Friday, October 21, 2011

Bersentuhan Lelaki Dan Perempuan Tidak Membatalkan Wuduk?







Tulisan ini saya petik dari buku Pantang Larang Wanita, oleh Jasni Muhammad yang diterjemahkan oleh Syahrin Nasution serta diterbitkan oleh Darul Nu'man.

Saya kongsikan untuk bacaan 'orang awam'.

Sebenarnya banyak perkara yang dianggap membatalkan wuduk tetapi sebenarnya tidak membatalkan. Antara lain bersalaman atau bersentuh dengan lelaki, seperti suami, tanpa lapik.

Kita mestilah mengetahui bahawa tidak ada satu pun dalil yang kuat mengatakan bahawa bersentuhan antara lelaki dan wanita membatalkan wuduk. Ini dikuatkan lagi oleh hadis yang diterima dari Aisyah r.a:

Ertinya : "Pernah saya tidur di hadapan Rasulullah SAW, sedangkan kakiku berada ke arah kiblatnya. Maka apabila Baginda sujud, baginda memegangku lalu aku pun merapatkan kakiku. Dan apabila Baginda berdiri, aku pun meluruskan kakiku. Ketika itu di rumah kami tidak ada lampu." (HR. Bukhari dan Muslim)

Riwayat dari Aisyah r.a. juga, beliau berkata : "Pada suatu malam Rasulullah SAW menghilang dari sisiku. Aku pun mencari Baginda dalam keadaan meraba-raba, tiba-tiba tanganku menyentuh telapak kakinya yang tegak lantaran ketika itu Baginda SAW sedang sujud di masjid. Ketika itu Baginda SAW sedang membacakan doa yang maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredaanMu daripada kemurkaanMu. Aku berlindung dengan kemaafanMu daripada siksaanMu. Tidak terhingga rasanya puji-pujian ke atasMu sebagaimana Engkau memuji kebesaranMu."

Riwayat dari Aisyah r.a, katanya Rasulullah SAW pernah menciumnya yang sedang berpuasa. Rasulullah SAW berkata kepadanya :

Ertinya ; "Ciuman itu tidak sampai membatalkan wuduk dan tidak membatalkan puasa." (H.R. Al Bazzar)

Dari Aisyah r.a juga :

Ertinya ; " Sesungguhnya Rasulullah SAW mencium sebahagian isterinya kemudian Baginda pergi mengerjakan solat dan tidak berwuduk lagi." (H.R. Ahmad)

Inilah antara hadis-hadis yang menguatkan jawapan yang telah kami kemukakan tadi. Tegasnya dengan bersentuhan tidak batal wuduk yang menyentuh dan disentuh.

Menurut mazhab Syafii menyentuh wanita Ajnabi membatalkan wuduk.

Menurut mazhab Maliki pula, bersentuhan membatalkan wuduk jika :

1. Orang yang menyentuh sudah baligh.
2. Sentuhan yang mengghairahkan nafsu syahwat.
3. Tidak memakai lapik, atau memakai lapik yang tipis.
4. Yang disentuh itu orang yang mengghairahkan.

Mungkin timbul soalan seperti ini : "Mengapa dikatakan bersentuhan antara lelaki dan wanita itu tidak membatalkan wuduk padahal Allah berfirman ertinya : "Atau kamu menyentuh wanita." (Al Maidah : 6)

Sebenarnya maksud ayat itu menyetubuhi wanita, bukan menyentuhnya. Kata-kata (Au La Mastum) yang ada dalam ayat itu bukan bererti menyentuh tetapi bersetubuh. Ini sesuai dengan firman Allah :

Ertinya: " Tidak ada sesuatu pun (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu menyetubuhinya." (Al Baqarah : 236)

Dan firman Allah :

Ertinya : " Kemudian kamu talak mereka sebelum menyetubuhinya." (Al Ahzab : 49)

Allahua'lam.

No comments:

Share/Bookmark