Monday, May 30, 2011

Ku Rasa Sepi Tanpa Cintamu







Belum pun sampai 24 jam berpisah dengan anak-anak, terasa ada satu kekosongan teruang di sudut hati.


Anak-anak, perhiasan kehidupan dunia yang boleh menjadi penambah seri kehidupan jika 'didekorasikan' dengan baik dan betul.

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan salih yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Al-Kahfi: 46)

“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah-lah jualah pahala yang besar.” (At-Taghabun: 15)

Kekosongan teruang yang menyebabkan mata mengantuk tidak juga mampu untuk lena. Pejam celik, pejam celik yang banyak memanggil kenangan semalam datang. Menggamit sebuah rindu pada gelak tawa, tangis rintih serta wangi masam anak-anak.

Perhiasan dunia itu.

Anak-anak, perhiasan dunia yang diperlukan. Tetapi janganlah dijadikan anak pinak itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata, bahkan hendaklah berjaga-jaga menjadikannya sebagai jalan dan alat-alat bagi menerbitkan amal-amal salih yang kekal faedahnya untuk kesenangan dan kebahagiaan kita di akhirat sana.

Sungguh beruntunglah orang-orang yang dapat berusaha untuk kebaikan dunianya dan akhiratnya.

Semoga ada kebaikan daripada perpisahan sementara ini.

Menambah erti rindu, kasih dan belajar menghargai pada sebarang nikmat kurniaanNya.

Salam sayang dan rindu dari Abi.
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis.

Monday, May 23, 2011

La Tahzan-Bersabarlah Dan Tunggulah Sebentar







Saya sengaja ingin berkongsi satu artikel yang terdapat dalam buku La Tahzan oleh Dr. 'Aidh Bin Abdullah Al Qarni yang dibaca pagi tadi. Kerana ia sedikit sebanyak telah menyamankan jiwa dan perasaan saya ketika membacanya.

Sekejap
Atau
Lama.

Setidak-tidaknya ia pernah juga memberikan rasa tenang pada jiwa yang bergelora. Dan harapnya ia dapat dikongsikan.

SIKAP
Jangan berdukacita sebab rasa sakit akan lenyap, cubaan akan pergi, dosa akan diampunkan, hutang akan langsai, penjenayah akan dibebaskan, orang yang hilang akan kembali, orang yang berbuat dosa akan bertaubat dan orang yang fakir akan menjadi kaya.

Jangan berdukacita. Tidakkah anda memerhatikan bagaimana awan hitam itu beralih, malam yang sangat pekat menjadi terang benderang, angin yang amat kencang itu tiba-tiba tenang dan angin puyu* itu tiba-tiba berhenti? Semua itu menandakan bahawa beban hidup anda yang seberat mana pun dapat hilang dan berubah menjadi kebahagiaan. Lebih daripada itu, kesengsaraan hidup anda pun pasti akan berakhir pada hidup yang aman, tenteram dan menjanjikan masa depan yang gemilang.

Jangan berdukacita sebab teriknya sinar matahari akan diteduhkan oleh bayangan, rasa haus yang mencekik pada waktu siang akan disegarkan dengan air yang sejuk dan rasa lapar yang melilit akan dikenyangkan dengan sepotong roti yang hangat. Bukankah keletihan kerana berjaga malam akan berkesudahan dengan tidur yang lena dan perasaan sakit akan tergantikan dengan kesegaran? Jesteru, bersabar dan tunggulah sebentar.

Jangan berdukacita, meskipun para doktor sudah kehabisan cara, kalangan bijaksana tidak lagi mempan* nasihatnya, para ulama tidak lagi dapat berbuat apa-apa, para pujangga hanya dapat menggeleng-gelengkan kepala dan semua usaha tidak lagi ada yang mendatangkan manfaat di hadapan takdir, qadha dan kemestian Allah.

Ali bin Abi Talib berkata :

Mudah-mudahan jalan keluar terbuka, mudah-mudahan kita boleh mengubati jiwa kita dengan doa.
Janganlah engkau berputus asa manakala kecemasan yang menggenggam jiwa menimpa.
Ketika paling dekat dengan jalan keluar adalah ketika sudah terbentur* pada putus asa. 

Jangan Bersedih Jilid 1, halaman 139-140.


Nota :
*angin puyu-angin yang berkisar(berpusing-pusing), angin puting beliung
*mempan-mustajab, mujarab.
*terbentur-terhalang, terhambat
Makna-makna di atas dirujuk dari Kamus Dewan, Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2007.

Thursday, May 19, 2011

Wednesday, May 11, 2011

Apabila Manusia Berbeza Kepandaian







Saya bersetuju apabila ada orang berkata bahawa sebenarnya tiada manusia yang bodoh, cumanya manusia mungkin berbeza kepandaian.

Kalau tidak.

Masakan satu minggu berlainan nama-nama harinya.
Masakan satu bulan berlainan minggunya.
Masakan satu tahun berlainan bulannya.

Masakan warna juga berbeza-beza.
Dan setiap warna itu pula mempunyai peminat-peminat yang berbeza pula.
Dan ada kalanya warna-warna tersebut perlu disinergikan untuk menjadikannya warna warni. Cantik di pandangan mata, cantik juga di hati.

Dan pelbagai mithalan lagi.

Yang saya tidak bersetuju ialah apabila sedikit 'kepandaian' anugerah  Tuhan itu merubah sesiapa yang 'memilikinya' menjadi sombong, bongkak, takabbur, riya, ujub dan segala sifat mazmumah yang lain.

Ibarat setitis air dari lautan yang menakung di seluruh pelusuk dunia.

Itulah bandingan yang selalu disebutkan tentang 'banyaknya' ilmu yang dimiliki oleh manusia-manusia seluruhnya berbanding ilmu yang di miliki oleh Allah SWT.

Dan sepatutnya, dengan berbeza kepandaian yang dimiliki, menjadikan manusia saling memerlukan dan saling melengkapi demi kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Bukan sebaliknya.

Salahkah menjadi seperti padi, semakin berisi semakin menunduk?

Tuesday, May 10, 2011

Hadiah Untuk Mukmin







Wahai sekalian Mukmin.

Beruntunglah.

Ini hadiah dari Nabi mu.

"Aku mengagumi seorang mukmin. Bila memperoleh kebaikan dia memuji Allah dan bersyukur. Bila ditimpa musibah dia memuji Allah dan bersabar. Seorang mukmin diberi pahala dalam segala hal walaupun dalam sesuap makanan yang diangkatnya ke mulut isterinya". (HR. Ahmad dan Abu Dawud)

Kitakah salah seorang yang dikagumi itu?

Hanya Setelah Hampir 800 Tahun-Apa Komen Orang Moden?







HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” [Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335] (Sini)

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad) (Sini)

Dengan kepercayaan sebulat hati walaupun sebelum merasai kejayaan, umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam hadis tersebut.

Dan di dalam salah satu percubaan semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople atas wasiatnya sendiri.

Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ, maka beliau menjawab,

“Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.

Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh menjelang 800 tahun, ke semua percubaan yang dilakukan menemui kegagalan.

Bukan sekali tetapi berulang-ulang kali.

Lima pada zaman Kerajaan Umayyah.
Satu pada zaman Kerajaan Abbasiyah
Dan dua pada Kerajaan Uthmaniyah.

Dan ke semua kegagalan tersebut, apakah kesannya kepada umat Islam pada masa tersebut?

Semakin yakin.
Atau
Hilang keyakinan.

Sama ada yakin atau hilang keyakinan.

Janji tersebut telah ditakdirkan oleh Allah SWT tertunai juga akhirnya.

Kerana janji Allah SWT dan RasulNya adalah pasti terjadi.

Lambat jauh untuk menguji keyakinan.
Cepat dekat untuk menguji kesabaran.

Dan hadis Nabi saw ini telah direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Ketika Nabi Muhammad SAW telah pun wafat.
Ketika sahabat-sahabat yang pernah mendengar hadis tersebut pada kali pertama telah pun meninggal dunia.
Ketika 'pencuba-pencuba' lain juga telah pulang menemui TuhanNya.
Ketika semua mereka tidak sempat melihat dengan 'mata kepala sendiri' tentang benarnya janji tersebut.

Allah SWT telah memilih Sultan Muhammad Al Fatih dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” untuk menunaikan janji RasulNya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

Saya tidak berniat untuk menditilkannya di sini.

Cuma, persoalan ringkas saya.

Kepada 'orang-orang moden'.

Apa komen anda?
Janji yang tertunai hanya selepas 800 tahun!

Monday, May 9, 2011

Selamat Hari Ibu







Setelah hampir dua tahun ibu pergi menemui penciptaNya.



Ibu! bergenang airmataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tidak pun kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu telah terkorban
Tak dapat ku balasi
Akan semua ini
Semoga Tuhan membekati kehidupanmu ibu

Ibu! kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan

Ibu! kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letaknya syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasihanilah, Tuhan
Ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana

Senilagu: Isman Isam (Hijjaz Records)

Friday, May 6, 2011

Untukmu Para Musafir







Musafir Kelana
Album : Qiblat
Rabbani

Berjalan bermusafirlah
Melihat keagungan Allah
Meninjau menitilah
Rahsia ciptaan Allah

Ziarahilah makam kekasih
Kenangilah Rasulallah
Bangunkan jiwa jihad Islami
Semangat syuhada Ilahi

Marilah bermusafir
Laksanakan tuntutan jiwa
Bermusafir berkelana
Luaskan pandangan saujana

Bermusafir berkelana
Kenal tuhan maha pencipta

Allah hu robbi 8x

Berbekal keimanan
Penyuluh disepanjang jalan
Mengharap keredaan
Doa menjadi kelaziman

Penat lelah mainan safar
Tempuhi ranjau banyak bersabar
Letih lesu tidak menentu
Syurga menjadi idaman kalbu

Thursday, May 5, 2011

Ya Allah..HambaMu Yang Lemah Sedang Mengadu.

.





Ya Allah, antara firmanMu yang pernah ku baca.

Terjemahannya seperti di bawah.

Maksudnya; Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”(Al Baqarah ayat 214).

Ya Allah, ketika semua itu telah ditakdirkan, berilah aku kekuatan rohani dan jasmani untuk sentiasa beristiqamah di jalan yang diredhai.

Selama-lamanya.
Cerahkan mata imanku, ketika banyak mata telah pun mula kelabu.
Pimpinlah aku agar tidak meraba dalam kecerahan. Tidak terseradong dalam kegelapan yang sengaja diciptakan.

Ya Allah.

Aku tidak pernah malu untuk terus mengadu dan bermohon harap kepadaMu. Kalau pun ujian-ujian itu tidak sehebat dan seberat hamba-hambaMu yang terdahulu.

Kerana barangkali buat masa ini jiwa dan ragaku tidaklah sekuat mereka-mereka yang telah berjaya melaluinya.

Kekuatan yang engkau telah berikan kepada Nabi Ibrahim a.s ketika Baginda di bakar api oleh kaumnya. Sejuk dan selamat sejahtera dalam 'kepanasan' api yang menjulang-julang.

Kekuatan yang engkau telah berikan kepada Nabi Zakaria yang digergaji hingga terbelah terpisah.

Kekuatan yang engkau berikan kepada semua kekasih-kekasihmu sepanjang zaman hingga kini. Yang tidak mampu ku senaraikan satu persatu.

Kerana ujian-ujian itu.

Sering juga menegangkan urat leher.
Sering juga mengundang resah dan gelisah serta kerisauan.
Sering juga mengganggu lenanya tidur.
Sering juga mempercepatkan degupan jantung.
Sering juga mengganggu emosi, jiwa dan hati.
Sering juga mengundang keruk di muka.
Sering juga menyebabkan tekanan darah semakin tinggi.
Sering juga mengundang kebimbangan tidak berkusudahan.
Sering juga mengganggu ketenangan di jiwa.

Wahai Tuhan.
HambaMu yang lemah sedang mengadu.

Kerana hambaMu ini masih ada rasa peduli.

Tentang kehidupan dan realitinya.

Alhamdulillah, Syukur Atas Segala RahmatNya







video
Dedikasi buat isteri dan anak-anak. Yang masih setia menemani perjalanan ini.

Wednesday, May 4, 2011

Mesin Lipat Pakaian Pulok Selepas Ini...







Apabila membaca cerita-cerita tentang 'kemajuan dan teknologi' seperti di bawah ini, saya selalu teringatkan kepada mesin untuk melipat pakaian pula.

New Restaurant Ordering Tablets On The Menu
The next time you eat at a restaurant, your waiter may be an electronic tablet. A Silicon Valley-based start-up called E La Carte just launched a new device that lets diners order food, play games and…
AP 

Saya benar-benar maksudkannya, kasihan melihat isteri saban minggu melipat pakaian yang bertimbun-timbun itu.

Bila ada mesin tersebut.

Masukkan sahaja semua pakaian yang telah dikeringkan, yang keluar nanti adalah pakaian-pakaian yang telah sedia berlipat kalaupun tidak mengikut saiz-saiz tertentu.

Impian 'gila' yang lahir dari manusia yang masih waras.

Apabila Berbicara Tentang Kerja Tuhan







Peluru  Dikeluarkan  Dari Kepala Laki-Laki Setelah 23 tahun.
Seorang lelaki yang telah hidup dengan peluru di kepalanya selama 23 tahun berjaya membuat pembedahan pada bulan April di bandar utara China Zhang Jiakou, media kerajaan China melaporkan pada hari Khamis. (April 21)-AP

Tiada yang mustahil pada kuasa Tuhan.

Mustahilnya apabila manusia ingin menjadi Tuhan serta mengambil alih segala tugas-tugasNya.

Dan pastinya, setiap cerita ada Ibrohnya.

Dan ibroh itu hanya untuk orang-orang yang berakal dan berfikir.
Share/Bookmark