Wednesday, October 5, 2011

'Paracetamol' Dari Tuhan







'Paracetamol' dari Tuhan.

Khas untuk diriku dan kamu-kamu juga, yang sedang berjuang dan memujuk hati.

Telah dikhabarkan bahawa pada hari pengadilan kelak, ketika mana Allah S.W.T mengemukakan pertanyaan kepada manusia tentang ibadah-ibadah mereka semasa di dunia, mereka akan mengemukakan pelbagai alasan seperti sakit, kemiskinan dan sebagainya.

Orang kaya akan mengatakan bahawa mereka tidak dapat melaksanakan ibadah kerana sibuk mengurus harta kekayaannya, maka Allah S.W.T memanggil Nabi Sulaiman a.s dan berfirman :

“Hambaku ini lebih kaya daripada kamu, ia memiliki kerajaan dan kekayaan yang sangat luas, namun semua itu tidak menghalanginya daripada beribadah kepadaKu."

Kemudian, Allah S.W.T bertanya kepada orang-orang miskin, “Mengapa kamu tidak mahu beribadah kepadaKu?”

Mereka menjawab, “Kami adalah orang-orang miskin, oleh kerana itulah kami tidak dapat beribadat kepadaMu.”

Kemudian Allah S.W.T memanggil Nabi Isa a.s, beliau adalah seorang nabi yang sangat miskin, beliau tidak memiliki harta apapun, bahkan rumah pun tidak ada, namun beliau tetap taat beribadah kepada Allah S.W.T.

Begitu juga ketika orang sakit diberikan pertanyaan yang serupa, maka mereka menjawab, “Kami sakit, oleh sebab itu kami tidak dapat mentaatiMu,”.

Kemudian Allah memanggil Nabi Ayyub a.s iaitu seorang nabi yang ditimpa penyakit dalam tempoh yang panjang, namun itu tidak menghalanginya daripada beribadah kepada Allah S.W.T.

Diuji dengan kehilangan harta benda, anak-anak secara serentak serta ujian penyakit yang maha dahsyat. Seluruh badannya dimakan ulat, sehinggakan yang tinggal hanyalah hati dan lidah.

Dan akhirnya, barulah Nabi Ayyub a.s. berdoa dan mengadu kepada Allah SWT, tanpa hati dan lidah, masakan Baginda dapat berzikir kepada Allah SAW. Lalu dengan izinNya jua, penyakit tersebut disembuhkan oleh Allah SWT.

Di dunia mencipta alasan. Di sana, alasan tiada gunanya lagi. 

Moga terhiburlah hati ini dengan khabar-khabar gembira dari Tuhan.
 
Khabar 1

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al ‘Ankabut :2-3)

Khabar 2

“Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci. Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah : 216)

Khabar 3

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang juga diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu kepada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah : 286)

Khabar 4

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Al-Imran : 139)

Khabar 5

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Al-Imran : 200)

Khabar 6

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Al-Baqarah : 45)

Khabar 7
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya selain daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah : 111)

Khabar 8

“Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.” (At-Taubah : 129)

Khabar 9

“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf : 8)

Dari Allah SWT. untuk manusia.

Kerana Allah SWT. untuk manusia.

Semoga sifat redha, tenang, ikhlas dan sabar sentiasa bersama dan sebati menemani perjalanan hidup ini.

1 comment:

adanz said...

atas ujian demi ujian, kawe yakin demo seorang yang tabah be!

Share/Bookmark