Wednesday, April 20, 2011

Ketenangan Itu Milik Hati







Alhamdulillah.

Hati dan perasaan saya lebih tenang sehari dua ini berbanding hari-hari sebelum ini. Fikiran semakin lapang dan kesempitan dada semakin meluas.

Mudah-mudahan ianya berkekalan sampai bila-bila.  

Ketenangan jiwa yang menjadi sebahagian nikmat hidup yang tiada harga yang mampu membelinya.

Mungkinkah kerana memiliki hati yang mudah tersentuh dan terluka, menjadikan ketenangannya jua mudah terganggu dan berkocak lama.

Sementelah fikiran pula diganggu oleh pelbagai lintasan yang tidak membahagiakan.  Tentang masa lalu dan akan datang juga.

Remeh, kecil dan besar.

Sama ada ia berkait secara langsung atau tidak langsung dengan hidup sendiri.

Namun, banyaknya ia membawa kesan yang hampir serupa. Sukar untuk saya memahami kenapa begitu jadinya.

Secara realitinya, saya tidak mampu untuk hidup 'hari ini hanya untuk hari ini'. Membiarkan semalam berlalu tanpa imbasan yang menganggu hati dan perasaan serta melupakan kebimbangan, kerisauan, keluh kesah tentang hari esok sebagai masa yang berbeza dan belum tentu tiba.  

Saya bisa menyebutnya, tetapi saya tidak mampu untuk mengusirnya pergi dari kamar hati semuanya. Masa silam yang telah berakhir dan masa hadapan yang belum wujud menjadi sebuah kerisauan, keluh kesah dan kebimbangan yang tidak menentu.

Dan adakalanya ianya terlalu melampau-melampau sehingga menjadikan kehidupan menjadi seakan tawar dan hambar. Mengganggu kebiasaan hidup seorang manusia yang punyai tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.

Tanggungjawab sebagai suami kepada isteri, bapa kepada anak-anak, pekerja kepada majikan serta tanggungjawab-tanggungjawab lain sebagai hamba dan khalifah di bumi Tuhan ini.  

Terkadang terfikir juga.

Bermaknakah sebuah kehidupan andai muram durja, keluh kesah, kebimbangan serta kerisauan lebih banyak mewarnai daripada sebuah kedamaian dan ketenangan sakinah.

Kata orang, hidup untuk dinikmati bukan ditangisi mungkin ada benarnya.

Memang kita dianjurkan banyak menangis dari ketawa, menginsafi diri sebagai hamba yang banyak kekurangan dan kelemahan.

Tetapi wajarkah kita menangisi sesuatu yang 'tidak patut' kita tangisi.

Dan salahkah kita bergembira kerana sesuatu yang sepatutnya kita bergembira.

Dalaman yang sakit, menganggu fizikal jua. Itulah hakikatnya.

Saya banyak kali mengalaminya.

Dan ingin berkongsi mengenainya walau bukan semua orang dapat menerima dan memahaminya.

Lama saya menyimpannya. Dan hari ini saya 'istiharkannya'.

Sebahagian kelegaan dan kepuasan peribadi.

Normal atau tidak.

Hanya kepada Allah dipohon semoga sakinah ketenangan itu sentiasa menjadi milik qalbu ini. 

Segalanya milik Allah dan kepadaNya semuanya akan dikembalikan. 

Dan juga menjadi manusia tabah kalau pun tidak setabah Rasul-rasul Ulul Azmi.

Iaitu orang-orang yang mempunyai keteguhan semangat dan kekuatan mental, kecekalan, kukuh pendiriannya dalam menghadapi apa juga cabaran dan dugaan, pantang undur ke belakang walau setapak pun. Kurnian Allah untuk Nabi Muhammad s.a.w, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, dan Nabi Nuh a.s.

Juga 'mengintai-ngintai' kesabaran Nabi Ayyub a.s di sebalik segala takdir yang telah ditentukan untuknya sepanjang hayat.

Dengan TIGA KUL saya menutup coretan ini.

No comments:

Share/Bookmark