Monday, January 2, 2012

Mampukah Seperti Ayyub?

Diriwayatkan.

Nabi Ayyub adalah seorang yang kaya dan telah berkahwin dengan Siti Rahmah, anak puteri Afrayim putera Nabi Yusuf a.s.

Seorang yang kasih dan penyayang terhadap anak yatim, janda-janda serta orang-orang yang lemah.
Mempunyai kebun yang banyak serta binatang-binatang ternakannya pula selalu beranak kembar. Namun Nabi Ayyub ternyata tidak teruja dengan semua itu.

Semua yang dimiliki itu, tidak melupakan hati Nabi Ayyub dari bersyukur atas nikmat yang diperolehinya serta lidahnya pula tidak lupa berzikir kepada Allah.

Semua itu menjadikan Iblis dengki, seraya berkata ; Sungguh Ayyub telah berhasil di dunia dan akhirat lalu iblis ingin merosakkan salah satu atau kedua-duanya.

Untuk itu iblis naik berjumpa Allah di langit dan berhenti di mana dia dapat sampai kepadanya.

Dialog Allah Dengan Iblis

Dialog Allah dengan iblis.

"Hai iblis terkutuk, bagaimana engkau melihat hambaku Ayyub, adakah engkau dapat mengambil daripadanya manfaat walau sedikit?

Kata iblis “Tuhanku, sesungguhnya Ayyub mahu menyembahMU kerana Engkau telah memberinya kelapangan hidup (harta yang berlimpah) dan kesehatan ; kalaulah tidak kerana hal itu tentu dia tidak menyembahMU, maka sebenarnya dia hamba kesehatan".

Firman Allah ; "Engkau dusta sesungguhnya Aku Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya dia menyembah Aku serta berterima kasih kepadaKU, walaupun dia tidak mempunyai kelapangan rezeki di dunia"

Lalu Iblis meminta izin untuk menggoda Nabi Ayyub dan Allah mengizinkan kecuali hati dan lidahnya.

Iblis kembali dan pergi ke tepi laut menyeru dengan keras, sehingga semua bangsa jin, lelaki dan perempuan keluar dan bertanya untuk apa mereka dipanggil. Lalu jawab iblis, ingin meminta pertolongan untuk  memperdaya Nabi Ayyub.

Tindakan Iblis Dan Kuncu-Kuncunya

Tindakan 1
Membakar dan merosakkan semua kekayaan Nabi Ayyub. Kemudian iblis pergi berjumpa Nabi Ayyub namun ketika itu Nabi Ayyub sedang menunaikan solat di dalam rumah ibadahnya. Lalu iblis bertanya,

"Engkau masih menyembah Allah setelah Allah memusnahkan semua kekayaanmu."

Nabi Ayyub tidak menjawab sehingga selesai solatnya dengan berkata,  

"Alhamdulillah, Dia yang telah memberi kurnia, lalu mengambil pula dari saya." Kemudian bangkit terus menunaikan solat.

 Iblis hampa, rasa terhina dan menyesali tehadap kegagalannya.

Tindakan 2

Kebetulan Nabi Ayyub ada 14 anak, 8 lelaki dan 6 perempuan, di mana setiap hari makan di rumah saudara-saudaranya.

Iblis dan kuncu-kuncunya mengelilingi rumah itu dan melemparkan kepada anak-anak Nabi Ayyub. Semuanya mati di satu meja makan.

Ada yang tengah menyuap nasi dan ada yang sedang memegang gelas ditangannya.

Kemudian Iblis pergi lagi berjumpa dengan Nabi Ayyub. Nabi Ayyub sedang menunaikan solat lagi. Dan iblis bertanya lagi "Engkau masih sembah Allah, sesungguhnya Dia telah melemparkan ke rumah itu di mana anak-anakmu berada sehingga mereka mati semuanya".

Nabi Ayyub tidak menjawab sehinggalah selepas solat dengan katanya;

"Alhamdulillah, Dia yang telah memberi dan mengambilnya pula dari saya. Semua harta dan anak adalah fitnah untuk laki-laki dan wanita, maka Dia mengambilnya dari saya, sehingga saya dapat bersabar lagi tenang untuk beribadah kepada Tuhan saya".

Iblis kecewa lagi.

Tindakan 3

Suatu ketika, apabila Iblis datang kembali untuk berjumpa Nabi Ayyub, didapatinya Nabi Ayyub  sedang menunaikan solat, lalu ditiupkan dihidung dan mulutnya sehingga badan Nabi Ayyub menjadi kembang dan berpeluh dengan begitu banyak sekali dan menjadi berat.

Lalu Nabi Ayyub terkena penyakit kudis seluruh badan serta bernanah, dipenuhi ulat-ulat yang berjatuhan.

Kerana itu, Nabi Ayyub dijauhi sanak saudara, teman-teman dan dua isterinya.

Tinggallah hanya seorang yang setia di sisi bernama Siti Rahmah.

Diusir dari kampung halaman, lalu Siti Rahmah menggalas Nabi Ayyub dan suatu ketika terpaksa menjual rambut untuk membeli roti. Dan pernah tinggal di rumah yang menjadi tempat pembuangan sampah.

Sikap Nabi Ayyub

Ulat-ulat yang jatuh dari badannya, diambil balik dan diletakkan dibadannya lalu berkata "Makanlah oleh kamu semua apa-apa yang telah direzekikan kepadamu".

Diriwayatkan Nabi Ayyub sakit selama 18 tahun. Suatu hari Siti Rahmah berkata ; "Engkau seorang nabi yang mulia terhadap Tuhanmu, seandainya engkau berdoa kepada Allah supaya dia menyembuhkanmu"

Nabi Ayyub membalasnya dengan pertanyaan  "Berapa lamakah kita telah hidup senang".

Jawap isterinya, "80 tahun".

Nabi Ayyub berkata, "Sesungguhnya aku malu hendak meminta kepada Allah kerana masa cubaan kepadaku belum memadai dibandingkan masa senangku".

Akhirnya sekali, yang tinggal hanyalah hati dan lidah. Ketika itu barulah Nabi Ayyub berdoa kepada Allah. Dan pada masa itu tinggal dua ekor ulat, satu ke lidah dan satu lagi ke hati. Nabi Ayyub berdoa bukan kerana takut mati dan kepentingan dunia tetapi takut tidak boleh berzikir dan mengingati Allah lagi, lalu Allah makbulkan doa tersebut.

Diriwayatkan kedua-dua ulat tersebut jatuh ke bumi, seekor menjadi lintah dan seekor lagi menjadi lebah.

Kemudian Allah menghantar malaikat untuk memberikan dua biji delima untuk dimakan dan dengan izin Allah Nabi Ayyub pun sembuh.

2 Januari 2012 ini, mampukah kita(aku) mengutip ibroh bagi menyelusuri sebuah perjalanan..hingga ke SANA.

Kepada Allah jua, segalanya disandarkan. Bukan pada kenangan. Ameen.

Diberi nafas baru dari Durratun Nasihin.

No comments: