

"Orang yang mulia apabila bertambah kuat maka dia semakin merendah diri; sedang orang yang hina apabila bertambah kuat akan menyombongkan diri(takabbur)".

"Isyarat sudah memadai bagi orang yang berakal".

"Teladan yang baik jauh lebih baik daripada kata-kata nasihat".

"Bohong adalah penyakit dan jujur adalah penawar(ubat)".

"Orang beriman sama seperti lebah, mengambil makanan yang baik-baik dan menghasilkan yang baik-baik pula". 

"Keadaan seseorang bergantung pada dua anggota tubuhnya yang kecil, yakni hati dan lidahnya".

"Kemaafan yang paling tinggi nilainya ialah kemaafan dari orang yang sanggup membalas".

"Jauhilah hal-hal yang memaksamu meminta maaf kerananya".

"Meninggalkan dosa lebih mudah daripada bertaubat(memohon keampunan)".

"Perlakulah orang lain dengan cara yang anda suka mereka memperlakukan anda".

"Di dalam jiwa yang lapang terdapat rezeki yang murah".

"Janganlah jadi gula-gula nanti orang makan, dan jangan pula jadi buah yang pahit nanti engkau dibuang orang".

"Jangan bergaul dengan orang mulia jika takut didengki; dan jangan bergaul dengan orang hina jika takut dihina".

"Janganlah melarang suatu perbuatan yang anda masih melakukannya".

"Sesiapa yang terbiasa atas sesuatu(ketika mudanya) maka hal itulah yang menjadi keperibadiannya setelah tuanya".

"Sesiapa yang mengenali dirinya(kelebihan dan kekurangannya), dia akan mengenali (kesempurnaan) Tuhannya".

"Sesiapa yang menjadikan sifat malu sebagai pakaiannya, maka aibnya tertutup dari pandangan mata".

"Jika seseorang sudah mempunyai satu tabiat jika bersendirian, lama-kelamaan hal itu akan diketahui orang juga".

"Lupakanlah hal-hal yang membuat anda marah, dan gantikan dengan hal-hal yang menggembirakan anda".

Wednesday, November 9, 2011

Pertama, November Ini..Jangan Berhenti Mengharap

Kutuliskan ini, dari aku untuk aku. Insan yang bersifat nasiya.

Banyak sudah takdir dan ketentuan yang telah berlaku.
Dan banyak juga takdir serta ketetapan ketika ini yang sedang berlaku
Dan pastinya yang akan datang juga, seandainya masa depan itu muncul lagi.

Sama ada ;
Masa lalu, sekarang dan akan datang, jangan sesekali melupai pesanan ini. Dari Tuhan yang Segala Maha itu. Menyayangi pada yang selalu meminta, membenci pada yang melupai dirinya hanya seorang hamba, sombong yang 'tidak disedari', lalu tidak meminta pada Tuhannya yang amat suka memberi.

Berbeza benar dengan kebanyakan manusia. Selalunya membenci pada yang sering meminta dan menyusahkan.  Dan 'terima kasih banyak-banyak' kerana tidak menyusah dan menganggu kami.

Dengan sifat Al Rahman dan Al Rahim serta sifat-sifat yang lain. Allah SWT tidak begitu sifatnya.

DIA yang tidak akan pernah jemu-jemu untuk mendengar rintihan-rintihan serta memperkenankan permohonan hamba-hambaNya.

"Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina!"Al Mukmin ayat 60

Dengan lafaz Bismillah, Al Rahman, Al Rahim “Ya Allah, keampunanMu lebih luas daripada dosa-dosaku, dan rahmatMu lebihku harapkan di sisiku daripada amalan-amalanku.”

Wednesday, October 26, 2011

Jom, Mulakan Dengan Satu Langkah







Kali ini saya ingin berkongsi info tentang kesihatan.

Untuk yang sedang sihat, berusaha agar kesihatan terus kekal dan terjaga.

Bagi yang ditakdirkan kurang sihat, pastinya tiada istilah terlambat kepada usaha yang berterusan dan istiqamah.

Ya, hanya dengan berjalan kaki. Selebihnya terserahlah kepada Allah yang Segala Maha itu.

Berjalan 10,000 langkah sehari.

PERBANDINGAN BERJALAN DENGAN PENGGUNAAN KALORI

MASA (Minit)                JARAK (KM)       JUMLAH KALORI          

10                                         0.8                                44                                   

20                                        1.6                                 88

30                                        2.4                                 132

40                                        3.2                                  176

50                                        4                                     219

60                                       4.8                                   263

70                                       5.6                                   307

Jadual di atas adalah untuk individu dewasa yang mempunyai berat badan 70kg.
 
BERJALAN 10,000 langkah bersamaan 7km hingga 8km perjalanan.

Secara anggarannya 1 km bersamaan  1,250 langkah.

Berjalan 10,000 langkah membantu membakar 300 hingga 358 kalori.
 
Berjalan dalam tempoh 60 minit dengan jarak sejauh 4.8km akan membakar sehingga 265 kalori iaitu bersamaaan sekeping roti canai.

Pelbagai faedah diperolehi dengan menjadikan10,000 langkah sebagai amalan harian antaranya ia mengurangkan  risiko PENYAKIT JANTUNG, DIABETES & HIPERTENSI.

Tuesday, October 25, 2011

Pesanan Ringkas Dari Luqman







Luqman Hakim pernah berkata " Aku mengutip hikmah daripada orang yang bodoh. Kesalahannya, tidak akan aku lakukan.

Saturday, October 22, 2011

Kitakah Salah Seorang Darinya?








Alangkah Menakjubkan Keadaan Orang Yang Beriman.

|=Å¡ymr& â¨$¨Z9$# br& (#þqä.uŽøIムbr& (#þqä9qà)tƒ $¨YtB#uä öNèdur Ÿw tbqãZtFøÿムÇËÈ  
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji" (Al-Ankabut:2)

"Syurga diselimuti dengan perkara-perkara yang dibenci sedangkan neraka diselimuti dengan perkara-perkara yang mengundang syahwat" (Sahih Muslim no. 7130 hal.1288)

"Alangkah menakjubkanya keadaan orang yang beriman. Kerana seluruh perkaranya adalah baik. Dan hal itu hanya terjadi bagi orang yang beriman, iaitu jika ia mendapatkan kesenangan maka ia bersyukur dan itu menjadi kebaikan baginya; dan jika ia tertimpa kesulitan dia pun bersabar, maka hal itu menjadi kebaikan baginya" (Sahih muslim no. 7500 hal. 1295)


Ÿwur (#qãZÎgs? Îû Ïä!$tóÏGö/$# ÏQöqs)ø9$# ( bÎ) (#qçRqä3s? tbqßJs9ù's? óOßg¯RÎ*sù šcqßJs9ù'tƒ $yJx. šcqßJs9ù's? ( tbqã_ös?ur z`ÏB «!$# $tB Ÿw šcqã_ötƒ 3 tb%x.ur ª!$# $¸JŠÎ=tã $¸JŠÅ3ym ÇÊÉÍÈ  
"Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (An-Nisa':104)

Dan sesungguhnya kepada Allahlah kembalinya segala urusan.
Share/Bookmark