Friday, January 27, 2012

Pada Menyayangi Binatang







Semasa saya menulis cerita tentang Arnab : Antara Dua Sifat, saya tidak pernah terfikir bahawa suatu masa arnab akan menjadi sebahagian dari 'ahli keluarga' kami.

Dan, alhamdulillah, bermula semalam dua ekor arnab telah menjadi sebahagian dari keluarga kami. Semoga ada rahmat yang turun kerana berkasih sayang sesama makhluk.

Dengan takdir Allah dan juga meraikan minat anak-anak, akhirnya ia menjadi sebuah kenyataan yang telah ditakdirkan.

Mungkin inilah yang dirangkapkan dalam pantun Melayu.

Dari mana punai melayang
Dari paya turun ke padi
Dari mana datangnya sayang
Dari mata turun ke hati.

Mungkin inilah antara contoh bagaimana rakan sebaya boleh mempengaruhi. Keinginan anak-anak untuk memiliki 'rabbit' sendiri menjadi 'semakin memuncak' apabila kami sekeluarga berkunjung ke rumah ipar saya di Ipoh, Perak, lebih kurang sebulan yang lalu.

Kebetulan pula, sepupu kepada anak-anak saya juga membela arnab. Dan sejak itu anak-anak selalu menyebut-nyebut untuk memilikinya juga.

Dan seperti biasa, isteri yang selalunya lebih prihatin dengan kehendak anak-anak. Ketika saya sudah ingat-ingat lupa tentang permintaan anak-anak tersebut, saya diberitahu oleh isteri bahawa dia telah menempah dua ekor arnab untuk anak-anak.

Dan tengahari semalam, semua itu telah tertunai.

Kasih pada binatang pernah membawa pelacur ke Syurga, apakah manusia tidak mengambil fikir.

Dan kerana menganiaya binatang, seorang perempuan pernah dihumban ke Neraka, semoga ia menjadi iktibar yang baik untuk semua.

Selamat datang, arnab masih tanpa nama ke dalam keluarga kami dengan segala rahmatNya.

Insyallah.

Sunday, January 22, 2012

Moga CintaNYA Mengiringi Cinta Kami








Kalau ikutkan rasa hati, seperti tidak mahu ke mana-mana.

Berjuang membetulkan emosi yang acapakali tersasar ini masih memerlukan mujahadah dan kesungguhan yang berterusan. Moga suatu hari nanti, ketenangan itu sentiasa menjadi milik hati ini selama-lamanya. Kata orang, doa yang ditangguhkan, tandanya Allah SAW mahu hati itu terus berbicara denganNYA hingga ke suatu hari yang ditentukan olehNYA.

Mudah-mudahan.    

Namun, kewajipan serta amanah sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi  acapkali mengatasi 'ikutkan rasa hati' tersebut.

Sebagai hamba dan khalifah, sekurang-kurangnya kita mempunyai amanah yang perlu ditunaikan kepada Allah dan sesama manusia serta alam.

Dan pagi ini, Insyaallah kami sekeluarga akan ke Kamunting atas amanah tersebut.

Saya menunaikan amanah sebagai menantu. Isteri menunaikan amanah sebagai anak. Dan anak-anak saya, menunaikan amanah sebagai cucu.

Semoga semangat hadis di bawah mengiringi ziarah kali ini.

Sayang kerana Allah, Insyaallah membawa cintaNYA jua.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Seorang lelaki telah pergi menziarahi saudaranya di sebuah pekan. Lalu Allah hantarkan Malaikat untuk mengekorinya di perjalanan itu. Apabila Malaikat itu bertemu dengan pemuda lelaki tersebut, dia bertanya: Kamu mahu ke mana? Lelaki itu menjawab: Aku mahu menziarahi saudaraku di pekan ini. Malaikat tersebut bertanya lagi: Apakah engkau mempunyai sebarang kepentingan yang ingin diperolehi daripadanya? Lelaki itu menjawab: Tidak, aku menziarahinya semata-mata kerana aku sayangkan dia kerana Allah. Malaikat tersebut berkata: Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepadamu. Aku diperintahkan untuk memberitahumu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana-Nya” (riwayat Muslim 2567)

Ya Allah, seandainya kami lakukan semua ini hanya keranaMU, limpahkanlah kebaikan serta rahmatMU untuk kami semua.

Engkaulah yang menentukan apa yang terbaik untuk dunia dan akhirat kami.

Thursday, January 5, 2012

Kenapa Sesetengah Kita Mengambil Peduli








Walau pun kubur lain-lain.
Dosa sendiri, masing-masing yang tanggung.

Tetapi dua peringatan di bawah mungkin boleh mengundang resah orang-orang yang masih ada rasa peduli.

Dari Tuhan dan RasulNya juga.

"Dan peliharalah dirimu daripada (berlakunya) dosa(yang membawa bala bencana) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu(tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Berat seksaNya*. (Al Anfaal : 25) 

*Membiarkan perbuatan-perbuatan maksiat berkembang dalam masyarakat, akan membawa bala' bencana bukan sahaja kepada orang-orang yang berdosa itu bahkan juga kepada masyarakat umumnya.
(Tafsir Pimpinan Ar Rahman Kepada Pengertian Al Quran)

Nu’man bin Bashir r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terdapat segolongan manusia yang mentaati perintah-perintah Allah dan segolongan manusia yang lain melanggari batas-batas Allah.

Perumpaan mereka adalah seperti dua golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan berada di atas dan satu golongan lagi berada dalam perut kapal.

Apabila golongan yang berada dalam perut kapal inginkan air mereka menyuruh golongan yang di atas supaya mengambilkan air untuknya sehinggalah mereka berkata : “Adakah patut kita kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air sedangkan kita boleh mendapat air yang banyak dengan melubangi bahagian bawah kapal ini”. Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka dari kebodohan ini, nescaya mereka akan karam kesemuanya”. ( Riwayat Bukhari dan At-Tirmidzi ).

Moga, kelalaian kita selama ini di ampunkan dan tidak dihukum atas kezaliman-kezaliman, dosa-dosa serta segala macam perderhakaan yang telah berlaku.

Sama ada secara sengaja atau tidak.

Pesan Tuhan Buat Suami-Suami Dan Abi-Abi







Wahai suami-suami,
Wahai Abi-Abi :

Di sebalik sebaik-baik perhiasan di dunia adalah wanita yang solehah.
Dan juga di sebalik anak-anak permata hati, penyambung warisan.

"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan." (Al Kahfi : 46)

Tuhanmu ada berpesan untuk diambil peringatan dalam surah At Taghaabun ayat 14 seperti maksud terjemahan di bawah ;


"Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya ada di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu**oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni kesalahan mereka(maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

**. Maksudnya: kadang-kadang isteri atau anak dapat menjerumuskan suami atau ayahnya untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak dibenarkan agama. Atau terhalang daripada melakukan sesuatu yang baik.
(Tafsir Pimpinan Ar Rahman Kepada Pengertian Al Quran).

"Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu".(Al Hadiid ; 20)

Sudikah SUAMI-SUAMI dan ABI-ABI mengambil pengajaran?

Sekeras Batu, Selembut Hati







Cuit-cuit, sebuah tazkirah.

Dari Tuhan, untuk hamba-hambaNya.

"Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. padahal di antara batu-batu itu ada Yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya Yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya Yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa Yang kamu kerjakan."  (Al Baqarah : 74)

Monday, January 2, 2012

Mampukah Seperti Ayyub?

Diriwayatkan.

Nabi Ayyub adalah seorang yang kaya dan telah berkahwin dengan Siti Rahmah, anak puteri Afrayim putera Nabi Yusuf a.s.

Seorang yang kasih dan penyayang terhadap anak yatim, janda-janda serta orang-orang yang lemah.
Mempunyai kebun yang banyak serta binatang-binatang ternakannya pula selalu beranak kembar. Namun Nabi Ayyub ternyata tidak teruja dengan semua itu.

Semua yang dimiliki itu, tidak melupakan hati Nabi Ayyub dari bersyukur atas nikmat yang diperolehinya serta lidahnya pula tidak lupa berzikir kepada Allah.

Semua itu menjadikan Iblis dengki, seraya berkata ; Sungguh Ayyub telah berhasil di dunia dan akhirat lalu iblis ingin merosakkan salah satu atau kedua-duanya.

Untuk itu iblis naik berjumpa Allah di langit dan berhenti di mana dia dapat sampai kepadanya.

Dialog Allah Dengan Iblis

Dialog Allah dengan iblis.

"Hai iblis terkutuk, bagaimana engkau melihat hambaku Ayyub, adakah engkau dapat mengambil daripadanya manfaat walau sedikit?

Kata iblis “Tuhanku, sesungguhnya Ayyub mahu menyembahMU kerana Engkau telah memberinya kelapangan hidup (harta yang berlimpah) dan kesehatan ; kalaulah tidak kerana hal itu tentu dia tidak menyembahMU, maka sebenarnya dia hamba kesehatan".

Firman Allah ; "Engkau dusta sesungguhnya Aku Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya dia menyembah Aku serta berterima kasih kepadaKU, walaupun dia tidak mempunyai kelapangan rezeki di dunia"

Lalu Iblis meminta izin untuk menggoda Nabi Ayyub dan Allah mengizinkan kecuali hati dan lidahnya.

Iblis kembali dan pergi ke tepi laut menyeru dengan keras, sehingga semua bangsa jin, lelaki dan perempuan keluar dan bertanya untuk apa mereka dipanggil. Lalu jawab iblis, ingin meminta pertolongan untuk  memperdaya Nabi Ayyub.

Tindakan Iblis Dan Kuncu-Kuncunya

Tindakan 1
Membakar dan merosakkan semua kekayaan Nabi Ayyub. Kemudian iblis pergi berjumpa Nabi Ayyub namun ketika itu Nabi Ayyub sedang menunaikan solat di dalam rumah ibadahnya. Lalu iblis bertanya,

"Engkau masih menyembah Allah setelah Allah memusnahkan semua kekayaanmu."

Nabi Ayyub tidak menjawab sehingga selesai solatnya dengan berkata,  

"Alhamdulillah, Dia yang telah memberi kurnia, lalu mengambil pula dari saya." Kemudian bangkit terus menunaikan solat.

 Iblis hampa, rasa terhina dan menyesali tehadap kegagalannya.

Tindakan 2

Kebetulan Nabi Ayyub ada 14 anak, 8 lelaki dan 6 perempuan, di mana setiap hari makan di rumah saudara-saudaranya.

Iblis dan kuncu-kuncunya mengelilingi rumah itu dan melemparkan kepada anak-anak Nabi Ayyub. Semuanya mati di satu meja makan.

Ada yang tengah menyuap nasi dan ada yang sedang memegang gelas ditangannya.

Kemudian Iblis pergi lagi berjumpa dengan Nabi Ayyub. Nabi Ayyub sedang menunaikan solat lagi. Dan iblis bertanya lagi "Engkau masih sembah Allah, sesungguhnya Dia telah melemparkan ke rumah itu di mana anak-anakmu berada sehingga mereka mati semuanya".

Nabi Ayyub tidak menjawab sehinggalah selepas solat dengan katanya;

"Alhamdulillah, Dia yang telah memberi dan mengambilnya pula dari saya. Semua harta dan anak adalah fitnah untuk laki-laki dan wanita, maka Dia mengambilnya dari saya, sehingga saya dapat bersabar lagi tenang untuk beribadah kepada Tuhan saya".

Iblis kecewa lagi.

Tindakan 3

Suatu ketika, apabila Iblis datang kembali untuk berjumpa Nabi Ayyub, didapatinya Nabi Ayyub  sedang menunaikan solat, lalu ditiupkan dihidung dan mulutnya sehingga badan Nabi Ayyub menjadi kembang dan berpeluh dengan begitu banyak sekali dan menjadi berat.

Lalu Nabi Ayyub terkena penyakit kudis seluruh badan serta bernanah, dipenuhi ulat-ulat yang berjatuhan.

Kerana itu, Nabi Ayyub dijauhi sanak saudara, teman-teman dan dua isterinya.

Tinggallah hanya seorang yang setia di sisi bernama Siti Rahmah.

Diusir dari kampung halaman, lalu Siti Rahmah menggalas Nabi Ayyub dan suatu ketika terpaksa menjual rambut untuk membeli roti. Dan pernah tinggal di rumah yang menjadi tempat pembuangan sampah.

Sikap Nabi Ayyub

Ulat-ulat yang jatuh dari badannya, diambil balik dan diletakkan dibadannya lalu berkata "Makanlah oleh kamu semua apa-apa yang telah direzekikan kepadamu".

Diriwayatkan Nabi Ayyub sakit selama 18 tahun. Suatu hari Siti Rahmah berkata ; "Engkau seorang nabi yang mulia terhadap Tuhanmu, seandainya engkau berdoa kepada Allah supaya dia menyembuhkanmu"

Nabi Ayyub membalasnya dengan pertanyaan  "Berapa lamakah kita telah hidup senang".

Jawap isterinya, "80 tahun".

Nabi Ayyub berkata, "Sesungguhnya aku malu hendak meminta kepada Allah kerana masa cubaan kepadaku belum memadai dibandingkan masa senangku".

Akhirnya sekali, yang tinggal hanyalah hati dan lidah. Ketika itu barulah Nabi Ayyub berdoa kepada Allah. Dan pada masa itu tinggal dua ekor ulat, satu ke lidah dan satu lagi ke hati. Nabi Ayyub berdoa bukan kerana takut mati dan kepentingan dunia tetapi takut tidak boleh berzikir dan mengingati Allah lagi, lalu Allah makbulkan doa tersebut.

Diriwayatkan kedua-dua ulat tersebut jatuh ke bumi, seekor menjadi lintah dan seekor lagi menjadi lebah.

Kemudian Allah menghantar malaikat untuk memberikan dua biji delima untuk dimakan dan dengan izin Allah Nabi Ayyub pun sembuh.

2 Januari 2012 ini, mampukah kita(aku) mengutip ibroh bagi menyelusuri sebuah perjalanan..hingga ke SANA.

Kepada Allah jua, segalanya disandarkan. Bukan pada kenangan. Ameen.

Diberi nafas baru dari Durratun Nasihin.

Sunday, January 1, 2012

Titisan 1 Januari 2012







Semangat dan azam untuk hidup hari ini tanpa kesedihan, tanpa keresahan, tanpa kemarahan, tanpa kedengkian dan tanpa kebencian.

(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (Surah al Fajr :15-16)

Dan lagi.

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah at Taghabun : 11)

Seterusnya.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali." (Surah Al Baqarah : 155-156).

Biarlah kalam-kalam Tuhan di atas menjadi bagai titisan-titisan air yang menyejukkan, kedamaian, memberikan ketenangan dan kemenangan.

Ya Allah, berikan kekuatan kepada kami untuk melaluinya.

Ameen.
Share/Bookmark