Wednesday, April 27, 2011

Membina Kepercayaan Dengan Nilai Positif Dan Pujian?







Permulaan yang positif.

Setelah dua malam melaluinya, mungkin itulah ungkapan yang boleh saya katakan terhadap apa yang ditunjukkan oleh Nursyuhada Najihah, anak sulung saya.

Setakat dua malam yang telah berlalu, percubaan kami melatih anak-anak untuk tidur berasingan dengan kami di bilik mereka sendiri nampaknya menghasilkan sesuatu yang positif.

Cuma barangkali untuk Angah Razin belum mencapai 'target' yang dikehendaki seratus peratus.

Halangannya utamanya setakat ini mungkin kerana dia masih meminta susu pada setiap malam.

Dan setiap kali dia terjaga di tengah-tengah malam untuk meminta dibuatkan susu, si Angah datang mengejutkan saya dan terus 'landing' di bilik kami.

Namun kami yakin, dalam sedikit masa lagi si Angah Razin akan mengikuti jejak langkah kakaknya juga.

Insyaallah.

Untuk malam pertama, saya menemani anak-anak sementara mereka belum lena. Sekurang-kurangnya untuk memberikan semangat serta membina keyakinan diri sebelum menjadi biasa.

Dan untuk malam yang kedua, saya tidak perlu lagi menemani Along Syuhada. Dengan keinginan dan kemahuannya sendiri dia masuk ke bilik untuk tidur.

Barangkali seronok dengan katil baru serta pujian dan nilai-nilai positif yang kami berikan setiap pagi. Soalan positif serta pujian yang bertujuan untuk membina kepercayaan dan keyakinan dirinya.

Soalan-soalan serta pernyataan yang diharap boleh membina nilai positif untuk anak-anak.

Seronok tak?
Baguslah kakak ni?
Nanti Abi belikan hadiah kerana kakak bagus sangat!

Itulah ungkapan paling popular saya dalam dua hari ini untuk Along Syuhada. Cuba membina suatu kepercayaan positif kepada anak yang belum mengerti banyak perkara. Yang belum mampu berimiginasi yang bukan-bukan, sehingga melahirkan sesuatu yang bukan-bukan juga.

Mengelak dari bertanya soalan-soalan serta pernyataan-pernyataan yang berbentuk negatif juga.

Soal takut atau tidak tidur sendiri-sendiri tidak ditanyakan.

Kerana pada saya, soalan seperti itu akan mula membina nilai-nilai negatif untuknya. Secara sedikit sedikit.

Dan Alhamdulillah, setakat ini masih positif.

Sementara Razin pula untuk malam yang kedua, terpaksa diusung kerana 'tertidur' di bilik kami lebih awal. Lebih kurang jam 3 pagi barulah dia datang meminta dibuatkan susu dan terus terlena di bilik kami.

Sesuatu yang dikira berjaya untuknya dalam tempoh percubaan dan peralihan ini.

Mudah-mudahan, kami dapat mengutip sedikit demi sedikit pengalaman dari apa yang sedang kami lakukan.

Melakukan serta merasainya secara praktikal 'hand on' setelah lama 'memahaminya' secara teori.

Semoga ianya akan terus positif.

Suatu pengalaman kecil yang seronok untuk dikongsikan.

No comments:

Share/Bookmark