Saturday, January 22, 2011

Pejuang, Ilmuan dan Hartawan Ke Neraka?






Berlumba-lumbalah buat kebaikan dan kebajikan, bukan berlumba-lumba menunjuk-nunjuk kebaikan dan kebajikan yang dilakukan.

Kenyataan yang selalu juga saya sebutkan.

Peringatan untuk diri dan sesiapa yang sudi menerimanya.

Sepatutnya apa yang diceritakan di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menggentarkan  semua orang yang masih ada rasa peduli tentang agama, tentang pahala dan dosa, tentang syurga dan neraka, tentang hari kiamat dan hari pembalasan.

Mudah-mudahan kita tidak menjadi pedagang yang muflis di negeri akhirat apabila bertemu Allah SWT nanti.

Dalam sebuah hadis Rasullullah yang panjang, diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Hurairah ada diceritakan bahawa pada hari kiamat, ada tiga golongan manusia yang diadili terlebih dahulu oleh Allah SWT iaitu para pejuang, orang berilmu dan hartawan.

Diriwayatkan dalam hadis bahawa proses terhadap setiap golongan tersebut adalah untuk memberi gambaran niat mereka di dunia dan tempat mereka di akhirat.

Perjuang ditanya : " Apakah yang telah engkau kerjakan di dunia?(yang melayakkan kamu dimasukkan ke syurga?).

"Aku berjuang dan bertempur pada jalan Allah SWT sehingga aku tewas dalam medan peperangan", katanya.

Allah berfirman : " Engkau berdusta. Engkau tewas bukan kerana engkau mempertahankan agama atau berjuang pada jalan Allah, tetapi hanya mengharapkan supaya engkau dikatakan orang seorang pahlawan. Oleh itu, tempatmu adalah neraka."

Kemudian disoal pula orang yang berilmu :
" Apakah yang telah engkau kerjakan di dunia?(yang melayakkan kamu dimasukkan ke syurga?).

Jawabnya : "Aku menuntut ilmu kemudian aku ajarkan kepada orang lain. Dalam pada itu aku sentiasa membaca Al Quran".

Allah berfirman : "Engkau berdusta, sebab engkau belajar dan mengajar supaya dikatakan orang bahawa engkau ulama dan cendiakiawan dan engkau selalu membaca Al Quran supaya engkau disebut sebagai qari. Oleh itu tempatmu juga di neraka".

Yang terakhir disoal adalah golongan hartawan :
Tuhan telah melapangkan hidupmu dan mengurniakan rezeki serta harta yang banyak kepadamu. Apakah yang dilakukan dengan nikmat-nikmat itu dalam kehidupanmu di dunia?"

Jawab si hartawan itu : " Aku menafkahkan harta yang dikurniakan itu ke jalan Allah". 

Allah berfirman : "Engkau berdusta kerana engkau nafkahkan harta itu hanyalah supaya engkau disebut orang sebagai seorang dermawan. Oleh itu tempatmu di dalam neraka."

Razak Nordin berpesan : Awas dan berwaspadalah!!! Semoga semua itu dijauhkan dari kita semua.

No comments: