Monday, May 23, 2011

La Tahzan-Bersabarlah Dan Tunggulah Sebentar







Saya sengaja ingin berkongsi satu artikel yang terdapat dalam buku La Tahzan oleh Dr. 'Aidh Bin Abdullah Al Qarni yang dibaca pagi tadi. Kerana ia sedikit sebanyak telah menyamankan jiwa dan perasaan saya ketika membacanya.

Sekejap
Atau
Lama.

Setidak-tidaknya ia pernah juga memberikan rasa tenang pada jiwa yang bergelora. Dan harapnya ia dapat dikongsikan.

SIKAP
Jangan berdukacita sebab rasa sakit akan lenyap, cubaan akan pergi, dosa akan diampunkan, hutang akan langsai, penjenayah akan dibebaskan, orang yang hilang akan kembali, orang yang berbuat dosa akan bertaubat dan orang yang fakir akan menjadi kaya.

Jangan berdukacita. Tidakkah anda memerhatikan bagaimana awan hitam itu beralih, malam yang sangat pekat menjadi terang benderang, angin yang amat kencang itu tiba-tiba tenang dan angin puyu* itu tiba-tiba berhenti? Semua itu menandakan bahawa beban hidup anda yang seberat mana pun dapat hilang dan berubah menjadi kebahagiaan. Lebih daripada itu, kesengsaraan hidup anda pun pasti akan berakhir pada hidup yang aman, tenteram dan menjanjikan masa depan yang gemilang.

Jangan berdukacita sebab teriknya sinar matahari akan diteduhkan oleh bayangan, rasa haus yang mencekik pada waktu siang akan disegarkan dengan air yang sejuk dan rasa lapar yang melilit akan dikenyangkan dengan sepotong roti yang hangat. Bukankah keletihan kerana berjaga malam akan berkesudahan dengan tidur yang lena dan perasaan sakit akan tergantikan dengan kesegaran? Jesteru, bersabar dan tunggulah sebentar.

Jangan berdukacita, meskipun para doktor sudah kehabisan cara, kalangan bijaksana tidak lagi mempan* nasihatnya, para ulama tidak lagi dapat berbuat apa-apa, para pujangga hanya dapat menggeleng-gelengkan kepala dan semua usaha tidak lagi ada yang mendatangkan manfaat di hadapan takdir, qadha dan kemestian Allah.

Ali bin Abi Talib berkata :

Mudah-mudahan jalan keluar terbuka, mudah-mudahan kita boleh mengubati jiwa kita dengan doa.
Janganlah engkau berputus asa manakala kecemasan yang menggenggam jiwa menimpa.
Ketika paling dekat dengan jalan keluar adalah ketika sudah terbentur* pada putus asa. 

Jangan Bersedih Jilid 1, halaman 139-140.


Nota :
*angin puyu-angin yang berkisar(berpusing-pusing), angin puting beliung
*mempan-mustajab, mujarab.
*terbentur-terhalang, terhambat
Makna-makna di atas dirujuk dari Kamus Dewan, Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2007.

No comments:

Share/Bookmark